2T Stalker merupakan kenderaan tempur peninjau berunut keluaran Monitor Service, firma pertahanan yang berpengkalan di Minsk, Belarus. Mula diperkenalkan pada tahun 2000, kenderaan dibangunkan dengan bantuan firma dari Russia serta tidak menggunakan sebarang dana dari kerajaan Belarus.
Kenderaan dibina dengan meletakkan ciri-ciri yang memenuhi kehendak operasi tinjauan dan operasi khas dengan mensasarkan kemampuan menyusup sehingga 300km dibelakang perimeter musuh. Dikatakan sehingga kini hanya sejumlah kecil telah ditempah oleh kerajaan Belarus dan belum menerima sebarang tempahan dari negara asing.
Rekabentuk
Tidak seperti mana kebanyakan produk pertahanan dari negara bekas Kesatuan Soviet, 2T Stalker mempunyai rekabentuk luaran agak berlainan serta lebih moden. Keseluruhan kerangka badan secara kasar masih dipengaruhi oleh rekabantuk kenderaan tempur berunut keluaran Kesatuan Soviet seperti BMP-2 tetapi memiliki permukaan yang licin. Rekabentuk turet pula menampakkan kelainan dengan bentuk bersegi berbanding bentuk separa bulat atau “Cupola” yang dianggap serasi dengan kenderaan berasal dari teknologi Kesatuan Soviet.
Kenderaan dengan berat sekitar 27.4 tan mempunyai dimensi 7.77 meter panjang, lebar 3.39 meter serta tinggi 2.51 meter. Dikendalikan oleh 3 krew, kenderaan juga mampu membawa tambahan sehingga 2 anggota.
Perlindungan
2T Stalker dikelaskan sebagai kenderaan halimunan kerana mampu mengurangkan silangan radar, kesan haba serta mempunyai penyamaran yang baik dengan rekabentuk halimunan, penggunaan bahan komposit, sistem pejara malam pasif serta cat khusus. Turut membantu bagi melindungi kenderaan dari ancaman musuh, 2T Stalker juga dilengkapi dengan sistem perlindungan elektronik seperti sistem amaran laser yang diintegrasikan dengan pelancar suaran.
Turut memiliki perlindungan bersepadu dari ancaman NBC (Nuklear, Biologi & Kimia) serta mampu menahan serangan seraca terus dari peluru pada saiz sehingga 35mm bagi bahagian hadapan, 14.5mm di bahagian- bahagian lain dan dilengkapi pelindung jerangkap samar.
Sistem Pendorong & Mobiliti
2T Stalker digerakkan menggunakan enjin diesel yang dibina berasaskan enjin V-12 milik Kereta kebal utama T-72 dengan kuasa 740 kuasa kuda. Kenderaan mampu mencapai kelajuan sehingga 155 km/j dan mempunyai jangkauan operasi sehingga 1,000km.
Bagi mempastikan kenderaan mampu melaksanakan operasi dengan berkesan pada pelbagai bentuk muka bumi, sistem suspensi “hydropneumatic”, sistem transmisi “hydromechanical” serta “hydrostatic" steering” menjadikan kenderaan ini mempunyai mobiliti tinggi, seimbang, selesa serta mudah dikendalikan. Kenderaan juga dikatakan mampu melakukan lompatan sejauh 10 meter dan dilengkapi sistem kemera TV bagi memudahkan pemanduan terutama ketika melakukan gerak undur.
Sistem Elektronik & Persenjataan
Sebagai sebuah kenderaan peninjau, 2T Stalker dilengkapi dengan sistem elektronik moden yang mampu dioperasikan sebilang masa dan keadaan seperti sistem jejakan sasaran automatik, sistem pejara dan laser carian & ukur jarak serta sistem pindahan data jarak jauh. Sistem ini penting bagi memudahkan urusan pengumpulan data serta pemerhatian dilakukan. Setiap sistem juga diintegrasikan antara satu sama lain serta turut berperanan dalam pengoperasian termasuklah untuk pengendalian dan persenjataan.
Bagi persenjataan pula, 2T Stalker memiliki komposisi senjata yang unik kerana mampu dilengkapkan dengan persenjataan dari jenis meriam, misil serta pelancar grenet serentak seperti berikut:-
i. Meriam automatik 2A42 30mm dipasang secara terus pada sistem turet. Mampu melancarkan sehingga 550 butir peluru seminit bagi memusnahkan sasaran daratan pada jarak maksima 4,000 meter atau sasaran udara sehingga 2,500 meter pada ketinggian kurang 2,000 meter. Peluru yang lazim digunakan adalah dari jenis AP-T (Perobek) dan HE (Letupan Tinggi).
ii. Mesingan PKT 7.62mm yang dipasang sepaksi dengan meriam utama, berfungsi sebagai meriam kedua dan mempu memberi perlindungan dari ancaman anggota yang berada dalam jarak sehingga 1,500 meter.
iii. Pelancar misil berkembar boleh tarik dan disimpan pada ruang atas bahagian sisi turet. Setiap satu pelancar boleh dipasang dengan misil pemusnah perisai dan perlindungan udara secara serentak. Misil yang digunakan adalah dari jenis 9K114 Shturm (NATO : AT-6 Spiral) bagi pemusnah perisai dan 9K38 Igla (NATO : SA-18 Grouse) bagi perlindungan udara.
iv. Pelancar grenet automatik AGS-17 30mm yang turut dipasang pada turet. Sehingga 160 butir boleh dibawa pada satu satu masa.
Setiap senjata diintegrasikan dan dikawal oleh sistem kawalan tembak yang mampu mengunci sehingga 2 sasaran bagi berlainan sistem persenjataan pada satu- satu masa. Kenderaan juga mampu dipasang dengan pod khusus serta membawa jerangkap samar mengikut kehendak dan kesesuaian operasi.
No comments:
Post a Comment