Wednesday, August 3, 2011

PERANG MORO MENENTANG SEPANYOL

Perang Moro Dalam Sejarah Awal FilipinaPHILIPINES atau Filipina sebagaimana juga negara-negara di sekitar Nusantara punya pra-sejarah yang sama. Manusia Negrito adalah penghuni awal, kemudian Melayu-Proto adalah yang menghuni kepualauan Filipina setelah itu. Masyarakat Negrito dipercayai telah menghuni kepulauan Filipina sejak 30,000 tahun yang lampau semenjak Zaman Ais lagi..


Pada 1500-an, Islam telah pun berada di Pulau Luzon. Para pedagang Arab-Islam dipercayai adalah pembawa Agama Islam di seluruh kepulauan Filipina. Pada 1565 telah wujud Bandar Amanillah (Mendapat keamanan Allah) yang dikenali Manila pada hari ini.

.Sejarah telah membuktikan pada kita, Raja Sulaiman (Kerabat Kesultanan Brunei) adalah yang berkuasa di situ sekurang-kurangya sebelum kedatangan Spanyol sekitar 1600..

Sistem masyarakat ditadbir secara Islam dengan para Datu yang mengetuai setiap kawasan Barangay. Tentunya bahasa Melayu adalah sebahagian bahasa pertuturan di Manila di sebabkan kesultanannya adalah dari kerabat Kesultanan Brunei yang sememangnya adalah orang Melayu. Manakala di bahagian selatan ketika itu, Mindanao dan kepuluan Sulu juga menerima kedatangan Islam lebih awal. Sebahagian ahli sejarah percaya Islam telah pun sampai di selatan Filipina pada 1380–1400an di sana berdasarkan pada bukti-bukti berupa kubur-kubur dan sebagainya..

Pada 16 Mac 1521, penjelajah terkenal Spanyol, Ferdinand Magellan (1480-1521) telah mendarat di Cebu ketika dalam misinya mengelilingi dunia di samping mencari tanah jajahan. Tanah Pulau Cebu telah dimasukkan sebagai wilayah baru hak milik Raja Charles 1 di Spanyol. Sebulan kemudian Ferdinand Magellan telah dibunuh dalam satu pertempuran tepi pantai Maktan oleh seorang panglima Islam. Peristiwa pembunuhan Ferdinand Magellan ini adalah yang paling bersejarah di Filipina hingga ke hari ini sehingga didirikan tugu peringatan si pembunuhnya iaitu panglima “Lapu-lapu” di Bandar Maktan, Cebu..

Pada 1565, Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor Diraja telah sampai ke Pulau Cebu dari New Spain (Maxico). Enam tahun kemudian setelah berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran Islam di tangan para Datu, beliau telah ke Manila dan mendirikan pelabuhan komersil di bandar utama Manila sebagai pusat pentadbiran ketenteraan dan keagamaan. Maka di sinilah bermula nama Filipina (Philipines) sempena nama Raja Philip II di Spanyol yang memerintah pada 1556 hingga 1598. Maka bermulalah penjajahan ke atas Filipina sehingga lebih 300 tahun lamanya di tangan Spanyol dan kita akan dapat saksikan sejarah telah mencatatkan keganasan demi keganasan ke atas masyarakat Filipina terutamanya masyarakat Islam sehingga ke hari ini. Sebaliknya yang dituduh pengganas adalah masyarakat Islam sendiri yang berjuang menentang penceroboh..

Matlamat Penjajah Spanyol

Matlamat penjajahan Spanyol di Filipina sebenarnya adalah kerana 3 sebab:-

1. Menguasai kawasan dan laluan rempah.

2. Membina persefahaman dengan Dinasty China dan Jepun.

3. Mengkristiankan Masyarakat Filipina keseluruhannya..

Matlamat pertama dan kedua telahpun berjaya dengan cemerlang, cuma matlamat yang ketiga mereka gagal melaksanakannya hingga ke hari ini. Kerana penentang utamanya adalah masyarakat Islam sendiri yang sukar ditewas dan ditundukkan kerana punya senjata yang menggerunkan pihak spanyol sendiri iaitu senjata “Jihad Fi Sabilillah” yang dikenali oleh Spanyol sebagai “Juramentado” (Berani Mati). Sejarah juga telah memberitahu kita, hanya bahagian selatan Filipina sahaja yang tidak pernah mereka masuki dan tadbir secara menyeluruh disebabkan tentangan sengit masyarakat Islam yang diketuai oleh Sultan-sultan Maguindanao dan Sultan-sultan Sulu serta Datu-datu nya ..

