Sunday, January 2, 2011

Legenda Seniman Tan Sri P Ramlee

Ketika aku dilahirkan, beliau telah tiada lagi. Aku hanya melihatnya di kaca tv berlatarbelakangkan hitam putih. Namun aku membesar bersama filem lakonannya yang mencuit hati, filem arahannya yang bermutu tinggi, malah lagu2 yang sentiasa menemani halwa telinga dengan alunan suaranya lunak merdu. Hasil karyanya begitu mengagumkan. Tidak hairan lah dia satu2nya insan seni yang tiada galang gantinya biarpun dia telah lama pergi, 37 tahun yang lalu. Ibu mertuaku, Pendekar Bujang Lapok, Penarik Becha antara filem yang cukup aku gemari dan tak jemu untuk kuhayati berulangkali. Dialah Tan Sri Dr P Ramlee (1929 - 1973) atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang merupakan seorang insan yang memperjuangkan seninya selama 25 tahun, seorang pelakon, penyanyi, pengarah filem, pengusaha filem, penggubah lagu, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia mahupun di Singapura.

Tersentuh hatiku biarpun entah kali yang ke berapa aku melihat bibliografi penuh beliau hasil terbitan Shuhaimi Baba di History Astro Channel. Hasil karyanya terus di terima zaman walaupun dia telah tiada lagi. Malah ramai generasi baru termasuk aku, yang langsung tidak berpeluang bertemu muka dengan beliau tetapi masih boleh menghayati hasil kerja beliau, menghargainya sebagai seniman sepanjang zaman. Beliau dilahirkan dengan dikurniakan Tuhan, bakat seni yang besar dan hebat. Syabas buat Shuhaimi Baba kerana menghasilkan bibliografi khas tersebut. Dari situ aku dapat mengetahui lebih mndalam sejarah episod ketika hayat beliau dengan lebih terperinci yang selama ini hanya dapat melihat hasil filem2 karya beliau di kaca tv sahaja.

Di kenali sebagai P Ramlee sejak 1947. Di lahirkan di Pulau Pinang pada pagi Aidilfitri, 22 Mac 1929 dan merupakan anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Aceh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang seibu dengannya.

Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light pada 1939, yang merupakan Sekolah Inggeris terulung di Pulau Pinang dan masih wujud sebagai sekolah rendah kebangsaan pada masa kini. Di sinilah minatnya dalam bidang muzik serta nyanyian dan lakonan mula kelihatan. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada 1941.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau bekerja menjadi peon di Eastern Smelting di tempat bapanya bekerja dan menjadi jurubahasa sambilan kepada majikannya. Kerana bimbang ditangkap dan dihantar sebagai buruh keretapi maut, beliau mengambil keputusan menyertai Sekolah Tentera Laut Jepun yang dinamakan Kaigun Gakko dan kembali semula ke Penang Free School apabila tamat perang.

Ketika di Sekolah Latihan Tentera Laut Jepun, beliau menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang dan berpeluang untuk belajar muzik.Guru muziknya, Hirahe San mengajar P Ramlee bermain piano, biola dan ukelele. Beliau juga menjadi guru bagi rekrut pelatih yang baru dan sebagai Kyuco kadet. Beliau berkesempatan menyertai konsert2 yang diadakan oleh tentera Jepun. Disinilah beliau berkenalan dengan Sukardi yang kemudian menjadi sahabat karibnya yang sama2 ikut serta dalam pancaragam dan juga sama2 berhijrah ke Singapura ketika menerima tawaran kerja di Studio Jalan Ampas.

P Ramlee mampu menguasai bahasa Jepun sehingga membolehkannya menjadi jurubahasa dan menyanyi lagu2 Jepun dengan lancar dan fasih. Pencapaian bahasa Inggerisnya juga agak baik walaupun beliau bukannya seorang yang suka membaca buku. Satu-satunya novel yang pernah dibacanya mengikut cerita dari seorang temannya ialah Athens, karya Achdiat K. Miharja.

Semasa kecil, bapa P Ramlee pernah membelikannya sebuah mendolin gitar dan sebuah violin. Dengan gitar dan violin ini, beliau berlatih bermain muzik di rumah 25A, Kampung Jawa Baru. Di atas tangga rumah inilah beliau mencipta lagu ‘Azizah’ dan’Mee Jawa’’. Semasa bermain dengan Pancaragam Rangkaian Melati tahun 1946, beliau mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian lagu keroncong dan mendapat tempat kedua dengan lagu keroncong gubahannya.

Menjadi juara Bintang Penyanyi Utara Malaya anjuran Radio Pulau Pinang di tempat Ketiga pada tahun 1945 dan juara pada pertandingan nyanyian kali yang ketiga pada tahun 1947. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya. Pada awal tahun 1947 juga, P Ramlee menganggotai pancaragam Coronation Amateur Party yang kemudiannya diubah nama kepada Pancaragam Teruna Sekampung dan di ikuti dengan Sinaran Bintang Sore. Di waktu inilah, beliau mula menunjukkan peningkatan bidang seni muziknya dengan bimbingan pemimpin pancaragam Mohd Zain bin Kechik.

