Perang Bosnia (1 Mac 1992 - 14 Dec 1995)
Kerana
tidak mahu Islam menguasai Srebrenica-Bosnia, puak Serbia Bosnia yang
dipimpin oleh Jeneral Ratko Mladic mengarahkan tentera membunuh 8,000
lelaki dan remaja dari etnik Islam Bosnia di wilayah itu. Kejadian yang
berlaku Julai 1995 menggemparkan seluruh masyarakat dunia terutama
negara-negara Islam yang marah dengan tindakan Serbia. Mengikut
kenyataan rasmi dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), jumlah
sebenar mungkin melebihi dari jumlah yang dilaporkan kerana majoriti
penduduk bandar kecil itu adalah etnik Islam Bosnia.
Peristiwa
itu bermula pada sekitar tahun 1992 apabila berlaku perpecahan antara
Serbia dan Bosnia dalam peperangan saudara yang menyaksikan kebangkitan
Islam di Bosnia. Srebrenica yang bersempadan dengan Bosnia telah diberi
tanggungjawab menjaga kem pelarian etnik Islam dari serangan puak
tentera Serbia yang dikawal oleh 400 pasukan pengaman dari Belanda
lengkap dengan senjata. Bagaimanapun, pada 6 Julai 1995, militan Serbia
Bosnia dibantu oleh pasukan Korps Drina dari tentera Serbia Bosnia telah
menggempur pos-pos kawalan tentera Belanda di sempadan sebelum memasuki
Srebrenica.
Poster memburu Ratko Mladic & Radovan Karadzic
Ramai
pasukan pengaman dari Belanda terbunuh dan ada yang ditawan oleh
tentera Serbia. Tentera Serbia yang terlalu ramai menyebabkan ramai
tentera pengaman Belanda terpaksa menyelamatkan diri di sempadan Bosnia.
Pada 11 Julai, tentera Serbia Bosnia berjaya menawan kem pelarian Islam
Bosnia. Mereka mengasingkan kaum lelaki berusia 12 hingga 77 tahun
untuk dihapuskan Kanak-kanak, wanita tua dan wanita diasingkan dalam
khemah. Ramai wanita dirogol oleh puak militan Serbia Bosnia dan ada
juga dibunuh kerana menentang mereka. Pada 13 Julai, kira-kira 8,000
lelaki dibunuh beramai-ramai di luar sebuah gudang di Kravica. Namun,
ada yang berjaya melarikan diri dari pembunuhan kejam itu.
KOMBINASI gambar Ratko Mladic pada 7 Disember 1993 (kiri) dan selepas dia ditangkap di Lazarevo, Serbia
Pun
begitu, ramai juga yang terbunuh terpijak periuk api, dibunuh oleh
militan dan tentera Serbia yang mengepung kem pelarian itu. Pembunuhan
beramai-ramai yang dipanggil Genosida Srebrenica memaksa Pertubuhan
Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas terhadap Serbia Bosnia
terutama pemimpinnya. Apa yang menyedihkan, Mahkamah Keadilan
Antarabangsa tidak mendakwa Serbia atas tindakan kejam itu sebaliknya
mengecam negara itu gagal mengekang kejadian tersebut. Walaupun tindakan
kejam itu dilakukan oleh militan Serbia Bosnia, tapi militan itu
mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Serbia Bosnia.
Pada
27 Februari 2007, ICJ mengarahkan Jenderal Ratko Mladic yang mengetuai
pem*bunuhan beramai-ramai diburu untuk dibicarakan ke mahkamah atas
tuduhan membunuh untuk penghapusan etnik Islam Bosnia. Jenderal Mladic
bersama pembantunya berjaya menyembunyikan diri dari diburu oleh pasukan
pengaman. Beberapa tahun kemudian, ramai dari mereka ditahan dan
diadili di ICJ dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati.
Beberapa buah kubur besar turut digali semula untuk membuktikan
kezaliman militan dan tentera Serbia terhadap etnik Islam Bosnia.
Mayat-mayat itu kemudiannya dimasukkan ke dalam keranda dan dikebumikan
di perkuburan Islam.