Perlu juga diakui bahawasanya Spanyol dan misi Kristianisasinya telah berjaya di bahagian utara Filipina. Bukti kejayaan mereka ialah hingga ke hari ini majoriti penduduk dari tengah Filipina hingga ke utara adalah Kristian. Manakala dari utara Mindanao hingga ke Kepulauan Sulu majoritinya muslim. Kita melihat betapa misi pengkristianan Spanyol adalah secara istiqamah menujah masuk ke selatan Filipina (Mindanao dan Kepulauan Sulu) tetapi tentangan berdarah dari masyarakat Islamnya juga istiqamah. Buktinya hingga ke hari ini tentangan berdarah ini masih berlaku. Tetapi bagi Spanyol dorongan membolot harta kekayaan yang banyak di selatan Filipina sangat kuat cuma perlu berkerja keras menukar agama “Muhamadan” mereka kepada Kristus agar mudah mereka masuk menyedut apa sahaja yang ada di bumi selatan Filipina itu..

Malangnya wilayah terakhir yang dipertahankan aqidahnya iaitu Pulau Cebu telah berjaya dikristiankan. Sejarah memberitahu kita wilayah terakhir yang berjaya dikristiankan ialah Pulau Cebu iaitu Permaisuri Raja Humabon telah masuk Kristian disebabkan tekanan politik dan taktik kotor pihak kolonial Spanyol. Tidak lama kemudian Raja Humabon sendiri telah murtad dan diikuti oleh rakyatnya. Kejayaan besar buat Spanyol. Maka misi seterusnya ialah wilayah selatan (Mindanao dan Kepulauan Sulu)..

Kronologi Perang Moro Sulu Era Spanyol

Pemberontakan Bangsa Moro di Filipina barangkali adalah kesinambungan peperangan yang panjang sejak abad ke-15 dan ke-16 yang lalu. Islam telah datang ke Selatan Filipina pada abad ke-14 ke kepulauan yang terbentang luas hingga ke kepulauan Indonesia yang dibawa oleh para pedagang Islam dan para pendakwah (Ahlul-Bait), dan pada abad ke-16 dakwah Islam telah menyebarluas melalui gugusan kepulauan Sulu hingga ke Mindanao sehinggalah ke utara. Masyarakat ini mempunyai konsep kehidupan dan kekuasaan, kehidupan sosial, serta kedaulatan mereka sendiri. Kronologinya:

Pada 1565, Prof. Cesar menyatakan bahawa perang pertama meletus pada 1565 di utara Filipina (kawasan Bohol) antara kapal dagang orang Borneo (Melayu Brunei) dengan angkatan perang Legazpi. 20 orang Brunei terkorban sedangkan Spanyol hanya seorang yang terbunuh. Sebelum ini sememangnya orang-orang Brunei telahpun bertapak di pulau Luzon iaitu di Amanillah (sekarang Manila) yang diperintah oleh Kerabat Diraja Brunei iaitu Raja Sulaiman.[1]

Tetapi sebelum itu telahpun berlaku peperangan kecil di pulau Cebu antara Ferdinand Magellan dengan perwira Lapu-Lapu (dari Bugis Sulawesi) [2] pada April 1521 yang membawa kepada pembunuhan Ferdinand Magellan.

Pada 1569, Orang Brunei bersatu dengan Orang Sulu[3] menentang Spanyol di perairan Visaya antara 9 buah kapal Spanyol melawan 20 buah kapal tentera Brunei dan Sulu. Malangnya tentera Brunei dan Sulu berjaya dikalahkan dengan merampas 4 buah kapal yang sarat dengan barang-barang dagangan yang berharga. Spanyol telah menuduh 20 kapal Brunei dan Sulu itu sebenarnya adalah Lanun. Maka bermulalah penggelaran lanun terhadap umat Islam Moro yang menentang Spanyol ketika itu oleh Montero y Vidal.

Pada 1574 Sultan Brunei mempersiap satu angkatan tentera untuk men-yerang Manila iaitu 100 perahu, 100 buah kapal kecil dengan tentera seramai lebih kurang 7,000. Ketika dalam perjalanan ke Manila Sultan Brunei memanggil tenteranya kembali semula ke Brunei disebabkan alasan tertentu.

