"THE CHRONICLES OF MATAHARI"
"Others say that he is Heru-ur (the Old Horus), who dwelleth in Sekhem; others say that he is Thoth; others say that he is Nefer-Tem; and others say that he is Sept who doth bring to nought the acts of the foes of Nebertcher"
(Papyrus of Nebseni,The Egyptian Book of The Dead)
Sejarah bangsa Melayu secara kontemporarinya hanya diketahui seawal Sriwijaya.Paling awal pun kerajaan Champa di Vietnam kini (sejak Funan masih menjadi perdebatan).Oleh kerana orang Champa dahulu bertempat di Vietnam yang kini menjadi sebahagian dari Indochina,maka anak-anak Melayu mungkin tidak menyedari terdapat suku Melayu yang membuka kerajaan yang memiliki peradaban maju di Vietnam.Suku Melayu Cham ini mempunyai bahasa yang secara linguistiknya cenderung kepada bahasa-bahasa Austronesia berbanding jiran-jirannya seperti Mon-Khmer atau Sino-Tibetan.Orang Champa punya kaitan rapat dengan suku-suku Melayu yang lain.Sebab itu apabila raja-raja Champa memeluk Islam,anehnya,selepas itu raja-raja Melayu di Sumatera,Borneo dan Semenanjung mula mengikut jejak raja Champa,menunjukkan pertalian antara Champa dengan dunia Melayu bukan sekadar bahasa tetapi talian persaudaraan.Raja Khmer,Thai mahupun Burma tidak pula memeluk Islam,berbanding raja Patani atau kerajaan di dunia Melayu yang lain.
Apabila seseorang mendapat hidayah dan kebenaran,sudah tentu dia mahu mengkhabarkannya kepada saudara-saudaranya.Inilah yang berlaku kepada raja-raja Champa yang menghantar para mubaligh agama ke serata Nusantara untuk membantu menyebarkan Islam.Kadangkala kita keliru,dengan budaya Champa ini.Kadang-kadang apabila disebutkan peranan mubaligh Champa kebanyakan kita tersilap dengan mentafsirkannya kepada mubaligh dari Cina.Suku Melayu Champa memang rata-ratanya berkulit cerah dan memiliki mata sepet disebabkan kahwin campur dengan orang Cina,Mon atau Khmer.Kadang-kadang apabila terdapat senibina Champa di dalam masjid-masjid lama,kita cenderung mengatakan ia adalah senibina masjid Cina.Sejarah Champa lebih dekat dengan negeri Kelantan.Dan pendakwah-pendakwah awal di Kelantan dulu banyak datang dari Champa.Perkataan Melayu purba juga kebanyakan punya persamaan dengan bahasa Champa.Salah satu perkataan yang terkenal adalah 'orang'.Pada satu prasasti abad ke-2 Masehi milik kerajaan Champa ditemui perkataan 'eurang' merujuk kepada manusia terukir dalam tulisan aksara.Di dalam lagenda Melayu Indochina,pada zaman dahulu terdapat satu kaum yang asyik berperang dengan dinasti China di utara.Akhirnya kaum ini menang perang dan membuat sempadan negara untuk mengelakkan raja China mengganggu lagi tanah-tanah kaum ini.Kaum ini digelar Jawaka dan merupakan pewaris kepada satu tamadun purba yang hilang di Indochina.Kaum Jawaka ini muncul dalam teks-teks kuno Sri Lanka berbahasa Pali,catatan-catatan pengembara Arab dan Parsi serta riwayat-riwayat dinasti China.Anehnya kaum Jawaka ini punya rujukan silang yang bertindan dengan nama 'Melayu' di mana raja Melayu bagi dinasti Seroja (Pathomwangsa) di Tambralingga juga disebutkan di dalam riwayat berbahasa Pali sebagai 'raja Jawaka'.Dalam log-log istana Maharaja China juga menyebutkan nama 'Mo-lo-yu' atau 'Ma-li-yue' merujuk kapada Zabag,sebuah kerajaan maritim yang unggul di laut selatan.Zabag pula adalah istilah para pedagang Arab dan Parsi,berasal dari perkataan 'Jawak' iaitu Jawaka.
Lihat,mengkaji sejarah Melayu memerlukan kita meneropong dari banyak sumber.Jika tidak,kita akan gagal mencantum sebegitu banyak misteri yang tersembunyi dalam sejarah Kemelayuan.Kita tidak boleh menggali sumber-sumber dari dalam Malaysia atau Indonesia sahaja,tetapi mesti menerawang ke seluruh pelusuk dunia.Profesion purba bangsa Melayu sebagai pelaut,pengembara dan pedagang adalah MASALAH TERBESAR untuk kita menggapai sejauh mungkin tarikh-tarikh yang ada.Orang Melayu gemar membina negarakota-negarakota di merata tempat dan apabila kalah berperang,mereka segera berpindah ke tempat lain.Segala peradaban dan kesenian tinggalan orang Melayu tadi menjadi milik orang lain.Sebab itu 'bekas-bekas' tangan bangsa Melayu berada di tempat lain.Contohnya di Kemboja.Para sejarahwan mereka mengakui bahawa dinasti-dinasti awal Kemboja adalah raja-raja Melayu,dan mengesahkan bahawa raja Khmer pertama ialah Jayavarman II yang menubuhkan Angkor,setelah bertahun-tahun belajar sistem pentadbiran dari dinasti Melayu Sailendra di bawah naungan Emperium Sriwijaya.Sebelum penubuhan Angkor kerajaan orang Khmer adalah Chenla dan ini adalah kerajaan di utara Kemboja.Chenla menjadi dominan setelah berhasil menakluk Funan melalui taktik perkahwinan kerabat diraja.Kemudian Chenla telah dikalahkan oleh Sriwijaya dalam peristiwa 'Kepala Maharaja Zabag' yang popular itu,terakam dalam catatan pengembara Arab,Mas'oudi dan riwayat-riwayat Buddha di Kemboja.Chenla dikalahkan melalui serangan laut dengan beratus-ratus kapal perang dihantar oleh Maharaja Sriwijaya.Sebab itu sebagai taktik,Jayavarman II yang belajar dari kesilapan Chenla memindahkan ibukota kerajaan barunya jauh ke daratan,untuk mengelakkan serangan dari laut.
Orang Melayu khususnya di Malaysia sememangnya tidak biasa mendengar tentang Sriwijaya berbanding Melaka hanya kerana sejarah Kesultanan Melaka jelas dan masih baru berbanding usia lebih 1000 tahun Empayar Sriwijaya.Satu faktor yang pasti ialah pelabuhan Melaka amat terkenal di sebelah barat sehingga mendapat jolokan 'Venice Timur' kerana kekayaannya.Di era Kesultanan Melakalah orang Melayu mula belajar berdagang dengan bangsa-bangsa Eropah yang mula menemui jalan laut ke Timur.Kejatuhan Melaka juga berpunca dari orang Eropah dan ini menguatkan lagi kewujudan Melaka melalui catatan-catatan orang Eropah.NAMUN BAGAIMANA CARANYA KITA TAHU TENTANG SRIWIJAYA?
Dari pengembara Arab,Parsi,pedagang China dan India.Juga dari kaum-kaum Asia Tenggara yang lain seperti Khmer,Thai,Mon dan Burma.
Inilah harapan untuk kita belajar bagaimana nenek moyang kita membina satu empayar maritim BUKAN SEMUTLAKNYA DI ATAS PENGUASAAN TENTERA tetapi berdiri di atas HEGEMONI PERDAGANGAN DAN PRESTIJ.
Sejak diketahui bahawa terdapat satu empayar kuno yang pernah menguasai Asia Tenggara,sejarah orang Melayu seakan-akan naik lagi setakuk berdasarkan kronologi masa.Dahulu orang Melayu memikirkan bahawa mereka lahir dari Kesultanan Melaka.Sebelum itu,entah...ada yang meracau-racau mengatakan berasal dari anak raja India atau berasal dari orang Cina berkahwin dengan India.Ada yang mengigau berasal dari Siam.Tetapi penemuan prasasti-prasasti berbahasa Melayu kuno,terutamanya Prasasti Kedukan Bukit menyingkap satu RAHSIA YANG AMAT BESAR.Orang Melayu sudah ada sebelum Kesultanan Melaka!Benarlah penjajahan merupakan vakum yang telah mengkuarantinkan orang Melayu dari mencapai sejarah agung mereka di luar kepompong sejarah Melaka.
Sejak itu para pengkaji sejarah;kebanyakannya dari luar dan sejarahwan Indonesia mula mengkaji tentang misteri empayar Sriwijaya.Semua 'puzzle' yang ditemui di Kemboja,Thailand,Indonesia,Malaysia dan Filipina akhirnya terjawab dengan kewujudan satu empayar 'thalassocracy' yang paling berpengaruh di seluruh Asia Tenggara.Kebingungan para pengkaji dan ahli arkeologi yang menemui prasasti-prasasti berbahasa Melayu Kuno di merata tempat di samping gelaran-gelaran dinasti Melayu di Kemboja,Thailand dan seluruh Asia Tenggara serta para pembesar mereka di Filipina selesai dengan nama ini;Sriwijaya.Ketika para pengkaji luar sibuk meneliti empayar agung ini,para sejarahwan Malaysia masih duduk di dalam kepompong sejarah Melakanya bermalas-malasan.Lepas itu mengeluarkan kenyataan pelik bahawa orang Melayu tidak mampu bina kapal besar,malahan sanggup berhabis beribu-ribu ringgit membina replika kapal Flor de La Mar yang menyerang Melaka!Ini satu kedunguan para sejarahwan Malaysia.Sebab itu ada menteri Malaysia yang mengeluarkan kenyataan tidak berpelajaran mengatakan bahawa orang Melaka berperang hanya menggunakan tombak dan keris sahaja.Orang Melaka memang kalah dengan kuasa Portugis tetapi bukan sebab berperang dengan keris,tetapi dikhianati.
Tahukah anda bahawa beratus-ratus kapal pedagang,kapal perang atau kapal pelaut Sriwijaya masih tersadai di dasar laut Selat Melaka,Laut Champa (Laut China Selatan) dan sekitar Borneo?Tetapi ini hanya heboh di Indonesia.Ketika orang Melayu Malaysia mengetuk-ngetuk kepala menangisi kebodohan sejarah bangsa yang kononnya tidak mampu membuat sebatang jarum,pakar-pakar perkapalan Eropah telah menemui kapal-kapal Melayu dengan teknik pembuatan kapal 'sewn-plank and lashed-lug' di mana teknik ini hanya digunakan oleh orang Melayu sahaja ketika era Sriwijaya.Pakar arkeologi maritim,Pierre-Yves Manguin merasa amat terkejut ketika era Sriwijaya,pembina kapal Nusantara telah mencipta teknik pembuatan kapal yang amat maju,jauh dibandingkan dengan contoh-contoh tongkang China sezaman dengannya.
Dari mana kita tahu kewujudan Sriwijaya?Dari para pengkaji luar.Goerge Coedes dari L'École française d'Extrême-Orient,sebuah institusi kajian sosio-budaya Asia telah menemui rahsia satu empayar maritim yang hilang ketika menafsirkan catatan-catatan kuno China berkenaan 'Sanfotsi' dan prasasti-prasasti berbahasa Melayu Kuno berkenaan 'Sriwijaya'.Tidak ada bukti bertulis tentang Sriwijaya seperti kitab-kitab atau rekod dalam bahasa Melayu sebagaimana Kesultanan Melaka yang dirakan kewujudannya dalam Sulalatus Salatin.Kita hanya mengharapkan rekod-rekod dari dinasti-dinasti China serta bukti perdagangan seperti bangkai kapal atau artifak.Satu tindakan yang bijak oleh raja-raja dahulu ialah mereka senantiasa menghantar duta ke Negeri China untuk menjalin hubungan diplomatik.
Jika yang demikian bagaimana sebelum era Sriwijaya?Adakah orang Melayu hanya wujud ketika bermulanya Sriwijaya?
