Sunday, November 7, 2010

20 Empayar Terbesar Yang Pernah Wujud di Muka Bumi

Menurut Farmer dalam buku, Comparative History of Civilizations, empayar merujuk kepada kuasa politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Kemunculan empayar disebabkan oleh dasar imperialisme dan kolonisme yang menyebabkan berlaku proses penaklukan dan perluasan kuasa terhadap negara-negara lain. Proses perluasan kuasa menyebabkan munculnya beberapa empayar seperti Empayar Maurya dan Gupta di India, Empayar Chin dan Han di China dan Empayar Rom di Eropah.

Kekuatan tentera amat penting. Direkodkan bahawa Raja – raja India mempunyai angkatan tentera yang besar. Misalnya, Candragupta Maurya mempunyai 600, 000 orang tentera , Rajaraja I mempunyai 900, 000 orang tentera dan Mahendrapala boleh menggerakkan 800,000 orang tentera pada bila-bila masa.

Teknologi ketenteraan juga memainkan peranan penting. Ia dapat dilihat melalui teknologi ketenteraan Rom yang jauh melampaui zaman ketika era kegemilangan Empayar Rom. Mereka bukan sahaja memiliki tentera yang lengkap dengan baju besi tetapi dilengkapi juga dengan kereta chariot yang boleh memecahkan barisan depan musuh dengan mudah. Bergitu juga dengan kehebatan Empayar India yang menggunakan sebaik mungkin kekuatan tentera bergajah. Dipercayai bahawa Alexander the Great hampir terkejut apabila melihat sejumlah tentera bergajah ketika misi peluasan kuasanya di India. Malahan kuda tentera Alexander meronta-ronta kerana terkejut dengan pekikan gajah. Mujur dengan kebijaksanaan Alexander yang mana beliau mengarahkan kuda-kuda tenteranya ditutup mata dan gajah-gajah tentera India dibutakan mata.

Sehingga kini, pembaca boleh lihat sendiri berapa banyak empayar runtuh. Yang terbaru adalah Empayar Soviet yang tumbang pada tahun 1991. Untuk pengetahuan pembaca, satu ketika dahulu Empayar Soviet adalah antara empayar paling besar di dunia. Sebagai ukuran keluasannya, setiap pelancong perlu merentasi sehingga berpuluh zon waktu untuk mengelilingi setiap wilayah Soviet.

Oklah, tanpa membuang masa lagi, penulis kali ini ingin menyenaraikan 20 Empayar Terbesar Yang Pernah Wujud di muka bumi. Selamat membaca..

20. Empayar Acheamenid(550BC-330BC)

Asal nama Acheamenid adalah daripada nama pengasasnya iaitu Acheamenes. Namun, sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Ketika kemuncak kekuasaannya, empayar ini telah memiliki empayar seluas 8 juta km persegi dan mempunyai lebih 23 buah negara di bawah jajahan takluknya.

Raja paling dikenali: Cyrus the Great dan Darius the Great

Keruntuhan Empayar: Empayar ini mula merosot selepas serangan oleh panglima muda Macedonia iaitu Alexander the Great. Dalam masa 8 tahun, Empayar Acheamenid runtuh dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

19. Empayar Sasanid(224-651)

Empayar Sasanid pernah diiktiraf satu ketika dahulu sebagai empayar yang terkuat di sebelah Asia di samping Empayar Rom pula terkuat di sebelah Barat. Empayar Sasanid adalah empayar yang bertanggungjawab meningkat tamadun Parsi di mana jiran-jiran mereka masih lagi mundur dan serba kekurangan.

Ketika kemuncaknya, empayar ini telah menjangkaui kawasan daripada Syria ke Barat Daya India ataupun 3.5 juta km persegi.

Raja Paling Dikenali: Kaisar Khosrau II

Keruntuhan Empayar: Kekalahan kepada tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid semasa misi penyebaran Islam oleh Khulafa al-Rashidin telah meruntuhkan sama sekali dinasti Sasanid di mata dunia.

