Sesungguhnya
segala pujian untuk Allah. Kami memuji-Nya, meminta pertolongan
daripada-Nya, meminta keampunan-Nya, meminta petunjuk-Nya dan kami
meminta perlindungan dengan Allah daripada kejahatan diri kami dan
amalan-amalan kami yang buruk. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah
maka dia terpimpin dan sesiapa yang disesatkan Allah maka tiada yang
dapat memimpinnya. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, tiada
sekutu bagi-Nya dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan
pesuruh Allah. Semoga Allah menselawati Baginda, kaum keluarga dan para
sahabat Baginda.
Sesungguhnya
sejarah mana-mana umat merupakan gambaran yang jelas bagi kehidupan,
tradisi, kepercayaan, ilmu dan kebudayaan mereka. Lembaran-lembaran
sejarah mereka itulah yang mengungkapkan cita-cita dan matlamat mereka.
Sesungguhnya sejarah Islam adalah manifestasi yang paling jelas tentang
apa yang kita nyatakan tadi. Sejarah Islam tidak dapat
ditandingi oleh mana-mana bangsa sama ada dari sudut kuantiti ataupun
kualiti. Dari sudut kuantiti, sejarah Islam lebih luas setakat yang
diketahui oleh umat manusia sehingga ke hari ini. Ini kerana ia memiliki
sejarah khalifah-khalifah, gabenor-gabenor, para ilmuwan, kadi-kadi dan
panglima-panglima. Semua itu dicatit dengan jelas dan amat teliti di
samping merakamkan penaklukan-penaklukan yang besar yang telah dilakukan
oleh orang-orang Islam di timur dan barat yang sentiasa maju dan
terkehadapan dari semasa ke semasa. Selain itu, sejarah Islam meliputi
ilmu-ilmu, sirah kehidupan yang terpuji, sumbangan-sumbangan mereka yang
berjasa dari kalangan umat ini.
Dari
sudut kualiti, sejarah Islam berasaskan kepada periwayatan dan nukilan
orang-orang yang adil, thiqah lagi dipercayai cerita-cerita mereka
sehingga tidak ada ruang untuk rekaan dan pendustaan dan faktor ini
tidak ada dalam sejarah mana-mana umat lain. Sejarah Islam telah
memberikan perhatian yang khusus terhadap periwayatan, dokumentasi dan
hafalan. Para ulama telah menekuni riwayat sejarah dan
menganalisa dan mengkritiknya. Mereka saling berlumba-lumba dalam hal
ini dan menjadikan perpustakaan Islam sarat dengan kitab-kitab sejarah
bagi setiap zaman dan generasi umat ini.
Dalam
pada itu, musuh-musuh Islam melupakan kekuatan dan kekuasaan Islam
serta tersebarnya Islam dengan pantas menyebabkan mereka terkejut dan
hairan.
Oleh
kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melawan Islam dengan
pedang secara terbuka, mereka memeilih beberapa cara dan kaedah untuk
menghapuskan dan menghancurkan Islam. Bid`ah Syi`ah adalah merupakan
bid`ah pertama yang dibangunkan untuk matlamat ini dan tipu daya pertama
yang diaturkan di sebalik tabir ini. Inilah fitnah terbesar yang
dirancang untuk menentang Uthman bin `Affan iaitu khalifah ketiga dan
salah seorang sepuluh sahabat yang dijamin syurga.
Fitnah
ini bermula dengan rekaan dan penyebaran berita-berita palsu atau
diriwayatkan bukan dengan caranya yang sahih supaya dapat menarik dan
mengumpulkan orang-orang yang jahil dan bodoh. Akibatnya berkesudahan
dengan kesyahidan Uthman sebagaimana yang disebutkan dengan terperinci
di dalam kitab-kitab hadis dan sejarah.
