Sunday, January 2, 2011

Safee Sali Wira Bola Sepak Malaysia!

Safee Sali

PERSIS legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Itulah gambaran yang dapat diberikan ketika melihat aksi penyerang negara Mohd. Safee Mohd. Sali pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010.

Tidak keterlaluan sekiranya peminat bola sepak negara melabel Safee setaraf pemain legenda itu berdasarkan pencapaian itu.

Begitupun, penyerang yang berasal dari Kajang, Selangor ini mengambil sikap rendah diri dan merasakan dia masih belum layak untuk disamakan dengan legenda terkenal yang diberi jolokan Super Mokh itu.

Safee, 26, menjadi wira baru dalam arena bola sepak dan memberi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kembali berasa bangga dengan pasukan kebangsaan yang satu ketika dahulu antara yang digeruni di rantau ini.

“Saya berasa sangat bangga sekiranya ada yang menyamakan saya dengan Allahyarham Mokhtar. Itu adalah impian setiap pemain bola sepak untuk mencapai tahap seperti dia.

“Tapi bagi saya tahap permainan saya masih belum layak untuk disamakan dengan beliau. Mokhtar Dahari berada dalam kelas dan tahapnya tersendiri,” katanya.

Mungkin tuah Safee datang dari jersi nombor 10 yang disarungnya sama seperti arwah Mokhtar.

Kejayaan Safee menyumbat lima gol pada Piala Suzuki AFF 2010 melayakkan dia membawa pulang trofi sebagai penjaring terbanyak.

Dia telah mengenepikan penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang mengumpul tiga gol untuk menduduki tempat kedua.

Kejayaan itu turut mencipta sejarah paling berharga secara peribadi yang bukan sahaja membawa nama negara untuk julung kalinya menjuarai kejohanan dan menamatkan penantian selama 14 tahun.

Dia meledakkan dua gol pada separuh akhir pertama menewaskan Vietnam 2-0 dan dua gol ketika final pertama menewaskan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manakala pada final kedua yang berlangsung di Indonesia, Safee memastikan gelaran penjaring terbanyak menjadi miliknya apabila menyumbat satu gol biarpun Malaysia tewas 1-2.

Meskipun tewas pada final kedua, jaringan Safee itu menyumbang kemenangan dengan agregat 4-2, sekali gus mengakhiri penantian 14 tahun untuk menjadi ‘gergasi’ Asia Tenggara.

“Saya tidak pernah menduga atau meletakkan sasaran untuk menjadi penjaring terbanyak. Tambahan pula, ia merupakan kejohanan tertinggi di ASEAN.

“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana dia telah membantu saya untuk mencapai tahap ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Safee, sebelum memasuki padang, misi utamanya adalah untuk membantu Malaysia mencipta kemenangan secara berpasukan dan tidak ada langsung memasang misi peribadi.

Safee yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang puteri berusia dua tahun mula beraksi dalam saingan Liga Super seawal usia 19 tahun pada tahun 2003. Ketika itu dia beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur sehingga tahun 2004.

Dia sudah mula menunjukkan ‘belangnya’ apabila menjaringkan 11 gol dalam saingan Liga Perdana, sekali gus meletakkannya di tempat kedua di belakang Azman Adnan dalam senarai penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan.

Kemudian dia menyertai Sarawak selama semusim pada 2006 dan menyarung jersi Selangor bermula musim 2007 sehingga kini.

Safee pernah memberitahu dia menyimpan hasrat untuk beraksi di kelab-kelab luar negara suatu hari nanti.

“Tapi, apa yang paling utama adalah untuk bersama-sama pasukan Malaysia bagi berterusan mencipta sejarah baru dan berusaha melakukan lebih banyak kejayaan.

“Secara peribadi pula saya akan terus berusaha untuk meningkatkan tahap permainan bagi membolehkan saya mencuba nasib untuk menyertai kelab-kelab di luar negara.

“Mungkin dalam masa satu atau dua tahun lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment