Friday, August 5, 2011

3 mazhab terbesar kristian

Gereja Ortodoks Timur

Gereja Kristian Ortodoks Timur atau Kristian Ortodoks adalah salah satu mazhab dalam agama Kristian. Terdapat 250 juta penganut Kristian Ortodoks di seluruh dunia dan kebanyakan mereka tinggal di Rusia, Greece, Eropah Timur dan Timur Tengah. Mereka juga terdapat di seluruh dunia termasuk di Jepun dan Indonesia.

Pada mulanya penganut Kristian merujuk Gereja (agama) mereka sebagai "Satu, Suci, Katolik (daripada perkataan Greek καθολική, atau sejagat) dan Gereja Hawariyun". Akan tetapi berlaku Perpecahan Timur-Barat pada abad ke-11 yang menyaksikan Gereja Ortodoks Timur berpisah daripada Gereja Katolik dan pihak berkuasa di Rome.

Istilah "Ortodoks" diterjemahkan daripada perkataan Greek yang bermaksud "mempercayai dengan betul" atau "memuliakan Tuhan dengan betul" (daripada adjektif orthos = benar dan kata kerja dokeo = Saya percaya atau kata nama doxa = mulia) dan diguna pakai oleh Gereja ini untuk membezakannya dengan mazhab Kristian yang lain.


Penganut Kristian Ortodoks melakukan ibadat mengikut ritual dari pengaruh gereja Byzantine. Selama 1,000 selepas agama Kristian diasaskan, lima wilayah iaitu Jerusalem, Alexandria, Antioch, Rome dan Konstantinople mengikuti ajaran Kristian yang sama. Perkembangan politik dan jatuhnya Empayar Rom di barat kepada bangsa german mengakibatnya terputusnya komunikasi antara Gereja di Rome dan Gereja di timur (Jerusalem, Alexandria, Antioch dan Konstantinople).

Pada tahun 1054, utusan Paus Rome ke Konstantinople mengucilkan (excommunicate) Gereja Konstantinople yang dibalas oleh Gereja Konstantinople dengan tindakan serupa. Kedua-dua Gereja mendakwa mereka di pihak yang benar dan berlakulah perpisahan dalam agama Kristian dengan kedua-dua Gereja memisahkan diri mereka.

Apa yang menyatukan mazhab ini ialah teologinya, walaupun terdapat variasi gaya yang bergantung kepada negara asal dan adat tempatan. Adat tempatan ini dipanggil perbezaan dalam tipika dan diterima oleh pemimpin gereja kerana ia tidak dilihat sebagai bertentangan secara teologinya dengan ajaran asas Gereja Ortodoks Timur.

Oleh itu kita boleh melihat banyak Gereja Ortodoks Timur mengambilpakai gelaran kebangsaan seperti Ortodoks Greek, Ortodoks Rusia, Ortodoks Romania, Ortodoks Serbia dan sebagainya. Gelaran ini berfungsi membezakan bahasa, uskup dan tipika mana yang diikuti oleh jemaah tertentu. Jemaah Gereja selalunya bersatu dalam kepercayaan tanpa mengira kerakyatan. Perbezaan selalunya sedikit dan ia melibatkan aturan him yang dinyanyikan atau pada masa bila servis tertentu dibuat. Pada umumnya, pengikut Kristian Ortodoks Timur boleh berjalan ke seluruh dunia dan masih mengikuti servis yang sama dilakukan setiap hari Ahad walaupun dia tidak faham bahasa yang digunakan.

Gereja Katolik Rom


Gereja Katolik Roma merupakan mazhab Kristian yang terbesar di dunia, terdiri daripada mereka yang mengakui kuasa uskup Rom (iaitu Paus), dalam perkara yang berkaitan dengan ajaran Kristian. Gereja Roman Katolik menganggap mereka sebagai pewaris yang sah kepada kekuasaan yang diturunkan oleh Jesus Christ kepada 12 orang pengikut HawariNya (Apostles). Gereja ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembangunan kebudayaan masyarakat Eropah dalam pengenalan nilai-nilai kehidupan barat kepada tamadun lain terutama ketika era penjajahan. Pada akhir 1990-an, jumlah penganut mazhab ini mencecah jumlah 1 bilion (lebih kurang 52 peratus penganut Kristian atau 16 peratus penduduk dunia). Kebanyakan penganut mazhab Katolik tertumpu di benua Eropah dan Amerika Latin, walaupun pengaruhnya semakin bertambah di bahagian dunia yang lain seperti Afrika.

Maksud perkataan Katolik memiliki dua erti eklesiastikal, dijelaskan dalam Kamus Webster sebagai: a) Seluruh gereja Kristian ortodoks b) doktrin atau keyakinan kepada Gereja Roman Katolik,

Istilah ini berasal dari kata sifat Bahasa Yunani (Bahasa Greek) καθολικος (katholikos), yang bermaksud "umum" atau "universal" atau "keseluruhan".

Katolik Barat Tradisional mempunyai tujuh sakramen. Dalam tradisi Katolik Timur jumlah sakramen ini tidak tetap. Namun sakramen yang diakui oleh Gereja Roman Katolik adalah seperti berikut:

Dalam ajaran Katolik, sakramen adalah rahmat dari Christ.


Protestan


Protestan merupakan satu cabang Kristian yang berpecah daripada Gereja Roman Katolik yang semakin cenderung kepada keduniaan dalam satu siri gerakan yang tercetus pada kurun ke-16 di Eropah yang dikenali sebagai gerakan Reformasi. Anggaran terkini menganggar jumlah umat Protestan di seluruh dunia telah mencecah 800 juta orang. Nama agama ini berasal dari perkataan Inggeris "Protest" yang bermaksud membangkang. Ia merujuk kepada sekumpulan Putera dan Bandar Imperial yang memprotes "Diet of Speyer" 1529 untuk menarikbalik keputusannya pada 1526 dan menguatkuasakan kembali "Edict of Worms" 1521.

Keputusan utama dalam Diet pada 1526 ini ialah selagi Majlis Awam atau General Council belum berjumpa dan menyelesaikan isu-isu teologi yang dibangkitkan oleh Martin Luther, "Edict of Worms" tidak boleh dikuatkuasakan dan setiap Putera boleh membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak ajaran dan pemujaan cara Lutheran di wilayah mereka masing-masing berdasarkan prinsip Cuius regio, eius religio atau "Siapa yang memerintah, itulah agamanya". Namun atas desakan gereja Roman Katolik, keputusan ini telah ditarik balik.

Pencetus reformasi ini ialah Martin Luther, seorang paderi Augustinia dan profesor di Universiti Wittenberg, yang menyeru pembukaan debat berkenaan penjualan "indulgences" dimana taubat seorang itu diterima sekiranya dia melakukan sesuatu untuk menebus dosanya. Penjualan ini digunakan secara berleluasa sewaktu Perang Salib untuk menggalak rakyat Kristian menentang tentera Islam.

John Calvin merupakan penyokong kuat fahaman Lutheran dan merupakan tonggak utama dalam mempengaruhi beberapa kumpulan di Switzerland, Scotland, Hungary, Jerman dan beberapa tempat lain. Pemisahan Gereja England dari Rom di bawah pemerintahan Raja Henry VIII, bermula 1529 hingga 1536, menandakan kemasukan England ke dalam gerakan reformasi ini.

Walaupun penganut Protestan percaya kepada Yesus Kristus sebagai anak Yahwe, mereka dan juga penganut Kristian Ortodoks tidak mengiktiraf kuasa biskop Rom (iaitu Paus), dalam perkara yang berkait dengan ajaran agama Kristian.

No comments:

Post a Comment