Sunday, November 7, 2010

Harimau

Harimau

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Harimau belang)
Lompat ke: pandu arah, gelintar
Harimau
Harimau Benggala (P. tigris tigris) di Taman Negara Bandhavgarh, India.
Harimau Benggala (P. tigris tigris) di Taman Negara Bandhavgarh, India.
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Carnivora
Keluarga: Felidae
Genus: Panthera
Spesies: P. tigris
Nama binomial
Panthera tigris
(Linnaeus, 1758)
Taburan harimau bersejarah (kuning tua) dan 2006 (hijau).[2]
Taburan harimau bersejarah (kuning tua) dan 2006 (hijau).[2]
Subspesies

P. t. tigris
P. t. corbetti
P. t. jacksoni
P. t. sumatrae
P. t. altaica
P. t. amoyensis
P. t. balica
P. t. sondaica
P. t. virgata

Sinonim
Felis tigris Linnaeus, 1758.[3]

Tigris striatus Severtzov, 1858

Tigris regalis Gray, 1867

Harimau (Panthera tigris) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis "kucing besar" dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae.[4] Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang 3.3 meters (11 ka) dan berat 300 kilogram (660 paun).[5][6] Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.

Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam. Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat, dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.

Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan negara Asia, termasuk Malaysia.

Habitat

Seekor harimau berenang di taman Six Flags Great Adventure di Jackson Township, New Jersey.

Kawasan harimau biasanya mempunyai tiga ciri utama: Ia akan memiliki perlindungan bagus, terletak berhampiran air dan terdapat banyak mangsa. Harimau Benggala tinggal di semua jenis hutan, termasuk hutan basah, malar hijau, separa-malar hijau Assam dan timur Benggala; hutan bakau Delta Ganges; hutan daun luruh Nepal dan hutan duri Barat Ghats. Berbanding singa, harimau lebh menyukai tumbuh-tumbuhan tebal, kerana penyamarannya lebih sesuai, dan di mana pemangsa tunggal tidak kekurangan kelebihan berbanding kawanan. Antara kucing besar, cuma harimau dan jaguar yang pandai berenang; harimau sering ditemui mandi dalam kolam, tasik dan sungai. Berbeza dengan kucing lain, yang cenderung mengelak air, harimau mencarinya secara aktif. Semasa waktu panas hari, harimau sering dijumpai menyejukkan diri di dalam air. Harimau merupakan perenang baik dan dapat berenang sehingga 4 batu. Harimau juga sering didapati membawa mangsa yang dibunuhnya merentasi tasik.

[sunting] Sifat fizikal, taksonomi dan evolusi

Di China dan Jawa, telah dijumpai tinggalan seekor kucing seakan-akan harimau, iaitu Panthera palaeosinensis, yang pernah hidup sekitar 2 juta tahun dahulu, ketika bermulanya zaman Pleistosen, tetapi lebih kecil berbanding harimau zaman sekarang. Fosil-fosil harimau sebenar terawal yang dikenal pasti dijumpai di Jawa, berusia antara 1.6 hingga 1.8 juta tahun. Fosil-fosil yang berbeza dari zaman awal dan pertengahan Pleistosen juga ditemui dalam mendapan tanah dari China dan Sumatera. Satu subspesies bernama Harimau Trinil (Panthera tigris trinilensis) pernah hidup sekitar 1.2 juta tahun dahulu, dan fosil-fosilnya ditemui di Trinil, Jawa.[7]

Harimau mula menjejak kaki di India dan Asia Utara pada zaman akhir Pleistosen, mencapai Beringia (tetapi tidak benua Amerika), Jepun, dan Sakhalin. Fosil-fosil yang ditemui di Jepun menandakan harimau-harimau tempatan dahulu kala, seperti subspesies yang masih wujud di kepulauan tersebut, adalah lebih kecil berbanding harimau di tanah besar. Ini mungkin disebabkan oleh kaitan saiz badan dengan ruang persekitarannya, ataupun kurangnya bekalan mangsa. Sehingga zaman Holosen, harimau juga berhabitat di Borneo dan juga pulau Palawan di Filipina.[8]

[sunting] Ciri-ciri fizikal

Harimau Siberia.

