VAT 69/UTK atau Komando 69 dan Unit Tindakan Khas merupakan pasukan khas
Polis Diraja Malaysia berpengkalan Briged Utara Ulu Kinta, Perak dan
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, diletakkan dibawah arahan
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam.
Anggota Komando
69 semasa menjalani latihan menembak HK MP5 di lapang sasar. Perhatikan
salah seorang anggota unit ini cuba menembak melepasi celah jari
jurulatih ke papan sasaran dengan menggunakan peluru hidup. Latihan
sebegini amatlah menguji kemampuan seseorang penembak terutamanya
menembak ke arah sasaran yang sukar, lebih-lebih lagi sekiranya
berhadapan dengan pihak musuh yang menggunakan tebusan.
Komando 69
Komando
69 telah dilatih khusus oleh pasukan United Kingdom Special Air Service
Regiment pada tahun 1969 untuk membanteras sebarang kegiatan insurgensi
oleh Parti Komunis Malaya. Nama Komando 69 ini diambil bersempena tahun
1969 ditubuhkan sebagai unit tempur khas untuk menghapuskan sebarang
bentuk teknik pertempuran dan taktik gerila oleh pengganas komunis.
Penubuhan unit ini bermula apabila Menteri Pembangunan dan Keselamatan
Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengemukakan cadangan untuk
menubuhkan satu pasukan elit untuk menentang sebarang bentuk ancaman
insurgensi komunis pada tahun 1969. Pada bulan Oktober 1969, lebih
kurang 60 daripada 1600 pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan
(sekarang Pasukan Gerakan Am, PGA) telah dipilih dalam sesi latihan
Komando 69 dan akan menjalani latihan asas komando. Sepasukan jurulatih
dari United Kingdom Special Air Service Regiment telah dihantar ke Fort
Kemar, Perak untuk melatih platun percubaan Komando 69. Diakhir latihan
ini, hanya 30 orang sahaja yang berjaya dan merupakan trup nukleus
pertama Komando 69. Pada tahun 1970an, unit ini memulakan operasi
komandonya dan telah dihantar untuk menghapuskan pengganas komunis
dihutan. Keputusannya, ramai diantara pengganas komunis telah dibunuh,
dicederakan dan lain-lain berjaya ditangkap serta jumlah senjata dan
kelengkapan komunis berjaya dirampas. Pada tahun 1977, skuadron Komando
69 telah pertingkatkan kepada 3 pasukan dan telah dilatih oleh New
Zealand Special Air Service serta mengadakan kursus khas untuk melatih
para jurulatih Komando 69 yang terdiri daripada anak watan Malaysia
sendiri. Program ini berjaya pada tahun 1980 dan unit ini mempunyai
sebarang kelengkapan khas dan keperluan logistiknya sendiri.
Anggota Unit Tindakan Khas bersenjatakan SMG HK MP5 dan pistol Vektor SP1 dalam sesi latihan CQB di fasiliti latihan.
Unit
Tindakan Khas merupakan pasukan khas kedua PDRM selepas Komando 69.
Unit ini dipercayai ditubuhkan selepas Malaysia digegarkan dengan
serangan pengganas (bukannya pengganas komunis) oleh sekumpulan
Pengganas Merah Jepun atau nama dalam bahasa Jepun dikenali sebagai
Nippon Seki-gun telah menjadikan lebih kurang 50 orang diplomat Amerika
Syarikat dan Sweden serta diplomat tempatan sebagai tebusan di Kedutaan
Amerika di bangunan AIA, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1975, 2 tahun
selepas insiden tebusan di Munich, Jerman oleh pengganas Black September
Palestin pada tahun 1973. Pengganas terbabit mengemukakan tuntutan
kepada kerajaan Amerika untuk membebaskan 5 orang ahlinya yang telah
dipenjarakan dan diterbangkan ke Libya. Sepertimana Komando 69, Unit
Tindakan Khas telah mendapat latihan daripada para jurulatih SAS dan
dipertingkatkan dengan taktik yang berlainan oleh SWAT Amerika dan
dibekalkan dengan persenjataan khas seperti S&W .38 dan Colt M1911A1
serta Colt M16A1, mengamalkan taktik-taktik khas terkini yang diamalkan
oleh unit-unit SWAT Amerika Syarikat. Dalam sesi penyertaan, hanya 20
orang pegawai polis sahaja yang telah berjaya dalam pemilihan ini.