Hasil tinggalan Empayar Sasanid.

18. Empayar Kolonial Belanda(1610-1975)

Kekuatan kuasa maritim Belanda pada abad ke-16 hingga 17 telah menyebabkan empayar ini bergitu ditakuti oleh musuh-musuhnya. Kekuatan maritim ini berpunca daripada penubuhan Syarikat Hindia Timur Belanda pada 1602. Pada 1641, Belanda telah mengalahkan Portugis untuk menguasai pelabuhan komersial Melaka yang telah dikuasai oleh Portugis sejak 1511.

Keruntuhan Empayar: Kekuatan kuasa maritim Belanda merudum pada akhir abad ke-18 selepas beberapa siri kekalahan Belanda di pentas dunia. Selain itu, tanah air mereka sering diserang musuh telah menyebabkan kekuatan Belanda hancur-binasa.

17. Empayar Mughal(1526-1707)

Tentera Islam berketurunan Tartar mula menguasai benua kecil India sekitar 1526 dan akhirnya telah menubuhkan Empayar Mughal. Kekuasaan Empayar Mughal antara pertengahan abad ke 15 dan berakhir pada awal abad ke-18.

Raja Yang Paling dikenali: Sultan Akhbar the Great dan Sultan Jahanghir

Keruntuhan Empayar: Empayar Mughal mula runtuh sepenuhnya pada tahun 1725 akibat beberapa siri kekalahan dalam peperangan, pemberontakan agama, dan kemunculan kuasa-kuasa baru seperti Empayar Maratha, Empayar Sikh, Empayar Durrani. Kemunculan Empayar British telah mengakhiri sepenuhnya penguasaan Empayar Mughal di India dan jajahannya.

16. Empayar Perancis Pertama Pimpinan Nepoleon Bonaparte(1804-1814)

Empayar ini adalah produk pertama hasil Revolusi Perancis. Empayar ini dengan cepat tersebar ke seluruh Eropah dengan pimpinan pemimpin berkarisma Nepoleon Bonaparte. Kekuatan Napoleon telah menyebabkan beberapa negara jirannya memperkuatkan tentera masing-masing. Misi Napoleon hanya satu iaitu menyebarkan Revolusi Perancis ke seluruh Eropah dengan menghapuskan sistem beraja. Misi Napoleon ini menyebabkan banyak negara yang ditubuh berasaskan sistem monarki berasa tidak senang duduk.

Keruntuhan Empayar: Empayar mula runtuh satu persatu selepas kalah dalam peperangan Waterloo kepada Duke of Wallington. Empayar Napoleon juga goyah apabila ramai tentera Napoleon terkorban semasa misi menumbangkan Tsar Rusia.

15. Empayar Jepun(1868-1945)

Empayar ini pada satu ketika amat digeruni oleh musuh-musuhnya. Tentera yang berani mati dan berteknologi tinggi telah menyebabkan beberapa kuasa besar tunduk kepada kekuasaan Jepun. Kekuatan maritim tentera Jepun yang tidak pernah kalah dalam setiap siri peperangan telah menyebabkan tentera maritim Russia kalah teruk dalam Peperangan Ruso-Japan pada 1905. Kemuncak kekuasaan Empayar Jepun adalah pada 1942.

Keruntuhan Empayar: Empayar mula runtuh apabila Amerika Syarikat telah menjatuhkan Bom nuklear di Bandar utama Jepun seperti Nagasaki. Akibat daripada pengeboman ini juga memberi pertanda berakhirnya Perang Dunia Ke-2.

Tentera Jepun sangat digeruni pada zaman kegemilangan mereka.

14. Empayar Nazi(1933-1945)

Empayar Nazi pernah menjadi kuasa tentera yang paling ditakuti satu ketika dahulu. Ia bukan kerana jumlah tentera yang besar tetapi teknologi yang canggih sehingga menjangkaui kekuatan teknologi musuh-musuhnya. Banyak teknologi tentera Jerman yang menjangkaui zamannya seperti Roket V1, Jet Pejuang bersayap V, Kereta Kebal berkelajuan tinggi dan sebagainya.