Walaupun
kejadian itu sudah berlalu hampir 15 tahun, ia masih segar dalam
ingatan masyarakat Islam terutama ahli-ahli keluarga yang dibunuh dengan
kejam. Saya masih ingat pada satu masa dahulu, Tv3 menayangkan satu
rencana yang bertajuk lebih kurangnya ‘Massacre In Bosnia’.
Ia menayangkan kekejaman yang dilakukan oleh Serbia yang mana
majoritinya Kristian menyembelih dan melakukan pembersihan etnik
terhadap umat Islam Bosnia dan Kosovo. Ini adalah fakta sejarah.
Kekejaman yang dipaparkan jelas melangkaui pemikiran manusia biasa.
Mungkin kita tidak pernah terfikir, seorang
manusia sanggup menyembelih bayi-bayi yang masih kecil, mengembiri
kaum-kaum lelaki kemudiannya membakar mereka hidup-hidup, merogol
wanita-wanita sehingga ramai di antara mereka mengalami gangguan mental
dan membunuh diri. Ia
hanyalah secebis kisah duka, namun yang paling menyayat hati di mana
pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh jiran mereka sendiri yang selama
ini hidup aman. Perkampungan yang sebelum ini menjadi tempat mereka
bermain dan berkongsi kegembiraan menjadi neraka. Jiran mereka sendiri
merogol anak-anak perempuan, isteri-isteri jiran-jiran mereka di hadapan
suami-suami dan bapa-bapa mereka sendiri. Seterusnya mereka
mengumpulkan jiran-jiran mereka ini dan menembak mereka secara
beramai-ramai.
Satu
lagi tragedi hitam umat Islam di akhir abad ke-20. Orang yang
bertanggungjawab di sebalik kejadian kejam ini jika anda masih ingat
semestinya Presiden Serbia masa itu iaitu Rodovan Karadzic.
Pembunuhan-pembunuhan ini merupakan yang paling kejam selepas perang
dunia ke-2 di Eropah. Beliau telah diburu hampir selama 13 tahun. Hampir
11,000 penduduk Bosnia menjadi kekejaman manusia yang tak layak digelar
manusia ini. Angka ini mungkin tidak tepat kerana ramai yang terkorban
tidak dijumpai tempat pembunuhan mereka.
Karadzic
telah menyamar dan menjadi ahli perubatan alternatif menggunakan
identiti palsu selama 13 tahun. Dia menyimpan rambut panjang, berjanggut
dan bercermin mata untuk menyembunyikan identitinya selama ini.
Penduduk Bosnia yang selama ini menyimpan harapan melihat pembelaan
terhadap pembunuhan kejam itu menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Namun, masih adakah keprihatinan umat Islam khususnya di Malaysia
terhadap berita ini atau kita sekadar sibuk memikirkan bagaimana untuk
mengenyangkan perut kita sahaja? Sesungguhnya terlalu banyak tragedi
umat slam di seluruh dunia yang disembunyikan
Rodovan Karadzic menyamar sebagai ahli perubatan
PENEMUAN NGERI: Para sukarelawan menggali dasar Tasik Perucac untuk mencari rangka mangsa Perang Bosnia.
Setelah 15 tahun ibu menangis kembali bila mangsa2 perang bosnia paling tragis di abad ini dikebumikan semula
Solat jenazah
para
waris mengangkat rangka mayat ahli keluarga masing-masing untuk
dikebumikan selepas selesai upacara solat jenazah berjemaah di
Perkuburan Besar Potocari, Srebrenica, Bosnia.
DERITA MANGSA ROGOL ASKAR SERB
Fika,
15, dan kakaknya berumur 17 sewaktu ditangkap dan dirogol
bergilir-gilir oleh sepasukan askar Serb yang menawan wilayah timur
Bosnia di awal tahun 1990-an lalu.
"Selepas saya di rogol, mereka (askar Serb) merogol kakak. Mereka turut memaksa saya menonton perbuatan kejam terhadap kakak.
"Mereka juga memaksa kami mengaku sebagai pengintip, jadi kami dipukul dan dicabut gigi.
"Kakak meninggal dunia selepas beberapa hari diseksa," kata Fika yang kini berumur 34 tahun dan telah berumah tangga.