Pada 1578 Pangeran Buong Manis (Pangeran Sri Lela) yang mahu merebut takhta kerajaan Brunei (dari saudaranya Seiful-Rizal) datang ke Manila me-minta bantuan Spanyol mengalahkan Seiful-Rizal. Sekiranya berjaya beliau berjanji membayar ufti kepada Spanyol. Peluang keemasan ini tidak dilepaskan oleh Spanyol lalu Gabenor Jeneral Francisco de Sande belayar ke Brunei dengan 40 buah kapal beserta serdadu 400 Spanyol, 1,500 anak tempatan Filipina dengan diiringi oleh tentera tambahan dari Pangeran Buong Manis iaitu orang-orang Brunei sendiri seramai 300 orang. Setelah 30 hari belayar, sampai ke Kuala Sungai Brunei dan pertempuran terus berlaku. Tentera Brunei yang dibantu oleh tentera Sultan Sulu (Pangeran Budiman @ Raja Ilo adalah saudara ipar kepada Sultan Seiful-Rizal)[4] itu telah dikalahkan oleh Spanyol. Seiful-Rizal melarikan diri bersama ayahandanya yang uzur Sultan Abdul Kahar ke pedalaman Brunei dan mendirikan istana di sana.

Kegembiraan Spanyol dalam kemenangan tersebut hanya sementara apabila selang beberapa bulan kemudian Pangeran Buong Manis (talibarut Spanyol) telah dibunuh dan Seiful-Rizal pula telah diangkat menjadi Sultan Brunei yang baru maka segala perancangan Spanyol bersama Pangeran Buong Manis untuk mendapat tempat di Borneo terbantut begitu sahaja.

Pada Jun 1578 Sultan Sulu (yang menyertai peperangan melawan Spanyol bersama saudara iparnya Seiful-Rizal di kuala Sungai Brunei telah berjaya meloloskan diri kembali ke Sulu setelah pasukan mereka dikalahkan oleh Spanyol). Didapati tentera Spanyol yang diketuai oleh Kapten Esteban Rodriguez de Figueroa atas arahan Francisco de Sande telah sampai di Jolo pula maka berlaku lagi satu pertempuran sengit antara tentera Sultan Sulu dengan Spanyol di Jolo malangnya tentera Sulu berjaya dikalahkan dan sultan terpaksa mengaku membayar ufti (inilah peperangan pertama antaraSultan Sulu dengan Spanyol di Jolo, Sulu).[5]

Pada 1597 di Mindanao, Sultan Maguindanao telah bersatu pula dengan Sultan Ternate (Maluku)[6] untuk menentang serangan Spanyol di Mindanao. Ternate (Maluku) menghantar 800 orang perwiranya membantu saudara-saudara seagamanya di Mindanao malangnya turut tumpas di tangan Spanyol.

Pada 1597 dalam tahun yang sama juga Kapten Joan Pacho berangkat ke Sulu dengan 60 serdadu Spanyol untuk suatu ekspedisi menghukum tapi telah diserang hendap oleh orang Sulu dan membunuh kaptennya sekali.

Pada Februari 1602 Spanyol menghantar lagi satu ekspedisi dari Manila diketuai oleh Juan Gallinto dengan 200 serdadu Spanyol serta beberapa serdadu anak negeri menuju ke Sulu. Spanyol menyerang penempatan orang Sulu di Jolo memaksa pejuang Sulu berundur ke pedalaman termasuk penduduk-penduduknya. Spanyol berjaya membuat kubu tetapi meninggalkannya kerana kekurangan bekalan makanan. Sebelum mereka meninggalkan Jolo mereka memusnahkan penempatan, perkebunan serta harta benda orang-orang Sulu.[7]

Pada Oktober 1616 orang-orang Sulu bersama dengan 80 buah perahu caracoa (seperti perahu joangga yang dikayuh oleh lebih sedozen pendayung serta diletak meriam di bahagian hadapan) melancarkan serangan keatas jajahan Spanyol di Pantao dan Camarines yang menjadi limbungan kapal Spanyol dan berjaya membakar 3 buah kapal yang masih dalam pembinaan termasuk sebuah gelon (kapal besar yang dilengkapi meriam). Tidak puas hati dengan harta rampasan dan tawanan, orang-orang Sulu menyerang limbungan kapal Spanyol di Cavite pula. Orang-orang Sulu sebenarnya dibantu oleh saudara mereka dari Kesultanan Brunei (tentunya orang-orang Tidung).[8]