Penjahat
yang merancang dan melaksanakan fitnah ini ialah Abdullah bin Saba’,
seorang Yahudi. Kemudian setelah Uthman syahid, golongan Rafidhah
mendapat peluang yang sesuai untuk menimbulkan kekacauan yang berlaku
kemudiannya. Perkara ini dibuat untuk mencipta dan menyebarkan
riwayat-riwayat palsu tentang keburukan sahabat dan perselisihan yang
berlaku di kalangan mereka lalu menggambarkan mereka dengan cara yang
tidak benar.
Penulis
di sini tidak bertujuan untuk mengkritik kekarutan dan kepalsuan yang
ditaburkan oleh Syi`ah di dalam kitab-kitab sejarah Islam kerana itu
adalah natijah kebencian dan kejahatan terhadap sahabat yang tersembunyi
di dalam hati mereka. Begitu juga serangan terhadap pemimpin-pemimpin
Islam. Apatah lagi kitab-kitab Syi`ah bersepah dengan makian dan celaan
terhadap sahabat. Hakikat ini sememang terang-terang batil. Tidak halal
kepada sesiapapun untuk membaca kitab-kitab ini kecuali dengan maksud
untuk melihat kebatilan itu dan menyanggahnya seterusnya memberi
peringatan kepada orang lain.
Penulis
di sini bertujuan untuk mengkaji penularan kejahatan Syi`ah ke dalam
kitab-kitab sejarah Islam sama melalui perawi yang bermuka-muka dengan
menzahirkan ketakwaan dan keadilan tetapi menyembunyikan fahaman
Rafidhah atau dengan cara berfahaman Syi`ah yang sederhana yang
periwayatannya itu diterima oleh kebanyakan ahli ilmu jika dia tidak
taksub dan menyeru kepada bid`ahnya.
Kadang-kadang
ahli sejarah seperti Ibn Jarir meriwayatkan daripada perawi-perawi yang
terkenal dengan tasyayyu` tetapi beliau menyebutkan sanadnya supaya
kedudukan perawi-perawi itu diberi perhatian.
Ini
tidaklah menyebabkan Ibn Jarir tercela selagi beliau tetap menukilkan
berita-berita tersebut dengan sanad-sanadnya dan menyerahkan kepada para
pembaca yang tajam pemikiran menilai dan menyaringnya. Di muqaddimah
tarikhnya itu,[1] Ibn Jarir menulis:
“Hendaklah
pembaca kitab kami ini mengetahui sesungguhnya pegangan saya bahawa
setiap perkara yang saya sebutkan dalam kitab ini adalah mengikut syarat
yang saya beriltizam dengannya iaitu meriwayatkan berita-berita
sebagaimana ia telah diriwayatkan dan saya hanya menyebutkannya sahaja.
Apa
yang terkandung dalam kitab ini tentang sebahagian kisah orang yang
terdahulu. Antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa
benci atau pendengar merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat
menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu hakikat. Oleh itu,
hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang
daripada kami, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya
kepada kami. Dan kami hanya menyampaikan seperti yang dibawakan kepada
kami.”
Malangnya
penulis yang datang selepas Ibn Jarir al-Tabari membuang sanad-sanad
ini lalu menghimpunkan kesemua riwayat demi untuk meringkaskan. Kemudian
orang-orang kemudian terutamanya penulis zaman ini menukilkan
riwayat-riwayat ini dan menyandarkan kepada kitab-kitab sejarah tanpa
membezakan anatara yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah dan
perawi-perawi yang berfahaman Syi`ah, antara berita-berita yang jelas
sahih kerana nukilan perawi-perawi thiqah yang saling menyokong dan
menguatkan dan berita-berita yang jelas kebatilannya seperti keburukan
sahabat dan fitnah yang berlaku di kalangan mereka yang disepakati oleh
ulama hadis tentang kebatilannya.
Keadaan
semakin parah sejak akhir-akhir ini kerana kemunculan Saba’iyyah baru
dengan rupa lain dan golongan orientalis Yahudi dan Kristian. Mereka ini
menemui riwayat-riwayat Syi`ah yang bertaburan di dalam sejarah sebagai
bahan-bahan yang segar untuk memburukkan sejarah Islam yang gemilang.
