Setiap kali masuknya bulan April kita akan mendengar akan ada anak
muda di luar sana hatta kawan-kawan kita sendiri yang merayakan satu
perayaan yang mungkin biasa bagi kita iaitu April Fool. Satu sambutan
yang dilakukan dengan membenarkan penipuan dan pembohongan dilakukan
kepada sesiapa sahaja atas alasan dan tujuan untuk berhibur dan bergurau
senda. Mereka sewenang-wenangnya menipu atau mengenakan kawan-kawan,
saudara-mara, hatta adik beradik sendiri dengan kejutan-kejutan dan
perkara-perkara pelik yang akhirnya seolah-olah menjadi kepuasan mereka
bersama. Persoalannya, sejauh mana anak-anak muda kita faham mengenai
perayaan April Fool yang mereka sambut itu atau adakah mereka sekadar
terikut-ikut budaya yang cuba diserapkan ke dalam jiwa mereka masa kini.
Sekadar ikut-ikutan
Anak-anak muda kita perlu sedar bahawa setiap perkara yang mereka
lakukan mestilah diketahui kebenaran perkara tersebut, adakah baik atau
tidak, bermanfaat atau sebaliknya dan jangan sesekali meniru sesuatu
budaya sesuka hati. April Fool sebenarnya ia adalah satu memori hitam
bagi umat Islam. Sejarah pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Granada,
Sepanyol yang dilakukan oleh tentera Salib dengan cara penipuan dan
pembohongan. Oleh sebab itu, masyarakat Kristian meraikan perayaan ini
setiap kali menjelangnya 1 April dengan menghalalkan penipuan dan
memperbodoh sesiapa sahaja yang mereka suka walaupun tujuan mereka untuk
sekadar hiburan atau gurauan.
Sejarah April Fool
Perayaan April Fool sebenarnya bermula dari suatu tragedi besar yang
sangat menyedihkan dan memilukan. April Fool, berasal dari satu episod
sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.
Sejak dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin
Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi satu negeri yang makmur.
Pasukan Islam tidak sahaja berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan
pembebasan di negeri-negeri sekitar menuju Perancis.
Perancis Selatan dengan mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes,
Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh ke tangan Islam.
Walaupun sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada
suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang berupa kawasan
pegunungan. Islam telah berjaya menerangi Sepanyol.
Mengamalkan Islam sepenuhnya
Kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati,
banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas
memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan saja beragama Islam, namun
bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan seharian mereka dengan cara
Islam. Mereka bukan sahaja membaca Al-Qur’an, namun mengamalkan
tingkah-laku mereka benar-benar berdasarkan Al-Qur’an. Mereka telah
meninggalkan muzik, bir, pergaulan bebas, dan segala hal yang dilarang
Islam. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad
lamanya.
Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol
tanpa kenal lelah terus menerus berusaha membersihkan Islam dari
Sepanyol, namun usaha mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka
dihantarnya sejumlah perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam
Sepanyol.
Kelemahan kita
Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu pertamanya
dengan melemahkan iman mereka melalui jalan serangan pemikiran dan
budaya. Maka mulailah secara diam-diam mereka mengirimkan alkohol dan
rokok secara haram ke dalam wilayah Sepanyol.
Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka
bernyanyi dan menari daripada membaca Al Qur’an. Mereka juga mengirimkan
sejumlah ulama palsu untuk meniup-niupkan perpecahan ke dalam tubuh
umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini telah membuahkan hasil.
Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai pasukan Salib. Serangan oleh
pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal
perikemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang dibunuh, tetapi juga
penduduk awam, wanita, anak-anak kecil dan juga orang-orang tua. Satu
persatu daerah di Sepanyol jatuh ke tangan pasukan Salib.
Benteng terakhir, Granada
Granada adalah daerah terakhir yang ditakluki. Penduduk-penduduk
Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam
rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Salib terus menerus
mengejar mereka. Ketika jalan jalan sudah sepi, tinggallah ribuan mayat
yang bergelimpangan bermandikan darah dan tentera Salib mengetahui
bahawa banyak Muslim Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah.
Dengan lantang tentera Salib itu meneriakkan pengumuman, bahawa para
Muslim Granada boleh keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan
berlayar keluar Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.
Orang-orang Islam masih curiga dengan tawaran ini. Namun beberapa
orang Muslim dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah
disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang
sudah disediakan, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada
dan berlayar meninggalkan Sepanyol.
Keesokan harinya, ribuan penduduk muslim Granada keluar dari
rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan,
beriringan berjalan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak
mempercayai pasukan Salib, memilih bertahan dan terus bersembunyi di
rumah-rumah mereka.
Pembunuhan kejam yang menyedihkan
Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan
cepat tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan
penghuninya. Lidah api kelihatan menjilat-jilat ke angkasa ketika mereka
membakar rumah-rumah tersebut bersama dengan orang-orang Islam yang
masih bertahan di dalamnya.
Sedang ribuan umat Islam yang tertahan di pelabuhan, hanya boleh
terpaku ketika tentera Salib juga membakar kapal-kapal yang dikatakan
akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan
cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa kerana
sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakanya terdiri dari kaum
perempuan dan kanak-kanak yang masih kecil. Tentera Salib telah
mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.
Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentara Salib segera
membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jerit tangis dan
takbir membahana. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh
dengan kejam. Darah mengalir di mana-mana. Laut yang biru telah berubah
menjadi merah kehitam-hitaman.
Tragedi ini bertepatan dengan tanggal April. Inilah yang kemudiannya
diingati oleh dunia Kristian setiap kali menjelangnya 1 April sebagai
(The April’s Fool Day). Pada tanggal 1 April, mereka dibolehkan untuk
menipu dan berbohong kepada orang lain.
Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan keatas
pembunuhan ribuan umat Islam Sepanyol oleh tentera Salib dengan
cara-cara penipuan. Dan bagi umat Islam pula, April Fool adalah suatu
tragedi yang menyedihkan dan memilukan dengan pembunuhan saudara mara
kita di Sepanyol suatu ketika dahulu.
Adakah wajar menyambutnya?
Secara logiknya adakah wajar kita menyambut hari pembunuhan umat
Islam dengan alasan bergurau senda ataupun dengan tujuan hiburan semata?
Di mana perginya nilai kasih sayang dalam diri kita sesama saudara
seaqidah dengan kita. Jangan terikut-ikut suatu budaya jika kita tidak
tahu kebaikan atau keburukkannya. Sedarilah, musuh-musuh Islam sangat
bijak percaturan mereka untuk melemahkan dan menghancurkan kita dari
pelbagai sudut dan perkara. Budaya menyambut April Fool inilah salah
satu daripada kejayaan mereka. Berjaya membuatkan umat Islam itu lalai,
leka, lemah dan mudah terpengaruh. Mudah untuk diserapkan budaya-budaya
yang merosakkan nilai keIslaman mereka sendiri terutamanya golongan
belia dan muda-mudi Islam yang akhirnya menjadikan umat Islam itu tidak
mempunyai agenda dalam kehidupan mereka. Mudah untuk ditundukkan dan
dicucuk hidung.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu
hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk
Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu
mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah
tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.
Ayuh bangkit anak-anak muda, belia-belia Islamku sekalian. Masa depan
Islam ada di tangan anda. Jangan biarkan diri anda terus menerus
dilalaikan oleh musuh-musuh Islam yang sedaya upaya akan cuba
melunturkan nilai keIslaman kalian. Bangun dan kumpulkan segala kekuatan
dan potensi dirimu. Persiapkan dirimu membela kembali agama Allah yang
mulia ini.
No comments:
Post a Comment