Saturday, November 15, 2014

Produk yang memperdagangkan al-Qur'an


Penulis melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.
Ini kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.  
Dalam hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :

وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208

"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)
Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.
Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.
Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.
Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.
Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.
Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.
Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan perubatan moden.
Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang  menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.
Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan".

No comments:

Post a Comment