Baitul-Muqaddis-bumi para anbiya’. Bumi ini telah menjadi saksi ketekunan dan keteguhan para mursalin dalam mendidik manusia mengenal hakikat Tauhid dan ajaran Islam. Bermula dengan penguasaan zuriat Nabi Ishak yakni Bani Israel, kemudiannya Raja Nebuchadnezzar dari Babylon, disusuli pula oleh pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, bumi anbiya’ ini telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu.
Akhirnya, pada tahun 638 Masihi, kekejaman dan ketidakadilan pemerintahan asing di bumi Baitul-Muqaddis ini telah ditamatkan oleh Khalifah Islam yang kedua, Umar Al-Khattab. Beliau bersama bala tentera kaum mukminin telah disambut oleh penduduk Baitul-Muqaddis sebagai pembela keadilan dan tentera pembebasan. Prasyarat penerimaan pemerintahan Islam secara rasmi daripada penduduk Baitul-Muqaddis hanyalah ia perlu dirunding secara langsung dengan Khalifah Umar sendiri. Diceritakan bahawa kisah di sebalik prasyarat yang mudah ini ialah kerana pemimpin Nasrani Baitul-Muqaddis, Sophronius mendapati ciri-ciri pemimpin yang akan membuka dan membebaskan Baitul-Muqaddis daripada penguasaan empayar zalim, yang disebut di dalam kitab suci mereka (Zachariah 9, ayat 9-10) menepati sifat Khalifah Umar. Sebagai seorang Khalifah yang amat rendah diri dan sederhana, Khalifah Umar bersetuju dan memasuki kota suci ini secara berjalan kaki sahaja tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Suatu simbol Islam sebuah agama yang mencintai kedamaian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.
Pembebasan Baitul-Muqaddis ini membuka satu era baru dalam lipatan sejarah Islam. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam. Setelah memeterai perjanjian damai dengan penduduk Baitul-Muqaddis, Khalifah Umar terus bergerak menuju Haram Asy-Syarif, suatu kawasan seluas 35 ekar dan mendapatinya dipenuhi sampah-sarap. Beliau lantas menggunakan jubahnya untuk mengutip sampah-sarap tersebut dan perbuatan Umar ini diikuti oleh semua kaum muslimin sehinggalah seluruh kawasan Haram Asy-Syarif dibersihkan selayaknya sebagai tempat suci umat Islam. Di tengah-tengah kawasan ini, tersergam batu di mana berpijaknya Nabi Junjungan sebelum ke langit dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj baginda. Di sudut paling selatan kawasan Haram Asy-Syarif ini, maka dibinalah sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan sebuah masjid kayu yang mampu memuatkan 3,000 pengunjung. (Perlu diingatkan di sini bahawa Masjid Al-Aqsa yang dibina oleh Khalifah Umar ini bukanlah masjid yang disebut semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Sebenarnya, keseluruhan kawasan Haram Asy-Syarif adalah Masjid Al-Aqsa)
Namun demikian, suasana kegemilangan Islam di Baitul-Muqaddis berakhir pada kurun ke-11 apabila Pope Urban II mengisytiharkan Perang Salib yang pertama. Tindakan ini adalah sebagai reaksi terhadap polisi menghalang penziarah-penziarah Kristian memasuki Baitul-Muqaddis oleh pemerintah Islam Seljuk pada masa itu. Gerombolan Kristian Eropah ini bermusafir selama 3 tahun menuju Kota Suci Baitul-Muqaddis dan akhirnya mereka tiba di pintu gerbang kota suci ini pada tanggal 7 Jun 1099. Setelah 5 minggu mengepung Baitul-Muqaddis, tentera Salib akhirnya berjaya menawan Baitul-Muqaddis dan tanpa belas kasihan membunuh seramai 40,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak kota suci ini.
Pemerintahan tentera Salib tidak membawa kedamaian kepada penduduk kota suci ini. Kekejaman dan ketidakadilan menjadi lumrah di Baitul-Muqaddis sepanjang pemerintahan mereka baik kepada umat Islam mahupun penduduk bukan Islam. Setelah 88 tahun dijajah tentera Salib, pada tahun 1187 Masihi, Panglima Sallahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk semula kota suci Islam ini dan sekali lagi Islam membuktikan ia bukan agama keganasan. Pembukaan kedua kota Baitul-Muqaddis ini tidak dicemari oleh sebarang pembunuhan rakyat biasa dan pilihan diberikan kepada penduduk kota ini, khususnya yang bukan Islam, samada ingin berhijrah ataupun terus menetap di Baitul-Muqaddis di bawah pemerintahan Islam dengan jaminan pemeliharaan nyawa, harta dan tempat ibadat mereka.
Pada tahun 1948, degan bantuan kuasa-kuasa Barat, umat Yahudi telah berjaya menubuhkan negara haram Israel dan sejak itu bumi anbiya’ ini tidak pernah kenal erti keamanan. Pada tahun 1967, tentera Yahudi laknatullah telah berjaya mencerobohi Baitul Muqaddis Timur dan telah meratakan Maghribi Quarter. 2 masjid dan 135 rumah rakyat Palestin telah diruntuhkan meninggalkan 650 orang rakyat Palestin tanpa rumah kediaman. Namun, Masjid Al-Aqsa berjaya ditawan semula oleh umat Islam hasil perjuangan penuh komitmen umat Islam Palestin yang mempertahankannya. Dalam serangan ini, Gaza dan Tebing Barat juga berjaya ditawan oleh tentera Yahudi.