Mereka
mengabui mata orang ramai dengan mendakwa sebagai pengkaji yang teliti
berasaskan metode ilmiah. Sedangkan sebenarnya mereka adalah pembohong.
Penyelidikan mereka tidak lebih daripada mengambil beberapa riwayat
Syi`ah lalu diolah dalam bentuk yang buruk dengan melakukan tambahan dan
pengurangan di sana sini mengikut matlamat mereka yang keji. Akhirnya
mereka akan berkata: “Sila rujuk Tarikh al-Tabari atau Tarikh Ibn
al-Athir.”
Dalam
pada itu ramai dari kalangan sejarawan dan professor sejarah hari ini
yang terpedaya dengan pembohongan dan pendustaan mereka. Sebenarnya
adalah satu pengkhianatan terhadap agama ini jika sejarah sendiri
diambil daripada musuh-musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani yang lebih dikenali sebagai orientalis.
Dalam
hal ini, penulis tidak lupa untuk menyebutkan usaha gigih yang
dicurahkan oleh ulama bagi membendung riwayat-riwayat batil itu sama ada
dengan penulisan sejarah yang berasaskan kepada riwayat yang diakui
thiqah di samping mengakui dan menginsafi kemuliaan dan ketinggian
kedudukan para sahabat, atau juga penulisan yang khusus dengan
riwayat-riwayat tersebut atau kajian yang terselit dalam penulisan yang
membincangkan topik tertentu.
Ini boleh didapati dengan banyak, sama ada sudah diterbitkan atau masih lagi dalam bentuk manuskrip, dan, inilah
yang paling banyak. Antara kitab yang ditulis dengan cara pertama dan
telah diterbitkan ialah al-Bidayah wa al-Nihayah tulisan Ibn Kathir,
seorang tokoh yang tampil menentang Syi`ah dengan kajian-kajian beliau
yang ilmiah dan terperinci . Beliau amat kritis dalam
kritikannya. Di samping itu, beliau menonjolkan keutamaan dan kelebihan
para sahabat walaupun tidak disetujui oleh Syi`ah.
Contoh
penulisan dalam bentuk kedua ialah kitab al-`Awasim min al-Qawasim
karangan Abu Bakar Ibn al-`Arabi dan contoh bagi bentuk ketiga seperti
perbahasan-perbahasan yang berselerakan di dalam kitab-kitab karangan
Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Zahabi, Ibn Hajar dan lain-lain.
Usaha-usaha tersebut walaupun mempunyai beberapa pendekatan namun tetap
penting dan saling melengkapi. Itulah yang telah dilaksanakan oleh ulama
salaf dan khalaf dengan baiknya.
Apa
yang tinggal sekarang ialah tugas para ilmuwan dan mereka yang peka
kepada Islam di zaman ini. Tanggungjawab mereka ialah meneruskan usaha
ke arah perbersihan dan pemurnian timbunan-timbunan riwayat tersebut.
Alim ulama kita telah menjelaskan tentang pembohongan dan pendustaan
riwayat-riwayat Syi`ah dan tidak ada cara lain selain dari menghapuskan
kesemuanya itu dari lembaran sejarah.
Sesungguhnya
jika orientalis, Yahudi atau Kristian atau anak didik mereka merasa
senang dan selesa untuk terus menggunakan riwayat-riwayat batil yang
menggelapkan lembaran sejarah Islam maka tidak harus sama sekali bagi
orang Islam merestui kotoran yang terpalit pada sejarah umat dan
agamanya.
Adalah menjadi kewajipan institusi yang tertentu di dalam dunia Islam untuk mewujudkan kuarantin-kuarantin ilmiah yang
halus untuk menyingkirkan riwayat-riwayat yang ditimpa wabak Syi`ah itu
dan mengemukakan kepada sejarah Islam kita dengan rupa yang bercahaya
dan bersinar setelah membersihkan dan menghapuskannya dari virus-virus
Syi`ah yang kotor.
