TRIPOLI: Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun kini menjadi sejarah dan bakal dikenang sebagai diktator yang didakwa menaja keganasan di negara luar.
Namun, di sebalik legasi itu, Gaddafi juga akan diingat sebagai tokoh yang suka melakukan perkara pelik.Laman sesawang ABCNews.com menyenaraikan tujuh keanehan utama yang dilakukan Gaddafi.
1. Khemah kalis peluru:
Ketika berada di Tripoli, Gaddafi tinggal dalam kubu dilengkapi dengan rangkaian sistem terowong untuk menyelamatkan diri. Apabila berkunjung ke luar negara, tokoh berdarah Badwi itu membawa bersamanya khemah untuk dipasang di tempat difikirkan sesuai. Disebabkan set khemah kalis peluru itu terlalu berat, ia terpaksa diangkut menggunakan pesawat berasingan yang mengiringi ke mana saja Gaddafi pergi. Untuk menghidupkan suasana padang pasir, dia juga menambat seekor dua unta di luar khemahnya.
2. Pengawal anak dara:
Nampaknya pengawal ini tiada ketika mereka sangat diperlukan apabila Gaddafi ditangkap kelmarin, tetapi biasanya tokoh itu dikelilingi 40 anggota terlatih sepanjang masa.
Digelar sebagai Amazon, pengawal wanita itu dilaporkan semuanya masih dara dan mereka berikrar mempertahankannya sebelum menyertai pasukan berkenaan.Dilatih di sebuah pusat latihan wanita, pengawal terbabit dipilih sendiri oleh Gaddafi dan mengenakan mekap, kasut but bertumit tinggi.
3. Jururawat seksi:
Selama sedekad, seorang jururawat Ukraine, Galyna Kolotnytska, sering dilihat berada di sisi Gaddafi.
Digambarkan sebagai mempunyai bentuk badan mengghairahkan, Galyna didakwa seorang daripada pembantu paling dipercayai Gaddafi dan dipercayai menjalin hubungan romantik dengan diktator terbabit. Sejumlah jururawat Ukraine turut berkhidmat untuk Gaddafi dan mereka memanggilnya dengan gelaran “papa” atau “daddy”.
4. Jatuh hati kepada Condoleezza Rice:
Pada 2007, Gaddafi menggelar bekas Setiausaha Negara AS itu sebagai
“wanita kulit hitam Afrika yang dikasihi.” Ketika Condoleezza melawat
Tripoli pada 2008, Gaddafi memberikan pelbagai hadiah bernilai
AS$200,000 (RM629,880), termasuk cincin.
Bagaimanapun, minatnya kepada wanita itu hanya terbongkar selepas
pemberontak menawan Tripoli. Antara barangan yang ditemui di situ, satu
album mengandungi puluhan gambar Condoleezza.
5. Takut menaiki pesawat dan lif:
Antara alasan Gaddafi gemar membawa bersamanya khemah jika ke
tempat lain adalah kerana bimbang terpaksa menggunakan lif untuk
menginap di hotel. Melalui kabel diplomatik yang bocor, Gaddafi juga
tidak suka berada di tempat tinggi dan enggan terbang lebih dari lapan
jam. Jika perlu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu, Gaddafi akan singgah bermalam di Portugal. Had maksimum anak
tangga yang mahu dinaikinya hanyalah 35 langkah.
6. Bunga Bunga: Pada 2010,
satu daripada aktiviti masa lapang Gaddafi didedahkan melalui
laporan pendakwa Itali yang menyiasat salah laku Perdana Menteri Silvio
Berlusconi. Menurut laporan, pelacur berusia 17 tahun yang dilanggan
Berlusconi, Karima el-Magroug, mendakwa Perdana Menteri Itali itu
mengaku “menggunakan formula Gaddafi” ketika mereka berfoya-foya.
7. Pakaian aneh:
Ketika pemimpin negara berbaris untuk bergambar bersama, amat mudah
mengenali Gaddafi kerana pemilihan pakaiannya yang berbeza daripada
yang lain. Biasanya, Gaddafi mengenakan pakaian khas yang direka hasil
gabungan di antara seragam tentera yang diubah suai dengan tradisi Badwi
Afrika.
Sumber : malaysiaberih.blogspot.com
No comments:
Post a Comment