Pada 1624 Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu menghantar perwakilan (berdagang) ke Manila bernama Datu Ache (Asri) iaitu seorang datu yang dihormati. Ketika balik dari Manila rombongan Datu Ache dipintas oleh Spanyol yang kebetulan sedang memburu orang-orang Tidung (Camucones) kerana menyerang pulau-pulau jajahan Spanyol. Datu Ache dan orang-orang Sulu (mungkin salah faham kerana mereka dianggap orang Tidung) telah ditangkap manakala kapalnya dirampas. Mereka dibawa ke Manila akhirnya dibebaskan dan Spanyol meminta maaf walaupun beberapa biji mutiara berharga Datu Ache telah diambil oleh panglima Spanyol. Datu Ache menganggap perbuatan Spanyol itu satu penghinaan terhadap dirinya yang bermaruah sebagai seorang datu yang dihormati yang sudah tentu turut memalukan Sultan Sulu sendiri.

Pada 1627 Sultan Sulu telah mempersiapkan angkatan tentera yang terdiri daripada 30 buah caracoas dan 2,000 perwira telah menyerang limbungan kapal Spanyol di Camarines dengan memusnahkan garison mereka (Sultan sendiri mengetuai serangan ini). Orang-orang Sulu merampas meriam, senapang dan ubat bedil serta barang-barang besi dan gangsa yang sangat diperlukan oleh mereka. Orang-orang Sulu membakar rangka-rangka kapal dan menumpahkan simpanan beras ke dalam laut (yang diperuntukkan Spanyol kepada pekerja garison) kerana tidak mampu dibawa sambil diperhatikan oleh pekerja-pekerja garison. Orang-orang Sulu pergi dari situ dengan membawa 300 orang tawanan.

Dalam serangan balas dendam ini Sultan Sulu menawan seorang wanita Spanyol bernama Dona Lucia (menjadi juru tulis sultan kemudiannya) yang kemudian menulis pesanan sultan yang titinggalkan ditempat itu untuk Kerajaan Spanyol menyatakan bahawa sebenarnya serangan itu merupakan balasan orang Sulu ke atas perbuatan salah sangka dan rompakan keatas duta mereka, Datu Ache. Dalam perjalanan pulang orang-orang Sulu turut men-yerang wilayah-wilayah lindungan Spanyol seperti pulau Bantayan dan Ormoc di Leyte dengan menawan 300 orang tawanan lagi.

Pada 1628 Spanyol dengan satu angkatan perang yang besar dari Manila bertolak ke Sulu. Pada 22 April tiba di Jolo dan menyerang dan membunuh serta memusnahkan apa sahaja yang mereka jumpa. Orang-orang Sulu tidak bersedia langsung sehingga dikatakan pihak Spanyol tidak mengalami kemalangan jiwa walau seorang. Spanyol menyerang kubu Sultan Sulu tapi tidak berjaya kerana terlalu kukuh dan dilengkapi oleh meriam-meriam besar. Tawar menawar telah berlaku antara Spanyol dan Sultan Sulu untuk membebaskan Dona Lucia.[9]

Pada 1629 orang-orang Sulu pula menyerang balas meranapkan penempatan-penempatan naungan Spanyol di Camarines, Samar, Leyte dan Bohol dengan kekuatan 36 caracoas.