Begitu
juga wajib kepada institusi tersebut untuk mengadakan sekatan syara`
terhadap setiap orang yang bodoh yang lantang bersuara terhadap para
sahabat. Ini juga merupakan usaha membantu agama Allah dan rasul-Nya dan
melaksanakan kewajipan terhadap para sahabat sebagai generasi Islam
yang terbaik, di dunia dan akhirat.
Serangan Ganas Yang Dilancarkan Syi`Ah Ke Atas Sejarah Islam Berkisar Dua Perkara:
Perkara Pertama:
Mencaci,
memalsukan dan mereka-reka cerita yang memburukkan sahabat Rasululullah
s.a.w. Tujuan mereka ialah menyerang Islam sendiri kerana sahabat
itulah yang meriwayatkan Islam dan merekalah umat yang terbaik selepas
Rasulullah s.a.w. bahkan merekalah anak Adam yang paling utama selepas
para nabi.
Setelah mencacatkan kelebihan
dan keutamaan para sahabat serta menjatuhkan para sahabat bererti
menjatuhkan Islam sendiri, Ibn Taymiyyah menulis: “Inilah prinsip asas
Syi`ah Rafidhah kerana orang yang mencipta fahaman Rafidhah itu seorang
Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam tetapi sebenarnya seorang
munafik. Dia telah menaburkan kepada orang-orang jahil racun-racun yang
mengancam asas Islam. Oleh kerana itu, Rafidhah merupakan pintu
kemunafikan dan zindik yang paling besar.”
Beliau
menulis lagi: “Serangan terhadap kurun yang terbaik yang mendampingi
Rasulullah s.a.w. bererti serangan terhadap Baginda sendiri sebagaimana
yang ditegaskan oleh Imam Malik dan para ulama yang lain.”
Kekarutan
Syi`ah Rafidhah lebih tertumpu kepada sahabat yang paling utama iaitu
Abu Bakar, Umar dan Uthman , dan kemudiannya dengan berani mereka
menyerang sahabat lain yang terdiri dari kalangan mereka yang awal
memeluk Islam dan sahabat-sahabat yang menyertai peperangan Badar, Uhud,
Bai`ah Ridwan malah mereka yang membela Rasulullah s.a.w. semasa senang
dan susah. Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan baginda reda terhadap
sahabatnya seperti Talhah, al-Zubair dan sahabat-sahabat yang dijamin
syurga. Bukan setakat itu sahaja, mereka berani mencerca isteri-isteri
Rasulullah s.a.w. terutama `Aishah dan Hafshah dan akhirnya mereka
mengecam keseluruhan Bani Umayyah dengan kutukan dan makian.
Perkara Kedua
Melampau
dalam menyanjung Ahli Bait dan mereka mengkhususkan Ali, Fatimah dan
keturunan mereka berdua. Lalu mereka mencipta dan meletakkan riwayat
batil yang memuji Ahli Bait dan mendewa-dewa mereka sehingga ke tahap
menyifatkan mereka dengan perkara yang tidak layak dengan mereka serta
mengaitkan beberapa pendirian dan amalan yang tidak sesuai dengan
keutamaan dan ketinggian kedudukan mereka.
Beberapa Contoh Pendustaan Yang Dibawa Masuk Oleh Syi`Ah
Di sini, penulis akan menyebutkan beberapa riwayat yang disebarkan Syi`ah dalam sejarah dan penulis akan menyebutkan kebatilannya serta mengemukakan riwayat yang sahih yang menyanggahinya.