Harimau merupakan spesies kucing liar yang paling terkenal (selain singa). Harimau biasanya berbulu kemerahan atau perang berkarat, bulu dadanya berwarna keputihan, "berjambul" putih melilit mukanya, dan belang-belang yang berwarna perang, kelabu atau hitam. Setiap subspesies harimau memiliki bentuk dan kepadatan belang yang berlainan dari subspesies yang lain (di samping juga corak warna bulunya; misalnya, harimau Siberia berwarna lebih pudar berbanding subspesies yang lain). Kebanyakan harimau memiliki lebih 100 batang belang. Setiap harimau memiliki corak belang yang unik kepadanya, oleh itu mungkin ada gunanya untuk mengenal pasti harimau individu, seperti mana cap jari digunakan untuk mengenal pasti orang. Walaupun begitu, ini bukan cara yang biasa digunakan kerana sukarnya merakam corak belang seekor harimau liar. Mungkin sekali belang berfungsi sebagai alat penyamaran untuk membantu harimau menyorokkan diri dalam bayang bertelau-telau dan rumput panjang di persekitarannya, sambil menghendap mangsanya. Apabila bulu harimau dicukur, corak belang yang sama dengan bulunya juga kelihatan. Seperti spesies kucing besar yang lain, terdapat bintik putih di belakang kedua-dua belah telinga harimau.

Rangka harimau.

Tigers juga digeruni sebagai kucing yang paling berat di hutan belantara.[9] Harimau juga memiliki kaki dan bahu yang amat kuat, yang membolehkannya mengheret mangsa yang lebih berat daripada dirinya. Bagaimanapun, setiap subspesies berlainan saiznya dengan satu sama lain, apalagi lebih tinggi latitud habitatnya maka lebih besar subspesiesnya, selaras dengan hukum Bergmann. Maka, harimau Siberia (Panthera tigris altaica) jantan yang lebih besar boleh mencapai kepanjangan 3.5 m "ikut lengkung" (3.3 m. "ukuran lurus") dan berat 306 kilogram,[10] iaitu lebih besar berbanding harimau-harimau yang tinggal di kepulauan seperti harimau Sumatera, iaitu subspesies hidup yang terkecil dengan berat badan setakat 75–140 kg sahaja.[10] Harimau betina lebih kecil berbanding harimau jantan dalam setiap subspesies. Perbezaan saiz antara harimau jantan dan betina lebih ketara dalam subspesies yang lebih besar, iaitu berat harimau jantan bersamaan dengan 1.7 kali berat harimau betina.[11] Selain itu, harimau jantan lebih luas tapak kaki depannya berbanding harimau betina. Perbezaan ini sering digunakan oleh ahli biologi untuk menentukan jantina harimau apabila memerhati kesan tapak kakinya.[12] Tengkorak harimau amat serupa dengan tengkorak singa, cuma bahagian hadapannya tidak begitu tertekan atau rata, dengan kawasan postorbital yang lebih panjang sedikit berbanding tengkorak singa yang lebih lebar lubang hidungnya. Namun begitu, disebabkan perbezaan tengkorak kedua-dua spesies tersebut tidak begitu ketara, spesies pemilik tengkorak biasanya hanya dapat ditentukan melalui struktur rahang bawahnya.[13]

[sunting] Subspesies

Terdapat enam sub-spesies harimau dalam genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal sembilan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut:-

[sunting] Masih wujud

  • Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, Harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Rusia. Sub-spesies ini merupakan yang terkuat di antara semua jenis kucing liar di dunia.
  • Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) - yang terdapat di kawasan Semenanjung Malaysia. Sehingga tahun 2004, harimau Malaya tidak diiktiraf sebagai sub-spesies yang berbeza, sebaliknya dianggap sebagai sub-spesies Harimau Indochina.