Keruntuhan Empayar: Dengan runtuhnya Berlin akibat serangan tentera-tentera Bersekutu pada 1945 dan terbunuhnya Hitler dipercayai membunuh diri telah menyebabkan Jerman Nazi telah mengangkat bendera putih dan seterusnya meruntuhkan Empayar Nazi Jerman. Ramai penganalisis ketenteraan dunia berkata bahawa jika Amerika Syarikat tidak terlibat dalam Perang Dunia Ke-2, sejarah akan berubah dengan Jerman yang bersendirian akan menang menentang Britain dan negara-negara sekutunya.

13. Empayar Ming(1368-1664)

Ia adalah dinasti terakhir yang dikuasai oleh etnik Han. Empayar Ming menyebar keseluruh dunia apabila banyak negara secara sukarela tunduk di bawah kekuasaannya. Pembaca mesti mengingati Laksamana Cheng Ho bukan? Laksamana Cheng Ho atau nama sebenarnya Zheng He adalah panglima laut termasyhur semasa Dinasti Ming menguasai China. Zheng He telah diarahkan oleh Maharaja untuk berlayar ke seluruh dunia bagi menyebarkan propanganda mengenai kekuatan dan kekuasaan China. Dikatakan Armada laut yang dipimpin Zheng He tersangat besar sehingga dikatakan bahawa ia seperti perkampungan kecil di lautan.

Empayar Ming juga mempunyai 1 juta tentera yang boleh berkhidmat pada bila-bila masa. Pada ketika Dinasti Ming, bidang sains dan kejuruteraan, bidang falsafah dan seni mencapai tahap kegemilangan.

Raja yang paling dikenali: Maharaja Yongle

Keruntuhan empayar: Pada akhir pemerintahan Dinasti Ming, kebanyakan raja adalah lemah dan gagal menyelesaikan masalah peperangan saudara yang sering menjadi duri dalam daging empayar ini. Akhirnya, empayar ini runtuh dan diganti dengan Dinasti Manchu.

12. Empayar Othmaniyyah(1299-1923)

Ketika kemuncak penguasaannya, Empayar Othmaniyyah telah tersebar ke seluruh Eropah Timur seperti Georgia, Bosnia, Serbia dan sebagainya. Direkodkan bahawa 29 negara berada di bawah pengguasaannya. Ia tidak termasuk negara-negara yang sukarela berada di bawah naungan Khalifah Othmaniyyah terutama negara-negara Islam.

Raja yang paling dikenali: Sultan Sulaiman al-Kanuni

Keruntuhan empayar: Kebangkitan golongan muda berpendidikan Barat telah menyebabkan Empayar Turki Othmaniyyah jatuh merudum. Ia lebih parah apabila Turki Othmaniyyah yang turut sama terlibat dalam Perang Dunia Pertama telah dipaksa untuk melepaskan banyak wilayahnya kepada kuasa-kuasa besar lain. Sejak daripada itu, Turki Othamiyyah berakhir dan Sultan terakhir adalah Sultan Abdul Hamid.

Mustafa Kamal adalah individu yang menjadi dalang kejatuhan Empayar Turki Othmaniyyah.

11. Soviet Union(1920-1991)

Soviet Union tertubuh daripada selepas Parti Bolshevik menguasai Russia pada 1917. Sejak daripada itu, Soviet Union tidak menoleh ke belakang lagi. Satu ketika pernah berbaik dengan Nazi Jerman kemudian bermusuh bergitu juga Amerika Syarikat, satu ketika pernah bersepakat dalam memerangi Nazi Jerman dan kemudian bermusuh semasa Perang Dingin.