Pada 17 Mac 1630 satu angkatan laut Spanyol mengandungi 2 buah ghalias (kapal besar dikelilingi meriam), beberapa buah tongkang, 50 buah caracoas bersama 400 serdadu Spanyol dan serdadu anak negeri seramai 2,500 telah bertolak dari Dapitan menuju ke Jolo. Tujuan utama angkatan besar tentera Spanyol ini adalah memusnahkan kubu kota gunung Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu yang kukuh itu. Setelah mendarat panglima Spanyol Lorenzo de Olaso mula-mula mengarahkan tenteranya berjalan kaki menuju ke kubu sultan. Malangnya perwira-perwira Sulu rupanya telah pun bersedia. Hanya menunggu masa menyerang. Perwira Sulu menyerbu, maka berlakulah serangan yang tidak diduga iaitu serangan sengit dari perwira-perwira Sulu sehingga ramai terbunuh dari pihak Spanyol. Spanyol dan orang-orangnya yang ketakutan itu berundur. Tetapi sebelum mereka berundur buat “selama-lamanya” Spanyol telah mengelilingi pulau itu dan memusnahkan penempatan-penempatan di sana sini dan berusaha menyelamatkan tawanan dari orang-orang Sulu yang ditawan sebelum ini. Tetapi gagal kerana Spanyol telah dilanda angin ribut lalu meninggalkan Jolo. Orang-orang Sulu menyerang balas lagi dengan menyerang Leyte pada tahun berikutnya dan dapat menawan ramai tawanan lalu dijual ke Makassar kepada orang-orang Bugis.[10]

Kami menamatkan perang Sulu era Spanyol ini di sini. Siri peperangan antara Spanyol dan orang-orang Sulu masih berterusan dan Spanyol sehingga peperangan akhir pun iaitu pada tahun 1867 – 1878 masih tidak dapat menakluki Sulu..

Peperangan terus berkesinambungan antara Spanyol dan Masyarakat Islam Moro sehinggalah pada tahun 1898 telah berlaku peperangan antara Amerika dan Spanyol. Amerika memenangi peperangan ini, maka muncullah satu lagi kuasa baru yang boleh dianggap pada ketika itu sebagai penyelamat. Amerika datang untuk menyelamat? Ia boleh sahaja dianggap penyelamat sebagaimana kedatangan tentera Jepun yang kononnya menyelamatkan Asia dari tentera luar dengan slogan Asia untuk Asia. Walhal era tentera Jepun lagi parah dari pada penjajah sebelumnya..

Maka Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Spanyol dalam peperangan Spanyol-Amerika Syarikat. Pada tahun 1899, setelah mengetahui kekalahan pihak Spanyol dalamperang Amerika-Spanyol itu masyarakat Islam Moro menyedari satu kesempatan dari penurunan moral para tentera Spanyol. Maka tanpa membuang masa dengan semangat Jihad dan penuh persenjataan lengkap dengan masih mempertahankan identiti dan jatidiri mereka, maka untuk kali yang terakhir, dengan penuh semangat mereka telah menyerang dan memporak-perandakan pasukan Spanyol dari kota pertahanan mereka sebelum kedatangan tentera Amerika Syarikat untuk mengambil alih, di wilayah Jolo, Sulu..

Dari kesempatan ini boleh sahaja kita menganggap pasukan Islam Moro sebagai “menangguk di air yang keruh”. Maka kita melihat masyarakat Islam Moro telah semakin bersatu dengan panji-panji Sultan bertunjang Agama Islam anutan mereka di tegakkan dengan harapan setinggi langit iaitu kini mereka bebas memerintah dan merdeka. Malangnya masyarakat Islam Moro tidak menyedari yang mereka telah dijual hidup-hidup oleh Spanyol. Bagi Spanyol tidak begitu mudah mereka meninggalkan selatan Filipina tanpa memberi mereka kesengsaraan dan penghinaan setelah ketiadaan mereka..

“Sekalipun Spanyol gagal menundukkan Mindanao dan Sulu, Spanyol tetap menganggap kedua wilayah itu merupakan sebahagian dari wilayahnya. Secara tidak sah dan tak bermoral, Spanyol kemudian menjual Filipina kepada Amerika Syarikat dengan harga 20 juta Peso pada tahun 1898 melalui Perjanjian Paris. Amerika datang ke Mindanao dengan menampilkan diri sebagai seorang sahabat yang baik dan dapat dipercayai. Dan inilah perwatakan musuh-musuh Islam sebenarnya pada abad ini. Hal ini dibuktikan dengan termeterainya Perjanjian Bates pada 1899 yang menjanjikan kebebasan beragama, kebebasan mengeluarkan pendapat, kebebasan mendapatkan pendidikan bagi Bangsa Islam Moro..

Namun perjanjian tersebut hanya taktik mengambil hati orang-orang Islam agar tidak memberontak, kerana pada masa yang sama Amerika tengah disibukkan dengan pemberontakan revolusi Filipina Utara pimpinan Emilio Aguinaldo. Terbukti setelah pemberontak revolusi kalah pada 1902, sikap AS berubah dengan menunjukkan wajahnya yang sebenar. Setahun kemudian iaitu pada 1903 Mindanao dan Sulu disatukan menjadi wilayah Moroland dengan alasan untuk membangunkan rakyat Mindanao dan Sulu..