Tidak,kerana terdapat konsep 'city-states' Melayu yang berselerak di seluruh Nusantara sebelum era Sriwijaya.Terdapat kerajaan yang bernama Melayu di Sumatera yang mengeksport emas,juga kerajaan yang bernama Melayu di Segenting Kra.Terdapat juga kerajaan purba di Pahang yang dicatat dalam rekod Maharaja China,juga tercatat nama 'Dungun' sebagai satu pelabuhan kuno dalam senarai pelabuhan pada satu rekod China Purba sekitar 1 Masehi!
Kita tidak tahu bilakah sebenarnya Sriwijaya bermula kerana rekod dari I-Tsing itu adalah ketika Sriwijaya mencapai tahap kemuncaknya.Apa maksud dari semua misteri ini?
SEBENARNYA SEMAKIN DALAM KITA MENGKAJI SEJARAH MELAYU,SEMAKIN JAUH KITA MENGGAPAI MASA SILAM.Dan sejarah Melayu mampu ditelusuri sehingga ke zaman Mesir Purba!
Mengapa begitu?Charles Robert JOnes,seorang ahli American Research Center di Mesir telah menemui bahawa terdapat pengaruh Mesir Purba di dalam beberapa sisi budaya Melayu.Pertama sekali bahasa terutama bahasa Melayu Sumatera.Yang paling mengejutkannya ialah penemuan perkataan 'Maatheru' yang punya padanan ketara dengan perkataan 'Matahari'.'Heru' adalah 'god-king' dalam tradisi Mesir Purba dan diterjemahkan kepada Horus dalam bahasa Greek.'Maat' bermaksud 'eye' dalam bahasa Inggeris.Jones mendapati orang Mesir purba seolah-olah 'menyingkatkan' sebutan perkataan dalam bahasa Melayu.Contohnya 'baik' (good) menjadi 'bw/bai' dalam bahasa Mesir Purba.'Hawa' (hot breath) menjadi 'hh' (diterjemah dari hiroglief).'Agak' (approximately) menjadi 'aga'.
Mata (eye) menjadi 'maat'!
Bagaimana orang Melayu menggabungkan perkataan 'maat' dan 'heru' menjadi 'matahari' yang merujuk kepada 'sun'?SIAPAKAH KITA SEBENARNYA?
Terdapat banyak lagi perkataan dalam bahasa Melayu yang punya persamaan dengan bahasa Mesir Purba.Adakah pembina piramid adalah berasal dari suku Austronesia?Ini yang memeningkan para pengkaji American Research Center.
Terdapat rahsia besar di sini.Beribu-ribu tahun dahulu,terdapat hubungan yang erat antara Mesir Purba dengan The Land of Gods.
Kod-kod Rahsia dari The Valley of Kings
Terdapat banyak rahsia sebenarnya yang tidak mampu difahami oleh Egyptologist dan pengkaji sejarah Mesir Purba.Ini kerana mereka tidak punya pengetahuan pada masa yang sama tentang orang Melayu dan etnik-etnik Austronesia.Di Lembah Raja-raja,iaitu kompleks makam para Firaun,terdapat ukiran kapal-kapal besar yang dibina untuk perjalanan jarak jauh.Para pengkaji 'Ekspedisi Punt' kerap mengaitkan Punt terletak di Afrika,tepatnya di Somalia atau orang Phoenicia.Namun apa gunanya kapal-kapal besar itu?Orang Mesir Purba diketahui bukanlah pembuat kapal yang mahir dan sering dikhabarkan bahawa kapal-kapal Mesir Purba tidak dapat bertahan lama di laut dan sering tenggelam (kebiasaannya mereka membinanya dari batang-batang jerami).Jika Punt di Somalia,bukankah lebih senang membuat ekpedisi dengan berjalan kaki sahaja daripada mengambil risiko berlayar di Laut Merah?Namun gambar-gambar kapal besar di Luxor itu menceritakan rahsia besar hubungan keturunan raja-raja Mesir dengan apa yang dinamakan 'Tanah Nenek Moyang'.
Sebelum kita membongkar lagi rahsia dari Lembah Raja-raja,mari kita belajar bagaimana kod-kod rahsia dari hikayat-hikayat Melayu dapat dipecahkan.Sulalatus Salatin adalah teks semi-sejarah yang banyak menyimpan rahsia bangsa Melayu.Kesimpulan yang jelas dari teks ini ialah betapa hubungan antarabangsa orang Melayu pada masa dahulu amat signifikan dan terampil.Raja-raja Melayu menjalinkan hubungan diplomatik,menghantar duta,mengadakan perkahwinan dengan raja/puteri luar dan menerima kunjung hormat.Salah satunya Raja Suran.Raja Suran bukanlah orang Melayu tetapi satu raja purba yang keturunannya telah berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun,pemerintah Palembang.Siapakah Demang Lebar Daun?Baginda kemungkinan adalah pemerintah kerajaan Melayu yang kembali bebas atau pemerintah Dharmasraya setelah hegemoni Sriwijaya merosot.Raja Suran sering dikaitkan dengan Rajendra Chola I yang menyerang pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya.Dalam Sulalatus Salatin,Raja Suran adalah keturunan Raja Kinda Hindi yang telah dikalahkan oleh Iskandar Zulkarnain.Rajendra Chola pula keturunan Tamil-Dravidia.Bila disebut 'Hindi' maka kita mestilah membayangkan kerajaan-kerajaan utara India seperti Maurya,Gupta atau Pala.Setidak-tidak pun Empayar Kushan atau Gandhara.
