Kaum wanita terutama anak-anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderic ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh malah ada yang dibakar hidup-hidup. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam ketakutan. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika, sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan kerajan Islam.
Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta, menaruh perasaan marah dan dendam kepada Raja Roderic kerana memperkosa Florida, puterinya yang cantik jelita. Bagi membalas dendam kepada raja yang zalim itu, dia berangkat ke Afrika lalu menghadap Musa bin Nusair, wakil khalifah Islam di Afrika. Julian meminta bantuan tentera Islam bagi menumbangkan pemerintahan Raja Roderic.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Musa bin Nusair segera mempersiapkan sebuah angkatan perang seramai 12 belas ribu orang bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat negara itu daripada penindasan. Dia melantik Tariq bin Ziyad bagi memimpin angkatan perang itu.
Dengan menaiki 12 buah kapal perang, tentera islam menuju ke benua Eropah itu. Selepas mendarat di Andalusia, Tariq bin Ziyad segera memerintahkan kapal-kapal perang yang mereka naiki dibakar. Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan daripada sebahagian besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta benda awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka sendiri. Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal yang mereka naiki sudah dibakar.
Untuk memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kini dikenali nama Gibraltar (Jabal Tariq) lalu Tariq bin Ziyad berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini,
"Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, dihadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!"
Kata-kata keramat Tariq bin Ziyad itu berjaya meniupkan kambali semangat jihad di kalangan tentera Islam. Dengan semangat yang berkobar-kobar mereka mara menentang tentera Raja Roderic yang berjumlah 100 ribu orang.
Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba atau budak suruhan milik Musa bin Nusair. Dia akhirnya dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya kerana mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12 ribu tentera Islam ke Andalusia. Pada mulanya tujuan penghantaran tentera adalah bagi meninjau keadaan tempat dankekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang akan dipimpin oleh Musa bin Nusair. Tetapi Tariq bin Ziyad berfikiran sebaliknya. Dia menganggap mereka Andalusia demi mati syahid ataupun mengalahkan musuh. Oleh itu, dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang ke tanah air.
Pada 19 Julai 711 masihi, terjadilah pertempuran antara tentera islam yang dipmpin oleh Tariq bin Ziyad dengan tentera Gothic yang dipimpin oleh Raja Roderic. Peristiwa itu berlaku berhampiran dengan sungai Barbat kerana di situlah tentera Gothic berkumpul bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang membakar dalam diri, mereka berjaya memberi pukulan hebat kepada musuh. Akhirnya, tentera Gothic tewas dan Raja Roderic mati lemas di sungai Barbat ketika cuba melarikan diri.
Kekalahan itu amat memalukan tentera Gothic lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam daripada tanah air mereka. Tetapi tentera Islam bertambah kuat dengan kedatangan tentera tambahan dari Afrika yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair.
Kemudian terjadilah satu lagi pertempuran paling sengit di Ecija. Dalam pertempuran itu, tentera yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair. Dan sekali lagi tentera Islam mencapai kemenangan. Tariq bin Ziyad belum berpuas hati dengan kemenangan itu. Dengan persetujuan Musa bin Nusair, tentera Islam dibahagikan kepada empat pasukan sebelum dihantar ke Cordoba, Malaga dan Granada. Tariq bin Ziyad sendiri memimipin pasukan utama menuju ke Toledo, ibu kota Andalusia. Keempat-empat kota itu dapat ditakluki dengan mudah oleh tentera Islam tanpa mendapat tentangan sengit.
Antara faktor kejayaan gemilang tentera Islam di Andalusia kerana rakyat negara itu sememangnya sudah benci dengan pemerintahan Raja Roderic yang zalim. Oleh itu, kedatangan tentera Islam dianggap sebagai penyelamat malah ada yang sanggup bergabung dengan tentera Islam bagi memerangi tentera Gothic.
Rakyat Andalusia yang sekian lama hidup menderita di bawah kekuasaan tentera Gothic tertarik dengan dengan kebaikan perilaku tentera Islam. Seorang ahli sejarah Philip K.Hitti berkata,
"Penaklukan Sepanyol merupakan perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam."
Penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar-benar diakui. Rakyat Andalusia yang sudah lama menderita akibat penindasa digantikan dengan kebaikan pemerintahan Islam.
Rakyat tidak lagi merasa tertindas dan harta mereka terpelihara. Paderi-paderi Kristian yang pada mulanya menyembunyikan diri kerana khuatir dengan tindak balas orang-orang Islam kembali semula ke kampung halaman bagi memulakan kehidupan baru di bawah kekuasaan Islam yang adil.
Tariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah. Tetapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Ketika persiapan sedang giat dilakukan, tiba-tiba Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik. Sebagai panglima tentera yang berdisiplin, dia mematuhi arahan itu. Niat mahu menakluki Eropah terpaksa dibatalkan. Tariq bin Ziyad maninggal dunia di Damsyik. Namanya tercatat dalam sejarah sebagai panglima yang menggerunkan pasukan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Raja Roderic. Hingga kini, Gibraltar atau asalnya Jabal Tariq yang bermakna Bukit Tariq masih abadi di Andalusia, Sepanyol.
Atas usahanya, kerajaan Islam al-Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Di Sepanyol beliau telah menjadi legenda sehingga digelar "Tariq El-Tuerto" yang bermaksud "Tariq bermata satu".
sumber: iLuvislam
No comments:
Post a Comment