Faisal
Tehrani FT secara bacul berselindung di sebalik karya sastera ala novel
cinta untuk menyerang dan menghukum Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Dalam
tulisannya di malaysiakini dia cuba membayangkan kononnya Syiah tiada
masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Kononnya
perbalahan antara Sunni dan Syiah itu hanyalah rekaan-rekaan pihak
tertentu sahaja. Tetapi anehnya perangai FT dalam novelnya ini saling
tak tumpah seperti sikap golongan Syiah Rafidhah yang menolak, menghina
dan mempertikaikan para sahabat r.a.h. Walaupun FT bijak bermain bahasa,
tetapi itu tidak bermakna dia ‘cerdik’ menyimpan pekung Syiah-nya itu.
Dalam banyak-banyak perkara yang disentuh oleh FT dalam karyanya ini,
perkara paling besar yang tak boleh dibiarkan adalah kebiadapan FT
terhadap para sahabat r.a.h. Dalam artikel ringkas ini penulis akan
bongkarkan niat busuk lagi kotor FT terhadap Ahli Sunnah dan para
sahabat r.a.h. yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah SWT dan
Rasul-Nya SAW.
Mempertikaikan Sayyidina Abu Hurairah r.a. dan hadith sahih
Sepertimana
golongan Syiah Rafidhah yang lain, antara para sahabat yang paling
dibenci oleh mereka adalah Sayyidina Abu Hurairah. Ini kerana Abu
Hurairah adalah antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan
hadith-hadith Rasulullah SAW. Bahkan telah berlaku ijmak di kalangan
ahli hadith bahawa Abu Hurairah adalah sahabat yang paling banyak
meriwayat dan menghafaz hadith-hadith Rasulullah SAW.
Dalam Sahih Muslim, Kitab Kelebihan Para Sahabat r.a.h,, terdapat
hadith yang menyatakan tentang kelebihan Abu Hurairah r.a. Bahawa Abu
Hurairah r.a berkata: “Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah banyak
meriwayatkan hadith daripada Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan
membuktikannya. Sesungguhnya aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam
Rasulullah SAW dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika orang-orang
Muhajirin berdagang di pasar-pasar dan orang-orang Ansar sibuk
mengembangkan harta benda mereka. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang
membentangkan pakaiannya beliau tidak akan lupa apa yang beliau dengar
dariku. Aku terus membentang pakaianku sehingga Baginda selesai
menyampaikan hadithnya. Kemudian aku mengumpulkannya dan tidak lupa
apa-apa yang aku dengar dari baginda”.
Berdasarkan
kedudukan Abu Hurairah r.a. ini, sungguh lancang sekali si Faisal
Tehrani untuk memperlekehkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah dengan menuduhnya sebagai israiliyyat. Di mana dalil dan
buktinya ia israiliyyat, seperti yang didakwa pada halaman 36.
Sebelumnya, pada halaman 33, FT membawakan hadith yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari. Hadith ini menyentuh tentang
kejadian Hawa/wanita daripada tulang rusuk Adam/lelaki yang
dipertikaikan oleh golongan Syiah.
FT
berniat buruk dengan cuba menimbulkan keraguan pada hadith yang
diwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari tersebut. Hadith itu
kononnya dikatakan satu diskriminasi terhadap kaum wanita. Tambahan
lagi, FT menuduh ianya bersesuaian dengan tradisi Kristian. Jelas,
nawaitu FT adalah untuk meruntuhkan kredibiliti para sahabat dan
hadith-hadith sahih yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Padahal, FT
sendiri dangkal dalam memahami kaedah syar'un man qablana syar'un lana ma lam yakun fi syari'ina ma yukhalifuhu iaitu
apa yang terkandung dalam ajaran agama lain yang menetapi dan tidak
menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah maka Islam menerimanya.
