Friday, July 26, 2013

Benarkah Perang Sunni-Syiah di Syria?

 

Masyarakat luar Syria berjaya dimanipulasi oleh media hinggakan mudah melabel peperangan saudara yang berlaku di Syria disebabkan pertentangan di antara Sunni dan Syiah (Alawi Nusairiyah). Mereka sekadar berhujah semata-semata kerana Presiden Bashar adalah dari kelompok Syiah dan rakyat yang memberontak adalah dari kalangan Sunni. Logiknya, masyarakat Alawi hanya sekadar minoriti 15% daripada penduduk Syria atau 3.5 juta rakyat daripada 23 juta penduduk di Syria (Bancian 2011), sudah tentulah rakyat yang memberontak rata-rata dari kalangan sunni. Memang benarlah, masyarakat luar disuap sepenuhnya oleh media kerana mereka tidak berada di tanah Syria untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.
Kesannya penganut syiah diluar syria seperti Lubnan dan Iran turun membantu kerajaan Bashar atas dasar mempertahankan kerajaan Islam. Manakala penganut sunni dari luar pun membantu pemberontak kerajaan atas dasar menentang kezaliman dan menegakkan Islam (juga). Kedua-duanya kelompok ini berkeyakinan perjuangan mereka adalah jihad dan mati mereka juga sebagai syahid. Hinggakan tanggapan peperangan sunni dan syiah itu, akhirnya benar-benar berlaku dan menjadi kenyataan.
Wael Nader Al-Halqi (Perdana Menteri Syria)
Alasan memerangi kekejaman syiah adalah kurang tepat atau mungkin juga satu kesilapan. Perdana Menteri Syria ketika ini, Wael Nader Al-Halqi adalah seorang Sunni dan kebanyakan tentera kerajaan Syria adalah terdiri daripada Sunni! Malah Menteri Pertahanan Syria merangkap Timbalan Perdana Menteri, Fahd Jassem al-Freij adalah seorang jeneral tentera dari golongan Sunni! 
 Jeneral Fahd Jassem al-Freij (Menteri Pertahanan Syria) 
Sebelum beliau, jawatan Menteri Pertahanan disandang oleh seorang penganut Kristian Ortodox, Dawoud Rajiha. Dawoud Rajiha terbunuh pada 18 Julai 2012 ketika pengeboman di Bangunan Keselamatan Kebangsaan di Rawda Square, Damsyik. Antara yang lain terbunuh dalam pengeboman itu adalah bekas Menteri Pertahanan terdahulu iaitu Lt. General Hasan Turkmani (Sunni) dan Timbalan Menteri Pertahanan, General Assef Shawkat merupakan ipar kepada Bashar al-Assad yang tidak dinafikan seorang Alawi. Pilot tentera udara kerajaan Syria yang menjadi ancaman besar kepada pemberontak telah dianggotai oleh orang-orang sunni.  
Dawoud Rajiha (bekas Menteri Pertahanan yang terbunuh)
Yang pasti ialah Presiden Bashar al-Assad adalah seorang Syiah Alawi dan sudah tentu penganut Alawi berpihak kepada beliau. Kebanyakan panglima tentera, tentera elit dan pengawal republik dikuasai oleh golongan Syiah Alawi atau ahli keluarga Assad. Pucuk pimpinan kerajaan pula, kebanyakan dikuasai oleh Parti Ba'ath yang dipimpin oleh Bashar dan dianggotai dari latar belakang agama dan komuniti kaum yang berbeza. Bagaimanapun tidak sampai 50% menteri kabinet dianggotai oleh ahli Parti Ba'ath, termasuklah Menteri Waqaf (Hal Ehwal Islam) yang dikhususkan untuk orang sunni dalam peruntukan akta mereka, yakni sekarang dijawat oleh Dr. Mohammad Abdul-Sattar al-Sayyed yang merupakan pemegang Ph.D. dalam kajian perundangan Islam dari Universiti Damsyik.
Kumpulan Shabiha
Sebuah lagi kumpulan pro Bashar iaitu kumpulan separa tentera yang dinamakan Shabiha diditubuhkan pada 1980-an oleh ahli keluarga Assad iaitu, Namir al-Assad dan Rifaat al-Assad. Kumpulan ini amat ditakuti oleh penduduk kerana sering bertindak samseng dan juga sebagai penguatkuasa tidak rasmi yang seolah-olah kebal dari undang-undang. Majoriti dianggotai oleh kelompok Alawi yang sangat setia kepada ahli keluarga Assad. Pada tahun 2000, apabila Bashar memegang tampuk pemerintahan, Shabiha dibubarkan. Bagaimanapun apabila tercetusnya konflik dalaman ini, Shabiha muncul semula sebagai benteng hadapan untuk menghadapi dan menyerang penunjuk perasaan serta rakyat tempatan yang memberontak. Mereka digambarkan seperti seorang yang berbadan sasa, kepala dicukur, dan berjanggut nipis. Mereka terdiri daripada golongan belia yang  tidak bekerja dan kurang berpendidikan mendapat upah dari kerajaan Bashar. Kebanyakan kes-kes rogol dan tembak rambang sewaktu peperangan ini dikaitkan dengan mereka. 
Manakala puak pemberontak juga dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Mereka dipimpin oleh Ahmad Mouaz Al-Khatib Al-Hasani iaitu Presiden Gabungan Kebangsaan Revolusi Syria dan Angkatan Pembangkang. Beliau merupakan seorang bekas imam sunni di Masjid Umayyah di Damsyik.
Ahmad Mouaz Al-Khatib Al-Hasani
Kumpulan pemberontak di Syria belum disusun dengan teratur dan terdiri daripada pelbagai kumpulan berbeza yang bersatu hanya untuk mencapai matlamat menggulingkan pemerintahan rejim Assad. Di dalam gabungan tersebut terdiri diantaranya ialah;
Free Syrian Army
  • Syrian National Council ; dipimpin oleh George Sabra seorang kristian dan juga bekas pro komunis.
  • Free Syrian Army ; dipimpin oleh General Mustafa Al-Sheikh (sunni) merupakan bekas jeneral tentera kerajaan, dan komander Riad Mousa al-Asaad yang asalnya seorang kolonel tentera udara yang berpaling tadah pada 4 Julai 2011. Kelompok ini kebanyakannya berasal daripada anggota tentera yang berpaling tadah dan berfahaman pelbagai ideologi.
  • Selain itu, beberapa kelompok mujahidin seperti Ahrar al-Sham dan Jabhat al-Nusrah li-ahl ash-Sham.
Tentera Pemberontak
Adalah salah menganggap semua pemberontak terdiri daripada kalangan mujahidin (berjihad atas nama agama). Sekiranya mereka berjaya menguasai Syria, perkara awal yang perlu mereka selesaikan ialah  bagaimana hendak mengkordinasi dan menangani permintaan kumpulan-kumpulan pemberontak yang terdiri daripada berpelbagai ideologi.

