Thursday, April 19, 2012

10 Tempat yang Wajib dilawati Sebagai Seorang Muslim Sebelum Mati

BIASANYA, jika ada duit lebih dan tidak tahu mahu buat apa, maka duit itu selalunya digunakan untuk melancong dan berjalan-jalan. Ada duit lebih lagi, maka ke Mekkah untuk menunaikan ibadat Haji mahupun Umrah. Selain daripada itu, adakah wujud tempat-tempat pelancongan yang lain untuk dilawati untuk mengisi masa dan menghabiskan duit dan berbaloi untuk dikunjungi? Di sini, aku ingin kongsikan kepada semua 10 tempat pelancongan yang wajib dilawati (jangan bimbang, kalau tak dapat pergi, tak berdosa) bagi seorang Muslim sebelum mati. Tempat-tempat ini bukan semata-mata kerana pelancongan sahaja, malah boleh menjadi ikhtibar bagi kita kerana 10 tempat ini ada kaitannya dengan Islam. Mari melancong bersama...

10. Dubai, UAE


Jika ada pihak mengatakan kononnya negara-negara Islam adalah mundur dan miskin, maka Dubai ada jawapannya. Malah kemajuan dan kemodenan Dubai tidak dapat ditandingi oleh negara-negara Maju yang lain. Sebut sahaja, hotel paling mewah di dunia, bangunan yang tertinggi di dunia, pulau buatan yang terbesar di dunia, taman tema dalam bangunan yang terbesar di dunia, semuanya terletak di Bandaraya Dubai. Jika anda menganggap Dubai adalah negara yang kaya dengan sumber asli, maka tanggapan anda adalah meleset. Kerana pendapatan utama Dubai bukan berasal dari minyak dan sumber alam yang lain, maka Dubai mencari sumber lain yang diharapkan dapat meningkatkan pendapatan kota ini dalam pelbagai sektor khususnya dalam sektor bisnes, ekonomi, perumahan, dan kewangan selain dari sektor pelancongan. Mari kita 'usya' Dubai...



9. Damsyik, Syria

Jika tadi, kita telah melawat Bandar baru yang cukup moden, kini kita terbang pula ke bandar paling tua di dunia, dan masih dihuni oleh manusia sehingga kini, Damsyik, yang terletak di Syria. Syria telah dihuni oleh manusia sejak manusia mula hidup di muka bumi ini. Kerana itu tidak hairanlah jika Syria disebut sebagai ‘pintu masuk sejarah dunia’. Damsyik merupakan ibu negara bagi Syria. Antara lokasi  pelancongan di sini adalah Azem Palace dengan kehebatan seni binaan klasik Ottoman-Dimasq. Masjid Umawi dan Makam Nabi Yahya, Nabi Hud dan Nabi Khidir, Makam Sallehudin Al-Ayubi, Makam para sahabat seperti Abu Hurairah, Abi Darda’, Bilal Al-Habshi, Muawiyah Abi Suffian, Abdullah Umm Makhtum. Membeli belah di Souq Hammidiyah dan puluhan Khans di kota lama Dimasyq seperti Khanz Azem Pashadan Khans Jaqmaq. Wah, apa lagi Moh kita ke sana...





8. Laut Mati, Jordan



Laut Mati merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat. Pantainya berada di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia. Ramai dari kita lupa bahawa laut mati ada kisah yang harus menjadi tauladan pada kita, kisah dimana kaum lelaki suka pada lelaki. Kisah nabi Lut dan kaumnya. Dek kerana kaum Nabi Lut ingkar, maka Allah menurunkan bala ke atas kaum ini. Lihat surah Hus ayat 82, maksudnya, “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu." Akibatnya Kota itu di tengelamkan dan dihina. Bila datang sini, jangan hanya mandi semata, tetapi ambillah ikhtibarnya sekali.




7. Kaherah, Mesir

Kota Nabi Musa, Kaherah. Kota yang menyimpan khazanah dunia serta salah satu daripada tujuh binaan yang ajaib di dunia - Piramid. Selain Piramid, tempat-tempat menarik yang harus dilawati adalah Sakkara, Memphis, Citadel(rumah pemerintah Mesir yang berusia 700 tahun), Gereja Gantung dan Ben Era Synagogue(Kuil Yahudi). Ha, jangan lupakan pula universiti paling tua di dunia, Universiti Al-Azhar, yang juga merupakan pusat ilmuan Islam dunia. Himpunan sejarah, ibu kota kebudayaan dan agama serta pusat ilmuan menjadikan kota ini salah satu daripada kota yang wajib dilawati bagi umat Islam...





6. Petra, Jordan

Merupakan salah satu daripada Tujuh Keajaiban Baru Dunia, Petra merupakan kota Kuno yang cukup canggih dan mendahului zaman. Tapak ini tidak diketahui oleh dunia baru sehingga pada tahun 1812, seorang penjelajah Switzlang, Johann Ludwig Burckhardt menjumpainya. Kota ini dibina pada zaman Nabi Saleh. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka menyembah dewa dan patung. Nabi Saleh menyuruh kepada mereka agar menyembah Allah, namun sebahagian besar bangsa Tsamud menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan Nabi Saleh. Nabi Saleh diberi mukjizat dengan peristiwa keluarnya unta dari celahan batu. Namun mereka telah membunuh unta tersebut. Akibatnya, Allah menurunkan bala ke atas kaum nabi Saleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning, hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya mereka disambar petir. Kisah Nabi Saleh diceritakan oleh 72 ayat dalam 11 surah di antaranya surah Al-A’raaf ayat 73 hingga 79 surah  Hud  ayat 61 sehingga ayat 68 dan surah  Al-Qamar  ayat 23 sehingga ayat 32.