Seseorang
yang waras sebenarnya tidak perlu untuk mempertikaikan hadith-hadith
sebegini kerana ia tidak melibatkan implikasi iman dan amalan, ia hanya
satu perkhabaran supaya kita mengagumi tanda-tanda kebesaran Allah SWT
dalam penciptaan-Nya. Apa yang menghairankan FT sibuk untuk mencari
'titik kepalsuan' mazhab Sunni tetapi lupa untuk mengkritisi ajaran
sesat Syiah yang dikaguminya sendiri. Mengapa tidak FT mengkaji, kenapa
penganut Syiah sanggup menyambut perayaan Nairuz pada 21 Mac setiap
tahun? Bukankah ia adalah perayaan memuja api penganut Majusi berbangsa
Parsi suatu ketika dahulu? Bagaimana kitab-kitab Syiah seperti Bihar
al-Anwar boleh meriwayatkan kononnya Imam Mahdi Syiah akan muncul pada
hari raya Majusi? Bukankah isu ini lebih berat kerana ia membabitkan
implikasi iman dan amalan? Adakah Syiah meniru Majusi atau Majusi yang
meniru Syiah? Dengan otak FT yang bijak itu, tidak logik jika FT tidak
mampu untuk mengkaji ajaran kesayangannya sendiri.
Jika
FT mahu juga berhujjah dengan perkara-perkara sebegini, sepatutnya FT
menyelesaikan terlebih terdahulu ayat-ayat al-Qur'an al-Karim yang pada
zahirnya seolah-olah mendiskriminasikan kaum wanita, itu pun jikalau
menggunapakai kaedah berfikir singkat ala Faisal Tehrani. Antaranya
seperti dalam surah al-Nisa' ayat 34 tentang kelebihan lelaki ke atas
wanita, ayat 11 tentang bahagian lelaki yang lebih banyak daripada
wanita dalam faraid dan lain-lain. Sebenarnya tiada pun apa yang didakwa
diskriminasi jika dilihat menerusi kaca mata keadilan perbuatan Allah
SWT yang Maha Sempurna lagi Bijaksana. Tetapi jika dilihat menerusi
persepsi yang penuh dengan dendam kesumat untuk mencari-cari salah
sumber Ahli Sunnah, maka pelbagai persepsi negatif akan cuba
dibangkitkan demi mempertikaikan mazhab Sunni.
Isu diskriminasi wanita
Sebagai
contoh, sikap FT ini terserlah pada halaman 8. FT cuba menggambarkan
kononnya terdapat hadith dalam kitab-kitab Ahli Sunnah yang
mendiskriminasikan kaum wanita dengan mengatakan kaum wanita adalah
golongan yang paling ramai menghuni neraka. Hadith-hadith sebegini juga
dianggap menjadi punca al-Qur'an dipandang seperti mentaliti primitif
Eropah pada abad pertengahan. Pandangan ini adalah perspektif
skeptikal yang sengaja diberikan oleh FT untuk memburuk-burukkan
hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah
walhal hadith tersebut mempunyai konteks yang tertentu.
Kemyataan ini tertulis pada kulit belakang buku FT |
Sebelum
menjelaskan maksud sebenar hadith tersebut, perlu diingat keghairahan
FT untuk mencari kelemahan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebenarnya telah
memakan dirinya sendiri kerana hadith berkenaan majoriti ahli neraka
adalah wanita pada hakikatnya bukan sahaja diriwayatkan di dalam
hadih-hadith Ahli Sunnah sebaliknya ia juga diriwayatkan di dalam
kitab-kitab Syiah malah matannya lebih panjang dan lebih terperinci.
Sebagai contoh apa yang dinukilkan oleh al-Majlisi di dalam kitabnya
Bihar al-Anwar daripada karangan al-Kulaini di dalam al-Furu’ mi al-Kafi
berkenaan beberapa riwayat yang menyebut tentang majoriti penghuni
neraka adalah golongan wanita.