Pasukan ini turut menjalankan kawalan keselamatan di Stadium Bukit Jalil
sempena Sukan Komanwel 1998 bersama dengan Grup Gerak Khas Angkatan
Tentera Malaysia.
Penggabungan
Rencana utama: Pasukan Gerakan Khas
Pada
20 Oktober 1997, bermulanya detik-detik bersejarah dalam pasukan Polis
Diraja Malaysia apabila kedua-dua unit ini dibubarkan dan disatukan ke
dalam satu unit baru dikenali sebagai Pasukan Gerakan Khas, dirasmikan
oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Dr Mahathir bin Mohamad dan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor. Dibawah tanggungjawab pengarah
jabatan yang sama, pasukan ini menjalankan operasi-operasi khas
sepertimana statusnya sebagai pasukan elit.
Motto
Warisan Darah Perwira
Hitam
Simbolik kepada penugasan Komando 69 dalam operasi-operasi yang mempunyai kerahsiaan yang tinggi.
Merah
Melambangkan keberanian bagi perajurit-perajurit Komando 69
Kuning
Melambangkan Ketaatsetiaan kepada Raja dan Negara.
Lembing / Tombak
Senjata tradisi yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan dan pendekar-pendekar Melayu.
2 Bilah Kerambit
Merujuk kepada angka 69, melambangkan membunuh musuh secara senyap
Latihan
Latihan asas Komando 69 terdiri daripada 3 fasa;
Fasa Pertama
Setiap pelatih akan diberi latihan khusus dalam teknik rondaan khas.
Fasa Kedua
Setiap
pelatih akan diberi latihan dan teknik seperti penyusupan khas,
komunikasi, perubatan perang dan penggunaan bahan letupan. Para pelatih
diajar memasang jerangkap samar, mematikan bahan letupan dan pelbagai
teknik pertempuran.
Fasa Ketiga
Latihan yang terakhir, para
pelatih akan diuji dengan pelbagai aspek berkaitan teknik-teknik yang
telah dipelajari. Diakhir latihan, perhatian khusus akan diberi kepada
pelatih-pelatih untuk menentukan siapa diantara yang mempunyai potensi
sebagai anggota unit ini.
Payung Terjun
Pasukan payung terjun
Komando 69 bermula pada 1978 dimana 65 pegawai dan anggota dihantar ke
Hua Hin, Thailand untuk dilatih oleh tenaga pengajar dari Pusat Latihan
Payung Terjun Pasukan Polis Sempadan Polis Diraja Thailand. Latihan asas
payung terjun dijalankan selama sebulan dimana setiap pelatih
dikehendaki melakukan terjun statik. Setiap peserta hendaklah melakukan
10 kali penerjunan termasuk sekali di permukaan air. Setelah mendapatkan
sayap penerjunan, semua pelatih akan dilatih dengan penerjunan bebas
atau kursus lanjut (HALO / HAHO).
Cawangan Latihan Para Komando 69
bertanggung jawab untuk mempertingkatkan latihan payung terjun dari asas
hingga ke peringkat lanjutan, termasuk rappelling & abseiling dari
helikopter. Secara fakta, Komando 69 juga turut melatih kemampuan mereka
tersendiri.
Tempur Jarak Dekat (CQB) dan Menyelamat Tebusan
Latihan
tempur jarak dekat dijalankan oleh jurulatih Komando 69 sendiri. Kursus
ini dikhaskan untuk taktik dan teknik operasi anti-pengganas. Antaranya
adalah menyelamat tebusan di dalam bangunan, pesawat dan kereta api.
Menyelam
Keanggotaan
lain yang diterapkan dalam Komando 69 adalah menyelam, separuh dari
anggota Komando 69 mampu melaksanakan misi penyelaman. Latihan selama
sebulan dilanjutkan dengan kursus ’Dive Master’ dengan kemampuan
menyelam sedalam 150 kaki (50 meter). Mereka mampu dikerahkan dari
pesawat helikopter.
Umumnya, kemampuan anggota Komando 69
berkemungkinan mengikuti kursus peringkat master untuk pertempuran
gerila/hutan, FIBUA / OBUA / MOUT, penembak tepat, mencari dan
menyelamat, payung terjun, tempur jarak dekat, tempur tanpa senjata,
komunikasi, selam tempur, perubatan, kawalan rapat dan juga serbuan
kapal.
Keputusan Komando 69 untuk menjadikan kemampuan
cross-training dibuat bagi semua anggota untuk memiliki lebih dari satu
keanggotaan. Setiap tahun beberapa anggota Komando 69 juga turut
dihantar untuk mengikuti kursus di luar negara.