Pemimpin yang dikenali: Vladimir Lenin, Joseph Stalim

Keruntuhan empayar: Empayar Soviet mula runtuh pada tahun 1991 apabila rakyat mahukan sistem demokrasi berbanding sistem komunis sosialis yang diperkenalkan oleh Parti Bolshevik.

10. Empayar Portugis (1415-1999)

Empayar Portugis adalah empayar pertama yang ditubuhkan untuk menguasai negara-negara lain secara global. Ia merupakan negara yang paling lama mengamalkan sistem empayar sehingga menjangkaui 600 tahun. Empayar ini juga empayar pertama yang menguasai pantai di Afrika pada 1419. Ia juga telah mengukuhkan sistem kolonisme lama sebelum Inggeris dan Belanda datang ke timur.

Raja yang dikenali: Henry the Navigator

Keruntuhan empayar: Empayar Portugis mula beransur-ansur lemah apabila meningkatnya kekuatan tentera Inggeris dan Sepanyol. Pada 1999, Timur Timor telah merdeka sepenuhnya daripada cengkeman Portugis. Timur Timor adalah negara terakhir yang merdeka di bawah jajahan Portugis.

Portugis pernah menguasai perdagangan rempah di Asia Tenggara satu ketika dahulu.


9. Amerika Syarikat(1776-sekarang)

Pernah menjadi jajahan takluk British satu ketika dahulu sebelum mendapat kemerdekaan pada 14 Julai 1776 hasil pejuangan pejuang-pejuang kemerdekaan mereka seperti George Washington, Thomas Jefferson, Benjamin Franklin dan beberapa lagi tokoh mereka. Sejak kemerdekaannya, Amerika Syarikat mengorak langkah tanpa berpaling ke belakang untuk muncul kuasa besar dunia menjelang abad ke-20. Terlibat dalam kedua-dua Perang Dunia bersama-sama Pakatan Bersekutu dan berjaya dalam kedua-dua perang tersebut telah menyebabkan Amerika Syarikat berjaya menambah pengaruhnya di seluruh dunia. Pada masa sekarang, Amerika Syarikat telah muncul sebagai satu-satunya kuasa besar tanpa dicabar mana-mana negara lain kecuali Iran, Cuba dan Korea Utara selepas runtuhnya Soviet Union pada 1991. Menurut ramai penganalisis politik antarabangsa, amat mustahil untuk melihat pengaruh Amerika Syarikat musnah dalam masa 10 tahun daripada sekarang.

Pemimpin yang dikenali: G. W. Bush, Abraham Lincoln, Theodore Rossevelt, Barack Obama

8. Empayar Dinasti Qing(1644-1912)

Dinasti ini turut dikenali sebagai Dinasti Manchu kerana dinasti ini diterajui oleh bangsa Manchu. Dinasti ini merupakan dinasti beraja yang terakhir sebelum jatuh ke tangan rakyatnya dalam beberapa revolusi.

Runtuhnya Empayar: Dinasti ini menunjukkan kadar kemerosotan menjelang abad ke-18 selepas berdepan dengan tekanan antarabangsa terutama daripada kuasa-kuasa besar Eropah. Tambahan pula, pemberontakan dalam negeri mula tercetus menyebabkan sistem pentadbiran menjadi kurang teratur. China yang terkenal sebagai sebuah negara ketenteraan yang kuat satu ketika dahulu mula merosot kekuatannya apabila mula tunduk kepada British dalam siri peperangan Candu. Empayar ini terus merosot menjelang tahun 1900 dan seterusnya runtuh pada 1912.

7. Empayar Kolonial Perancis(1605-1960)

Empayar Kolonial Perancis mula ditubuhkan selepas era pemerintahan Napoleon Bonaparte. Empayar ini mula menunjukkan belang apabila mula bertapak di Dunia Baru iaitu Amerika Syarikat di sebelah Utara. Empayar ini juga mula menjajah wilayah-wilayah di sekitar Carribean dan India. Tempoh di mana Perancis dan beberapa negara colonial mencari tanah jajahan untuk membentuk empayar mereka sendiri dikenali sebagai Tahun Pencarian(Age of Discovery). Miskipun demikian, Perancis agak terlewat sedikit berbanding Portugis, Sepanyol, British dan Belanda. Semasa abad ke-16 dan ke-17, Perancis mula mencabar kekuatan Sepanyol dan British untuk menjadi negara yang mempunyai empayar terbesar di dunia. Menjelang abad ke-19 dan 20, Perancis telah menjadi negara yang mempunyai empayar kedua terbesar di dunia.