[sunting] Pupus

  • Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
  • Harimau Kaspia atau Harimau Parsi (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950-an. Harimau Kaspia ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afghanistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Rusia.

Variasi warna

[sunting] Harimau putih

Sepasang harimau putih di Taman Haiwan Singapura.

Hasil daripada mutasi, wujudnya harimau putih atau chinchilla albinistic[18] yang jarang ditemui di alam liar, tetapi banyak terdapat dalam zoo. Cubaan membiak baka harimau putih sering mengakibatkan pembiakbakaan dalam (kerana ciri ini adalah resesif). Banyak inisiatif telah diambil untuk mengawankan harimau putih bersama harimau jingga untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mencampurkan subspesies. Pembiakbakaan dalaman sebegini boleh menyebabkan harimau putih mengalami kecacatan fizikal seperti lelangit rekah dan skoliosis (kelengkungan tulang belakang).[19][20] Lebih-lebih lagi, harimau putih cenderung bermata juling (iaitu strabismus). Walaupun kelihatan sihat, hayat harimau putih selalunya tidak sepanjang harimau jingga. Catatan mengenai harimau putih mula-mula dirakamkan pada awal abad ke-19.[21] Harimau putih hanya lahir kepada kedua-dua induk yang membawa gen jarang yang ditemui dalam harimau putih; dihitungkan hanya satu daripada 10,000 kelahiran yang berjaya mewarisi gen ini. Harimau putih ini bukan subspesies yang berasingan, cuma sekadar kelainan warna; memandangkan subspesies Benggala sahajalah yang diperhatikan adanya harimau putih di kalangannya dalam alam liar[22] (di samping semua harimau putih dalam kurungan sekurang-kurangnya berkacukan Benggala), maka adalah sangkaan ramai bahawa gen resesif inilah yang menyebabkan pemutihan ini hanya dibawa oleh harimau Benggala, itupun tidak diketahui sebab-sebabnya.[19][23]

[sunting] Harimau belang emas

Seekor harimau belang emas/strawberi di Zoo Buffalo.

Selain harimau putih, wujudnya satu lagi jenis gen resesif yang boleh menzahirkan kelainan warna "belang emas" (golden tabby) atau "strawberi" yang luar biasa sekali. Dari segi warna, harimau belang emas berbulu emas muda, berkaki pucat dan berbelang jingga pudar. Bulunya juga lebih tebal dari biasa.[24] Dalam kurungan cuma ada 30 ekor harimau ini. Seperti harimau putih juga, harimau strawberi ini sekurang-kurangnya berkacukan Benggala. Sesetengah harimau belang emas, iaitu harimau heterozigot, membawa gen harimau putih, dan apabila dua ekor harimau sebegini mengawan, maka boleh terlahirnya anak harimau putih tanpa belang. Kedua-dua harimau putih dan belang emas selalunya lebih besar berbanding harimau Benggala yang biasa.

[sunting] Biologi dan tabiat

[sunting] Kewilayahan

Pada pokoknya, harimau merupakan haiwan yang berkelakuan bersendirian dan kewilayahan. Saiz liputan tempat tinggal harimau banyak bergantung pada kecukupan mangsa dan peluang mengawan. Seekor harimau betina boleh menguasai wilayah seluas 20 kilometer persegi, manakala harimau jantan pula lebih luas wilayahnnya, iaitu sekitar 60–100 km2. Liputan wilayah seekor harimau jantan sering bertindan dengan beberapa wilayah harimau betina.

Kebanyakan harimau gemar bersendirian.