Kemudian bergabung pula dengan Pancaragam Mustika di Butterworth. Pada setiap malam Sabtu, beliau bersama-sama dengan Master Ibrahim akan naik feri untuk pergi berlatih bersama pancaragam itu di Butterworth. Lagu ‘Azizah’ yang dipersembahkan P Ramlee dengan iringan Pancaragam Mustika ketika pertunjukan Pertanian Melayu Di Butterworth Pulau Pinang pada 1 Ogos 1948, mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh rantau Melayu. Dari situlah Ramlee mendapat tawaran menjadi penyanyi latar untuk filem-filem Malay Film Productions (MFP), Studio Jalan Ampas di Singapura.

Dari Kumpulan Teruna Sekampung bersama-sama Sukardi, beliau bergabung dengan Pancaragam Mutiara yang bermain muzik di sebuah restoran di Butterworth. Sewaktu diadakan pertandingan keroncong seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai, P Ramlee berpindah ke Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia sebagai pemain biola utama. Melalui lagu `Keroncong Oh Suci' yang dinyanyikannya, pancaragam ini bergelar juara dalam pertandingan yang diadakan.

Salah seorang gurunya yang menjadi kawan rapatnya ialah Cikgu Mohd Noor Ishak ( Allahyarham Cikgu Mohd Noor Tarzan) yang mesti ditemui P Ramlee jika melawat Pulau Pinang. Allahyarham Cikgu Mohd Noor Ishak adalah guru P Ramlee semasa bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan bertanggungjawab membawa P Ramlee ketika mengadakan persembahan tiap2 tahun di Pesta UMNO Pulau Pinang di tahun2 60-an dan 70-an.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakun di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Di dalam dunia seni suara pula, P.Ramlee telah mendendangkan 359 buah lagu. P Ramlee juga telah memenangi beberapa buah anugerah di Festival Filem Asia di Hang Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Taipei dan Tokyo. Tidak ketinggalan juga, Festival Filem Antarabangsa di Berlin.

P Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin pada 1950 dengan Junaidah Daeng Harris tetapi perkahwinan mereka tidak kekal lama. Junaidah menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama. Mempunyai dua orang anak kandung hasil perkahwinan pertamanya iaitu Mohd Nasir dan Arfan, juga seorang anak tiri bernama Abdul Rahman (anak Junaidah). Mereka bercerai pada tahun 1954

Perkahwinan kedua P Ramlee adalah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 februari 1955, seorang kerabat diraja Perak yang sanggup meninggalkan alam istana demi orang yang dicintainya itu. Norizan menyintai P Ramlee sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebabkan perkahwinan mereka retak. Mempunyai seorang anak bernama Sazali dan seorang anak tiri (anak Noorizan) iaitu Norma. Jodoh mereka berakhir pada tahun 1961

Kali terakhir adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 1961. Saloma menyintai P. Ramlee seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat. Hanya ada seorang anak tiri, Armali (anak Saloma dan A R Tompel) dan anak angkat bernama Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan Salfarina @ Dian. Anak2 beliau banyak membantunya dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami dari filem 3 Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contoh Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak).

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, semasa hayatnya beliau dianugerahkan darjah Ahli Mangku Negara (AMN) oleh YDP Agong ke3 pada 3 Jun 1964. Selepas pemergiannya pula, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di No. 22, Jalan Dedap, Taman P Ramlee, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P.Ramlee" pada tahun 1986. P Ramlee. berhijrah ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 20 April 1964 dengan arahan dari Shaw Brothers supaya Studio Merdeka dapat dikemaskinikan. Di rumah inilah beliau dan keluarganya bermastautin dan di rumah inilah beliau menghabiskan sisa2 hidupnya sebagai seorang SENIMAN AGUNG. Diriwayatkan bahawa hidupnya penuh sukar dan dipaliti duka di hujung usianya. Pemergiannya juga dikatakan kerana serangan jantung.


Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia. Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk "P Ramlee - The Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi".

Sepanjang riwayatku...
Tak pernah kini riang...
Hati yang gelap dulu....
Kini bercahaya....
Nur subuh telah menghilang...
Tak perlu ku bimbang...
Itulah akibat sabar...
Yang buruk kan bertukar...
Ku pohon pada Mu tuhan...
Cinta ku berkekalan...
Dahulu ku menangis...
Mengenang nasib badan...
ku berteman...
Tak siapa yang riang...
Oh hati ku telah hancur...
Tak dapat berhibur...
Ku tempuh segala dugaan....
Ketawa kemudian...
Kekasih menyelamatkan....
Daripada kehancuran

No comments:

Post a Comment