Thursday, August 11, 2011

7 Pesona Perlis


PANORAMA

Ladang Tebu
Chuping dikenali sebagai tapak pertumbuhan industri yang pertama di negeri Perlis. Terdapat kilang besar yang beroperasi di sekitar kawasan ini iaitu kilang simen dan kilang gula. Luas ladang tebu adalah 8062 hektar. Kehijauan pokok tebu menghasilkan panorama kehijauan yang menarik.

Sawah Padi
Kesuburan dan kehijauan sawah padi merupakan satu keunikan dan kecantikan kepada pelawat. Suasana lebih menarik pada musim menuai padi pada bulan Januari dan September, dimana sawah padi menjadi kuning kemasan.
Hutan Simpanan
Hutan simpanan Mata Ayer di Wang Kelian, Wang Tangga dan hutan simpanan Wang Mu seluas lebih 5,000 hektar mempunyai pelbagai flora dan fauna yang unik serta ciri geologi yang menarik.

Empangan Timah Tasoh
Empangan Timah Tasoh dibina pada tahun 1992. Empangan setinggi 17 meter boleh mengisi muatan air sebanyak 33.3 juta meter persegi. Suasana yang tenang serta keindahan alam semulajadi di sekitar empangan elok di kunjungi terutamanya diwaktu petang.





TAMAN ULAR

Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat terletak di kawasan berbukit batu kapur. Taman Ular dan Reptilia Perlis merupakan satu – satunya taman ular seumpamanya di Malaysia. Di sinilah terdapatnya pelbagai spesis ular yang boleh di lihat di ruang pameran tertutup mahupun di ruang terbuka, ia memberi peluang kepada pengunjungnya untuk mendekati haiwan eksotik ini dengan lebih dekat dalam suasana yang hampir sama dengan habitat asalnya.
Terdapat kira - kira 150 ekor ular dari 34 spesies di taman ini. 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies dari luar negara. 10 sesies ular ditaman ini adalah jenis yang berbisa dan selebihnya tidak berbisa. Diantara jenis ular yang terdapat di taman ini ialah ular sawa, ular tedung selar, ular tedung senduk, ular ekor merah, ular kapak bakau, ular rusuk kerbau dan ular katam termasuk katam tebu dan katam payung serta punti. Paling berbisa ialah ular tedung senduk sembur. Ular paling berat ialah ular sawa seberat 80kg dan panjang 23 kaki. Pengunjung juga boleh melihat landak, memerang, biawak hutan termasuk seekor biawak berekor dua, katak bertanduk, ijok, iguana dan tuntung..
Taman Ular ini di selenggarakan oleh Institute for Medical Research (IMR), yang bertujuan untuk penyelidikan biologi ke atas spesis ular di Malaysia, IMR juga menawarkan berkaitan data saintifik dan keputusan penyelidikan.
Terdapat sebuah mini teater khusus untuk pertunjukan permainan ular. Pusat itu mempunyai 10 kakitangan termasuk 3 pakar mengenai ular yang sudah mahir dengan ular dan boleh mengadakan pelbagai pertunjukan termasuklah menjinakkan ular berbisa dan bermain dengan ular.
MASA LAWATAN:
· HARI SABTU HINGGA KHAMIS ( 9.00 PAGI - 5.00 PETANG)
· HARI JUMAAT ( 9.00 PAGI - 12.15 TENGAHARI, 2.45 PETANG - 6.00 PETANG)
KADAR BAYARAN:
· DEWASA ( RM 2.00)
· KANAK-KANAK ( RM 1.00)
· DIBAWAH UMUR 6 TAHUN (PERCUMA)
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
UNIT TAMAN ULAR DAN REPTILIA
Tel:04-9768511 Fax:04-9769130






HARUMANIS

Harumanis merupakan buah "trade mark" bagi negeri Perlis. Isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang enak dimakan bersama pulut sebagai salah satu sajian tradisi di negeri Perlis. Ia juga enak dimakan begitu sahaja ataupun diproses dalam bentuk jus atau jem.
Kawasan pertanian di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat merupakan kawasan pengeluar utama mempelam jenis ini di Malaysia. Keluasan penanaman mempelam adalah 1,000 ekar dan hasil pengeluaran tahunan adalah antara 300 hingga 500 tan. Pusat ini juga merupakan pusat jualan mempelam harumanis. Musim mempelam adalah pada bulan April dan Mei pada setiap tahun.






