http://yusofembong.blogspot.com
Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang
mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama
pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati
sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan
beberapa buah negara di Timur Tengah.
“Christmas Day” menurut
orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di
muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada
tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah
dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan
sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan
sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua
perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan
Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.
Persoalan : Adakah
perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita
hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?
Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :
1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :
Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam
apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang
kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas,
umat islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan
‘Iduladha.
Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam
Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS
bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan
persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para
fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam
Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk
bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka,
maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka”).
Imam
an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan
daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana
perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan
orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak
harus.
Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :
• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :
حَدَّثَنَا
عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا
عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ
أَبِي مُنِيبٍ الْجُرَشِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ
مِنْهُمْ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Utsman bin
Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr
berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata,
telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al
Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia
bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum
(yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith
ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)
• Penyertaan atau menyambut
perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta
kepada mereka. Allah S.W.T. berfirman :
Maksudnya : Wahai
orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi
dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi
teman rapat kepada setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu
Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari
golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan
petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim. (Surah Al-Maidah ayat 51)
Maksudnya
: Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan
musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan cara kamu sampaikan kepada mereka
(berita-berita rahsia orang-orang mukmin) Dengan sebab hubungan baik
dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan mereka, sedang mereka
telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai kepada kamu;
mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan
kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan
kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk
berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang
faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara
rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa
Yang kamu zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang
melakukan perkara Yang demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia
dari jalan Yang betul.(Surah Al-Mumtahanah ayat 1)
• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :
حَدَّثَنَا
عُبَيْدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ
هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ
دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ
تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ قَالَتْ
وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَمَزَامِيرُ
الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا
وَهَذَا عِيدُنَا
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami
'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah
dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui
aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga Kaum Anshar yang
sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum
Anshar pada perang Bu'ats." 'Aisyah menlanjutkan kisahnya, "Kedua
sahaya tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu
Bakar pun berkata, "Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di
kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi
pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya,
dan sekarang ini adalah hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam
Bukhari)
Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.
2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :
Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada
perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang
membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.
Imam
Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam
kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi :
(dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada
orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap
perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika /
tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).
Tetapi menurut Dr
Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi
mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah
kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini
bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
Maksudnya
: dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat
(seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang
lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama).
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah
An-Nisaa’ ayat 86)
Maksudnya : Allah tidak melarang kamu
daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak
memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang
berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah ayat 8)
Namun, perlu diingat
bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang
bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi
semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap
ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan
sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan
syara’ yang telah ditetapkan.
Kesimpulan : Agama Islam merupakan
agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut
agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah,
perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah
diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah
seperti berikut :
1. Haram menyambut perayaan orang kafir
disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya,
perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian
dan pegangan mereka.
2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah
pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa
gembira dengan perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan
kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.
Apa yang paling penting ialah
pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat
berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu
diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang
indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.
Disediakan oleh,
Muhammad Hanif bin Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Fellow MANHAL PMRAM.
Sumber : Blog Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
No comments:
Post a Comment