Sebaliknya apa yang berlaku ialah peperangan demi peperangan yang ditimpakan AS terhadap Bangsa Moro. Teofisto Guingona, Sr. mencatat antara tahun 1914-1920 rata-rata terjadi 19 kali pertempuran. Manakala di antara tahun 1921-1923, terjadi 21 kali pertempuran.”.

Kita melihat betapa AS dengan kebijaksanaannya berdamai dengan Masyarakat Moro ketika AS sedang menangani pemberontakan di utara itu. Setelah berjaya mematahkan pemberontakan revolusi yang terdiri kelompok Kristian di utara Filipina pada 4 Julai 1902 dengan jayanya maka Presiden AS Theodore Roosevelt ketika itu menyatakan,.

“ Keamanan telah pun tercapai di semua gugusan kepulauan, kecuali di negeri yang didiami oleh Kaum Moro”..

Dengan penuh ketidak-pekaan, wilayah selatan telah diserang dalam bulan Mei 1902. Maka bermulalah siri insiden, kemarahan yang amat, yang mana masyarakat Islam Moro di Sulu telah menjadi mangsa kekejaman yang tak dapat di gambarkan lagi..

Apakah ini yang dikatakan penyelamatan atau pembangunan? Atau sememangnya satu pembunuhan secara terancang untuk meng‘kasi’kan semangat orang-orang Islam Moro sebagaimana yang telah mereka buat terhadap kaum Red Indian di Amerika?.

Sebenarnya boleh sahaja kita persalahkan masyarakat Moro ini kenapa mesti memerangi AS yang berjasa menyatukan dua wilayah besar Mindanao dan Kepulauan Sulu? Bukankah sebelumnya AS yang telah mengalahkan Spanyol dan menjadikan mereka (Moro) bebas dan terbela di tangan AS sekarang?.

Bermacam persoalan yang bermain di kepala kita sebenarnya yang perlukan jawapan. Perlu ditegaskan disini bahawa AS tidaklah berpengalaman berperang dengan masyarakat Islam di Nusantara sebelum ini. Penulis menyebut Nusantara sebab budaya dan adat resam masyarakat Moro tiada bezanya dengan masyarakat Melayu lain di Nusantara, malah berkongsi Mazhab Sunnah (Syafi’i) yang sama serta sistem monarki Sultan yang sama. Malah AS sendiri tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana wilayah Islam sebelum ini..

Fakta Kegagalan Amerika

Mengapa pendekatan AS menyatukan Mindanao dan Sulu yang di sebut Moroland itu tidak berjaya malah ditentang oleh masyarakat Moro? Bagi pihak masyarakat Moro sendiri pula apakah yang mereka inginkan sebenarnya lantaran mereka menentang habis-habisan penyatuan dua wilayah itu? Bukankah pendekatan AS itu baik untuk mereka?

Jawapan kepada persoalannya amat mudah iaitu mencari sebab-sebabnya terlebih dahulu. Kita lihat beberapa fakta yang mungkin membantu kita mencari sabab musababnya penentangan masyarakat Moro terhadap pendekatan AS itu..

Fakta 1:

AS setelah mengambil alih Filipina pada 1898 melalui Perjanjian Paris daripada Spanyol, AS mendapati wilayah Selatan masih ditadbir oleh masyarakat Moro dengan diketuai oleh Sultan dan para Datu yang masih berpegang kuat kepada ajaran Islam. Ini bermakna Spanyol telah menjual Negara Filipina kepadanya termasuk dua wilayah (Mindanao & Sulu) yang belum di kuasainya 100%..

Fakta 2:

Masyarakat Islam Moro yang majoritinya hanya di selatan terbahagi kepada dua wilayah besar iaitu Mindanao dan Sulu. Ini bermakna ditadbir oleh dua kekuasaan yang berdaulat masing-masing di bawah Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu. Kedua-dua wilayah kesultanan punya sejarah peperangan yang panjang dengan Spanyol selama lebih 300 tahun dan masih belum dikuasai sekalipun ketika kedatangan Amerika Syarikat. Apa yang mereka mahu ialah kemerdekaan mutlak agar mereka bebas bergerak dan memilih Islam sebagai agama rasmi serta bebas mengamalkan adat resam dan budaya mereka. Bila AS mengambil alih kekuasaan dari Spanyol mereka (orang-orang Moro) mendapati bahawa tiada bezanya dengan Spanyol malah AS lagi teruk..