Di dalam Purana dan Mahabharata,tercatat nama kaum-kaum utara yang dinamakan 'gerombolan barbarian' seperti Yavanas,Sakas,Pahlavas,Hunas dan Kambojas (terdapat banyak lagi seperti Parasikas,Kiratas) yang sering menyerang perbatasan utara India.Yavana atau Yona sebenarnya sebutan lidah Sanskrit kepada Ionia,wilayah yang terletak di Anatolia sekarang,dahulunya di bawah pengaruh Hellenistik Greek.Lidah Arab menyebutnya sebagai Yunani,dan ini diikuti oleh lidah Melayu.Hunas adalah kaum Hun,salah satu kaum gasar berkuda seperti Scythia atau Sakas dalam sebutan Sanskrit.Pahlavas ditafsirkan sejarahwan kepada Pahlavi atau Parthia,satu kerajaan barat laut Iran.Dan akhirnya Kambojas iaitu kaum Kamboja dari kelompok Aryan yang berbahasa Avestan.
Semua kaum-kaum utara ini (sama ada dipengaruhi oleh Hellenistik mahupun Parsi) kemungkinan adalah bayangan kepada 'Iskandar Zulkarnain' yang mengalahkan 'Raja Kinda Hindi'.Kemudian Iskandar Zulkarnain telah mengahwini puteri Raja Kinda Hindi.Keturunannya inilah melahirkan Raja Suran dan dari keturunan Raja Suran ini ada yang berlayar ke Sumatera dan berkahwin dengan anak raja Melayu.
Salah satu negeri yang diserang Raja Suran ialah Gangga Negara yang dikatakan terletak di Perak.Tetapi dalam Inskripsi Tanjore tidak disebut Gangga Negara atau Gangganagar sekalipun.Kewujudan Gangga Negara hanya diketahui dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Merong Mahawangsa sahaja dan tiada prasasti yang menyebut nama kerajaan ini.Kajian oleh Colonel James Low pada tahun 1849 pula hanya menjejak satu kerajaan purba lain iaitu Kerajaan Beruas.Kerajaan ini adalah lebih tua dari Kesultanan Melaka dan mungkin sezaman dengan Langkasuka.Beliau hanya mengagak bahawa terdapat satu kerajaan yang lebih tua dari Kerajaan Beruas ini.
Apakah maksud dari semua ini?
SEBENARNYA KISAH RAJA YANG MENEUTRALKAN MONOPOLI EMPAYAR-EMPAYAR MARITIM MELAYU TELAH BERLAKU BERULANG KALI.
Sebelum Rajendra Chola datang menyerang pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya,cara yang sama juga telah digunakan oleh raja-raja sebelumnya setiap kali empayar maritim Nusantara memonopoli cukai dan perdagangan di Selat Melaka.
Cuba teka,mengapa Portugis menyerang Kesultanan Melaka,satu lagi empayar maritim Melayu selepas Sriwijaya?MONOPOLI PERDAGANGAN REMPAH.
Raja Suran menyerang Tanah Melayu sehingga ke Temasek kemungkinan untuk memusnahkan monopoli satu empayar maritim sebelum Sriwijaya.Dalam Sulalatus Salatin,telah diceritakan Raja Suran kononnya mahu menundukkan China kerana semua kerajaan tunduk kepadanya kecuali China.Dalam perjalanan dari Benua Keling,Raja Suran telah berperang dengan kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu sehingga sampai ke Temasek.Sampai ke Temasek,raja Suran telah bertanya kepada para pedagang China yang singgah di sana berapa lamakah perjalanan ke negeri China.Namun pedagang itu yang tahu Raja Suran mahu menyerang negerinya telah membuat helah supaya Raja Suran membayangkan letaknya negeri China itu terlampau jauh.Setelah itu Raja Suran pun membuat satu peti kaca dan masuk ke dalamnya lalu ditenggelamkan ke dalam air.Selepas puas melihat dunia bawah air,diceritakan Raja Suran telah membuat satu batu peringatan yang menerangkan segala penaklukannya ke atas Tanah Melayu sehingga ke Temasek.
Menariknya,Batu Bersurat Singapura yang dijumpai ketika Stamford Raffles 'membuka Singapura' menceritakan perkara yang sama seperti yang tertulis di dalam Sulalatus Salatin!Terdapat kisah Raja Suran yang menakluk semenanjung hingga ke Temasek.Catatan pegawai Stamford Raffles juga menceritakan penemuan satu batu yang amat besar di muara sungai Singapura.Kedudukan batu itu amat aneh dan terdapat inskripsi yang sukar dibaca terukir pada batu.Mereka cuba menggunakan asid untuk menimbulkan tulisan tetapi masih sukar dibaca.Pegawai Inggeris ini menyimpulkan batu besar itu adalah batu yang pernah diangkat oleh Badang,satu watak legenda dalam Sulalatus Salatin.
Terdapat satu rahsia tentang kewujudan Sulalatus Salatin.Pada permulaan kata-kata yang menerangkan sebab Tun Seri Lanang menyusun kitab itu:
"Pada antara itu ada seorang Orang Besar, terlebih mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka ber¬kata ia kepada fakir, "Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya."
Goa di sini bukanlah Goa di India,tetapi kerajaan Gowa di Sulawesi.Semasa kejatuhan Melaka,rakyat,tentera mahupun perompak telah melarikan banyak khazanah dari istana berupa kitab-kitab atau hikayat-hikayat.Sebahagian khazanah itu telah dikumpulkan di Gowa,satu kerajaan yang punya hubungan erat dengan Kesultanan Melaka.Ketika Kerajaan Johor-Riau sudah stabil dan menguasai kembali perdagangan selat,di zaman Tun Seri Lanang itulah,para pedagang Melayu telah berlayar ke Sulawesi dan singgah di pasar-pasarnya.Salah satu jualan di sana ialah jualan kitab-kitab,manuskrip dan hikayat.Pedagang-pedagang Melayu telah membeli mana-mana kitab atau manuskrip yang sempat dan dari sinilah Orang Besar itu meminta Tun Seri Lanang menyusun kembali semua manuskrip itu menjadi Sulalatus Salatin yang kita tatap pada hari ini.Ini bermakna terdapat puluhan malah ratusan lagi hikayat-hikayat Melayu di Gowa itu.Dari sinilah kemungkinan besar para pengarang La Galigo mendapat ilham mengarang hikayat panjang tersebut.