Runtuhnya Empayar: Empayar Kolonial Perancis mula runtuh akibat kesilapan mereka menumpu perhatian kepada penjajahan di bumi asing. Perancis mula mengalami kemerosotan ketenteraannya akibat serangan dan penguasaan Jerman ke atas wilayahnya semasa Perang Dunia Ke-2. Tentera Legionaire Perancis gagal menahan asakan tentera Nazi yang jauh lebih sistematik dan berteknologi tinggi berbanding mereka.

6. Empayar Rusia(1721-1917)

Secara rasminya, Empayar ini ditubuhkan oleh Tsar Peter 1 pada 1721 selepas Treaty of Nystad yang mana telah mengakhiri Great Nortern War dengan Sweden. Empayar ini pernah muncul sebagai empayar kedua terbesar pada zamannya dan ketiga terbesar dalam sejarah manusia. Empayar Rusia ini terkenal sebagai negara yang mempunyai tentera yang kuat dalam dua elemen iaitu darat dan lautan. Pernah terlibat dalam banyak konflik terbesar di Eropah sebelum runtuh empayarnya pada 1917.

Pemimpin yang paling dikenali: Peter the Great, Tsar Nicolas

Runtuhnya Empayar: Empayar ini mulai runtuh akibat revolusi yang dicetuskan oleh Parti Bolsvik pada 1917 dan kemudian secara rasminya menjadikan Rusia sebagai negara Komunis pertama di dunia.

5. Empayar Kristian Sepanyol(1402-1899)

Ditubuhkan selepas kemenangan mereka ke atas Empayar Ummayyah Andalusia pada 1400-an. Empayar ini pernah memiliki tanah jajahan yang cukup besar yang terdiri daripada negara-negara Afrika, Amerika, Asia dan Oceania. Kekayaan daripada hasil tanah jajahan adalah tidak terkira bahkan raja mereka pernah muncul sebagai raja terkaya di dunia satu ketika dahulu. Empayar ini mencapai zaman keemasan menjelang abad ke-16 hingga abad ke-17.

Runtuhnya Empayar: Selepas beberapa siri peperangan yang menelan wang yang besar, peningkatan kadar inflasi, pemberontakan dalam negeri serta rasuah dalam kerajaan menyebabkan Empayar Kristian Sepanyol runtuh sama sekali menjelang akhir abad ke-18.

4. Empayar Macedonia(336BC-323BC)

Empayar yang sangat ditakuti pada abad ke-3 sebelum masihi. Dengan terajunya iaitu Alexander the Great selepas menggantikan ayahnya, Philip yang meninggal dunia akibat dibunuh, empayar ini telah mengorak langkah dengan agresif menjangkaui imaginasi para pengkritik Alexander. Alexander yang masih muda belia telah memainkan peranan penting untuk menyakinkan rakyatnya untuk melaksanakan kempen peluasan kuasa bagi menyebarkan pengaruh Helinistik Macedonia. Pada satu ketika, empayar Alexander telah terbentang luas sehingga ke India.

Runtuhnya empayar: Empayar Macedonia mengalami kemerosotan selepas terbunuhnya Alexander semasa peperangan di India. Alexander meninggal dunia di saat umurnya masih muda iaitu 33 tahun. Satu persatu negara di bawah jajahannya mencapai kemerdekaan selepas pemberontakan demi pemberontakan. Sekiranya Alexander memiliki umur yang cukup panjang, kemungkinan empayarnya menjangkaui satu dunia.