Pertama:
Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ibn
Mahbub daripada Abdullah bin Ghalib daripada Jabir al-Ja’fi daripada Abi
Ja’far a.s, beliau berkata: Rasulullah SAW telah keluar…kemudian
bersabda: Wahai sekalian wanita, bersedekahlah, taatilah suami-suami
kamu, sesungguhnya kebanyakannya kamu di dalam neraka. Ketika mana para
wanita mendengar sedemikian, mereka menangis, kemudian bangun seorang
wanita daripada mereka lalu berkata: Wahai Rasulullah, di dalam neraka
bersama orang kafir? Demi Allah kami bukan orang kafir sehingga menjadi
ahli neraka. Lalu Rasulullah berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu semua
adalah kafir terhadap hak-hak suami kamu".
Kedua:
Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ali
bin al-Hakam daripada Ali bin Abi Hamzah daripada Abi Basir, beliau
berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s. berkata: Rasulullah SAW
telah berkhutbah kepada wanita lalu bersabda: “Wahai sekalian wanita,
kamu bersedekahlah walaupun dengan perhiasan kamu, walaupun dengan
sebiji tamar, walaupun dengan secebis tamar, sesungguhnya kebanyakan
kamu adalah kayu api neraka…”
Sepatutnya
FT juga perlu memasukkan riwayat-riwayat Syiah ini untuk dikritik
bersama riwayat-riwayat Ahli Sunnah. FT perlu menjawab mengapa di dalam
riwayat-riwayat Syiah juga turut mendiskriminasi kaum wanita. Malah di
sana terdapat riwayat-riwayat Syiah yang lebih berat dalam mengenepikan
kaum wanita, antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh al-Kulaini
berbunyi: "Janganlah kamu memberi tempat kepada mereka (wanita) di
dalam kamar-kamar dan jangan kamu ajar mereka menulis, tetapi ajarlah
mereka bagaimana memintal benang dan surah al-Nur". Hadith ini turut
dinukilkan oleh penulis-penulis Syiah terkemudian seperti al-Hurr
al-'Amili dalam kitabnya Wasa'il al-Syiah yang meletakkan tajuk "Bab
kesunatan mengajar kaum wanita surah al-Nur dan tenunan, tanpa mengajar
surah Yusuf dan menulis" dan dalam bab lain dia meletakkannya di bawah
tajuk "Bab kemakruhan menyediakan kaum wanita di bilik-bilik, mengajar
menulis dan surah Yusuf…". Bagi para ulama Ahli Sunnah, hadith ini tidak
sabit dan matannya bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih. Oleh
itu, zahir hadith yang mengatakan wanita tidak boleh dibenarkan untuk
belajar menulis dan surah Yusuf adalah bertentangan dengan galakan
belajar yang diperintahkan dalam agama Islam tanpa mengira jantina.
Tetapi mengapa riwayat-riwayat sebegini wujud dalam ajaran sesat Syiah
seperti yang didewa-dewakan oleh FT?
Setelah
kita membaca riwayat-riwayat Syiah di atas, dapat difahami bahawa
tujuan FT memaparkan hadith-hadith Ahli Sunnah hanyalah untuk mengaburi
mata pembaca bagi membayangkan seolah-olah disiplin ilmu hadith yang ada
di dalam mazhab Ahli Sunnah itu longgar sehingga terhadap hadith-hadith
yang dirasakan tidak logik. Namun, kewujudan riwayat-riwayat Syiah yang
lebih berat dalam hal mendiskriminasikan wanita tidak pula dijawab atau
diulas oleh FT. Terdapat dua kemungkinan, sama ada FT jahil tentang
ajaran Syiah kerana dia juga mengikut Syiah secara membuta tuli atau
kerana dia sengaja mahu menyembunyikan riwayat-riwayat Syiah yang berbau
diskriminasi terhadap kaum wanita tersebut.