Di antara manuskrip-manuskrip tersebut,terdapat sebuah manuskrip yang menceritakan seorang raja yang memerintah Nusantara lama sebelum lahirnya Raja Suran.Raja ini juga mempunyai empayar maritimnya sendiri,cara yang akan berulang-rulang kali muncul selepasnya.Namanya ialah Hari.
Beribu-ribu tahun sebelum wujudnya Sriwijaya,Emperor Hari telah berkuasa di The Land of Gods.Kuasa yang paling dicemburui oleh para musuhnya ialah:
Perdagangan maritim.
THE FEDERATION OF MARITIME POWERS & SEAPORTS
"Srivijaya is remembered today not for its temples or even its own literary records but in the literature of foreign countries, whose merchants enjoyed the facilities of the Malay seafarers "
( O. Wolters )
Tidak dinafikan,kewujudan sesuatu entiti itu adalah disebabkan kesan-kesan yang ditinggalkan.Peradaban Assyria jika dikaji dari segi kota-kota atau bangunan-bangunan...memang hampir tiada dan hampir mustahil untuk dibuktikan kewujudannya.Ibukotanya,Nineveh kini sudah rata menjadi pasir.Namun adakah peradaban Assyria itu tidak wujud hanya disebabkan Nineveh sudah hilang dari muka bumi?
Peradaban Assyria wujud disebabkan beratus-ratus prasasti,manuskrip,catatan-catatan ahli sejarah,helaian-helaian kitab agama dan rekod-rekod kerajaan yang akhirnya membuktikan bahawa peradaban ini benar-benar wujud.Sebab itu,walaupun Nineveh hanya tinggal lagenda,keberadaannya mampu dibuktikan melalui sumber-sumber bertulis yang lain.Inilah yang terjadi kepada empayar maritim ini;Sriwijaya.
Pada tahun 1918,selepas beberapa tahun meneliti,akhirnya George Coedès dari École française d'Extrême-Orient (Institut Kajian Timur Jauh Perancis) yang ketika itu berkedudukan sebagai pengarah telah mengemukakan satu nama yang kemudiannya membuka satu rahsia besar kepada sejarah Asia Tenggara.Beliau mendapati terdapat satu empayar maritim yang hilang di Asia Tenggara di mana bukti kewujudannya berada dalam pelbagai bentuk sumber;dari prasasti,rekod dari China,riwayat dari India dan Sri Lanka,serta catatan-catatan pengembara Arab dan Parsi.Beliau mendapati nama 'Sanfotsi' yang tercatat di dalam rekod-rekod kuno China adalah entiti yang sama dengan 'Sribhoja' yang terdapat dalam teks-teks Arab dan India.Beliau juga merujuk entiti yang sama muncul dalam prasasti-prasasti yang ditemui di Sumatera,tertulis dalam bahasa Melayu Kuno.Teks-teks China juga kadangkala menyebutkannya sebagai 'Shilifoshih' sementara Sumatera muncul dalam manuskrip-manuskrip kuno dengan nama 'San Fo Qi' atau 'Sanfotsi'.
Goerge Coedes telah menjumpai satu empayar maritim yang dahulunya amat berkuasa di Asia Tenggara!
Penemuan Coedes ini telah mencantum beratus-ratus 'puzzle' yang lain;empayar yang sama disebut dalam rekod-rekod China,prasasti di Nusantara dan India,juga catatan-catatan pengembara Arab dan Parsi.Kesemua rekod-rekod luar negara ini pula bertepatan dengan prasasti-prasasti yang ditemui di seluruh Asia Tenggara.Antaranya Prasasti Ligor,Prasasti Chaiya,Laguna Copperplate,Prasasti Kedukan Bukit,Prasasti Telaga Batu,Prasasti Talang Tua,Prasasti Tanjore dan sebagainya.Kesemua rekod bertulis ini mengukuhkan kewujudan empayar maritim paling misteri dalam sejarah dunia.
Kewujudan Sriwijaya tidak diketahui dengan tepat bilakah ianya bermula.Catatan dari pengembara yang juga sami Buddha dari China,I-Tsing,adalah ketika Sriwijaya mencapai tahap kemuncaknya.Ketika itu,Sriwijaya menjadi pusat pengajian Buddha Mahayana terbesar di dunia sehinggakan para sami Buddha dari China wajib mempelajari bahasa Sanskrit di Sriwijaya sebelum melanjutkan pengajian ke India.Sriwijaya memerlukan beratus tahun untuk muncul sebagai empayar yang terkenal!
Catatan dari K.A Nilakanta Sastri menyatakan wujud rekod-rekod dari manuskrip-manuskrip purba India bahawa terdapat kewujudan hubungan perdagangan dengan Asia Tenggara sejauh 300 tahun Sebelum Masehi.Para sarjana Tamil lebih cenderung menyebutkan ini sebagai 'hubungan dagang dengan Sriwijaya'.
Sriwijaya umumnya diketahui sejauh apa yang dicatat dalam Prasasti Kedukan Bukit.Menggunakan skrip Pallava,dalam bahasa Melayu Kuno:
Swasti Shri Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa wulan Waishaka dapunta hiyang naik
Disambau mangalap siddhayatra di Saptami Shuklapaksa
Wulan Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga
Tamvan (Tamvar?) mamawa jang bala dua laksa dangan
dua ratus tsyara disambau dangan jalan saribu
Tlu ratus sapuloh dua banyaknya. Datang di Matajap (Mataya?)
Sukhatshitta. Di pantshami shuklapaksa Wulan
Laghu mudik datang marwuat manua
Syriwijaya jayasiddhayatra subhiksa.
Maksud dalam bahasa Melayu Moden:
Selamat dan Bahagia. Dalam Syaka 605
Sebelas hari Bulan Waisyaka. Baginda naik kapal
Mencari untungnya pada tujuh hari
Bulan Jyestha, Baginda berlepas dari Muara
Tamvan membawa bala dua laksa dengan
Dua ratus pawang di kapal dengan jalan seribu
Tiga ratus sepuluh dua banyaknya. Datang di Matajap
Sukacita. Di lima hari Bulan
Belayar mudik datang membuat benua
Srivijaya kota yang jaya, bahagia dan makmur.