3. Empayar Mongol(1206-1368)

Diasaskan oleh Temujin atau lebih dikenali dengan Genghiz Khan. Empayar ini mencapai keluasan yang cukup mengujakan. Hampir setiap peperangan mereka sertai akan memperolehi kemenangan. Empayar Mongol dikaitkan dengan beberapa keruntuhan tamadun dunia seperti Tamadun Islam di Baghdad. Empayar Mongol ditakuti oleh setiap tamadun kerana sikap agresif mereka ketika peperangan. Pada satu ketika, empayar mereka menjangkaui daripada Asia Timur hinggalah ke Eropah Timur. Disebabkan itu, Empayar Mongol muncul sebagai empayar paling besar dan kuat dalam sejarah tamadun manusia.

Runtuhnya Empayar: Empayar Mongol mula mengalami kejatuhan selepas kematian Genghiz Khan. Selepas kematian tokoh golongan gasar tersebut, telah berlaku beberapa siri peperangan saudara di kalangan waris dan anak-anak Genghiz Khan. Akibatnya, Empayar Mongol mula berada dalam keadaan goyah. Menjelang 1368, Dinasti Yuan mengambil kesempatan ke atas kelemahan empayar Mongol dengan memusnahkan sama sekali empayar mereka.

2. Empayar Rom(27BC-476AD/1453)

Empayar Klasik Rom ini muncul di akhir tamadun purba manusia. Memiliki tentera yang hebat dan sistematik menyebabkan empayar ini mampu menakluk kira-kira 6.5 juta km persegi permukaan bumi. Empayar ini terbahagi kepada dua iaitu Empayar Rom Barat dan Empayar Rom Timur(Byzantine). Kedua-dua empayar ini memiliki kekuatan yang luar biasa dan sering berperang dengan sebuah lagi empayar yang kuat ketika itu iaitu Empayar Parsi Sasanid.

Pemimpin yang dikenali: Julius Ceasar, Augustus, Brutus, dan Constantine.

Runtuh Empayar: Empayar Rom mula runtuh selepas beberapa siri perang saudara, dan pencerobohan kaum Gasar seperti Atilla the Hun, Vasigoth dan Ostrogoth. Kemuncuk kemorosatan Empayar ini adalah pada tahun 1453 di mana Empayar Byzantine mula runtuh selepas diserang bertali arus oleh Sultan Muhammad al-Fatih ke atas kubu Constantinople. Empayar Byzantine mula runtuh dan bermula era baru bagi Constantinople dengan pemerintah Islam Uthmaniyyah.

Dan berada di tempat pertama adalah:

1. Empayar British(1583-1997)

Ketika zaman kemuncaknya, Empayar British muncul sebagai empayar paling besar di dunia merangkumi tanah jajahan daripada Eropah, Afrika, Asia, Oceania,Australia dan Amerika. Boleh dikatakan seluruh tanah di dunia ini pernah mereka jelajahi. Seorang sejarahwan pernah berkata;

‘ The Sun never sets on British Empire’

Ia merujuk kepada luasnya empayar British. Boleh dikatakan Empayar British langsung tidak mengalami kejatuhan dan tetap kekal sebagai empayar nombor 1 dunia miskipun ketika itu berperang dengan Nazi Jerman.

Sehingga kini, jajahan British tetap kekal sebagai ‘jajahan-jajahannya’ dengan penggunaan pelbagai elemen British seperti bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar(India,Australia,New Zealand dan beberapa buah negara Afrika), wujudnya sukan negara jajahan iaitu sukan Commonwealth, undang-undang British yang digunakan cukup meluas di negera bekas tanah jajahannya termasuklah Malaysia serta beberapa elemen lain yang tidak boleh diperkatakan kerana bimbang mengundang sensitiviti sesetengah pihak. Bergitulah bijaknya British memainkan peranan mereka. Dan ia wajar untuk dinobat sebagai negara penjajah nombor 1 di dunia.!

No comments:

Post a Comment