Kelengkapan
Pasukan
Komando 69 dan Unit Tindakan Khas dilengkapi dengan peralatan khas
sepertimana pasukan khas SAS, SWAT dan SEAL. Disini adalah senarai
senjata dan kelengkapan yang digunakan oleh kedua-dua unit ini.
1
Pistol Colt M1911A1 berkaliber .45 ACP buatan Amerika Syarikat pernah
digunakan oleh para pegawai tentera British, askar Melayu dan pegawai
polis Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Polis Diraja Malaysia) semasa
Perang Dunia Kedua dan Darurat di Tanah Melayu. Manakala Beretta M92F/S
digunakan oleh Komando 69, UTK dan Rejimen Askar Melayu Diraja pada
tahun 1970an semasa penugasan menentang pengganas komunis. Apabila
kerajaan Malaysia memperkenalkan sistem persenjataan terbaru yang
terdiri daripada jenis Glock, Sig Sauer dan Steyr pada tahun 1980an,
Beretta dan Colt telah dihentikan perkhidmatannya, tetapi hanya 1%
pegawai dan anggota sahaja yang masih menggunakannya terutamanya dari
Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Persenjataan, malahan Cawangan
Battalion Perisikan 165 Angkatan Tentera Malaysia juga turut
menggunakannya. Manakala raifal HK 33 dan HK G3 dihentikan
perkhidmatannya pada tahun 1990 dan digantikan dengan raifal Colt M4A1,
HK G36C, HK MSG 90 dan HK PSG-1 sebagai senjata utama.
Kelengkapan
• Alat Pandang Malam (Night Vision Goggle, NVG)
• Pejera Laser
• Pejera EO Tech
• Ves Kalis Peluru
Misi dan operasi
Pasukan elit Komando 69 dan UTK mempunyai rekod pertempuran yang baik tetapi mempunyai profil yang rendah, khasnya UTK.
•
1969 - Komando 69 memulakan operasi pertamanya di hutan dan berjaya
menumpaskan sebilangan besar komunis dan merampas kesemua senjata dan
kelengkapan komunis.
• 19 November 1985 - Unit anti-pengganas
Komando 69 bersama seluruh formasi PDRM didalam operasi yang dikenali
sebagai Ops Hapus melakukan serbuan ke atas kediaman Ibrahim Mahmud yang
dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah yang
menyebabkan beliau terkorban ditembak berpuluh kali di dadanya bersama
13 penduduk kampung. Selain itu, seorang pegawai kanan PPH dan dua
anggota polis turut terkorban, dipercayai tertembak sesama sendiri.
•
Berikutan insiden kegiatan lanun yang mengganas di kawasan pekan di
Sabah, pasukan Komando 69 telah dihantar beroperasi untuk menumpaskan
aktiviti lanun di Sabah dan hasilnya, kegiatan lanun berjaya dihapuskan.
• Oktober 1985 - Unit Tindakan Khas terlibat dalam satu operasi
menyelamat tebusan seorang doktor dan pembantu perubatan oleh enam
banduan yang bersenjata api di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Enam hari
kemudian, serbuan yang dijalankan berjaya membuahkan hasil apabila
tebusan tersebut berjaya diselamatkan, manakala Jimmy Chua, seorang
penjenayah warga Singapura yang merupakan dalang disebalik drama tebusan
tersebut berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
•
Seorang ahli militan MNLF Filipina bernama Rizal Aleh berjaya melarikan
diri ke Sabah bersama bapanya dan memulakan kegiatan jenayah dengan
taktik-taktik lanun. Apabila Komando 69 yang diketuai oleh DSP Mohd Noor
bin Razak dihantar sekali lagi ke Sabah, Rizal, bapanya dan
rakan-rakannya berjaya diberkas dan dihadapkan ke mahkamah Semenanjung
atas jenayah yang dilakukan, kemudiannya Rizal dan bapanya diserahkan
kepada kerajaan Filipina memandangkan kedua-duanya amat dikehendaki oleh
pihak berkuasa di negara tersebut.
• 29 Jun 1994 - Unit Tindakan
Khas telah melakukan serbuan ke atas sebuah tempat persembunyian P.
Kalimuthu atau Bentong Kali di Medan Damasara, Selangor. Dalam serbuan
ini, penjenayah yang paling dikehendaki polis ini berjaya ditembak mati.
KOMANDO 69
No comments:
Post a Comment