Ketika ini,seorang maharaja Sriwijaya yang bernama Dapunta Hiyang Jayanasa telah berlayar ke Palembang pada tahun 682 Masehi untuk membina kota Sriwijaya dengan membawa tentera sebanyak 2000 orang,200 pawang dan 1312 tentera berjalan kaki.Dari sinilah pengkaji mengetahui nama empayar ini:Sriwijaya.Inilah prasasti yang tidak ternilai kepentingannya dalam membuktikan kewujudan empayar maritim ini.
Siapakah Sriwijaya?
Satu perkara yang menarik tentang Sriwijaya,kewujudan direbut oleh pelbagai negara pada hari ini.Contohnya Thailand yang mendakwa Sriwijaya bermula di wilayah selatan Thai,tepatnya di Chaiya.Kemboja menampilkan nama-nama raja dinasti Sriwijaya yang memerintah Angkor dan Kamboja,juga penemuan Prasasti Ligor di perbatasan Kemboja menunjukkan asal-usul dinasti ini terutama Sailendra adalah dari Funan yang terletak di Kemboja.Sri Lanka menampilkan sejarah raja Vijaya yang kononnya bermigrasi ke Sumatera dan mewujudkan kerajaan Sriwijaya.India menyatakan hipotesis tentang orang Malayalam yang berhijrah ke Sumatera.Juga tentang legenda Raja Vijaya.Malaysia dengan Kesultanan Melakanya yang dikatakan warisan mutlak Sriwijaya disamping teori Sriwijaya berasal dari wilayah Langkasuka.Dan akhirnya sudah pasti,Indonesia dengan Sriwijaya sebagai lambang kemegahan kebangsaannya.
Terdapat juga suku kaum tertentu yang cuba menaikkan prestij kaumnya dengan mendakwa empayar ini milik mereka.Namun malangnya mereka tidak mampu menampilkan apa jua prasasti atau bukti bertulis bahawa kaum mereka pernah memerintah Sriwijaya.Sriwijaya hanya mengeluarkan prasasti dalam bahasa Sanskrit atau Melayu Kuno atau campuran kedua-dua bahasa.
Ini adalah bukti jelas kepada para sarjana seluruh dunia bersepakat bahawa Sriwijaya ADALAH EMPAYAR ORANG-ORANG MELAYU.Maharaja-maharajanya menuliskan dengan megah kerajaan dan nama keluarga dinasti mereka dalam bahasa Melayu Kuno!
Dari Sriwijaya inilah,kebudayaan Melayu tersebar ke seluruh pelusuk Asia Tenggara.Bahasa Melayu menjadi lingua franca,bahasa perdagangan,bahasa pentadbiran dan bahasa persuratan.Taraf bahasa Melayu di Asia Tenggara adalah setaraf dengan bahasa Latin.Dahulu,raja-raja Eropah wajib mempelajari bahasa Latin untuk berhubung antara kerajaan-kerajaan di Eropah.Seorang kerabat diraja Perancis contonya,disamping berbahasa Perancis,dia juga wajib mempelajari bahasa Latin.Bagaimanakah bahasa Latin menjadi lingua franca?
Melalui Empayar Rom.
Bagaimanakah bahasa Melayu menjadi lingua franca?
Melalui Empayar Sriwijaya.
Faktor bahasa ini adalah hujah terkuat untuk membuktikan bahawa Sriwijaya adalah milik mutlak bangsa Melayu.Sebagai contoh,sekiranya Sriwijaya adalah milik orang-orang Tausug,adalah tidak relevan maharaja-maharaja Tausug menuliskan prasasti dalam bahasa Melayu Kuno.Sekiranya teori bahasa Melayu hanya berfungsi sebagai bahasa perdagangan (ini teori yang selalu dicipta oleh fanati-fanatik sukukaum tertentu yang buta sejarah),ini bermakna sebelum kemunculan maharaja-maharaja Tausug ini,ADA SEBUAH EMPAYAR YANG MENYEBABKAN BAHASA MELAYU MENJADI LINGUA FRANCA.Bahasa menjadi lingua franca,adalah disebabkan hegemoni pemerintahan sesebuah kerajaan.Bahasa Inggeris menjadi dominan pada hari ini kerana British pernah menjadi empayar kolonial terbesar di dunia.Penguasaan British di Amerika menyebabkan bahasa Inggeris menjadi dominan di Amerika walaupun selain imigran British,terdapat juga imigran dari kalangan bangsa-bangsa Eropah yang lain seperti imigran Itali,Jerman,Perancis,Sepanyol dan sebagainya.Bahasa Arab menjadi lingua franca di Timur Tengah kerana penguasaan wilayah oleh empayar-empayar khalifah Islam pada masa dahulu.Bahasa Sepanyol menjadi dominan di Amerika Selatan kerana kesan penjajahan Sepanyol di sana.JADI KONSEP BAHASA MENJADI LINGUA FRANCA ADALAH DISEBABKAN OLEH HEGEMONI PEMERINTAHAN.
Perhatikan Prasasti Kota Kapur ini:
Siddha titam hamba nvari i avai kandra kayet ni paihumpaan namuha ulu lavan tandrun luah makamatai tandrun luah vinunu paihumpaan hakairum muah kayet ni humpa unai tunai.
Umentern bhakti ni ulun haraki. unai tunai kita savanakta devata mahardika sannidhana. manraksa yan kadatuan çrivijaya. kita tuvi tandrun luah vanakta devata mulana yan parsumpahan.
paravis. kadadhi yan uran didalanna bhami paravis hanun. Samavuddhi lavan drohaka, manujari drohaka, niujari drohaka talu din drohaka. tida ya.
Marppadah tida ya bhakti. tida yan tatvarjjawa diy aku. dngan diiyan nigalarku sanyasa datua. dhava vuathana uran inan nivunuh ya sumpah nisuruh tapik ya mulan parvvanda datu çriwi-
jaya. Talu muah ya dnan gotrasantanana. tathapi savankna yan vuatna jahat. makalanit uran. makasuit. makagila. mantra gada visaprayoga. udu tuwa. tamval.