Walaupun
peristiwa hitam itu berlalu lebih 20 tahun, Fika dan ribuan wanita
Islam Bosnia yang pernah menjadi mangsa kerakusan rejim Serb, terus
menagih pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan yang sehingga ke
hari ini takut untuk menuntut pampasan berkenaan.
Keadaan
itu menyebabkan kumpulan hak asasi kemanusiaan mula kehilangan sabar,
sekali gus mengeluarkan amaran bahawa jumlah penghidap masalah psikologi
akibat kekejaman itu terus meningkat dan menjadi semakin buruk dari
sehari ke sehari.
"Sebenarnya
mangsa-mangsa rogol rejim Serb ini tertekan dalam diam dan mereka sudah
tidak boleh mengawal perasaan lagi," menurut laporan Majlis Pengampunan
Antarabangsa.
Setakat ini, kurang daripada 40 kes rogol mendapat pengadilan dalam 17 tahun lalu sejak perang Bosnia-Herzegovina ditamatkan.
Pihak
perundangan peringkat negeri pula bertindak melambatkan hak pampasan
dan pemulihan mangsa-mangsa rogol perang yang sehingga ke hari ini belum
terjawab sekali gus menjadi mainan politik.
Bosnia-Herzegovina
didiami tiga utama iaitu kaum Bosnia, kaum Serbia dan kaum Croatia.
Kira-kira 100,000 penduduknya terbunuh dan majoritinya adalah Islam.
'Hati saya hancur'
Sesudah
perang, Republik Persekutuan Yugoslavia juga sebuah negara yang
dibubarkan dan terbahagi kepada dua iaitu Republik Serb dan Persekutuan
Bosnia-Herzegovina didiami masyarakat Islam dan Croatia.
Sementara
itu, beberapa sumber melaporkan jumlah wanita dirogol rejim Serb
meningkat kepada 35,000 orang dan kebanyakannya adalah wanita Islam.
Fika
enggan mendedahkan nama sebenarnya kerana bimbang dengan stigma
masyarakat sekeliling yang masih memandang rendah kepada mangsa rogol
perang Bosnia.
Beliau dan kakaknya ditangkap askar Serb sewaktu operasi penghapusan etnik Islam di timur Bosnia.
"Kami
dibawa ke kem tahanan pelarian Serb dalam bandar Vlasenica," katanya
dengan menambah sudah tidak dapat mengira berapa kali dirogol oleh askar
rejim.
Beberapa
bulan kemudian, Fika dibebaskan dan beliau menuju ke utara bandar Tuzla
yang kini menjadi sebahagian daripada wilayah Persekutuan.
"Selepas itu, saya terpaksa berhenti sekolah dan membantu ibu dan adik selepas ayah terbunuh dalam peperangan," katanya.
Kini,
Fika yang juga seorang ibu belum berani untuk menceritakan kisah
silamnya kepada anak-anaknya dan masih percaya lelaki yang merogolnya
masih hidup.
"Mereka
telah menghancurkan diri dan hati saya. Sehingga ke hari ini peristiwa
itu tidak padam dan sentiasa ada dalam ingatan saya," katanya.
Lebih tragis lagi, perkahwinannya hancur sebaik sahaja menceritakan detik dirogol kepada suaminya.
Tiga
tahun lalu, Fika diberi kekuatan untuk membuat laporan mengenai kisah
silamnya kepada pihak berkuasa selepas mendapati dua daripada suspek
yang merogolnya masih menduduki bandar Vlasenica.
Namun sehingga ke hari ini, polis masih belum membuat sebarang tangkapan.
Fika
turut disahkan mengalami tekanan post-trauma dan diberikan 250 euro
(RM101) setiap bulan daripada Pertubuhan Islam-Croatia disebabkan
penyakitnya itu.
Menurut Fika, ramai lagi wanita senasibnya yang tinggal di Republik Serb tidak diberikan pengadilan.
"Mengikut
undang-undang, mangsa wajib membuktikan kerosakan sekurang-kurangnya 60
peratus pada badan mereka dan tidak membabitkan trauma psikologi," kata
Fika.
Sekurang-kurangnya
tiga tuntutan berasingan telah dibuat dalam tahun kebelakangan ini yang
menggesa memasukkan hak-hak mangsa rogol perang dalam akta negeri namun
tidak berhasil kerana ia masih disekat pihak Republik Serb.