Berbalik
kepada hadith yang didakwa oleh Faisal Tehrani mendiskriminasikan kaum
wanita, ia hanyalah dakwaan kosong daripada seorang yang berniat serong
terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Berkenaan hadith di atas, ia
termasuk dalam jenis hadith al-targhib wa al-tarhib yang
bertujuan untuk memberi galakan atau ancaman dalam sesuatu amalan. Ini
kerana golongan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagai penghuni
neraka tersebut ialah merujuk kepada mereka yang melakukan maksiat
kepada Allah SWT seperti tidak bersyukur dan menghargai pemberian suami
(hadith Sahih al-Bukhari) dan berpakaian yang mendedahkan aurat (hadith
Sahih Muslim). Ini bermakna ia bukan sama sekali merujuk kepada
wanita itu secara fitrah kejadiannya maka ia didiskriminasikan
daripada memasuki syurga. Ia seperti ungkapan Rasulullah SAW yang
mengatakan majoriti penghuni syurga adalah golongan miskin, ia bukan
bermakna golongan kaya didiskriminasikan tetapi kerana ramainya golongan
kaya yang tidak menghiraukan soal halal dan haram dalam mencari rezeki
serta tidak menunaikan hak-hak harta yang sepatutnya maka menyebabkan
mereka tertahan daripada memasuki syurga.
Mempertikai kredibiliti Sayyidah ‘Aisyah r.a.
Dalam
halaman 205 FT cuba untuk mempertikaikan kredibiliti Sayyidatina
‘Aisyah r.a. bagi menolak hadith yang diriwayatkan dalam Sahih
al-Bukhari dengan menuduh kononnya 'Aisyah sendiri belum wujud ketika
kisah penurunan wahyu berlaku. Kenyataan sebegini jelas menunjukkan
kejahilan pengarang tentang kedudukan 'mursal sahabi' dalam disiplin
ilmu hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat tanpa dia
menyaksikan sendiri atau mendengar sendiri daripada Rasulullah SAW
tetapi memperolehinya daripada sahabat lain. Hadith 'mursal sahabi'
tetap dianggap sahih menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah kerana yang
meriwayatkannya adalah para sahabat kecuali golongan yang meragukan dan
mentohmah kejujuran para sahabat seperti Syiah. Walau bagaimanapun,
berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi mengatakan ia didengari sendiri
oleh 'Aisyah r.a.h berdasarkan beberapa lafaz yang terkandung di
dalamnya.
Menuduh hadith-hadith keutamaan para sahabat hanyalah rekaan Sunni
Penyakit
hati FT semakin terserlah pada halaman 179 apabila menuduh dengan
biadap bahawa hadith-hadith keutamaan atau fadha'il sahabat direka bagi
menutup perseteruan mereka dengan Sayyidina Ali r.a. Ini adalah suatu
penghinaan kepada para sahabat Nabi SAW kerana cuba mengaitkan kelebihan
atau fadha'il sahabat seperti yang terkandung di dalam hadith-hadith
yang sahih itu hanyalah direkayasa demi kepentingan politik. Apakah FT
tidak pernah membaca ayat-ayat al-Qur'an tentang pujian Allah SWT kepada
para sahabat sehingga mereka diberikan gelaran radhiyallahu 'anhum?
Menghina Khulafa’ al-Rasyidin
Pada
halaman 192, FT menghina pula para kibar al-sahabah terdiri daripada
Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman dengan menuduh
secara membuta tuli kononnya mereka telah melakukan kesilapan dalam
berijtihad sambil menyertakan bilangan kesalahannya sekali. Siapakah FT
atau Syiah untuk menilai kesilapan para sahabat dalam berijtihad?
Sedangkan para sahabat adalah ahli ijtihad dalam nas-nas yang tidak
muktamad. Jikapun berlaku kesalahan dalam berijtihad ia tidak menjadikan
kedudukan mereka rendah malah dikurniakan pahala oleh Allah SWT kerana
ijtihad para sahabat telah pun berlaku dan diakui oleh Rasulullah SAW
pada zaman Baginda masih hidup dan Baginda tidak mengingkarinya.
