Saturday, August 13, 2011

Romantik api dan ais Iceland


BLUE Lagoon sering menjadi tumpuan pengunjung yang mahu membelai tubuh.


KESIBUKAN bekerja sering menyebabkan kita tidak mempunyai banyak masa berkualiti untuk bersama insan tersayang.

Kita semua mempunyai komitmen terhadap tugas harian, keluarga dan anak-anak. Keadaan itu terus berlanjutan selama beberapa minggu atau bulan sehingga menyebabkan hubungan dengan semakin renggang.

Kadangkala, ia memerlukan satu percutian ke destinasi yang paling istimewa untuk mengeratkan ikatan kasih bersama insan yang kita kasihi.

Ia merupakan idea di sebalik program realiti televisyen ABC, The Bachelorette yang menjalani penggambaran di Iceland tahun lalu. Masihkah anda ingat kepada watak utamanya, Ali? Dia mencabar dirinya mengharungi kedinginan dan letusan gunung berapi semata-mata mahu menghabiskan masa berkualiti dengan semua peserta lelaki yang cuba bersaing menarik perhatiannya.

Perkara pertama yang perlu anda ketahui mengenai negara itu ialah suhunya yang sejuk. Purata suhu harian tertinggi yang dicatatkan pada bulan Julai ialah 13 darjah Celcius, namun itu adalah alasan yang baik untuk anda menghabiskan masa bersama-sama.

Sejak di bangku sekolah lagi kita telah diuar-uarkan bahawa pihak Viking menamakannya sebagai Iceland kerana ia mempunyai muslihat tersendiri, siapa yang mahu menawan negara yang sangat sejuk sepertinya? Namun cerita-cerita yang didengari sebelum ini sebenarnya tidak benar.

Masyarakat Iceland sendiri tidak pasti bagaimana khabar angin itu bermula atau mengapa ia tersebar dengan begitu meluas. Apa yang pasti, nama Iceland sebenarnya diberikan oleh salah seorang penduduk terawal di pulau itu yang melihat bongkah-bongkah ais terapung melalui lembah berhampiran pantai yang dibentuk oleh glasier.

Letupan gunung berapi selama berhari-hari sekali gus menjejaskan keseluruhan jadual penerbangan dunia pada tahun lalu menjelaskan bahawa negara itu sememangnya sinonim dengan gunung berapi.

Lava purba

ICELAND sinonim dengan gunung berapi.


Iceland juga disebut sebagai pulau api dan ais dan ia merupakan gambaran terbaik mengenainya. Bahkan, negara itu juga terbentuk daripada letusan gunung berapi sejak berjuta-juta tahun dahulu.

Reykjanes, semenanjung Iceland di mana terletaknya lapangan terbang Reykjavik merupakan satu contoh terbaik untuk melihat aliran lava purba. Salah satu tarikan utamanya selain aliran lava keras ialah keindahan bunga lupin Alaska berwarna ungu yang hidup subur.

Kontras warna antara bunga lupin dan aliran lava seakan-akan menonjol jika diabadikan dalam fotografi. Pandangan mata yang paling jauh di sini tertumpu ke kawasan tanah berwarna kelabu, dipecahkan oleh gunung-ganang berbatu lalu membawa anda mendaki bukit sebelum dibawa melihat keindahan tasik firus yang tiba-tiba muncul di tengahnya.

Iceland juga menggunakan sumber alam semula jadinya sebaik mungkin. Air panas mendidih yang mengalir di bawah muka buminya digunakan dengan pelbagai tujuan. Tenaga geoterma menghasilkan kira-kira 24 peratus tenaga di negara itu. Mereka juga menggunakan kolam air panas untuk mandi dan salah satu lokasi terbaik yang ditawarkan di situ ialah Blue Lagoon Spa.

Blue Lagoon merupakan lokasi paling romantik yang sukar ditemui di tempat-tempat lain di seluruh dunia.

Di tengah-tengah aliran lava yang mengalir terdapat kolam air panas yang airnya yang seakan-akan membiru. Ia mengandungi alga, silika dan terdapat mineral putih terang silika yang boleh digunakan sebagai topeng bagi rawatan muka.

Suhu airnya kekal di antara 37 hingga 39 darjah Celcius sepanjang tahun, membolehkan anda menikmati bir jenama Viking dari bar terapung di kolam. Pada musim sejuk pula anda boleh melihat keindahan panorama Northern Lights tatkala berada di dalam air.

Terdapat juga spa yang khusus untuk merawat penyakit kulit, psoriasis. Khasiat airnya yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit telah diperakui sejak bertahun-tahun lamanya.

Keunikan fenomena Northern Lights sememangnya ditunggu-tunggu dan menjadi tarikan pelancong ke Iceland. Sambil duduk beralaskan selimut dan memandang ke langit yang berwarna-warni merupakan kaedah terbaik untuk menikmati suasana romantik pada waktu malam.

Fenomena yang hanya berlaku pada bulan September dan Mac itu membuatkan anda seolah-olah menyaksikan satu pertunjukan cahaya di angkasa dan sangat luar biasa. Waktu siang yang singkat iaitu sekitar lima jam ketika itu membolehkan anda melihat fenomena berkenaan sepuas-puasnya pada waktu malam.

Matahari tidak terbenam


KEPELBAGAIAN bentuk muka bumi dan tarikan pelancongan menjadikan Iceland sebagai salah satu destinasi percutian yang menakjubkan.


Lawatan pada musim sejuk boleh menjadi sangat bermakna kerana jumlah pelancong tidak ramai. Pada masa yang sama membolehkan anda melihat fenomena Northern Lights berulang kali tanpa jemu.

Sementara itu, kejutan istimewa juga boleh dirasai bagi pelancong yang memilih untuk melawat Iceland pada musim panas. Pada musim itu, waktu siangnya agak panjang iaitu di antara 21 dan 24 jam sehari.

Ketika kami melawat Iceland pada bulan Jun lalu, matahari langsung tidak terbenam. Keadaan itu membolehkan pemulihan gangguan ritma harian yang dialami semakin menarik.

Pada mulanya, kami agak hairan mengapa restoran-restoran yang terdapat di sekitarnya ditutup lebih awal tanpa menyedari jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam.

Bagi yang menginap di hotel usah risau, anda masih boleh melelapkan mata kerana semua hotel mempunyai tirai tebal biarpun ketika itu matahari di luar tegak biarpun baru pukul 3 pagi.

Penerbangan Icelanair turut menawarkan penerbangan murah ke seluruh Eropah yang merangkumi persinggahan ke Iceland tanpa sebarang kos tambahan. Persinggahan ke pulau ini tetap berbaloi biarpun untuk tempoh sehari sahaja. Namun anda pasti akan memperoleh lebih banyak pengalaman menarik sekiranya bermalam sehingga dua atau tiga hari lagi.

Sekiranya anda merancang percutian singkat ke Iceland, syarikat pelancongan Salty Tour antara pilihan terbaik.

Sebaik tiba, anda akan dijemput dari lapangan terbang dan dibawa menjelajah sehari suntuk ke kawasan sekitarnya sebelum dihantar ke destinasi terakhir di Blue Lagoon pada penghujung hari.

Memerlukan hotel atau maklumat-maklumat perlancongan? Laman web visiticeland.com mampu menghidangkan pelbagai maklumat berguna yang anda perlukan.

Jadi tunggu apa lagi? Pengembaraan penuh romantik ini pastinya menggamit anda ke Iceland.

No comments:

Post a Comment