Syi`ah
mendakwa Ali tidak membai`ah Uthman dan sebahagian mereka pula mendakwa
Ali membai`ah tetapi secara terpaksa. Bagi menyokong dakwaan itu,
mereka mencipta sebilangan berita yang palsu dan dusta. Sebelum pergi
kepada riwayat palsu mereka itu dan sebelum menyebut kesimpulan
peristiwa bai`ah serta syura dengan sanad yang diriwayatkan oleh
perawi-perawi yang adil dan thiqah, penulis ingin mengemukakan beberapa
perkara:
Tatkala
Umar ditikam, beliau telah menjadikan khilafah selepas beliau sebagai
syura yang terdiri daripada sahabat-sahabat yang diredai oleh Rasulullah
s.a.w iaitu Ali bin Abu Talib, Uthman bin Affan, al-Zubair bin
al-`Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Sa`ad bin Abi Waqqas dan Abdul Rahman
bin `Auf. Beliau menyerahkan urusan khilafah kepada enam sahabat ini
untuk melantik salah seorang mereka sebagai khalifah. Urusan tersebut
dapat disempurnakan dengan pemilihan Uthman lalu beliau dibai`ah oleh
ahli Syura yang lain termasuklah Ali serta kesemua Muhajirin dan Ansar
tanpa bantahan dan teragak-agak. Peristiwa ini adalah sahih melalui
beberapa sanad yang masyhur di dalam kitab-kitab sejarah yang muktabar
dan diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim dan lain-lain.
Seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, di dalam sahihnya[2]
daripada Amar bin Maimun dan menyebutkan cerita tersebut dengan panjang
lebarnya antaranya ialah: Para sahabat berkata: Wahai Amirul mukminin,
wasiatkanlah siapakah yang akan menggantikan. Umar menjawab: Saya tidak
dapati orang yang lebih layak dengan urusan ini selain daripada mereka
yang Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan baginda reda terhadap
mereka.” Lalu Umar menamakan Ali, Uthman, al-Zubair, Talhah, Sa`ad dan
Abdul Rahman. Umar berkata: Biarlah Abdullah bin Umar menjadi saksi,
tetapi dia tidak mempunyai apa-apa hak dalam jawatan ini (seolah-olah
ucapan takziah kepada anaknya). Kemudian Imam al-Bukhari mengemukakan
wasiat Umar kepada rakyatnya dan kisah pengkebumiannya. Al-Bukhari
menyebutkan lagi: Apabila selesai pengkebumian, enam orang sahabat
tersebut berkumpul. Abdul Rahman berkata: “Serahkan urusan kamu ini
kepada tiga orang sahaja.” Al-Zubair berkata: “Saya telah menyerahkan
hak saya kepada Ali.” Talhah berkata: “Saya telah menyerahkan hak saya
kepada Uthman.” Sa`ad berkata: “Saya telah menyerahkan hak saya kepada
Abdul Rahman bin Auf.” Abdul Rahman berkata: “Siapa antara kamu berdua
yang menarik diri, saya akan menyerahkan jawatan ini kepadanya. Allah
dan umat Islam menyaksikan kita. Demi Allah, Dia akan memerhatikan yang
terbaik di antara mereka.” Kata-katanya itu menyebabkan Ali dan Uthman
terdiam. Abdul Rahman berkata: “Apakah kamu mahu menyerahkan urusan ini
kepadaku? Allah menjadi saksi ke atasku bahawa aku tidak akan cuai dalam
memilih yang terbaik di antara kamu.” Ali dan Uthman berkata: “Baiklah
kalau begitu.” Abdul Rahman memegang tangan Ali sambil berkata: “Engkau
mempunyai hubungan kerabat dengan Rasulullah s.a.w. dan telah lama
memeluk Islam sebagimana kamu maklum. Allah menjadi saksi kepadamu,
sekiranya aku melantikmu, engkau pasti akan berlaku adil. Kalau aku
lantik Uthman, pasti engkau mendengar dan mematuhinya.” Kemudian Abdul
Rahman membawa yang seorang lagi (Uthman) ke tempat sunyi lalu berkata
seperti yang dikatakan kepada yang tadi (Ali). Apabila dia telah
berjanji begitu, diapun berkata: “Angkat tanganmu wahai Uthman.” Lalu
Abdul Rahman membai`ahkan Uthman dan Ali turut juga membai`ahkannya.
Setelah itu, orang-orang yang berada di kawasan itu masuk dan memberikan
bai`ah kepada Uthman.