Pada
halaman 279-280 FT cuba menimbulkan persepsi seolah-olah para sahabat
telah berpaling daripada Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Padahal
hadith ini perlu dibaca dengan pelbagai riwayat yang lain kerana
terdapat lafaz-lafaz yang berbeza seperti usayhabi dan ummati yang
menurut para ulama merujuk kepada segelintir golongan yang telah murtad
selepas kewafatan Rasulullah SAW. Malah kita sedia maklum bagaimana
Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. sendiri telah memerangi golongan yang
murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Kalimah
'sahabat' yang digunakan dalam hadith tersebut juga bukanlah merujuk
kepada 'sahabat' dengan makna istilah tetapi makna bahasa. Kerana itu
apabila Sayyidina Umar al-Khattab ingin membunuh ketua munafiqin,
Abdullah bin Ubai bin Salul, ia tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW
kerana Baginda bimbang nanti orang akan berkata Muhammad telah membunuh
'sahabat'nya sendiri. Ini bermakna walaupun Nabi SAW menyebut ‘sahabat’
ia bukan bermakna Baginda mengiktiraf semua yang menzahirkan keimanan
mereka di hadapannya, tetapi ada di kalangan mereka itu yang munafiq dan
ada di kalangan mereka yang murtad selepas kewafatan Baginda SAW dan
mereka pada asasnya bukanlah ‘sahabat’ Nabi SAW kecuali pada bahasanya
sahaja.
Menghina mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya’irah-Maturidiyyah)
Daripada
kebiadapan FT memperlekeh dan menghina para sahabat r.a.h., dia beralih
pula mempertikaikan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi pegangan
rasmi umat Islam di Malaysia dan majoriti umat Islam di dunia.
Kedangkalan dan kecetekan pengetahuan FT makin terserlah ketika cuba
untuk meruntuhkan disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang telah establish.
Nampak sangat geran penyelidikan GCPM yang diperoleh dari UKM tidak
dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat kajian perbandingan kecuali amat
terhad kepada rujukan Syiah semata-mata. Penilaian FT terhadap mazhab
Ahli Sunnah Wal-Jamaah amat ‘menjelekkan’ kerana FT sendiri tidak
mengkaji Ahli Sunnah secara komoprehensif menerusi rujukan-rujukan Ahli
Sunnah yang muktabar.
Pada
halaman 9, FT menyebut kita mesti berhenti mengkaji Islam daripada
mazhab yang 90 peratus tetapi kembali kepada mazhab Syiah yang ‘asli’
yang mewakili 10 peratus umat Islam. Maknanya FT menganggap Ahli Sunnah
Wal-Jamaah ini sekadar mazhab palsu. Begitu juga pada halaman 83, FT
mengatakan mazhab Ahli Sunnah itu dasar dan asasnya bergantung kepada
kesia-siaan kerana kononnya mazhab Sunni tidak berjaya menyelesaikan
permasalahan wanita dan pelbagai tuntutan lain.
Pada
halaman 170, FT dengan kajiannya yang ‘mendalam’ itu mengelirukan
pembaca dengan mengatakan Ahli Sunnah hanya wujud selepas era Muktazilah
dan tidak mampu menandingi sejarah Syiah yang dikatakan telah bermula
sejak awal. FT sebenarnya jahil dan tidak memahami latar belakang Ahli
Sunnah Wal-Jamaah lalu mendakwa gelaran Ahli Sunnah tidak pernah wujud
pada zaman awal Islam. Kalaulah FT menggunakan sedikit akalnya, dia
pasti akan dapat membezakan antara istilah dan sejarah, justeru FT tidak
akan membuat kesimpulan yang terencat akal itu. FT bukan tak tahu,
kewujudan ‘istilah’ tidak semestinya seiring dengan sejarah yang
menggambarkan kewujudan ‘istilah’ itu. Misalnya, apabila disebut
“Malaysia” ia adalah satu istilah bagi merujuk kepada negara kita,
tetapi ia tidak boleh menggambarkan kewujudan sejarah Tanah Melayu yang
lebih awal daripada istilah Malaysia itu sendiri.