Perang saudara Syria yang berlaku ini sebenarnya adalah pemberontakan rakyat Syria terhadap kezaliman kerajaan Parti Ba'ath dan sekutunya yang dipimpin oleh Presiden Bashar termasuk seluruh dinastinya. Pemerintahan Bashar secara kuku besi dikatakan mengikuti langkah yang diwarisi dari kepimpinan sewaktu bapanya menjadi presiden Syria iaitu, Hafez Assad. Pada 1982, Hafez Assad telah menghapuskan pemberontakan Ikhwanul Muslimin di bandar Hama sehingga menyebabkan kira-kira 20,000 orang terkorban. Apabila Hafez meninggal dunia pada tahun 2000, pelantikan anaknya, Bashar sebagai pemimpin yang sederhana telah disambut baik oleh rakyatnya, tetapi tidak lama kemudian pembaharuan awal tersebut bertukar menjadi cengkaman kuasa diktator.
Konflik pemberontakan ini bermula pada 15 Mac 2011 apabila rakyat mengadakan demonstrasi di seluruh negara menuntut perletakan jawatan Presiden Bashar ketika berlakunya era Arab Spring. Era ini merupakan bayang-bayang ngeri bagi semua pemimpin negara-negara Arab. Pada April 2011, tentera kerajaan dibenarkan atau diarahkan menembak orang awam yang mendorong ramai tentera berpaling tadah dan menyokong pemberontak. Akhirnya ketegangan politik di Syria bertukar dari demonstrasi awam kepada tercetusnya peperangan.

No comments:

Post a Comment