Sunday, July 31, 2011

Siapakah Cleopatra VII dari Mesir ?


Cleopatra Ptolemy VII (atau Cleopatra VII Thea Neotera atau Cleopatra Philopator -Кλеопатра — Januari 69 SM – 12 Ogos 30 SM) dikenali sebagai wanita paling bahaya dalam sejarah, penggoda yang telah memikat lelaki paling berkuasa di dunia, iaitu Julius Caesar dan Marcus Antonius (atau Marc Antony). Legendanya diturunkan melalui mitos-mitos, buku-buku, novel-novel malah filem-filem. Keperibadiannya yang berbeza, daya penarikan yang unik dan bercita-cita serta berwawasan jauh menjadikannya ratu berani yang hampir menakluki seluruh dunia. Kehidupannya ibarat sebuah teka-teki yang mengagumkan. Walau bagaimanapun, di sebalik mitos, terdapat satu keperibadian yang menakjubkan, iaitu baginda mengimpikan sebuah empayar dunia, ratu kepada dunia. Baginda menjadi ratu kepada sebuah negara yang hampir sama usia dengan tamadun itu sendiri. Piramid Firaun itu adalah purba baginya sepertimana purbanya Cleopatra kepada kita.

40 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa, Cleopatra telah menggugat Empayar Rom yang sedang meningkat kuasa malah lebih mengancam daripada kuasa lain di dunia. Kerana itu, sesetengahnya mengatakan baginda bermisteri dan mengagumkan.

Untuk mengenali Cleopatra, propaganda Rom dan Yunani harus dijauhi malah bukti dari Mesir purba adalah penting. Ini disebabkan baginda dikhianati malah diboikot musuhnya, iaitu dari Yunani dan Rom. Melalui mitos yang disebarkan, Cleopatra digambarkan sebagai wanita muda yang suka berfoya-foya tetapi bukti dari Mesir menunjukkan sebaliknya.


Latar Belakang

Keluarga dan era sebelum pemerintahan




Baginda berketurunan Yunani, bukan Mesir. Dilahirkan pada awal 69 S.M., anak ke-3 daripada 6 adik beradik dan lahir di kalangan Dinasti Ptolemaik Yunani. Baginda mempunyai 2 orang kakak dan seorang adik perempuan serta dua adik lelaki. Baginda dilahirkan dan dibesarkan di bandar Iskandariah (Alexandria) iaitu bandar terbesar dan termewah ketika itu.

Keluarga Cleopatra tidak aman akibat tekanan dan konflik dari luar (Rom) dan dalam (perebutan kuasa). Semasa kecil lagi, Cleopatra telah melihat persengketaan dalam keluarganya sendiri. Ketika baginda berusia awal belasan tahun, baginda telah menyaksikan kejatuhan ayahandanya sendiri apabila ayahandanya menjadi boneka Empayar Rom akibat bebanan hutang yang terlalu tinggi tetapi masih mengharap agar Rom tidak menakluk Mesir. Keadaan itu menyebabkan Ptolemy XII diusir rakyat dari Iskandariah lalu melarikan diri ke Rom. Pada 58 S.M., ibundanya, Cleopatra V mengambil alih tampuk pemerintahan bersama anaknya, Berenice IV selama setahun sehingga ibundanya mangkat lalu Berenice IV memerintah seorang. Konflik perebutan takhta di antara Berenice IV dengan Cleopatra VI telah menyebabkan kematian. Terdapat pendapat mengatakan yang Berenice IV meracuni Cleopatra VI pada 57 S.M., tetapi pemerintahannya tak lama apabila pada tahun 55 S.M., ayahanda mereka mengambil semula takhta dan menghukum bunuh ke atas anaknya, Berenice IV. Ini menjadikan Cleopatra sebagai puteri mahkota.

Dari ayahandanya, Ptolemy XII, Cleopatra mengetahui akan kekuatan leluhurnya (datuk moyang). Leluhurnya telah melakukan penaklukan hebat hampir 3 abad yang lalu.


Misi Leluhur

Keturunan Ptolemy telah memerintah Mesir sejak 305 S.M, apabila Ptolemy I menggelarkan dirinya Raja Mesir selepas kemangkatan Alexander yang Agung.

Sebelum kedatangan Alexander, rakyat Mesir purba di bawah kekuasaan empayar Parsi. Akibat kejatuhan Parsi di tangan Alexander, Alexander dialu-alukan di Mesir pada tahun 332 S.M. Sejak pengisytiharan Alexander sebagai "Anak Amon" di Tempat Pemujaan Amon di Siwa, kini dia sudah bergelar Firaun.

Alexander memulakan pembinaan Iskandariah tetapi meninggalkan Mesir pada 331 S.M. dan menjadikan Cleomenes dari Naukratis untuk mengambil alih. Kemudian, Ptolemy menuntut kembali di pihak Alexander. Apabila Alexander mangkat, jeneral baginda membahagikan wilayah taklukan baginda lalu Ptolemy mewarisi kerajaan Mesir. Maka, bermulalah Dinasti Ptolemaik. Oleh kerana keturunan Ptolemy yang dari Yunani tidak beberapa bergaul dengan rakyat Mesir (walaupun diglear Raja Mesir), budaya Yunani telah diperkenalkan di Mesir.

