3502 KD Serang
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan cabang ke-2 dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Semenjak penubuhannya, peranan TLDM dalam mengawal-selia perairan negara terutama Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) dari sebarang anasir musuh dan jenayah memang diperakui diperingkat dunia. Walaupun kurang terlibat secara langsung semasa insurgensi, prestasi TLDM dapat dinilai dengan keberkesanannya mengawal Selat Melaka dari anasir musuh dan jenayah terutamanya kegiatan lanun. Selat Melaka memang diketahui sebagai salah satu daripada laluan utama laut menghubungkan Timur Jauh dan barat.
Memasuki ke-21 dengan anasir musuh dan jenayah yang semakin canggih, TLDM memerlukan penambahbaikan serta permodenan dari setiap sudut. Hanya dengan penambahbaikan dan permodenan berterusan barulah setiap operasi TLDM mampu dilaksanakan bukan sahaja di peraiaran negara tetapi juga diperingkat antarabangsa. Operasi Fajar yang dilaksanakan beberapa bulan lalu, yang dioperasikan di Teluk Aden bagi membebaskan dua kapal kargo milik negara bukti TLDM memerlukan penambahbaikan dan modenisasi.
Buka untuk berlumba dari segi persenjataan, pemilikan aset dan persenjataan TLDM masih jauh dari sepatutnya. Malaysia sebagai sebuah negara perairan memerlukan sebuah angkatan pertahanan laut yang benar-benar moden dan mampu menguasai setiap titik persempadanan negara. Dengan kebanyakan usia aset dalam inventori TLDM kini dalam pertengahan usia serta jumlah yang masih berkurangan, tidak salah jika TLDM diberi keutamaan memiliki aset dan persenjataan berbanding cabang pertahanan negara yang lain. Malahan, dengan doktrin pertahanan hadapan, TLDM merupakan barisan hadapan jika serangan musuh bermula dari jalan laut.
Analisis ke atas TLDM akan memfokuskan tentang pemilikan aset sehingga kini dalam setiap unit berasaskan kelas dan kekurangan yang perlu ditampung oleh TLDM pada masa hadapan bagi mempastikan peranan TLDM sebagai tunjang utama pertahanan sebuah negara peraiaran menjadi nyata.
1. Kapal Selam
Pada oktober 2008, TLDM telah berjaya menerima kesemua jumlah 2 unit kapal selam tempur dan 1 unit kapal selam untuk latihan. Penerimaan kapal selam jenis Scorpene dari firma Navatia/DCNS yang diberi nama Kelas Perdana Menteri dalam perkhidmatan TLDM bakal ditempatkan di Pengkalan Laut Wilayah Dua di Teluk Sepanggar, Sabah bakal memberi penggandaan kuasa kepada TLDM.
Namun masih terlalu awal mendabik dada memandangkan TLDM memerlukan satu jangkamasa bagi mempastikan penggunaan kesemua kapal selam dapat dioptimumkan dan mampu mengadaptasi doktrin pertahanan kapal selam dengan matang. Pemilikan kapal selam bukan sahaja mengukir sejarah tensendiri memandangkan ini merupakan aset sulung TLDM, tetapi juga merupakan satu tanda aras aset serupa pada masa hadapan.
2. Kapal Frigat
Dalam inventori TLDM, hanya terdapat dua unit kapal jenis Frigat iaitu Kelas Lekiu, KD Lekiu dan KD Jebat. Kekuatan kedua-dua Frigat ini memang tidak boleh dipandang ringan. Kapal yang dibina oleh firma Yarrow Shipbuilders dari Britian berasaskan FS 2000 mempunyai sistem persenjataan moden disetiap sudut dan sistem radar terkini.
Bagaimanapun, jumlah dua unit belum memadai untuk melengkapkan pertahanan laut negara. Kapal jenis Frigat merupakan kapal tempur paling besar dan berkemampuan meletakkan peranannya sebagai aset utama kapal permukaan TLDM. Untuk melengkapkan kekuatan TLDM dengan kapal jenis Frigate, sekurang-kurang dua unit lagi diperlukan. Walaupun terdapat ura-ura perolehan bakal dibuat untuk dua lagi unit tambahan dari kelas yang sama, sehingga kini belum ada sebarang keputusan rasmi.
3. Kapal Korvet
Kapal jenis Korvet merupakan kapal permukaan kedua besar dan berkuasa dalam inventori TLDM. Sehingga kini, TLDM mengoperasikan enam unit kapal jenis Korvet iaitu dua unit dari Kelas Kasturi dan empat unit Kelas Laksamana.
Walaupun lebih kecil berbanding jenis Frigat, keupayaan kapal jenis Korvet milik TLDM tidak boleh dipandang rendah. Dengan sistem persenjataan dan radar canggih, kehadiran Korvet mampu menggantikan ketiadaan kapal jenis Frigat. Namun begitu, ianya bukan satu jaminan memandangkan kapal jenis Korvet milik TLDM mempunyai had operasi tertentu dan dengan kebanyakannya sedang berada dipertengahan usia, penambahbaikan, modenisasi malahan penggantian diperlukan. Berbanding jenis Frigat, Korvet sedia milik TLDM sudah mencukupi untuk menampung sebarang jenis operasi diperingkat serantau.