Sarambat. kasihan. vacikarana.ityevamadi. janan muah ya sidha. pulan ka iya muah yan dosana vuatna jahat inan tathapi nivunuh yan sumpah talu muah ya mulam yam manu-
ruh marjjahati. yan vatu nipratishta ini tuvi nivunuh ya sumpah talu, muah ya mulan. saranbhana uran drohaka tida bhakti tatvarjjava diy aku, dhava vua-
tna niwunuh ya sumpah ini gran kadachi iya bhakti tatvjjava diy aku. dngan di yam nigalarku sanyasa dattua. çanti muah kavuatana. dngan gotrasantanana.
Samrddha svasthi niroga nirupadrava subhiksa muah vanuana paravis chakravarsatita 608 din pratipada çuklapaksa vulan vaichaka. tatkalana
Yan manman sumpah ini. nipahat di velana yan vala çrivijaya kalivat manapik yan bhumi java tida bhakti ka çrivijaya.
Terjemahan dalam bahasa Melayu Moden:
Keberhasilan ! (disertai mantera persumpahan yang tidak difahami ertinya)
Wahai sekalian dewata yang berkuasa, yang sedang berkumpul dan melindungi Kadātuan Śrīwijaya ini; kamu sekalian dewa-dewa yang mengawali permulaan segala sumpah !
Bilamana di pedalaman semua daerah yang berada di bawah Kadātuan ini akan ada orang yang memberontak yang bersekongkol dengan para pemberontak, yang berbicara dengan pemberontak, yang mendengarkan kata pemberontak;
yang mengenal pemberontak, yang tidak berperilaku hormat, yang tidak takluk, yang tidak setia pada saya dan pada mereka yang oleh saya diangkat sebagai datu; biar orang-orang yang menjadi pelaku perbuatan-perbuatan tersebut mati kena kutuk biar sebuah ekspedisi untuk melawannya seketika di bawah pimpinan datu atau beberapa datu Śrīwijaya, dan biar mereka
dihukum bersama marga dan keluarganya. Lagipula biar semua perbuatannya yang jahat; seperti mengganggu :ketenteraman jiwa orang, membuat orang sakit, membuat orang gila, menggunakan mantra, racun, memakai racun upas dan tuba, ganja,
saramwat, pekasih, memaksakan kehendaknya pada orang lain dan sebagainya, semoga perbuatan-perbuatan itu tidak berhasil dan menghantam mereka yang bersalah melakukan perbuatan jahat itu; biar pula mereka mati kena kutuk. Tambahan pula biar mereka yang menghasut orang
supaya merusak, yang merusak batu yang diletakkan di tempat ini, mati juga kena kutuk; dan dihukum langsung. Biar para pembunuh, pemberontak, mereka yang tak berbakti, yang tak setia pada saya, biar pelaku perbuatan tersebut
mati kena kutuk. Akan tetapi jika orang takluk setia kepada saya dan kepada mereka yang oleh saya diangkat sebagai datu, maka moga-moga usaha mereka diberkahi, juga marga dan keluarganya
dengan keberhasilan, kesentosaan, kesehatan, kebebasan dari bencana, kelimpahan segalanya untuk semua negeri mereka ! Tahun Śaka 608, hari pertama paruh terang bulan Waisakha (28 Februari 686 Masehi), pada saat itulah
kutukan ini diucapkan; pemahatannya berlangsung ketika bala tentara Śrīwijaya baru berangkat untuk menyerang bhūmi jāwa yang tidak takluk kepada Śrīwijaya.
Kita akan berjumpa beberapa perkataan yang masih wujud dalam bahasa Melayu Moden seperti=
1.hamba
2.sumpah
3.kasihan
3.tunai
4.jahat
5.aku
6.uran (orang)
7.yan (yang)
8.ka (ke)
Terdapat berpuluh-puluh lagi prasasti dalam Bahasa Melayu Kuno ditulis oleh Empayar Sriwijaya,untuk merekodkan watikah empayar ataupun pemberitahuan peristiwa.Dari prasasti ini jelaslah bahawa Empayar ini diperintah oleh raja-raja Melayu Kuno dan ini bertepatan dengan bukti-bukti dari Indochina.Dari Inskripsi Po Klaus Garai:
Dalam Saka 972,Pulyang Sri Devaraja mahsenapati, anak saudara perempuan Sri Paramesvaravarmadeva, datang untuk mengambil kota Pandranga untuk Sri Paramesvaravarmadeva.
Ketika itu negeri Champa dalam pengaruh Sriwijaya dengan dibuktikan nama diraja 'Yang Pu Ku Vijaya Sri' ditemui dalam prasasti di Vietnam.Perhatikan perkataan 'mahsenapati' dan ini adalah gelaran jawatan dalam sistem Kedatuan (Emperial) Sriwijaya.
Prasasti Ligor pula yang ditemukan di selatan Thai menceritakan tentang Raja Sriwijaya dan pembangunan trisamayacaithya untuk menyembah dewa-dewa agama Buddha, serta menyebutkan seorang raja bernama Vishnu dengan gelar Sarwarimadawimathana atau pembunuh musuh-musuh yang sombong tiada bersisa. Begitu pula prasasti Nalanda yang dikeluarkan oleh Raja Dewa Paladewa. Isinya menyebutkan tentang pendirian bangunan biara di Nalanda oleh Raja Balaputradewa, Raja Sriwijaya yang menganut agama Buddha.
Wilayah kekuasaan Sriwijaya meliputi seluruh Sumatera,Jawa,
Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Ayutthaya di selatan Thai,menjangkau ke Kemboja sehingga ke Vietnam Tengah (Champa).Kemudian ke timur mencapai Borneo,Sulawesi dan Kepulauan Filipina.Dengan menguasai Selat Melaka, Selat Sunda,Laut Sulu dan Laut Jawa,Sriwijaya menjadi penguasa lautan Asia Tenggara paling digeruni dengan autoritinya mengutip cukai ke atas kapal dagang yang lalu di Asia Tenggara.Prasasti Ligor mempunyai dua bahagian.