Britain ambil langkah
Nasib
malang yang menimpa ribuan wanita Islam Bosnia memberi ilham kepada
Britain untuk mengetengahkan isu meningkatkan tahap kesedaran terhadap
keganasan seksual peperangan dalam perhimpunan G8 melibatkan
negara-negara perindustrian pada tahun depan.
Di
bawah Inisiatif Mengelak Keganasan Seksual, kerajaan Britain merancang
untuk menghantar pegawai-pegawai polis, peguam, ahli-ahli psikologi dan
pakar forensik ke Bosnia serta negara-negara konflik lain untuk
bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan mengenai isu terbabit.
"Setakat
ini, kita hanya akan mengutamakan Bosnia Herzegovina. Kami yakin akan
diberi peluang yang besar dalam menangani isu itu dan proses keamanan
tidak akan berjaya jika tiada resolusi," kata jurucakap program
berkenaan, Ann Hannah.
Wanita yang menjadi mangsa kerakusan askar Serb mengalami tekanan mental kerana turut diseksa dengan kejam.
Ribuan bayi hasil tindakan kejam askar Serb dilahirkan dalam tahun 1990-an.
PADA
6 April lalu (2012), genap 20 tahun tercetusnya perang Bosnia. Tanggal
itu mengingatkan penduduk dunia kepada kekejaman tentera Serbia terhadap
umat Islam Bosnia di bekas jajahan Yugoslavia sepanjang tiga tahun
perang itu tercetus bermula dari Mac 1992 hingga Disember 1995.
Bagi
mangsa perang yang terselamat, penderitaan yang dilalui sepanjang tiga
tahun perang itu tidak pernah luput daripada ingatan, terutamanya bagi
etnik Bosnia yang beragama Islam.
Ia
bermula dengan pembunuhan seorang gadis etnik Islam Bosnia oleh seorang
penembak curi askar Serbia ketika gadis itu menyertai sekumpulan
100,000 penduduk Bosnia daripada pelbagai agama dan etnik berarak secara
aman meraikan kemerdekaan Bosnia-Herzegovina daripada Yugoslavia dan
menyatakan protes mereka terhadap tindakan Tentera Rakyat Yugoslav (JNA)
pimpinan Serb Bosnia yang mengepung Sarajevo bagi memulakan perang
terhadap etnik Bosnia dan Croat.
Beberapa
pertubuhan dunia melaporkan, hampir 200,000 orang terbunuh dalam perang
itu dan kebanyakan mangsa merupakan 65 peratus golongan etnik Islam
Bosnia, termasuk lebih 1,000 kanak-kanak.
Pelbagai
kisah penderitaan diceritakan sendiri oleh mangsa perang, saudara-mara,
ahli keluarga yang terbunuh dalam perang itu termasuk kekejaman askar
Serb, lebih-lebih lagi tentera Serbia di bawah komander Bosnia Serb,
Jeneral Ratko Mladic yang diarah oleh pemimpin Yugoslovia ketika itu,
Radovan Karadzic untuk melancarkan kempen penghapusan etnik bagi
membunuh penduduk Islam Bosnia.
Mladic yang dikenali dengan gelaran 'Penyembelih Bosnia' kerana
peranan dan bertanggungjawab melakukan 'Penyembelihan Srebrenica',
iaitu tragedi pembunuhan beramai-ramai terbesar di Eropah selepas Perang
Dunia Kedua, ketika menceroboh Srebrenica, 120 kilometer dari Sarajevo,
dengan membunuh lebih 8,000 penduduk Islam tempatan serta memusnahkan
hampir 80 peratus rumah di Srebrenica.
Ketika
serangan dilancarkan, hampir 15,000 orang bertarung nyawa dengan
mendaki gunung dekat bandar Tuzla dan terpaksa berjalan sejauh 100
kilometer bagi mengelakkan dibunuh jika ditemui oleh tentera Serbia.
Keganasan tentera Serb tidak terhenti setakat itu, penghapusan etnik
turut dilakukan terhadap wanita Islam Bosnia dan melakukan keganasan
termasuk merogol mereka yang ditempatkan di seluruh kem tahanan di
Bosnia. Sesetengah wanita dirogol berulang kali oleh tentera Serb pada
setiap malam.