Begitu
juga istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia hanya satu istilah untuk
merujuk kepada manhaj Islam yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh
Rasulullah SAW. Jika tidak kerana wujudnya golongan ahli bid’ah dan
sesat seperti Syiah, sudah tentu tidak perlu wujud istilah tertentu
untuk merujuk kepada Islam yang asli. Mungkin cukup sekadar disebut
Islam semata-mata sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Qur’an dan
hadith. Namun apabila wujudnya golongan yang berpecah keluar daripada
gagasan Islam yang sebenar, maka wujudlah istilah untuk membezakan
antara Islam yang haq dan Islam yang batil seperti Syiah.
Bertambah-tambah
dangkal lagi, apabila FT mengatakan istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah
hanya timbul selepas daripada kemunculan dua imam besar Sunni iaitu Imam
Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Buat makluman
FT dan pengkaji Syiah tegar, istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah buat pertama
kali telah digunakan oleh Ibn Abbas, seorang sahabat besar yang juga
merupakan sepupu Nabi SAW yang wafat pada tahun 68 hijriyah. (Lihat
Tafsir Ibn Kathir, tafsiran ayat 106 surah Ali Imran) Walau bagaimanapun
apabila kita merujuk kepada hadith-hadith Rasulullah SAW begitu banyak
sekali ungkapan Baginda supaya berpegang kepada sunnah dan jamaah.
Justeru, andaian FT itu sekadar bertujuan untuk mentohmah kedua-dua imam
besar Sunni yang menjadi pengasas kepada mazhab Asya’irah dan
Maturidiyyah seolah-olah kedua-dua mereka inilah pembuat bid’ah yang
merekayasa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Betapa dustanya tangan FT
menulis seperti itu!
Sebagai
ahli akademik, sepatutnya apa yang dikaji oleh FT untuk menilai Imam
Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah pada manhaj
yang dibawa menerusi karya-karya mereka. Barulah boleh disimpulkan
maksud di sebalik istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi popular
pada zaman mereka. Apakah mereka membina mazhab baru atau ia merupakan
suatu kesinambungan daripada golongan salafussoleh sebelum mereka. Apa
yang sepatutnya adalah FT mengkaji sejauhmana kesinambungan antara
ajaran Syiah dengan Ahlul Bayt? Hakikatnya, tiada langsung kesinambungan
antara Syiah dengan imam-imam Ahlul Bayt. Apakah hujjah Syiah untuk
mengatakan kepercayaan mereka hari ini benar-benar berdasarkan Ahlul
Bayt?
Al-Kulaini
dalam al-Kafi menukilkan dari Muhammad bin al-Hasan bahawa, “Dahulunya
para masyayikh mereka meriwayatkan dari Ja’far dan Abi Abdillah, ketika
itu taqiyyah amat bersangatan lalu mereka menyembunyikan kitab-kitab
mereka dan tidak meriwayatkan daripada mereka, lalu apabila mereka
meninggal dunia, kitab-kitab mereka sampai kepada kita, lalu (Muhammad
bin al-Hasan) berkata: Riwayatkanlah ia, sesungguhnya ia benar”.
(al-Kafi 1/53) Bukankah hadith Syiah ini pelik, boleh meriwayatkan
daripada Ahlul Bayt tanpa perlu kepada sanad yang sahih dan benar-benar
sampai kepada Ahlul Bayt. Oleh sebab itulah, ketika penulis berdialog
dengan Syiah Melayu jadian, Kamilzuhairi di Bagan Serai, Kamil
mengatakan Syiah tidak memiliki kitab sahih seperti Ahli Sunnah. Hairan
sungguh, bagaimana mereka boleh mendakwa berada di atas kebenaran
sedangkan tidak memiliki sanad yang sahih daripada Ahlul Bayt? Adakah
benar mereka itu syiah (pengikut) Ahlul Bayt atau sebenarnya syiah
kepada pendusta dan pembohong agama, Abdullah bin Saba’?
