Wednesday, December 15, 2010

Kamikaze..

Tiada lagi strategi perang daripada dahulu sehinggalah sekarang yang boleh dikategorikan berani mati melainkan strategi kamikaze daripada Tentera Udara Imperialis Jepun.

Strategi yang diilhamkan oleh Rear Admiral Masafumi Arima ini dilihat oleh Amerika Syarikat sebagai strategi paling dungu yang pernah dilihat oleh mereka. Ironinya, mereka sebenarnya takut dengan strategi ini sehinggakan terdapat anak-anak kapal perang Amerika Syarikat sering mengigil apabila terdengar bunyi deruan enjin pesawat ‘Zero Fighter’ di udara.

Strategi Kamikaze merupakan alternatif terakhir tentera Imperialis Jepun untuk mengimbangi kuasa Berikat yang telah mendapat motivasi baru dengan kemasukan Soviet Union dalam peperangan di Lautan Pasifik. Jepun yang berseorangan menangkis ‘peluru’ dan ‘misil’ pihak Berikat telah melaksanakan strategi yang akhirnya diingati sehingga ke hari ini.

Di sebalik nama Kamikaze

Kamikaze memberi maksud awan suci. Awan Suci atau kamikaze mula popular istilahnya sewaktu pencerobohan kuasa Mongol pimpinan Kublai Khan pada 1274 dan 1281. Awan Suci ini sebenarnya adalah ribut taufan yang melanda sewaktu tentera Kublai Khan ingin menceroboh wilayah di Jepun pada ketika itu. Akibat daripada keganasan ribut taufan itu, kapal-kapal perang Kublai Khan yang membawa ratusan ribu tentera Mongol, China dan Korea telah musnah teruk dan tenggelam di lautan Jepun.

Tentera Jepun yang hanya bergantung kepada kekuatan Samurai telah mendewakan awan suci itu dengan mendakwa bahawa Tuhan telah melindungi tanah air mereka daripada syaitan-syaitan yang tamakkan kekuasaan.

Selepas daripada dua percubaan untuk menceroboh tidak berjaya, Jepun kekal sebagai negara paling berdaulat dan tidak pernah kalah dalam setiap peperangan sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Unit pertama skuad Kamikaze

Umum mengetahui bahawa tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua adalah tentera paling ganas dan berani yang pernah dilahirkan di dunia. Maka tidak hairanlah apabila strategi ini diumumkan, ramai tentera udara Jepun yang kebanyakkannya rekrut muda bersetuju untuk berkorban demi negara dan maharaja.

Seramai 24 juruterbang Zero Fighter telah dipilih untuk menyertai misi pertama ini. Kesemua mereka daripada 201st Navy Air Group. Matlamat utama misi ini adalah untuk memusnahkan Kapal Pembawa(Cariers) Amerika Syarikat, St. Lo. Misi mereka berjaya dan menyebabkan St. Lo tenggelam dalam masa hanya satu jam dan mengorbankan lebih 1000 nyawa tentera laut Amerika Syarikat.

Pesawat Kamikaze

Pesawat yang digunakan adalah pesawat perang konvensional yang sering digunakan semasa Perang Dunia Kedua. Namun terdapat juga pesawat yang digunakan telah direkabentuk khas bagi meluncur laju ke arah kapal-kapal perang Amerika Syarikat. Ia digelar dengan gelaran “Ohka” atau Cherry Blossom. Ohka juga dipanggil oleh tentera Amerika Syarikat dengan gelaran sinis iaitu Baka yang membawa maksud dungu.Ohka telah dilengkapi dengan bom di hadapannya bagi menambahkan impak letupan ke atas kapal perang Amerika Syarikat.

Ohka a.k.a Cherry Blossom

Strategi tidak berhasil

Miskipun strategi Kamikaze ditakuti oleh pihak Berikat namun ia tidak berhasil mengubah nasib Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Malahan ia menyebabkan Jepun kehilangan ramai juruterbang berkualiti dan berpengalaman.

Direkodkan oleh Pihak Berikat bahawa 1321 buah pesawat Jepun telah musnah akibat serangan Kamikaze ini dan menyebabkan lebih 3000 tentera Amerika Syarikat dan British kehilangan nyawa. Manakala lebih 5000 juruterbang Jepun terkorban dalam serangan berani mati ini dan 34 buah kapal perang dan kapal pembawa Amerika Syarikat pula musnah dalam serangan-serangan Kamikaze daripada juruterbang-juruterbang Jepun.

~ Perang Dunia Kedua adalah perang yang paling banyak mengorbankan nyawa. Dianggarkan lebih 2 bilion nyawa manusia melayang akibat perang yang memakan masa kira-kira tujuh tahun ini.

No comments:

Post a Comment