Sunday, June 6, 2010

10 bilik hotel termewah di dunia

  1. Ketika orang ramai terpaksa mengikat perut untuk mencukupkan keperluan harian dengan rezeki yang semakin berkurangan, ada sekelompok manusia terus bersenang-lenang di hotel paling mewah di dunia.
    Sumber perhotelan terbabit berkata, mereka tidak berdepan dengan masalah mendapatkan tempahan bagi bilik masing-masing.
    Malah, ada antaranya menaikkan kadar sewa dua kali ganda kepada RM229,483 satu malam.
    Kaji selidik tahunan Wealth Bulletin menyenaraikan 10 hotel termahal di dunia seperti berikut:


    1. Royal Penthouse Suite, Hotel President Wilson (Geneva)
    – RM229,483 satu malam

    Dilengkapi lounge koktail, suite ini hanya boleh ditempah melalui pengerusi hotel. Ia terletak di tingkat teratas bangunan dan hanya boleh dimasuki menggunakan tangga bergerak persendirian.

    Empat bilik di dalamnya menghadap Tasik Geneva dan Mont Blanc - gunung tertinggi di Alps dan Eropah Barat.

    Ia juga dilengkapi enam bilik mandi, manakala kemasan luarnya menggunakan kaca kalis peluru.

    Biasanya menjadi tempat penginapan ketua kerajaan, selebriti atau diplomat.


    2. Penthouse Ty Warner, Hotel Four Seasons (New York)
    – RM123,567 satu malam

    Seorang jurucakap Hotel Four Seasons berkata, bisnes mereka tidak pernah terjejas sejak suite itu dibuka pada 2007.

    Mempunyai sembilan bilik, hiasan dalamannya diserikan dengan ribuan mutiara, selain taman persendirian, bilik spa peribadi dihiasi pokok buluh dan perpustakaan.

    Satu piano besar diletakkan di tengah suite ini.


    3. Suite Presidential Suite, Hotel Cala di Volpe (Costa Smeralda, Sardinia)
    – RM120,000 satu malam

    Ketika cuti musim panas mencapai kemuncaknya, sewaan suite ini boleh meningkat kepada RM158,873 untuk satu malam.

    Terletak di bangunan menara hotel, bilik ini seluas lebih 232 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, tiga bilik mandi, gimnasium persendirian, bilik wap dan koleksi wain mahal.

    Di bahagian luar, penyewa boleh menikmati kolam renang air masin terbuka.


    4. Suite Villa La Cupola Suite, Westin Excelsior (Rome)
    – RM109,446 satu malam

    Ruang penginapan di Westin Excelsior menampilkan hiasan era Roman dan jacuzzi ala zaman Pompeii, lukisan dinding dan siling, serta kaca berhias digandingkan dengan seni reka moden.

    Terletak di tingkat lima dan enam, suite ini mempunyai luas hampir 567 meter persegi, tidak termasuk 168 meter persegi balkoni dan kawasan rehat memandang ke arah Via Veneto - jalan paling terkenal dan mewah di Itali.


    5. Suite Presidential Suite, Ritz-Carlton (Tokyo)
    – RM88,162 satu malam

    Terletak di tingat teratas bangunan tertinggi di ibu negara Jepun, penghuni suite ini boleh menikmati pemandangan Gunung Fuji dan Roppongi, serta suasana bandar raya Tokyo.

    Ia berkeluasan 220 meter persegi.

    Penginap juga dihidangkan arak Martini, Diamonds-Are-Forever bernilai lebih RM63,000 yang berisi sebutir berlian di dasarnya.


    6. Suite The Bridge, The Atlantis (Bahamas)
    – RM77,615 satu malam

    Suite 10 bilik ini sebenarnya jambatan yang menghubungkan dua menara Hotel Atlantis.

    Terletak di tingkat 23, suite ini dihiasi lantai marmar, sebuah piano bear dan lampu gantung bertatah emas 22 karat.

    Sebelum ini, premis itu digelar Suite Michael Jackson kerana pernah menjadi tempat penginapan kegemarannya.

    Suite The Bridge sangat eksklusif sehinggakan hotel terbabit tidak pernah mengiklankannya kepada umum.


    7. Suite Imperial, Park Hyatt Vendôme, (Paris)
    – RM70,560 satu malam

    Suite ini berkonsepkan spa dalam bilik dengan bilik mandi dan spa bersama tab whirlpool, bilik wap dan meja urut.

    Memiliki keluasan 232 meter persegi, ruang tamunya sangat luas, selain ruang makan, dapur dan pejabat yang selesa.


    8. Suite Diraja, Burj al-Arab (Dubai)
    – RM69,148 satu malam

    Sejak dibina pada pertengahan 1990-an, Burj al-Arab menjadi satu daripada hotel paling cepat terkenal di dunia, antara lain kerana reka bentuknya yang amat unik.

    Suite Diraja di tingkat 25 menara Burj al-Arab dihiasi anak tangga marmar bertatah emas, permaidani kulit corak harimau bintang, lif persendirian dan katil berbumbung berputar.


    9. Suite Royal Armleder, Le Richemond (Geneva)
    – RM66,679 satu malam

    Bilik ini dinamakan sempena keluarga kaya yang pernah memiliki hotel ini sebelum ia berpindah tangan kepada Rocco Forte pada Ogos 2004.

    Suite tiga bilik tidur ini memiliki keluasan 232 meter persegi terletak di tingkat tujuh, selain beranda seluas lebih 90 meter persegi menghadap pemandangan Tasik Geneva.

    Cerminnya pula adalah daripada jenis kalis peluru.


    10. Suite Ritz-Carlton, The Ritz-Carlton (Moscow)
    – RM58,212 satu malam

    Dihiasi reka bentuk zaman silam Russia, suite seluas 220 meter persegi ini menghadap pelbagai tapak terkenal di Moscow, termasuk Kremlin dan Medan Merah.

    Ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan memenuhi kehendak jutawan Russia, iaitu bilik berkubu dengan kemudahan elektrik dan telekomunikasi tersendiri.

No comments:

Post a Comment