MAKANAN DAN MAKANAN LAUT

Makanan Ikan Darat
Ikan-ikan darat seperti puyu, keli, sepat dan haruan boleh diperolehi di kawasan sawah padi di sekitar negeri Perlis. Malah menjadi makanan kegemaran rakyat Perlis dengan masakan ikan darat seperti pekasam, asam pedas, keli masak cili, sepat kering dan masakan lemak. Terdapat sebuah gerai yang menghidang masakan tersebut, di Mata Ayer yang di kenali gerai "Pokok Sawa"

Laksa Kuala Perlis
Laksa sememangnya sinonim dengan negeri Perlis. Kuah ikan yang dinikmati bersama laksa yang diperbuat daripada tepung beras pasti membuka selera. Laksa Kuala Perlis terkenal dengan kenakannya.

Pulut
Perlis juga popular dengan sajian pulutnya. Salah satu makanan kegemaran di Perlis ialah pulut ayam. Makanan ini merupakan masakan Thai yang popular dikalangan orang tempatan dan pelancong-pelancong. Ayam digoreng dan disajikan dengan pulut bersama sos dan daun bawang goreng. Selain ayam, pulut juga disajikan bersama mempelam, durian, cempedak dan ikan kering.

Makanan Laut
Bagi penggemar makanan laut, Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru menjadi tumpuan. Kuala Perlis terkenal dengan ikan bakar, ketam dan sotong dalam pelbagai masakan pada harga yang berpatutan.





TARIKAN SEMPADAN

Padang Besar
Suka berbelanja!! Inilah tempat sepatutnya anda pergi. Terletak 35 km dari Kangar, bersempadan dengan negara Thailand, Padang Besar merupakan pekan sempadan yang menawarkan pelbagai variasi produk seperti pewangi, jam tangan, barang elektrik, pakaian, buah-buahan dan lain-lain lagi. Kebanyakan berjenama dan bermutu tinggi. Barangan ini dijual pada kadar yang amat berpatutan. Selain itu, pekan ini juga terkenal dengan barangan tiruannya. Oleh itu, anda perlu berwaspada ketika membeli.
Waktu urusan bagi urusan keluar masuk sempadan ialah dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.30 malam bagi pintu padang besar.

Pasar Ahad Wang Kelian
Selain Padang Besar, Wang Kelian adalah tarikan membeli belah terbaru di sempadan negeri ini. Pekan kecil yang terletak bersempadan dengan Wang Prachan, Thailand yang sememangnya terkenal dengan pasar seharinya yang diadakan setiap pagi Ahad setiap minggu dimana pengunjung boleh ke Thailand tanpa perlu menggunakan pasport atau pas sempadan dalam lingkungan 2 km dari pintu sempadan.
Pelbagai keluaran/produk ditawarkan oleh para peniaga antaranya produk pertanian, makanan, pakaian, barangan dapur, barangan plastik serta buah-buahan segar dari kedua-dua negara dengan harga yang sukar ditandingi ditempat lain.
Waktu urusan bagi urusan keluar masuk pintu sempadan Wang Kelian ialah dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.
Disamping itu, disini terdapat taman negeri yang dikenali Taman Negeri Wang Kelian. Kawasan ini kaya dengan khazanah semulajadinya. Di sini juga mempunyai trek hutan ke Gua Wang Burma.

Tembok Sempadan
Tembok sempadan yang besar dan panjang iaitu 17.33 km memisahkan Malaysia dan Thailand. Tembok ini di bina pada tahun 1994 dan siap sepenuhnya pada April 1997. Tarikan utama yang terdapat disini ialah bukit Khuan Chuk (Bukit Kencana) yang merupakan puncak tertinggi di sempadan, di sini anda akan menikmati panorama yang indah mencakupi hampir seluruh kawasan Ladang Tebu, Padang Besar dan Empangan Timah Tasoh. Kawasan ini sesuai dengan aktiviti riadah untuk pencinta alam semulajadi.