Inilah
yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari tentang bai`ah Uthman yang
dilakukan oleh Ali bersama-sama orang-orang Islam yang lain. Inilah
berita yang sahih dalam kitab-kitab hadis yang muktabar dan disebutkan
juga oleh kebanyakan ahli sejarah yang dipercayai. Namun begitu,
Rafidhah menyebarkan beberapa kepalsuan bahawa Ali menangguh-nangguhkan
atau dia telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Abdul Rahman bin
`Auf. Riwayat ini telah disebutkan di dalam kitab-kitab sejarah
antaranya ialah riwayat al-Tabari[3] dengan sanadnya daripada Umar bin
Maimun al-Audi dan beliau menyebutkan apa yang berlaku tentang syura dan
bai`ah. Antara yang disebutkan dalam riwayat itu ialah: “Ali berkata
kepada Abdul Rahman: Kamu akan merangkak buat selama-lamanya. Ini
bukanlah kali pertama kamu semua berpakat untuk menentangku…”
Sanad
yang disebutkan oleh al-Tabari terdapat beberapa `illah (penyakit) dan
tidak boleh dijadikan hujah di sisi ulama hadis. Antara perawi sanad ini
ialah Abu Mihknaf. Namanya ialah Lut bin Yahya, seorang Syi`ah. Di
dalam Mizan al-I`tidal, al-Zahabi menulis[4]:
“Dia seorang tukang cerita yang lemah dan tidak boleh dipercayai.”
Ibn `Adi mengatakan: “Dia merupakan Syi`ah yang hangus (tulen atau pekat), pembawa cerita-cerita mereka (golongan Syi`ah).”
Kemudian
al-Tabari meriwayatkan dengan sanadnya sampai kepada al-Miswar bin
Makhramah dan menyebutkan tentang syura dan bai`ah Uthman, katanya:
Orang ramai mula membai`ah Uthman dan Ali bertangguh. Lalu Abdul Rahman
membacakan ayat: “Sesiapa yang melanggar janjinya pasti akibat melanggar
janji itu menimpa dirinya.” (al-Fath: 10). Ini membuatkan Ali mula
membelah barisan orang ramai sehingga beliau dapat memberi bai`ah seraya
berkata: “Tipu daya, memang tipu daya.”
Dalam
sanad riwayat al-Tabari ini terdapat Abdul Aziz bin Abi Thabit.
al-Zahabi menulis berhubung dengannya, al-Bukhari berkata: “Hadisnya
tidak boleh ditulis.” Al-Nasa’i dan lain-lain berkata: “Dia adalah
matruk (ditinggalkan). Uthman bin Sa`id berkata: Saya bertanya kepada
Yahya: “Bagaimana dengan keadaan Abi Thabit Abdul Aziz bin `Imran? Jawab
Yahya: “Dia tidak thiqah. Dia hanya memiliki syair walaupun
berketurunan Abdul Rahman bin Auf.”
Hafiz
Ibn Hajar menyebutkan di dalam Tahzib al-Tahzib[5]: “al-Husani bin
Hibban menukilkan daripada Yahya: “Saya melihatnya (Abdul Aziz) di
Baghdad. Dia sering memaki orang ramai dan menuduh-nuduh keturunan
mereka. Hadisnya tidak mempunyai apa-apa nilai.”
Pada
pendapat penulis, Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat daripada Abdul
Aziz setelah menyebutkan riwayat yang lalu. Mala petaka yang lain ialah
beliau menafsirkan kata-kata Ali dalam riwayat yang lalu yang
menyebutkan: “tipu daya, tipu daya” sebagai penipuan dari pihak Amar bin
al-Ash dan menyebutkan bentuk penipuan yang kita tidak sanggup untuk
menyebutkannya kerana kejelikannya.