Dilaporkan
kira-kira 50,000 wanita Islam Bosnia menjadi mangsa rogol dan 2.2 juta
lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing demi menyelamatkan
diri daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Serb. Malah, wanita Islam
yang sedang mengandung juga tidak terlepas daripada kekejaman Serbia
apabila janin atau bayi mereka yang di dalam kandungan dikorek keluar
dengan tujuan tiada lagi bayi etnik Islam Bosnia yang lahir ke muka bumi
ini.
Dalam
kes yang dilaporkan berlaku di dalam sebuah kem pelarian mangsa perang
yang ditawan oleh tentera Serb, menyaksikan ribuan penduduk Islam
diasingkan antara lelaki dan wanita.
Sementara
itu, sebahagian wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke kem lain dan
selebihnya terutama lelaki dibunuh dengan kejam sama ada disembelih atau
ditembak. Ada juga saksi menceritakan jiran-jiran yang bukan
berketurunan Bosnia Islam turut mengambil kesempatan membunuh lelaki dan
merogol wanita etnik Bosnia.
Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula 'gagal' menyalurkan bantuan kerana
askar Serb sering menghalang bantuan kepada penduduk Bosnia yang
terjejas akibat bekalan elektrik dan gas terputus dan makanan yang tidak
mencukupi terutamanya pada musim sejuk.
Penduduk
Bosnia terkepung selama 1,426 hari di Sarajevo, ibu negara
Bosnia-Herzegovina. Kepungan pengganas Serb ke atas Sarajevo berlarutan
selama 44 bulan, lebih lama daripada kepungan tentera Nazi Jerman ke
atas bandar raya Leningrad (kini St. Petersburg) semasa Perang Dunia
Kedua. Seramai 380,000 penduduk Sarajevo pada waktu itu tidak mempunyai
bekalan elektrik, air atau alat pemanas, dan terpaksa bersembunyi
daripada terkena tembakan meriam yang dilepaskan oleh pengganas Serb
setiap hari.
Selepas
perang tamat, banyak kubur besar mangsa askar Serb ditemui satu
persatu, mengandungi tulang dan mayat manusia yang ditanam beramai-ramai
dipercayai mayat penduduk Bosnia.
Selepas
20 tahun perang itu berlalu, kesengsaraan penduduk Islam Bosnia terus
dikenang dengan mengadakan pelbagai acara dan tragedi itu pasti tidak
akan hilang daripada ingatan sampai bila-bila.
Ahli keluarga dan saudara-mara mangsa kekejaman askar Serb menziarahi satu daripada kubur besar di Bosnia.
Cuba kita selami sebentar situasi di bawah yg berlaku pada waktu pembersihan etnik tersebut:
“..berdasarkan
kepada keterangan Sulejman Besic yang berusia 46 tahun, seorang Chetnik
(askar serb) yang dipanggil Dusan Tadic telah pergi menemui seorang
wanita Islam dan menjerit kepadanya untuk memberitahu di mana suaminya
berada. Dia kemudian mengarahkan wanita tersebut supaya menanggalkan
pakaiannya, dan mengancam akan membunuhnya jika dia enggan berbuat
demikian. Dalam menangis, dia mula membuka pakaiannya di hadapan mata
pistol. Namun demikian tidak kurang seminit selepas iu, Tadic
menembaknya di kepala. Kemudian dia membawa anak lelaki wanita tersebut
yang mana selama adegan ngeri ini berlaku, dia terbaring tidak berapa
jauh dalam keadaan tangannya diikat. Anak lelaki itu kemudian disuruh
merogol ibunya yang sudah mati. Di kemudian menangis dengan
sekuat-kuatnya, dan akhirnya dengan segera ditembak mati oleh Dusan
Tadic.” –dipetik daripada Harun Yahya.
Al-Fatihah kepada saudara islam yang terkorban di Bosnia
.
August
30, 1995: NATO planes, supported by UN ground troops, launched massive
airstrikes on Serb strongholds around Sarajevo, causing the Serbs to
shell Sarajevo in response.
No comments:
Post a Comment