Jarang industri filem Malaysia menampilkan filem-filem Korea untuk
santapan penggemar filem di sini. Hanya lambakkan filem Hollywood yang
diiktiraf sebagai berkualiti didedahkan kepada penonton. Namun jangan
dipandang rendah kemampuan negara Asia seperti Korea untuk menghasilkan
sebuah filem yang gah.Walaupun karya dari Korea popular disini melalui drama-drama bersiri yang membuatkan kaum wanita menitiskan air mata kerana kisah cinta yang romantis, mereka juga berupaya menghasilkan filem hebat yang membuatkan penonton menangis kerana perang!
Setelah cemerlang mencatatkan kutipan box office di sana, Knotty Ideas Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan membawa filem paling mahal Korea itu masuk ke Malaysia.Filem yang menelan kos sebanyak 28 bilion won ini (24.92 million USD), ‘My Way’ merupakan filem pertama Korea yang memaparkan insiden perang dunia kedua. Melalui arahan pengarah tersohor yang mula menempah nama di dunia Hollywood, Kang Je-kyu, hasil filem ini tidak perlu diragui.
Kang yang menjadi pemangkin kepada industri filem Korea pernah mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya mencatat penonton sebanyak 10 juta orang untuk filem arahan terdahulunya, ‘Tae Guk Gi: The Brotherhood of War.
Filem
‘My Way’ ini telah mengambil masa penggambaran selama 156 hari dengan
menggunakan kamera berteknologi canggih serta binaan set dan props untuk
menampakkan keadaan seakan-akan sama seperti zaman perang dunia
kedua.Kang sendiri mengambil masa 3 tahun untuk menghasilkan skrip ‘My
Way’ ini berdasarkan penyelidikkan mendalam mengenai sejarah perang
dunia kedua yang melibatkan insiden Nomanhan, peperangan tentera Soviet
dengan tentera German serta peperangan di Normandy, Perancis.
Namun,
paling istimewanya, cetusan idea filem ini sebenarnya berasal dari
hanya sekeping gambar. Gambar di bawah simpanan arkib negara Amerika
Syarikat itu didedahkan menerusi program dokumentari Korea yang ditonton
oleh Kang di mana ia memaparkan imej seorang tentera berwajah Asia
berdiri dikalangan tentera-tentera Jerman. Siapakah lelaki itu? Menurut
sejarah, lelaki itulah satu-satunya tawanan perang berketurunan Asia
yang terselamat selepas menempuh tiga insiden perang yang dahsyat.Berasaskan gambar tersebut, Kang mencipta karyanya tersendiri melalui kisah dua watak utama yang masing-masing berasal dari Korea dan Jepun. Dua pemuda ini mengejar cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jaguh maraton. Namun pertemuan mereka berdua ini telah bermula dengan permusuhan dan ianya bertambah konflik apabila kedua-duanya bertempur di medan peperangan dunia kedua. Permusuhan akhirnya mulai suram dengan perlahan-lahan apabila mereka semakin mengenali di antara satu sama lain sepanjang perjalanan mereka menempuhi alam peperangan.
Cerita
yang berdasarkan kisah benar ini juga telah mempertaruhkan tiga bintang
terkenal dari tiga negara, Jang Dong-Sun (Korea), Joe Odagiri (Jepun)
dan Fan Bing Bing (China). Pemuda Korea yang amat popular menerusi
drama-drama bersiri Korea yang pernah ditayangkan di Malaysia memang
tidak asing lagi pada peminat cerita Korea di Malaysia.Joe Odagiri pula walaupun berasal dari Jepun telah membina namanya sendiri di Korea dan amat digilai remaja-remaja Korea kerana wajah tampannya. Seangkatan dengan Gong Li dan Zhang Ziyi, pembawa peranan filem Bodyguards and Assassins, Fan Bing Bing perlu diakui kemantapan lakonannya menerusi ‘My Way’ ini.
Filem
‘My Way’ menjanjikan keterujaaan penonton dengan aksi-aksi perang yang
sangat hebat dan meyakinkan seperti gambaran sejarah terhadap zaman
perang dunia kedua. Namun disebalik pertempuran yang menakutkan itu,
terselit nilai persahabatan yang ingin disampaikan telus pada jiwa
penonton. Akan mula bertempur di pawagam Malaysia bermula 19 April ini,
masyarakat Malaysia bakal menyaksikan sebuah filem aksi perang paling
hebat pernah dihasilkan dari negara Asia setanding filem Hollywood.
No comments:
Post a Comment