Monday, November 22, 2010

Zinnirah

Dalam keseronokan melaksanakan jamuan kelas yang telah dirancang bersempena meraikan habisnya peperiksaan dunia dan meraikan diri kami yang bakal memasuki program ijazah [insya-Allah~~] secara rasminya bermula Januari 2010, kami masih tidak lari dari tazkirah dan muhasabah yang ku rasakan amat bermakna sekali.

Betapa keindahan alam yang terbentang dapat menyentuh dan mengingatkan sanubari kecil ini mengenai kebesaran dan kekuasaan Al-Khalik. Terdetik dihati alangkah kerdilnya diri ini berbanding ciptaan-Nya yang lain, diri yang riwayatnya bermula dengan setitik air mani yang amat hina hinggakan jika ia terjatuh ke atas tanah, tidak ada seekor pun ayam yang sudi mematuk dan tidak ada seekor itik pun yang ingin menyudu..masya-Allah..

Larian air yang adakala tenang dan adakalanya deras membekas dalam jiwa ini lantas mengajak akal berfikir, begitu jugalah kehidupan setiap insan di alam fana’ ini. Hidup kita pasti tidak akan sunyi dari masalah juga ujian kerana dengan itu kita akan menjadi lebih kuat dan dekat kepada-Nya serta dapat mendidik hati agar sentiasa bersyukur juga berbaik sangka kepada Allah. Susah payah dan senang lenang, kedua-duanya adalah bentuk ujian Allah buat hamba-hamba-Nya dalam meningkatkan kedudukan kita disamping-Nya, insya-Allah…

Kata-kata temanku [syukran sahabat ^^] mengenai perbandingan hubungan antara air dan batu di tempat yang kami lawati itu langsung membangkitkan diriku yang telah lemas dalam angan yang panjang, sungguh tidak ku sedari tentang itu..terima kasih sekali lagi wahai sahabat.. Katanya, air dan batu merupakan dua unsur yang berlainan dan mempunyai sifat serta ciri yang berbeza, namun mereka mampu untuk hidup bersama untuk jangka masa yang lama sejak dari dulu hingga sekarang. Maka, kita sebagai manusia yang bersaudara atas satu aqidah yang suci pasti dapat hidup dengan keadaan yang aman dan damai bahkan lebih baik daripada itu kerana kita dikurniakan akal yang diberi kemampuan untuk membezakan perkara-perkara yang hak dan yang batil. Moga kita dapat mencontohi hubungan yang terjalin antara air dan batu tersebut,amiinn…

Paling tidak ku sangka ialah anugerah yang ku terima dalam majlis kecil tapi meriah ini. Zinnirah. Nama seorang serikandi Islam yang masyhur dalam sejarah silam. Masyhurnya kerana kekuatan dan kekentalan aqidah yang terbina dalam jiwanya walau diuji dengan pelbagai rintangan. Terasa tidak layak untuk ku menyandang dan menerima anugerah yang ku kira berat lagi tinggi darjatnya itu. Terlalu besar jurang yang tercipta antara diri yang serba kekurangan ini dengan serikandi terbilang itu. Ku harap agar dapat mencontohi kekuatan dan kemuliaan peribadinya dengan hati yang ikhlas dan istiqamah. Lantas ku cuba telusuri perjalanan hidup seorang serikandi Islam yang bernama Zinnirah…

Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome dan hidup dalam sebuah keluarga yang sangat miskin serta serba kekurangan. Zinnirah terpisah daripada keluarganya ketika tercetusnya satu peperangan besar dalam lipatan sejarah Rome kerana dia telah ditawan. Sejak itu, dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Dia dilayan dengan kasar dan diperlakukan seperti binatang oleh tuannya sepanjang menjadi hamba abdi. Hinggalah akhirnya dia dijual di sebuah pasar di Mekah dan dibeli oleh Umar Al-Khattab yang ketika itu masih belum memeluk Islam dam amat memusuhi Rasulullah SAW dan kaum muslimin.

Zinnirah pernah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya. Perkenalan itu akhirnya menjadi asbab akan sampainya Nur Islam yang menyinari terang jiwa Zinnirah. Hamba itu menerangkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah dan penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk menerima Islam.

Secara fizikalnya, Zinnirah kelihatan lemah tetapi spiritualnya cukup kental dan tabah. Pada peringkat awal keislamannya, dia melakukan ibadah secara rahsia kerana tuannya yang amat membenci Islam ketika itu. Zinnirah bersolat, berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semua ini dilakukan dengan penuh hati-hati.