Hubungan antara harimau individu agak kompleks, kerana nampaknya harimau tidak mengikuti apa-apa "ketetapan" berkenaan hak kewilayahan dan pencerobohan wilayah. Contohnya, walaupun sering mengelakkan diri dari satu sama lain, namun pernah dirakamkan juga harimau jantan mahupun betina berkongsi habuan buruannya. Misalnya, George Schaller memerhati seekor harimau jantan berkongsi habuan dengan dua ekor harimau betina dan empat ekor anak harimau. Harimau betina biasanya keberatan untuk membenarkan harimau jantan mendekati anak-anaknya, tetapi Schaller memerhati harimau betina tersebut tidak berbuat apa-apa untuk melindungi anak-anaknya dari harimau jantan, jadi mungkin sekali harimau jantan itu merupakan bapa kepada anak-anak harimau itu. Harimau jantan membenarkan harimau betina dan anak-anaknya memakan habuan dahulu. Lebih-lebih lagi, harimau kelihatan agak berbaik-baik berkongsi habuan, berbanding dengan singa yang cenderung berkelahi dan berbalah. Pernah diperhatikan juga harimau bukan saudara memakan mangsa bersama-sama. Rangkap berikut dipetik dari buku Stephen Mills yang berjudul Tiger, yang mana beliau mengisahkan peristiwa yang disaksikan oleh Valmik Thapar dan Fateh Singh Rathore di Ranthambhore:[25]

Seekor harimau betina dominan yang bergelar Padmini membunuh seekor nilgai (sejenis antelop besar) jantan seberat 250 kg (550-lb). Mereka menemui Padmini bersama habuannya dan anak-anaknya yang berusia 14 bulan, sebaik sahaja selepas waktu subuh lalu memerhatinya tanpa henti selama sepuluh jam. Sepanjang berjam-jam ini, keluarga Padmini disertai oleh dua harimau betina dan seekor harimau jantan, ketiga-tiganya juga kelahiran seperanak Padmini yang dahulu; ditambah oleh dua harimau bukan saudara, iaitu seekor betina dan seekor lagi tidak pasti jantinanya. Pada pukul tiga, terdapat sembilan ekor harimau di sekeliling habuan itu.

Harimau betina muda cenderung mengasaskan wilayah pertamanya berhampiran dengan kawasan induknya. Lama-kelamaan pertindanan wilayah harimau betina muda itu dengan ibunya semakin berkurangan. Harimau jantan pula lebih berjauhan dari induk berbanding harimau betina, iaitu keluar pada usia yang agak muda untuk menandakan kawasan sendiri. Seekor harimau jantan muda memperoleh wilayahnya sama ada dengan mencari liputan yang tiada harimau jantan yang lain, atau tinggal dalam wilayah harimau jantan lain buat seketika, sehingga usianya dan kekuatannya mencukupi untuk mencabar tuan rumahnya. Kadar kematian tertinggi (30-35% setahun) di kalangan harimau jantan berlaku di kalangan harimau jantan muda yang baru meninggalkan kawasan induknya untuk mencari wilayah sendiri.[26]

Dua beradik harimau Benggala jantan bermain di Taman Simpanan Harimau Pilibhit, India.

Harimau jantan lebih tidak tahan dengan kehadiran jantan yang lain dalam wilayahnya berbanding harimau betina terhadap betina yang lain. Walaupun begitu, perbalahan wilayah selalunya dileraikan dengan sekadar menakut-nakutkan satu sama lain daripada tindakan agresif terang-terangan. Beginilah yang diperhati dalam peristiwa-peristiwa sedemikan, yang mana harimau menandakan penyerahan kalah dengan bergolek pada belakangnya sambil mendedahkan dadanya secara postur menyerah.[27] Selepas itu, harimau jantan yang dominan boleh bertoleransi dengan peserahnya dalam liputannya, asalkan tidak terlalu berhampiran sesama sendiri.[26] Perbalahan yang ganas sekali boleh tercetus antara dua ekor harimau jantan apabila seekor harimau betina sedang mengalami estrus, hingga boleh berakhir dengan kematian sebelah pihak, inipun jarang berlaku.[26][28]

Untuk menandakan wilayahnya, harimau jantan membuang air pada pokok, di samping meninggalkan jejak dengan tinjanya. Harimau jantan mengerut mukanya apabila mengesan kesuburan seekor harimau betina dengan menghidu air kencing harimau betina.