MENGINTIP BURUNG

Dengan suasana yang aman, kawasan-kawasan sekitar Taman Negeri dan Empangan Timah Tasoh menjadi pilihan pelbagai spesis burung sebagai habitat atau destinasi persinggahan sementara.
Masa yang paling sesuai untuk melihat burung adalah musim penghijrahan diantara bulan September hingga April pada waktu pagi dan waktu senja. Kebanyakan burung yang terbang jauh dari Asia Tengah seperti dari Rusia, China dan Siberia. Lebih dari 143 spesis burug telah dikenalpasti oleh WWF semasa mengunjungi empangan Timah Tasoh.





PENGEMBARAAN HUTAN

Perlis sememangnya kaya dengan sumber hutannya yang masih terpelihara. Hutan – hutan simpan negeri dan Taman Negeri Perlis di Wang Kelian sememangnya sesuai untuk tujuan pengembaraan.
Kawasan sekitar Gua Kelam telah di kenal pasti sebagai kawasan yang sering menjadi tumpuan aktiviti kembara. Kewujudan tapak perkemahan di sini membolehkan lebih banyak aktiviti kembara di lakukan terutamanya yang melibatkan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Selain itu, kawasan seperti Tasik Meranti di Lembah Wang Tangga merupakan antara kawasan yang menarik dan sesuai untuk tujuan pengembaraan seperti "jungle trekking", berkayak, ekspedisi pengembaraan kenderaan pacuan 4 roda dan sebagainya.

Penjelajahan Gua
Kegiatan menjelajah gua adalah satu tarikan utama di Taman Negeri Perlis. Penjelajahan gua dengan diiringi oleh pemandu pelawat boleh disediakan untuk memberi peluang kepada pelawat-pelawat melihat topografi kars dan ciri-ciri pembentukan gua. Peninggalan aktiviti perlombongan merupakan aspek menarik yang boleh dilihat.

"Jungle Trekking"
Diantara trek yang paling menarik adalah dari Tasik Meranti ke Bukit Pelarit yang jaraknya 3 kilometer. Sepanjang perjalanan anda melalui trek ini anda akan mendapati suasana nyaman dan segar dan menajubkan, dikelilingi hutan rimba dan latar suara penghuni hutan.
Trek kedua adalah dari kem site(wang kelian, Taman Negeri) ke kemuncak 8C yang jaraknya 6 kilometer. 8C merupakan sempadan Malaysia/Thailand dimana letaknya batu sempadan.
Trek ketiga adalah di Gua Kelam. Jauh trek ini adalah 2 kilometer. Ia bermula dari pintu gua dan melalui anak tangga menyeberangi bukit hingga ke keseberang.

Agro dan Eko Pelancongan
Berbekalkan cuaca yang beriklim monsun tropika serta kesesuaian landskapnya yang masih mengekalkan kehijauan alam, Perlis mempunyai aset untuk dimajukan dengan produk agro dan eko pelancongan.

Agro Pelancongan
Antara tempat-tempat menarik untuk pelancongan berbentuk pertanian di negeri Perlis adalah:
Pusat Pertanian Bukit Temiang
Pusat Pertanian Bukit Bintang

Eko Pelancongan
Kehijauan Taman Negeri yang menjalar sepanjang banjaran Nakawan, pengwartaan Taman Negeri di Wang Kelian yang mengandungi hutan simpan Mata Ayer, Wang Tangga dan Hutan Simpan Wang Mu yang bersempadan Taman Negara Thaliban di Thailand di samping kewujudan hutan lipur seperti Hutan Lipur Bukit Ayer, Hutan Lipur Bintang dan Hutan Lipur Bukit Kubu memberikan pemandangan yang indah dan mempersonakan. Bagi mereka yang mengemari aktiviti lasak seperti "jungle trekking" dan berkayak, kawasan ini sesuai untuk tujuan ini.

No comments:

Post a Comment