Tiga Ptolemy yang pertama telah berjaya meluaskan empayar Mesir menjangkaui lebih dari sempadan asal. Malangnya, ketika menjelang era Cleopatra, empayar itu mengecut malah empayar itu ditekan oleh kerajaan Rom yang semakin menguat dan hutang yang bertambah akibat kelalaian raja Ptolemy yang kemudiannya. Tetapi, Mesir bernasib baik kerana kebanyakan jirannya sudahpun ditakluki Mesir. Perkara ini membangkitkan semangat Cleopatra untuk kembali menaikkan kegemilangan lelehur baginda. Baginda ingin mengembalikan visi Hellenistik (gabungan Timur dan Barat).


Pendidikan dan Pertabalan

Baginda diberikan pendidikan terkuat dan terkini menurut sukatan kurikulum termaju Yunani. Malah, baginda merupakan Ptolemy pertama yang mempelajari bahasa Mesir kerana sebelum itu, bahasa Yunani digunakan dan penterjemah diupah. Cleopatra dikatakan menguasai 9 bahasa (tidak termasuk Bahasa Latin) malah baginda juga pakar matematik dan perniagaan. Kepintaran baginda dihormati seluruh rakyat.

Pada tahun 51 S.M., Ptolemy XII mangkat. Takhta diwariskan kepada baginda yang masih berusia 18 tahun. Yang mengejutkan baginda, dia berkongsi takhta dengan adindanya, Ptolemy XIII yang masih berusia lebih kurang 10 tahun. Menurut undang-undang Mesir, Cleopatra telah dipaksa berkahwin dengan keturunannya sendiri. Baginda menerima tanpa terlalu mengendahkannya kerana baginda menerima takhta dengan cabaran yang sudah terikat bersama. Baginda mahu mengekalkan Mesir dari dijajah Rom dan berharap agar dapat menakluk semula jajahan leluhur baginda.



Pemerintah Mutlak Mesir

Penguasaan Takhta

Wanita Ptolemy dalam dinasti itu sebelum era Cleopatra tidak berani merampas takhta tetapi Cleoptara berhasrat untuk menguasai takhta tanpa adik lelakinya, Ptolemy XIII. Malangnya, baginda masih belum mempunyai kekuatan dari pihak luar mahupun dalam. Oleh kerana itu, baginda menerima padahnya apabila dihalau dari istana di Iskandariah oleh golongan pengikut adiknya. Walau bagaimananpun, baginda tidak berdiam diri. Baginda bersubahat dengann puak gurun dan membentuk tentera baginda sendiri.

Pada September 48 S.M., ketika Cleopatra mengumpulkan bala tentera dalam keadaan terbuang, lelaki kuat dari Rom tiba ke Pelabuhan Iskandariah untuk menuntut hutang ayahanda Cleopatra, Ptolemy XII. Bagi Cleopatra, lelaki itu amat bahaya tetapi berpotensi untuk mengalahkan adiknya.

Ketika Caesar berlabuh, rusuhan anti-Rom berlaku di pelabuhan Iskandariah. Walau bagaimanapun, Caesar bukanlah orang yang mudah ditakutkan. Dia mendiami istana diraja, menuntut hutang dan meminta perbalahan keluarga diraja untuk dihentikan. Untuk itu, Cleopatra dan adiknya diminta untuk datang menghadapnya. Demi mengelakkan diri daripada tentera adiknya, Cleopatra menyembunyikan diri di dalam permaidani dan menyeludup masuk berjumpa Caesar. Keadaan itu memukau imaginasi ramai sejak berabad-abad lamanya.

Caesar, 52 tahun, panglima yang berpengalaman, ahli potlitik yang pintar, cendekiawan dan telah berumah tangga manakala Cleopatra, 21 tahun. Mereka saling tertarik dengan serta merta dan hubungan mereka amat menakjubkan. Caesar merupakan lelaki yang sofistikated dan tidak mudah dikawal nafsu. Beliau terkenal dengan akal yang tajam seperti Cleopatra juga. Pada malam pertemuan itu, Cleopatra berbincang untuk menewaskan adiknya dan waktu yang sama mereka menjadi kekasih.

Persoalan tentang bagaimana Cleopatra memikat Julius Caesar masih ditanya. Ahli sejarah membuktikan dengan jelas bahawa anggapan filem-filem Hollywood terhadap Cleopatra adalah salah. Julius Caesar tidak tertarik kerana wajah Cleopatra yang menggoda tetapi kerana mereka mempunyai matlamat yang sama. Mungkin ia telah menguatkan lagi perhubungan di antara mereka.

Pada keesokan paginya, Julius Caesar membuat dekri (perjanjian) agar kakak dan adik memerintah Mesir dengan damai. Bagi beberapa minggu kemudian, segalanya berjalan lancar. Julius Caesar sempat berehat dan manikmati suasana Iskandariah yang aman dan ceria. Walau bagaimanapun, keamanan tidak bertahan lama apabila adik Cleopatra, Ptolemy XIII mencetuskan perang saudara yang sengit. Untuk berbulan-bulan lamanya, tentera Cleopatra dan Julius Caesar menentang dan akhirnya menang. Ptolemy XIII yang masih muda remaja itu mati lemas di sungai Nil.

Maka, sekali lagi takhta dikembalikan kepada Cleopatra. Adiknya yang lagi satu, Ptolemy XIV dijadikan suami (seperti yang disaran undang-undang) dan memerintah bersama tetapi sebenarnya baginda memerintah seorang.

No comments:

Post a Comment