Pelbagai teknik telah digunakan untuk mengkaji harimau di alam liar. Pada awalnya, bilangan harimau dianggarkan dengan mengisi kesan jejak kakinya dengan acuan lepa, sehingga kaedah ini didapati kurang berkesan[29] lalu diganti oleh cubaan kaedah menggunakan rakaman kamera. Teknik-teknik terkini yang menggunakan DNA yang dipetik pada tinjanya juga dinilai. Kaedah relang leber radio juga diterima secara meluas untuk menjejaki harimau liar untuk tujuan penyelidikan.

[sunting] Pemburuan dan pemakanan

Kegigian harimau (atas), dibandingkan dengan kegigian beruang hitam Asia (bawah). Gigi taring besar digunakan untuk melakukan gigitan pembunuh, tetapi karnasial gigi pula digunakan untuk mengoyak daging ketika makan.

Di alam liar, harimau biasanya memakan haiwan bersaiz besar atau sederhana. Sambar, seladang, rusa bintik, babi hutan, nilgai dan kerbau merupakan mangsa kegemaran harimau di India. Adakalanya, harimau juga memburu harimau bintang, ular sawa, beruang sloth dan buaya. Di Siberia, spesies mangsa utamanya ialah wapiti Manchuria, babi hutan, rusa sika, moose, kijang, dan rusa kesturi. Di Sumatera pula, sambar, kijang, babi hutan, dan tenuk dimangsakan pula. Seperti haiwan pemangsa yang lain, harimau mencuri peluang memakan mangsa yang lebih kecil seperti monyet, burung merak, kelinci, dan ikan.

Gajah dewasa sememangnya terlalu besar untuk dijadikan mangsa utama harimau, tetapi selalunya terjadi perbalahan antara harimau dan gajah. Pernah diperhatikan juga seekor harimau membunuh seekor Badak Sumbu India.[30] Adakalanya anak gajah dan anak badak dijadikan mangsa harimau, begitu juga dengan haiwan jinak seperti anjing, lembu, kuda dan keldai.[31]

Harimau yang berusia lanjut atau tercedera, hingga tidak mampu mengejar mangsa semula jadinya, boleh bertukar menjadi pemakan manusia, terutamanya di seluruh India. Di kawasan Sundarban pula, adanya juga harimau sihat yang mengejar nelayan dan penduduk kampung yang mencari hasil hutan, menjadikan manusia sebagai sebahagian kecil dalam pemakanan harimau.[32] Sekali-sekala harimau memakan tumbuh-tumbuhan untuk memperoleh serabut diet, terutamanya sekali buah Careya arborea.[31]

Keunggulan harimau sebagai pemangsa hebat terletak pada rahangnya yang amat kuat serta giginya yang tajam sekali.

Harimau biasanya berburu pada waktu malam[33], secara bersendirian dan menyerang hendap mangsa seperti jenis-jenis kucing yang lain, mengatasi mangsa dari mana-mana sudut, menggunakan kebesaran dan kekuatannya untuk menjatuhkan mangsa yang besar. Walau begitu berat sekalipun, harimau boleh berlari sepantas 49-65 kilometer sejam (35-40 batu sejam), tetapi hanya boleh memecut untuk masa yang singkat kerana stamina yang terhad. Oleh itu, harimau mesti cukup dekat dengan mangsa sebelum menyerang. Harimau begitu hebat lompatannya, iaitu dilaporkan melompat secara mengufuk melebihi 10 meter, tetapi biasanya banyak melompat sepanjang separuh jarak tersebut. Sungguhpun demikian, hanya satu daripada dua puluh buruan berjaya memperoleh habuan.[33]