Riwayat-riwayat
ini dan yang seumpamanya kebanyakannya ialah penyebaran jahat Syi`ah
Rafidhah terhadap sejarah. Penulis ingin mengingatkan bahawa kebanyakan
penulis sejarah pada zaman ini terpedaya lalu menyebutkannya tanpa
sebarang kajian dan kepastian. Semoga Allah membalas usaha baik Ibn
Kathir. Beliau telah menyebutkan peristiwa Syura dan bai`ah Uthman di
dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah dengan panjang lebar dan beliau
tidak mempedulikan riwayat-riwayat yang karut itu. Bahkan setelah
mengemukakan riwayat-riwayat yang sahih beliau mengulas: “Berita yang
dinukilkan oleh kebanyakan ahli sejarah seperti Ibn Jarir al-Tabari dan
penulis lain daripada perawi-perawi yang tidak dikenali bahawa Ali
berkata kepada Abdul Rahman: “Kamu telah memperdayakanku. Sesungguhnya
kamu melantiknya kerana dia adalah mertua kamu dan dia bermesyuarat
dengan kamu setiap hari tentang urusannya. Dan Ali terlewat memberi
bai`ah sehingga Abdul Rahman membacakan sepotong ayat al-Qur’an
kepadanya: “Sesiapa yang melanggar janjinya pasti akibat melanggar janji
itu menimpa dirinya.” (al-Fath: 10). Dan riwayat-riwayat lain yang
menyanggahi riwayat-riwayat yang sabit di dalam kitab-kitab sahih.
Kesemuanya itu adalah tertolak. Wa Allah A`lam.
Malangnya
ramai di kalangan ahli-ahli sejarah yang menukilkan riwayat-riwayat
palsu itu tanpa sebarang saringan dan tapisan seperti Ibn Kathir.
Riwayat-Riwayat Syi`Ah Rafidhah Tentang Peperangan Jamal.
Apabila
kita cuba melihat peperangan Jamal, kita dapati Syi`ah Rafidhah telah
menutup sepenuhnya hakikat suasana peperangan tersebut kerana dilindungi
oleh tutupan yang dibuat oleh mereka. Oleh itu apabila anda memeriksa
halaman kitab-kitab sejarah anda hanya mendapati makian, cemuhan, celaan
dan fitrah yang suci akan merasa kesal untuk mendengarnya. Namun di
sini, penulis akan menyebutkan fakta-fakta yang disebutkan oleh sejarah
melalui riwayat-riwayat yang sahih walaupun tidak disukai oleh Syi`ah
dan penulis-penulis sejarah yang terpengaruh dengan barat.
Hakikat Pertama
Riwayat-riwayat
yang sahih menyebutkan bahawa tujuan sebenar Talhah, al-Zubair dan
orang-orang yang bersama mereka keluar ialah untuk membaiki keadaan dan
menghapuskan orang-orang yang melakukan kerosakan dengan membunuh
Uthman. Mereka tidak keluar untuk kepentingan kuasa atau mana-mana
tujuan duniawi bahkan mereka sekali-kali tidak bermaksud untuk memerangi
Ali dan orang-orang Islam bersamanya. Hakikat ini telah dikemukakan
oleh Ibn Kathir. Beliau menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan
al-Qa`qa` sebagi utusan untuk menemui Talhah dan al-Zubair mengajak
mereka kepada kesatuan dan jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua
betapa besarnya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke
Basrah dan orang yang pertama ditemuinya ialah `Aishah. Beliau berkata:
“Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi
ini?”. `Aishah menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara
manusia.” Kemudian al-Qa`qa` meminta supaya `Aishah menjemput Talhah dan
al-Zubair datang menemui `Aishah lalu mereka berdua tiba. Al-Qa`qa`
berkata: “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab mengapa beliau
menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara
manusia.” Lalu mereka berdua menyatakan: “Kamipun dengan tujuan yang
sama.”
Jelas
dari riwayat di atas Aishah, Talhah dan al-Zubair mengatakan bahawa
mereka datang hanya untuk mendamaikan antara manusia. Sesungguhnya
mereka telah bercakap benar dan Syi`ah telah berdusta. Ini dibuktikan
dengan mereka telah berdamai dan Ibn Kathir telah menyebutkan daripada
Ali ketika beliau ditanya oleh Abu Salam al-Dala’i: “Adakah mereka itu
(Mu`awiyah dan orang-orang bersamanya) mempunyai hujah berkenaan
tuntutan mereka terhadap darah ini (darah Uthman) jika mereka
benar-benar ikhlas kerana Allah dalam perkara ini? Ali menjawab: “Ya.”