Pada
halaman 338-339, FT terus membakar sentimen anti Ahli Sunnah Wal-Jamaah
dengan menuduh kononnya Ahli Sunnah hanyalah sebuah pakatan yang rapuh.
Keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunnah dituduh FT sebagai saling
bercakaran antara satu dengan lain hasil daripada pakatan fiqh yang
longgar dan saling bertabrakan. Istilah “pakatan fiqh” sudah cukup
menunjukkan FT tidak punya gambaran yang tepat berkenaan mazhab empat.
FT mungkin menyangka keempat-empat mazhab itu terdiri daripada kumpulan
yang memiliki ideologi berlainan lalu berpakat menjadi satu pakatan
persis pakatan politik. Padahal keempat-empat mazhab bahkan lebih dari
itu (jika ditambah dengan mazhab salaf yang lain termasuk Imam Ja’far
al-Sadiq) hanyalah menifestasi daripada kepelbagaian pandangan dalam
mereka memahami nas-nas yang tidak muktamad. Dalam konteks masa kini,
kepelbagaian mazhab fiqh itu tidak pernah menjadi bebanan kepada umat
Sunni malahan ia menjadi khazanah ilmu Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang
begitu kaya dan tidak ternilai terutamanya dalam mengeluarkan fatwa
berkenaan isu-isu semasa sama ada di peringkat tempatan mahupun
antarabangsa.
Hakikatnya
banyak lagi yang perlu dipelajari oleh FT tentang perkembangan mazhab
Ahli Sunnah. Namun begitu ada baiknya FT membuka mindanya dengan
mengkaji sejarah Syiah sendiri yang penuh dengan perpecahan dalam
masalah prinsip seperti yang terkandung dalam buku Firaq al-Syiah
karangan ulama Syiah terawal al-Nawbakhti. Di situ mungkin FT akan
terkejut bahawa Syiah bukan sahaja berselisih dalam masalah fiqh bahkan
ada pecahan Syiah yang mengatakan Ali itu adalah tuhan!!!
Berdasarkan
kajian cetek FT ini, dia kemudiannya membuat kesimpulan pada halaman
341 supaya penganut Islam meninggalkan Ahli Sunnah dan menggantikannya
dengan ajaran sesat Syiah. Tidak dapat dipastikan apakah ini suatu
bentuk HASUTAN terhadap pihak yang bertanggungjawab menjunjung dan
memelihara agama Islam di negara ini termasuk Raja-Raja Melayu, Majlis
Agama Islam dan Jabatan Agama Islam. Jika ia benar, dipohon supaya
tindakan dikenakan kepada penghasut ini. Secara akademik, perbezaan yang
berlaku antara mazhab, tidak perlu sehingga membuang mazhab yang lain
dan menggantikannya dengan yang baru. Ia seperti perbezaan empat mazhab
Sunni yang saling bermaaf-maafan dalam perkara yang diperselisihi dan
tidak saling dakwah mendakwah antara satu dengan lain. Tetapi niat
Faisal Tehrani jelas, untuk menjatuhkan Sunni dan menggantikannya dengan
Syiah! Inilah cita-cita puak Syiah dan buktinya jelas kelihatan di
Iran, Iraq, Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan, Mesir dan lain-lain.
Kesimpulannya, benarlah telahan penulis, Syiah adalah satu ajaran yang
hanya akan tertegak di atas keruntuhan Sunni! Pekung Syiah benar-benar
terbarai daripada otak pemikiran Mohd Faizal Musa dalam bukunya ini.
Semoga pihak berkuasa sedar dan tidak terus tertidur dibuai mimpi…
No comments:
Post a Comment