Ketika memburu mangsa yang lebih besar, harimau lebih gemar menahan mangsa pada tanah dengan kaki hadapannya, sambil menggonggong kerongkong mangsa sehingga mati.[34] Dengan cara inilah, seladang dan kerbau seberat satu tan pun boleh tewas kepada harimau yang hanya seberat satu perenam berat mangsanya.[35] Bagi mangsa yang lebih kecil, harimau menggigit tengkuknya hingga terpatah saraf tunjangnya, menusuk salur udaranya, atau memutuskan urat jugulum atau arteri karotid amnya.[36] Walaupun jarang diperhatikan, ada sebilangan harimau yang dicatatkan memukul mangsa hingga mati dengan tapak kakinya yang cukup kuat untuk menghancurkan tengkorak lembu ternakan,[31] mahupun mematahkan tulang belakang beruang sloth.[37]

Pada 1980-an, seekor harimau bernama "Genghis" di Taman Negara Ranthambhore diperhatikan sering memburu mangsa melalui air tasik yang dalam,[38] iaitu corak kelakuan yang tidak pernah disaksikan sepanjang dua abad lebih pemerhatian harimau. Lebih-lebih lagi, Genghis menunjukkan prestasi cemerlang sebagai seekor harimau kerana sebanyak 20% buruan berjaya dibunuhnya.

[sunting] Pembiakan

Seekor harimau betina bersama anak-anaknya di Taman Simpanan Harimau Kanha, India.

Harimau boleh mengawan bila-bila masa sepanjang tahun, tetapi bulan November hingga April menjadi pilihan kebanyakan haiwan ini.[39] Seekor harimau betina hanya membuka dirinya kepada pasangan selama beberapa hari, dan ketika inilah pengawanan kerap berlaku. Sepasangan harimau bersanggama dengan kerap dan bisingnya, seperti jenis kucing yang lain. Tempoh kebuntingan harimau adalah selama 16 minggu, kemudian menghasilkan seperinduk tiga atau empat anak harimau yang beratnya 1 kilogram (2.2 lb) seekor dan lahir dalam keadaan buta dan lemah. Ibu harimau bersendirian melindungi anaknya dengan melindunginya jerumun seperti belukar dan rekahan batu. Bapa harimau pula biasanya tidak berbuat apa-apa pun untuk menjaga anak-anaknya. Harimau jantan yang tiada pertalian saudara juga boleh membunuh anak harimau semata-mata untuk membukakan hati harimau betina, kerana harimau betina boleh beranak lagi dalam masa 5 bulan sekiranya kehilangan anak-anak yang sebelumnya.[39] Kadar kematian anak harimau agak tinggi, iaitu kira-kira separuh darinya tidak sempat mencecah usia dua tahun.[39]

Dalam setiap seperinduk wujudnya seekor anak harimau dominan, biasanya jantan.[38] Anak ini biasanya menguasai adik-beradiknya ketika bermain dan selalunya lebih cukup aktif sehingga boleh meninggalkan induknya lebih awal dari biasa. Pada usia lapan minggu, anak-anak harimau sedia mengikuti induknya keluar dari jerumun, tetapi tidak bersiar-siar bersama induknya yang merayau-rayau di wilayahnya sehingga usianya cukup matang. Anak harimau mula berdikari pada usia sekitar 18 bulan, tetapi ketika mencecah usia 2–2½ tahun barulah boleh menjauhi ibunya. Harimau betina mencapai kematangan seks pada usia 3–4 tahun, manakala yang jantan pula 4–5 tahun.[39]

Sepanjang hayatnya, seekor harimau betina melahirkan bilangan anak jantan dan betina yang lebih kurang sama rata. Harimau juga membiak dengan sihat dalam kurungan, hinggakan bilangan harimau dalam kurungan di Amerika Syarikat mampu mengatasi bilangan harimau liar sedunia.[40]


No comments:

Post a Comment