Dalam prasasti Ligor (A):
“Pujian terhadap raja Sriwijaya yang di ibaratkan bagai Mnu yang
memberi berkah bagi dunia menyerupai Indra dan semua raja tetangga
taat kepadanya ditulis pula pendirian sebuah bangunan batu
trisamayacahtya untuk padma, pani, sakyamuni, dan wajrpani”.
Prasasti Ligor (B):
"Pujian bagi raja yang berhasil menaklukkan musuh-musuhnya dan
merupakan wujud kembar dewa kasta yang dengan kekuatannya
disebut (sebagai dewa) Wisnu, kedua mematahkan keangkuhan semua
musuhnya (Sarwarimadawimthana). Ia adalah keturunan dari (keluarga
Syailendra) yang tersohor disebut Srimaharaja.”
Membincangkan prasasti-prasasti Sriwijaya memerlukan ruang penulisan yang amat besar,mungkin beberapa buah tesis setebal ensiklopedia.Kewujudan prasasti-prasasti berbahasa Melayu Kuno ini membuatkan Sriwijaya tidak syak lagi merupakan hak milik bangsa Melayu yang paling tidak diragukan dan membatalkan apa jua dakwaan tidak berpelajaran sukukaum-sukukaum tertentu yang gagal menampilkan apa jua prasasti dalam bahasa sukukaum mereka,bagi menuntut nama agung Sriwijaya.
Catatan-catatan Para Pengembara Arab dan Parsi
Para pengembara Arab dan Parsi adalah salah satu sumber terpenting disamping rekod dari China.Legenda para pengembara Arab dan Parsi ini muncul dalam kisah-kisah pelayaran Sinbad.Sriwijaya sebagai penguasa lautan Asia Tenggara,akan mudah dikunjungi oleh para pedagang dan pengembara dari seluruh dunia,termasuk dari Arab dan Parsi.Orang Arab Kuno memanggil orang-orang Sriwijaya sebagai Zabaj,merupakan transliterasi bagi sebutan Jawak atau Javaka yang terakam dalam kitab-kitab Pali Kuno.
Dalam catatan pengembara Arab disebutkan tentang kerajaan Zabag:
"Di Laut Champa (Laut China Selatan) adalah empayar sang Maharaja, raja seluruh kepulauan,yang berkuasa atas kerajaan tanpa batas dan mempunyai pasukan tak terhitung banyaknya.Bahkan kapal yang paling terpantas tidak dapat menyelesaikan dalam masa dua tahun mengelilingi pulau-pulau yang berada di bawah pengaruhnya.Wilayah raja ini menghasilkan segala macam rempah-rempah dan aromatik,dan tiada kerajaan lain (sebagaimana empayar ini) mampu mendapatkan banyak kekayaan dari bumi"
-Catatan pengembara Arab Al Ma'sudi pada 943 Masehi yang melawat Sriwijaya / Zabag / Sribuza.
Dalam catatan di atas,kita tahu bahawa Zabaj ini menguasai seluruh kepulauan dan mempunyai armada tentera yang ramai.Keluasan jajahannya sehinggakan kapal yang paling pantas pun tidak mampu menghabiskan pelayaran mengelilingi seluruh jajahan Zabaj dalam tempoh 2 tahun.Komoditi utama yang didagangkan oleh Zabaj ialah REMPAH RATUS dan WANG-WANGIAN.Rempah ratus amat diperlukan di dunia sebelah Barat kerana rempah boleh memanaskan badan dikala cuaca sejuk.Rempah sering dimasukkan ke dalam arak sebagai tonik.Wangi-wangian ialah kemenyan,dan kemenyan memang disukai oleh orang Arab.Dua benda ini adalah komoditi paling mahal ketika itu sehinggakan ia memberi kekayaan yang tiada taranya berbanding kerajaan-kerajaan lain di dunia.Maharaja Sriwijaya menjadi terlampau kaya sehinggakan dalam catatan pengembara Parsi,setiap pagi,maharaja akan mencampakkan syiling emas ke dalam sebuah kolam sebagai ritual.Selepas kemangkatan maharaja itu,para kerabat diraja berebut-rebut mengaut kembali timbunan duit emas yang mendap di dasar kolam!
Pada abad ke-12 Arab Geografi El Idrisi menulis dalam Kitab Rujar tentang penduduk Zabaj yang melakukan perjalanan ke Sofala dan Zanj di pantai sub-Sahara Afrika:
"Penduduk dari Zabaj pergi ke tanah Sofala dan mengeksport besi dari sana dan membekalkannya untuk seluruh wilayah India. Tidak ada besi setanding dengan mereka dalam kualiti dan ketajaman ...... Penduduk Zabaj selalu diperlukan di Zanj di kedua-dua kapal besar dan kecil dan memperdagangkan barang dagangan mereka sesama sendiri,kerana mereka memahami bahasa masing-masing"
Sememangnya telah diketahui umum bahawa salah satu pelabuhan kesayangan Sriwijaya,Kalah (Kedah) adalah pelabuhan antara terkaya yang mengeksport besi ke India.Menakjubkan,catatan pengembara Arab ini telah terbukti pada hari ini apabila penemuan tamadun Sungai Batu di Kedah telah menyaksikan tapak-tapak loji pembakaran besi dan ini bertepatan dengan catatan dari El Idrisi!
Di Universiti Leiden terdapat satu kitab berbahasa Parsi ditulis pada abad ke-16,`Ajâ’ib al-Makhlûqâ,menceritakan maharaja Sriwijaya duduk di atas takhta yang diperbuat dari emas padu sambil dikelilingi oleh dayang-dayang yang cantik jelita.Terdapat berpuluh-puluh lagi kitab Parsi Kuno yang masih dikaji kemungkian besar menyimpan rahsia paling rumit tentang hubungan antarabangsa orang-orang Melayu Sriwijaya dengan empayar Parsi dan Rom.Sejarah orang Melayu terakam indah dalam catatan orang asing,ditulis megah bagaikan raja-raja kayangan dan kerajaan-kerajaan bunian.
No comments:
Post a Comment