Penderitaan Zinnirah bermula setelah Umar mengetahui keislaman Zinnirah. Umar dapat menghidu perubahan hambanya itu dan dia telah mendengar gadis itu membaca Al-Quran. Tahulah Umar bahawa Zinnirah telah menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Muhammad SAW dan ini telah menimbulkan kemarahan Umar terhadap Zinnirah. Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya. Umar mengikat kaki dan tangan Zinnirah lalu menjemurnya di tengah panas terik padang pasir tanpa makan dan minum. Dia juga dipukul, dihentak dan disepak terajang tanpa rasa belas dan ihsan dari tuannya itu. Semua itu dihadapi oleh Zinnirah dengan penuh sabar disamping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah. Mulutnya juga tidak berhenti-henti membisikkan nama Allah..Allah..Allah…

Hingga satu tahap, Umar menyeret Zinnirah ke pinggir kota dan mengikatnya di tiang. Kedua mata Zinnirah dicucuk dengan besi panas yang mengakibatkan hilang penglihatannya dan darah bercucuran daripada matanya. Zinnirah diejek oleh kafir Quraisy yang percaya dia dilaknat Latta dan Uzza. Zinnirah dengan penuh keberanian mempertahankan dirinya dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, tetapi ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkannya berlaku. Hatinya begitu kukuh dengan keimanan kepada Allah dan tetap yakin kepada-Nya yang Maha Esa.

Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurgaMu, aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah ketika bermunajat kepada-Nya sebagai penawar segala penderitaan yang dialaminya.

Penderitaan Zinnirah itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar As-Siddiq dan Zinnirah dibeli oleh Abu Bakar daripada Umar dengan harga yang tinggi. Walaupun diseksa dengan pelbagai cara oleh Umar, Zinnirah tidak berdendam malah mendoakan agar Umar diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah. Dengan izin-Nya, mata Zinnirah yang buta itu dapat melihat kembali bahkan sinaran matanya lebih bercahaya berbanding sebelumnya. Peristiwa yang mengkagumkan ini telah menyebabkan ramai orang Quraisy memeluk Islam.

Zinnirah, seorang wanita biasa, yang mungkin tidak dikenali, yang tidak punya harta atau ijazah tetapi mendapat pujian daripada Allah. Para malaikat mendoakan kesejahteraannya. Mata kasarnya buta tapi mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan kepada Allah…

ZINNIRAH

Hadirmu bersama kuntum sebak

Walau dirimu hamba tawanan
Kau jadi impian firdausi
Kau jadi pingitan hiasan duniawi
Walau tak pernah melihatmu
Zinnirah

Matamu jadi taruhan
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala

C/O :
Oh Zinnirah
Kau umpama bintang di malam hari
Menerangi alam dan ditemani cahaya purnama
Selaut kasih kau hamparkan untuk Ilahi
Tiada sempadan dan tiada bertepi

Oh Zinnirah
Kau umpama bintang di malam hari
Menerangi alam maya dan diteman purnama
Cinta murni yang kau dambakan untuk Ilahi
Tiada sempadan dan tiada bertepi

Oh Zinnirah
Kau serikandi sunyi bersendiri
Di medan ngeri dan bersuara sepenuh berani
Kasih suci yang kau hulurkan untuk Ilahi
Menagih korban kasih abadi

Hadirmu bersama senyuman
Walau diri hamba tawanan
Kau jadi pedoman

Zinnirah kau gadis pilihan
Hiasan dunia
Penyeri di firdausi

Kini, ku masih dalam mujahadah untuk menjadi lebih baik sesuai dengan maksud sabda Baginda Rasulullah SAW yang mahukan umatnya hari ini menjadi lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Buat sahabat-sahabat yang mengenali diri ini, kuharap agar kalian menegur kira ada kesalahan dan khilaf yang ku lakukan sama ada secara sedar atau pun tidak. Ku pinta agar tegurlah dengan cara yang berhikmah agar mudah untukku menerimanya dengan hati yang terbuka kerana fitrah manusia susah untuk menerima kritikan dan teguran yang kasar walau ia berlandaskan kebenaran. Doakanlah juga agar ku mampu untuk bertahan serta teguh azam untuk meneruskan pengembaraan di jalan redha-Nya. Tidak ku mahu alami perubahan yang sementara kerana ku inginkan nilai istiqamah dalam kamus hidupku dan berpasakkan keimanan yang teguh kepada-Nya. Amat ku sayang akan tali silaturrahim yang terjalin ini yang nilainya tiada tandingan dan izinkan ku untuk terus menghargainya teman…

No comments:

Post a Comment