4. Kapal Ronda Laut Lepas
Merupakan jenis ketiga penting dari segi keupayaan dan saiz, sehingga kini terdapat sepuluh unit kapal permukaan jenis Ronda Laut Lepas dengan enam unit dari Kelas Kedah baru menyertai keluarga TLDM disamping empat unit sedia ada dari Kelas Handalan buatan Sweden dengan kelas asal Spica-M.
Walaupun begitu, dengan teknologi terkini serta kecenderungan industri pertahanan laut, keupayaan Kapal Ronda Laut Lepas kadang kalanya mampu mengatasi kapal jenis Korvet. Fakta ini diperakui apabila enam unit Kapal Ronda Laut Lepas Kelas Kedah buatan firma tempatan dengan rekaan berasaskan MEKO-A100 dikatakan lebih berkemampuan berbanding Korvet sedia ada milik TLDM. Perolehan sehingga 27 unit pada masa depan tetap diteruskan memberi kelegaan kepada TLDM setelah perolehan enam unit yang ada kini mendapat kritikan dari umum kerana melibatkan kos tinggi dan penyerahaan tidak mengikut jadual.
5. Kapal Serangan Laju
Peranan Kapal Serangan Laju walaupun kecil tetap berbisa menyebabkan kebanyakan angkatan laut dunia masih mengekalkan penggunaannya. Malahan dalam pertempuran laut pasca Perang Dunia ke-2, kapal jenis ini telah menunjukkan keupayaannya.
Terdapat sepuluh unit Kapal Serangan Laju dengan empat unit Kelas Perdana atau binaan asal Kelas La Combattante II dari Perancis dan enam unit Kelas Jerong dari kelas asal TNC 45 dari Jerman. Namun jumlah kapal jenis ini perlu ditingkatkan terutamanya untuk jenis yang mampu melancarkan misil. Dengan geografi Malaysia, sekurang-kurang 12 unit lagi diperlukan dan adalah lebih baik jika kesemuanya direka dan dibina oleh firma tempatan.
6. Kapal Penyapu Ranjau
Pemilikan empat unit Kelas Mahamiru, dibina berdasarkan Kelas Lerici milik Itali, TLDM meneruskan kesinambungan untuk mengoperasikan Kapal Penyapu Ranjau. Pemilikan Kapal Penyapu Ranjau amat penting bagi menjaga keselamatan setiap kapal yang menggunakan jalan laut dalam sempadan negara.
Walaupun kurang diberi perhatian kerana peranannya khusus untuk membersihkan ranjau, TLDM digesa untuk meningkatkan jumlah inventorinya kepada sekurang-kurangnya sehingga lapan unit pada masa depan. Dengan peningkatan jumlah trafik laluan laut dan pembukaan beberapa laluan strategik laut negara, pemilikan tambahan boleh meningkatkan tahap kesiap-siagaan TLDM dalam menghadapi ancaman ranjau laut. Malahan pemilikan tambahan juga mampu meyakinkan firma perkapalan asing tentang tahap keselamatan perairan negara.
7. Kapal Sokongan
Sehingga kini, TLDM mengoperasikan 2 unit Kapal Sokongan Tempur dari Kelas Seri Indera Sakti, 1 unit Kapal Pengangkutan Kelas Seri Inderapura, 4 unit kapal latihan pelbagai jenis serta beberapa lagi kapal sokongan untuk tujuan tundaan dan kaji ukur laut.
Berbanding jenis kapal lain dalam inventori TLDM, pemilikan Kapal Sokongan Tempur dan Kapal Pengangkutan amatlah mendesak. Dengan hanya unit sedia ada, TLDM bakal mengalami masalah logistik jika berlaku konflik lebih besar. Lebih parah jika ianya berlaku di wilayah yang jauh dari pengkalan sedia ada kapal terbabit. TLDM memerlukan sekurang-kurangnya 4 unit Kapal Pengangkutan dari saiz yang sama dan sekurang-kurangnya tambahan 2 unit lagi untuk Kapal Sokongan Tempur.
8. Unit Udara TLDM
Perolehan 6 unit Eurocopter AS555 Fennek dan 6 unit AgustaWestland SuperLynx 300 sebagai pemikul tugas rondaan ringan, anti kapal, anti kapal selam dan penetap sasaran mengufuk memang amat menepati kehendak TLDM. Penyertaan pesawat ini meningkatkan lagi kekuatan TLDM yang sebelum ini hanya memiliki unit udara yang berfungsi sebagai rondaan ringan sahaja.
Sungguhpun begitu, TLDM masih memerlukan penambahan jika jumlah kapal permukaan juga bertambah. Juga bagi meringankan bebanan TUDM yang kini memikul beban mengoperasikan pesawat rondaan maritim, TLDM perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memikul beban tersebut.
Pengoperasian Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) juga satu keuntungan buat TLDM kerana memberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan latihan dan kepakaran terutama kemampuan beroperasi di luar negara. Ancaman lanun yang mampu menganggu gugat kepentingan negara di luar negara memerlukan komitmen TLDM sebagai cabang pertahanan, pelindung dan penghubung utama seperti yang berlaku dalam Operasi Fajar lalu.
No comments:
Post a Comment