5. Andalusia, Sepanyol

Merupakan sebuah wilayah Sepanyol. Andalusia terkenal kerana menjadi pusat kerajaan Islam Bani Umaiyyah pada abad ke-8. Bandar-bandar seperti Cordova dan Granada telah berkembang menjadi pusat ilmu serantau pada zaman itu. Asalnya, wilayah ini dihuni oleh bangsa yang kafir. Kemudian, panglima Bani Umayyah, Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusayr menentang pemerintahan zalim bangsa Visigoth ini dan menggelarkan wilayah tersebut sebagai Tanah Vandal (Vandalusia atau Andalusia). Kita mungkin menganggap bahawa ramai cendekiawan-cendekiawan Muslim yang lahir pada Zaman Keemasan Islam (English-Islamic Golden Age) adalah produk dari kerajaan Abbasiyyah di Baghdad, namun jika diteliti sebenarnya, dalam berbilang cendekiawan Muslim terkenal yang lahir pada era tersebut, sebahagiannya datang dari Andalusia. Ketika Abbasiyyah membangun sebagai pusat perkembangan tamadun Islam, kerajaan Andalusia di Cordoba juga mengalami perkembangan yang sama. Namun, Andalusia telah dikuasai oleh kerajaan Kristian selepas abad ke-15 dalam peristiwa-peristiwa yang dikenali sebagai Reconquista. Moga kita tidak kehilangan lagi permata-permata ini. Belajar daripada kesilapan...




4. Istanbul, Turki

Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Costantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda baginda SAW :

“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.
(hadis riwayat Ahmad)

 Ya, kota ini akhirnya berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Siapa sangka tentera Islam mampu melayarkan 70 kapal laut melalui daratan yang sejauh tiga batu dengan hanya satu malam! Keajaiban tentera Uthmaniah ini berakhir dengan penawanan Kota Constantinaple kepada Islam. Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah ‘Uthmaniyyah ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada tahun 1924M. Hurm, tak mahu sedih-sedih, mari kita bina kembali tamadun Islam yang hebat!     







3. Baitul Maqdis, Palestin

Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi  Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: 

“Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” 
( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad).

Mungkin ramai yang di kalangan kita yang tertipu dengan sturktur sebenar masjid Al-Aqsa. Masjidil Aqsa sebenarnya berkubah hijau kehitaman (gambar di atas), bukannya berkubah keemasan seperti yang selalu ditayangkan. Kubah emas itu adalah 'Dome of Rock'(Qubbat As-Sakhrah) yang di dalamnya terdapat sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Perlu diingatkan bahawa bukan sahaja Masjid Al-Aqsa yang suci kepada umat Islam tetapi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya juga adalah suci kerana ia terdapat di dalam Al Haram Al Sharif. Kota ini menjadi rebutan tiga agama - Islam, Kristian dan Yahudi. Kini, Baitul Maqdis menunggu pejuang-pejuang Islam untuk membebaskan kembali tanah suci itu daripada terus dinodai oleh tangan-tangan kotor Yahudi.




2. Madinah, Arab Saudi

Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad SAW. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad SAW. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan. Masjid pertama yang dibina umat Islam juga terletak di Madinah iaitu Masjid Quba. Madinah merupakan bumi yang paling dikasihi oleh Allah SWT kerana ia merupakan: Tempat Nabi s.a.w berhijrah dan tempat tidur baginda manakala penduduknya pula merupakan jiran-jiran serta penolong baginda. Madinah juga merupakan gedung iman dan di sanalah iman dapat bertahan di akhir zaman nanti. Di pintu-pintu masuknya terdapat pengawal yang terdiri daripada Malaikat. Dajal dan penyakit taun tidak akan dapat memasukinya. Ia merupakan negara terakhir di dunia ini yang diruntuhkan. Ia juga merupakan tempat diturunkan wahyu. Hampir kesemua tempat di Madinah diturunkan ayat-ayat Al-Quran atau diriwayatkan Hadis-hadis.



1. Makkah, Arab Saudi

Makkah merupakan tempat lahirnya Nabi Muhammad SAW dan juga tempat baginda menerima wahyu daripada Allah SWT. Makkah ialah kota paling suci bagi umat Islam. Lima kali sehari, lebih kurang 1.5 bilion Muslim tidak kira di mana mereka berada, pasti akan menghadap kiblat di Kota Makkah untuk solat. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup seseorang Muslim akan mengerjakan Haji pada bulan Zulhijjah setiap tahun di tempat tersebut. Di sini juga terletaknya Masjidil Haram yang mana terdapatnya Kaabah. Orang bukan Islam adalah dilarang daripada memasuki Makkah. Sekatan jalanraya diadakan pada setiap pintu masuk di Kota Makkah. Hal ini bagi memelihara kesucian Kota Makkah. Memang aib jika sudah keliling dunia, tetapi tidak pernah menjejak kaki ke sini. Letakkan niat kita untuk ke sini. Amin3
(")(")


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali ke tiga buah masjid, iaitu Masjidil Haram di Mekah, masjidku ini (Masjid Nabi) dan Masjidil Aqsa"
 (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad)


Berjalan, bermusafirlah..
Melihat kebesar Tuhan yang,..
Menciptakan untuk mereka yang berfikir~

No comments:

Post a Comment