Abu Salam bertanya lagi: “Adakah tuan mempunyai hujah mengapa tuan
menangguhkannya?” Ali menjawab: “Ya.” Apa yang dikatakan oleh Ali ini
merupakan pegangan Ahli Sunnah berkenaan peristiwa yang berlaku sesama
sahabat. Ahli sunnah beriktiqad bahawa masing-masing mereka itu
mujtahid, jika benar mereka mendapat dua pahala tetapi jika tersilap
mereka mendapat satu sahaja.
Hakikat Kedua
Para
sahabat telah bersetuju untuk tidak meneruskan perselisihan tersebut
dan tidak terlintas kepada mereka kecuali segala-galanya telah berakhir
dan tidak ada sebarang peperangan. Namun golongan Saba’iyyah yang
melakukan pembunuhan khalifah Uthman tidak berpuas hati lalu mereka
mengatur satu pakatan untuk mencetuskan peperangan maka berlakulah peperangan Jamal.
Ini
telah dinyatakan oleh Ibn Kathir dan lain-lain bahawa al-Qa`qa` tatkala
dihantar oleh Ali untuk menemui Talhah, al-Zubair dan `Aishah dan
menawarkan kepada mereka perdamaian. Mereka menjawab: “Anda memang benar
dan melakukan yang terbaik. Oleh itu, pulanglah, jika Ali datang dan
dia berpandangan seperti anda, keadaan akan menjadi baik.” Lalu
al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan itu
benar-benar mengkagumkan Ali. Kemudian Ali menemui orang-orangnya supaya
mereka sama-sama berdamai. Lalu mereka yang benci, tetap membenci dan
orang yang reda, tetap reda. `Aishah kemudiannya menulis surat kepada
kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan perdamaian, lalu pihak
masing-masing gembira. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair:
“Jika pendirian kamu berdua masih seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan
kamu berdua, maka tunggulah sehingga kami datang dan membincangkan
perkara ini. Lalu mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi
berpendirian seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk
berdamai.” Hati dan jiwa kedua-dua belah pihak menjadi tenang dan reda
lalu mereka berkumpul. Pada waktu petang Ali menghantar Abdullah bin
Abbas sebagai wakil dan pihak Talhah menghantar Tulaihah al-Sajjad. Pada
malam itu, mereka melalui malam yang paling baik dan indah tetapi
pembunuh-pembunuh Uthman melalui malam yang paling buruk bagi mereka dan
mereka merancang dan berpakat untuk mencetuskan peperangan pada waktu
malam yang akhir. Lalu mereka keluar sebelum fajar menyinsing. Bilangan
mereka itu hampir 2,000 orang. Masing-masing menuju kepada yang
berdekatan mereka dan melancarkan serangan dengan pedang-pedang. Maka
setiap kumpulan bangkit menuju ke pasukan masing-masing untuk menghalang
mereka. Orang ramai terjaga dari tidur dan mendapatkan senjata. Mereka
berteriak: Ahli Kufah telah mendatangi dan menyerang kami pada waktu
malam. Mereka telah menipu kita. Mereka menyangka ini adalah perbuatan
orang-orang Ali. Lalu hal ini sampai kepengetahuan Ali dan beliau
bertanya: Apa yang telah terjadi kepada orang ramai? Mereka menjawab:
Ahli Basrah telah menyerang kami pada waktu malam. Lalu semua kumpulan
mendapatkan senjata, memakai baju besi dan menaiki kuda. Tidak siapapun
di kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Dan
ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku.
________________________________________
[1] Tarikh al-Tabari, jil. 1, hal. 8
[2] Sahih al-Bukhari, hal. 707 no: 3700
[3] Tarikh al-Tabari, jil 2 hal. 632
[4] Mizan al-I`tidal, jil. 6, hal. 632
[5] Taqrib al-Tahzib, jil. 6 hal. 150
No comments:
Post a Comment