Fakta 3:

Setelah AS mendapati bahawa masyarakat Islam Moro belum ditundukkan oleh Spanyol malah sanggup menggadai nyawa sekali lagi sebagaimana yang telah mereka lakukan kepada Spanyol sebelum ini maka tiada cara lain melainkan menggunakan cara atau taktik “Menundukkan Red Indian” itu semula. Bagi AS ia adalah satu-satunya cara yang berjaya dan akan mengulanginya di Filipina kali ini. Sebab itu perlunya kedua wilayah itu disatukan tanpa mengambil kira kedudukan sultan-sultan di dua wilayah itu (sebab itu Perjanjian Bates telah dibatalkan oleh AS sendiri setelah menyedari perjanjian tersebut tidak menguntungkan mereka dan diganti pula dengan Perjanjian Carpenter pada 1915).

AKHIRNYA satu lagi keadaan yang tidak diingini oleh umat Islam seluruh dunia pada ketika itu ialah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Sulu di Bud Bagsak dan Bud Dajo telah berlaku. Umat Islam Moro merasakan negara mereka dijual tanpa persetujuan mereka sendiri oleh Spanyol kepada Amerika. Bukan sahaja Bangsa Moro yang dijual hidup-hidup oleh Spanyol malah AS seolah-olahnya terbeli ikan busuk yang tidak sesuai lagi dimakan kecuali perlu dicincang lumat atau dilenyek terlebih dahulu sebelum dijadikan baja. Sebab itu salah satu tindakan AS untuk mem‘baja’kan bangsa Islam Moro ialah menyatukan dua wilayah besar Mindanao dan Kepulauan Sulu di bawah satu nama dan pentadbiran iaitu “MOROLAND”. .

Bolehkah menyatukan dua wilayah yang bertaraf negara dengan empunya kesultanan masing-masing begitu mudah? Ia sama seperti menyatukan negara Malaysia dan negara Indonesia dalam satu negara kesatuan dengan istilah “Indonesia Raya” sebagaimana yang berlaku di era konfrontasi Malaysia-Indonesia ketika dulu kerana mendapat inspirasi dari Kesatuan Soviet di Russia. Ia tidak akan berjaya. Kalau ia berjaya sekali pun akan berlaku seperti apa yang kita lihat sekarang ini di selatan Filipina. Peperangan berterusan dan keganasan juga akan berterusan. Hasilnya penduduknya akan bertebaran merata-rata mencari penghidupan yang lebih selamat dari konflik yang tiada kesudahan. Pembangunan akan terbantut dan terus tergendala maka yang rugi umat Islam sendiri dengan kemunduran yang berleluasa..

Hakikatnya ialah, Mindanao punya sistem kesultanannya sendiri dibawah kesultanan Maguindanao. Kepulauan Sulu juga punya sistem kesultanan yang unik dan tersendiri malah kekuasaan kesultanan Sulu juga pernah menjadi empayar. Perlu juga ditegaskan di sini bahawasanya Masyarakat Moro di Mindanao adalah dikuasai oleh Kesultanan dan para Datu Maguindanao dan bahasa yang digunakan secara meluas ialah Bahasa Maguindanao dan Maranao. Suku-suku kaum di Mindanao juga banyak. Mereka punya sejarah kesultanan yang hebat menentang penjajah seperti Sultan Qudarat dan sebagainya.

1 comment:

  1. Panglima Lapu-Lapu BUKAN berasal dr Sulawesi, beliau berasal dr SULU dan berbangsa BAJAU+SULUK. nama sebenar panglima ini adalah "salip kulapu" yg bermaksud "Sharif Berkurap". ini kerana tubuh badan panglima tersebut yang penuh dgn PARUT-PARUT. kerana panglima ini adalah sorg yg berani dan slalu berperang. maka badannya dipenuhi dgn bekas2. beliau berketurunan Sharif. sekali lagi, panglima Lapu-Lapu BUKAN berasal dr SULAWESI. peace~
    :D

    _SulukSabahan_

    ReplyDelete