Saturday, January 11, 2014

10 Tanah tinggi yang menarik di Malaysia.

. Bukit Larut / Maxwell Hill 
Bukit Larut merupakan kawasan reakreasi Tanah Tinggi di Taiping Perak. Bukit Larut atau Bukit Maxwell berdekatan dengan Taman Tasik Taiping ia dinamakan sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam. Perjalanan ke atas Bukit Larut boleh mengambil masa selama 30 minit melalui jalan sempit dan melalui 72 selekoh berliku tajam dilereng bukit. Perjalanan dengan Land rover ke puncak bukit adalah salah satu daya tarikan di sini. Kerana faktor Bukit Larut sebagai kawasan paling lembab di Malaysia, pengunjung akan meredah hujan hampir setiap hari pada sebelah petang. Sebelum jalan tar dibina pada 1948, British menggunakan kuda padi (Pony Back) dan kerusi pengusung untuk ke puncak bukit. Kebanyakan pengunjung warga Inggeris yang sampai ke Bukit larut akan menyamakan tempat ini sebagai Switzerland pada musim bunga.

2. Bario & Ba'Kelalan
Bario bermaksud 'angin dalam bahasa Kelabit, ketinggian 1150 meter dari aras laut, bario mempunyai kualiti udara yang sangat bersih kerana kedudukannya di tempat tinggi berhampiran Gunung Murud iaitu gunung tertinggi di Sarawak. Suhu yang sejuk sekitar 16c- 25c yang ada kala sampai 11c mensyaratkan pengunjung menyediakan selimut tebal di waktu malam. Produk yang sangat terkenal adalah garam bukit dan padinya yang yang paling berkualiti di Malaysia dan bebas dari bahan kimia hanya terdapat disini.

Manakala Ba'Kelalan yang berdekatan dengan Bario pula tidak harus dilupakan, ia adalah satu penempatan kaum Lun Bawang ia menjadi terkenal kerana hasil buahan citrus dan epal dari ladang milik Pak Tagal dan juga aktiviti kebudayaan yang sentiasa menunggu pelancong.


3. Cameron Highlands
Cameron Highland mendapat namanya setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cammeron menemuinya pada tahun 1885 ketika sedang membuat tinjauan pemetaan. Keistimewaan tempat peranginan ini adalah ladang teh yang terbentang, buah- buahan, sayur sayuran dan bunga bungaan yang bermutu dan di hantar keseluruh semenanjung dan antarabangsa. Kampung Taman Setia pula adalah penempatan Melayu yang pertama terletak antara Tanah Rata dan Brincang, ia menawarkan 'homestay' untuk para pengunjung.

4. Kundansang
Pekan kecil yang terletak hanya 6 km dari Taman Negara Kinabalu. Cuaca yang segar serta pemandangan yang indah menjadi alasan utama ramai pelancong datang berkunjung ke Kundasang. Kundasang merupakan pusat membeli belah dan tanaman sayur- sayuran yang sangat terkenal. Manakala pelancongan menjadi sumber pendapatan kedua terpenting bagi penduduk di Kundasang. Majoriti penduduk Kundasang adalah terdiri daripada suku kaum Dusun, Sungai, Bajau, Melayu dan Cina namun terdapat juga sebilangan daripada pendatang Indonesia yang menjadi sebahagian kecil daripada penyumbang bagi mengerakkan ekonomi di sekitar Kundasang, terutamanya di dalam sektor pertanian. Walaupun hanya sebuah pekan kecil, Kundasang juga menyediakan kemudahan seperti hotel, motel, chalet dan homestay bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

5. Bukit Bendera / Penang Hill
Berada pada ketinggian 830m di atas George Town, puncak Bukit Bendera mempunyai suhu yang dingin dan panorama yang mengasyikkan. Ia lima darjah celsius lebih dingin daripada paras laut. Dari kemuncak, para pelancong boleh melihat pemandangan yang menakjubkan ke seluruh pulau hingga ke tanah utama di Seberang Prai. Ia mempunyai taman, pondok gaya lama, restoran dan penginapan. Terdapat juga kuil Hindu dan masjid di atasnya. Bentuk muka buminya dan suhu yang dingin di Bukit Bendera amat sesuai bagi penanaman strawberi.

6. Tenom
Walaupun lokasinya tidak berada di tempat yang tinggi tetapi ia masih di kawasan pedalaman yang bergunung- ganang. Satu daerah yang dulunya popular dengan stesen keretapi terakhir dari Kota Kinabalu, Tenom adalah sebuah tempat yang banyak menyediakan tempat lawatan terutamanya Pertanian dan teknologi penanaman. Tempat yang mempunyai cerita kepahlawanan Antanom ini lebih menonjol dengan kebudayaan dan cara hidup masyarakat Murut. 

7. Bukit Fraser / Fraser Hill
Terletak di negeri Pahang dalam daerah Raub, Bukit Fraser mendapat nama dari pengembara British iaitu Louis James Frase. Ia merupakan kawasan pelancongan menarik terutama senibina dan kajian serangga serta burung. Suhunya 17c- 24c dan berketinggian 1280m dari aras laut.

8. Gunung Mas
Terletak di Tambunan, Sabah, Gunung Mas adalah sebuah tempat persinggahan ulang alik dari Pedalaman ke Kota Kinabalu, walaupun ia hanya sebuah perhentian tetapi ia boleh membuatkan kopi panas menjadi sejuk dan pengunjung rasa ingin berehat lama disitu. Tempat kecil ini juga ada menyediakan kabin dan penginapan untuk pengunjung berehat sebelum meneruskan perjalanan.



9. Banding
Kumpulan Syarikat Emkay menyatakan Pulau Banding akan dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan utama dunia dan selaras dengan dasar Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) .
Pulau Banding dibangunkan sebagai pintu masuk ke Kompleks Hutan Belum-Temenggor yang berusia 130 juta tahun, merangkumi kawasan Taman Negeri Royal Belum, Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Tempoh pembangunan antara 10 ke 15 tahun dengan kos RM600 juta . Antara yang akan dibina ialah chalet, jeti bot, pusat maklumat, restoran dan pusat penyelidikan dalam projek pembangunan tiga fasa. Banding Island Resort bertaraf enam bintang dibina dengan kos RM54 juta. 120 buah bilik siap pada 2010.
10. Gunung Ledang
Terletak berdekatan dengan sebuah pekan kecil iaitu Asahan, Melaka. Dengan ketinggian 1,276m, Gunung Ledang merupakan gunung yang tertinggi di selatan Semenanjung. Jika berada di atas gunung ini pada hari yang cerah, seseorang boleh melihat Selat Melaka dan Sumatera, Indonesia dengan jelas.Gunung Ledang tidak ada nilai yang istimewa sekiranya tidak dikaitkan dengan Puteri Gunung Ledang, legenda dan mitosnyalah yang menggamit pelawat terutama yang menggemari alam semulajadi dan kegiatan spiritual. Bermalam di hutan gunung Ledang menjadi satu daripada kemahuan orang yang sampai ke sini. Air terjun dan resortnya pula melengkapkan pakej untuk pelawat memilih gunung Ledang sebagai lokasi percutian.

No comments:

Post a Comment