Dengan penguasaan Baitul Muqaddis Timur ini cita-cita Yahudi untuk membina semula Haikal Yahudi Kedua (The Second Temple) semakin menjadi kenyataan kononnya, hasil doa tak putus-putus seluruh umat Yahudi, ‘Semoga Haikal Kedua dibina ketika zaman kami.,’ selama hampir 1,900 tahun. Obsesi sesetengah umat Yahudi Ortodoks dengan cita-cita ini menyebabkan mereka dengan bongkak mula mengadakan upacara sembahyang Yahudi di dalam kawasan Haram Asy-Syarif Al-Quds, walaupun ditegah oleh Ketua Majlis Rabbi Yahudi sendiri. Atas premis tidak mahu mengundang masalah lebih buruk dengan umat Islam yang amat marah dengan tindakan provokatif ini, Peguam Negara Israel pada masa tersebut telah mengharamkan perbuatan itu pada tahun 1969.
Hanya empat bulan selepas itu, seluruh kawasan selatan Masjid Al-Aqsa pula mengalami kebakaran yang serius. Kebakaran itu dimulakan oleh seorang pelawat Yahudi Australia dan kejadian ini turut memusnahkan mihrab yang dibina oleh Sallahuddin Al-Ayyubi apabila tentera Salib dihalau keluar daripada kota suci ini lebih 700 tahun yang lalu. Suatu ironi yang perlu menjadi renungan umat Islam sedunia.
Pada tahun 1981 pula, keangkuhan rejim Yahudi semakin menjadi-jadi apabila helikopter rejim itu telah sengaja diterbangkan pada altitud rendah sekitar kawasan Haram Asy-Syarif Al-Quds untuk menghalang dan mengganggu umat Islam beribadat di situ. Kemudian, umat Islam dikejutkan pula dengan pendedahan Kementerian Hal-Ehwal Agama Palestin tentang wujudnya terowong rahsia yang dibina oleh kaum Yahudi. Terowong ini dikatakan adalah ekskavasi arkeologi pengkaji-pengkaji Yahudi yang cuba membuktikan secara saintifik sememangnya Masjid Al-Aqsa dibina di atas tapak Haikal Yahudi Kedua mereka itu. Ekskavasi haram ini mendapat kritikan ramai kerana tindakan tersebut dibimbangi boleh merosakkan struktur Masjid Al-Aqsa. Walaupun resolusi PBB dikeluarkan mengecam tindakan rejim Yahudi ini, ekskavasi tetap diteruskan tanpa sekatan.
Pada Januari 1983, pengawal keselamatan di Haram Asy-Syarif Al-Quds telah menemui bahan peledak di pintu masuk Haram Asy-Syarif. Pada bulan yang sama, sekumpulan ekstrimis Yahudi bersenjatakan Uzi dan M16 sambil membawa bahan peledak telah ditahan ketika cuba memasuki kawasan Haram Asy-Syarif. Pada tahun 1984 pula, rejim Israel telah mengarahkan tenteranya untuk mengawal di kawasan Haram Asy-Syarif kononnya untuk menghalang sebarang ‘acts of terrorism’ di tempat suci itu. Majlis Tertinggi Islam Palestin telah menghantar petisyen kepada Perdana Menteri Israel untuk menghentikan tindakan itu yang menghina kesucian Haram Asy-Syarif dan sepertimana yang dijangka, keangkuhan rejim Yahudi itu mengatasi segalanya. Petisyen tersebut ditolak mentah-mentah.
Pada tahun 2000 pula, Perdana Menteri Ariel Sharon dengan bongkak memasuki kawasan Al-Quds. Tindakan Perdana Menteri Israel yang mempunyai rekod buruk membunuh beramai-ramai wanita dan kanak-kanak Palestin di Shabra dan Shatilla telah membakar api kemarahan umat Islam dan seterusnya Intifadhah Kedua dilancarkan, namun tanpa kemenangan abadi buat Islam di bumi Palestin.
Sekiranya ditelusuri dengan mendalam pergolakan di Palestin dan Baitul-Muqaddis ini sejak zaman kekuasaan nabi-nabi terdahulu, terlalu banyak pengajaran yang boleh dijadikan panduan buat Islam seluruhnya. Kita dapat melihat setiap kali Islam yang menguasai bumi anbiya’ ini dipimpin oleh mereka yang teguh keimanannya kepada Allah, keamanan dan kedamaian pasti dikecapi oleh semua dan apabila kota suci ini dikuasai oleh pencurang-pencurang agama, ketidakadilan dan kekejaman bermaharajalela. Umat Islam harus bangkit mempertahankan kesucian Al-Aqsa dan maruah saudara-saudara seagama mereka dalam apa jua cara yang terdaya. Jangan dibiarkan maruah Islam dihina dan direndahkan!
No comments:
Post a Comment