KERAJAAN NASRIYYAH (1238-1492) DI GRANADA
Kerajaan Nasriyyah, juga dikenali sebagai kerajaan Banu Nasr atau Banu al-Ahmar, ialah kerajaan Islam terakhir yang memerintah Andalus bermula pada tahun 1238 hingga 1492M (635-897H). Pada zaman pemerintahan kerajaan ini,Andalus telah mencapai era kemuncak kegemilangan tamadun kesenian Islam dengan terbinanya istana Alhambra (al-Hamra’) di puncak Banjaran Sierra Nevada (Jabal Shalir/al-Thalj) di Granada yang tetap menjadi the artistic genius of Muslim Spain (Chejne 1974: 360). Kerajaan ini, yang dikenali sebagai Nasrid Dynasty atau the Kingdom of Granada dalam bahasa Inggeris, muncul ketika kekuasaan Islam di Sepanyol sedang mengalami keruntuhan. Kerajaan demi kerajaan dan kota demi kota jatuh ke tangan pihak Kristian yang melancarkan gerakan menawan semula kawasan kekuasaan Islam. Di samping itu, kerajaan Nasriyyah juga telah melalui perit getir dalam membangunkan sebuah peradaban insani, di samping menentukan jatidiri bangsanya sendiri. Kegemilangan tamadun Islam ketika ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti pengurusan politik dan pentadbiran, perkembangan intelektualisme dan pendidikan, penguasaan bahasa dan
kesusasteraan Arab, kerancakan aktiviti ekonomi dan perdagangan, perancangan urbanisasi dan pertanian serta pegangan agama dan budaya tempatan yang utuh. Meskipun demikian, kerajaan Nasriyyah telah berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya sendiri dalam keadaan yang begitu meruncing di persekitarannya. Pemerintah Kristian (Castile, Aragon, Navarre, Leon dan Portugal) sentiasa menyerang kerajaan ini dan fenomena tersebut telah memberi impak negatif terhadap pentadbiran dan pemerintahan Islam di Granada. Mereka acapkali menyerang – menerusi usaha La Reconquista – kawasan-kawasan pemerintahan Islam dengan matlamat menghapuskan Islam dan mengambil semula tanah jajahan yang sebelum ini diduduki Islam. Usaha ini disokong padu pemimpin tertinggi Kristian, Pope di Rome, dengan melancarkan the Crusades (Perang Salib) ke atas dunia Islam. Dengan kepintaran dan kemahiran para pemimpin kerajaan Nasriyyah menggunakan helah politik dan kebijaksanaan mereka berinteraksi dengan pihak Kristian di sekeliling, kerajaan ini mampu bertahan selama hampir dua setengah abad dalam memperjuangkan kedaulatan agama Islam di Eropah.
LATAR BELAKANG GEOGRAFI GRANADA
Kerajaan Nasriyyah berpusat di Granada atau Gharnatah dalam bahasa Arab yang terletak di tenggara Semenanjung Iberia. Granada turut dikenali dengan Ighranatah atau Aghranatah (Ibn al-Khatib 1973, 1: 91; Ibn al-Khatib 1347H: 12). Perkataan Granada dipercayai berasal daripada perkataan Latin, iaitu granata yang membawa maksud buah delima. Ini memandangkan Granada dipenuhi dengan kebun delima yang digambarkan sebagai sebuah pohon berbuah lebat dan amat cantik. Pandangan yang menyatakan kecantikan kota Granada ini disokong oleh kebanyakan ahli geografi Arab seperti al-Hamawi (1997: 383) yang menggambarkannya sebagai sebuah daerah yang cantik, disaliri oleh sungai-sungai yang bercabang-cabang.
Meskipun demikian, seorang orientalis Sepanyol bernama Francisco Simonet (CInan 1966: 22), berpandangan bahawa Granada dirujuk kepada era pemerintahan kaum Goth berasal daripada gabungan dua perkataan, iaitu ghar dan natah. Ghar merujuk kepada sebuah kampung lama dalam wilayah Élvira pada zaman pemerintahan Rom. Manakala natah pula, ialah ungkapan yang ditambah oleh orang Arab kepada kampung tersebut. Apabila digabungkan, terhasillah perkataan Gharnatah. Perselisihan para sejarawan dalam menamakan sesuatu bandar adalah disebabkan oleh perbezaan dalam sebab-sebab penamaan dan juga kepelbagaian andaian dalam penamaan tersebut (al-Nuqrat t.th.: 56).
Pada peringkat awal ketibaan Islam di Andalus, Granada hanyalah sebuah bandar kecil dalam wilayah Élvira dan kemudian berkembang pesat menjadi sebuah bandar yang memainkan peranan utama dalam pergolakan umat Islam di Andalus (al-Qalqashandi 1915, 5: 216). Daripada sebuah bandar, Granada kemudian menjadi nama bagi wilayah menggantikan nama Élvira. Kota Granada terletak di kawasan tercantik di tenggara Semenanjung Iberia. Di sebelah timur, ia mengadap Lautan Mediterranean dan di sebelah selatan pula, ia menjalar hingga ke pinggiran Gibraltar. Manakala di sebelah barat ia memanjang hingga ke Sierra Morena. Kawasan pergunungan di Granada tidak rata dan dipenuhi bukit-bukau yang curam serta berada pada aras yang tinggi dari Sungai Guadalquivir. Antara bandar yang terletak berhampiran sungai ini ialah Jaén, Baeza dan Úbeda. Bandarbandar ini kekal menjadi medan pertelingkahan dan perebutan kuasa di antara pihak Islam dan Kristian (Farhat 1981: 11-12). Antara bandar yang terletak di bawah pemerintahan kerajaan Nasriyyah ialah Loja, Priego, Guádix, Juliana, Almunécar, Baza, Málaga dan Ronda (al-Maqqari 1988, 1: 148-149 & 165; Ibn al-Khatib 1347H: 18-19).
Keindahan Granada, sebagaimana yang digambarkan oleh Ibn al-Khatib(1347H: 12 & 14; 1973, 1: 96) amat menakjubkan. Granada lebih dikenali sebagai sebuah kawasan subur yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Sebanyak 36 anak sungai telah mengairi Granada melalui Banjaran Sierra Nevada. Antara sungai yang terkenal ialah Sungai Genil (Nahr Shanil) yang menjadi sumber inspirasi para penyair dan sasterawan Andalus. Selain Sungai Genil, terdapat juga Sungai Eldarro (Nahr Hiddaruh) yang mengalir dari sebelah timur Andalus (al-Nuqrat t.th.: 57; CInan 1966: 23). Malah, penjelasan yang sama dibuat oleh Navagiero (Dickie 1992a: 105) dengan kenyataannya: Outside the city, in the Vega, there are large orchards and plantations irrigated with the water of canals led off the two rivers referred to [the Darro and the Genil], which also operate many flour mills; so that everywhere Granada abounds in water from rivers or from springs.
PENUBUHAN KERAJAAN NASRIYYAH DI GRANADA
Pada ketika umat Islam mengalami kekalahan di Cordova ini, Ibn Hud berhadapan
dengan kuasa Ibn al-Ahmar di Arjona. Kemunculan penguasaan Ibn al-Ahmar
ini sebenarnya tidak bermula di Granada, tetapi di Arjona pada 26 Ramadan
629H/18 April 1232M. Pekan terpencil ini terletak di barat laut daerah Jaén dan
selatan daerah Andújar (Harvey 1990: 20) dan merupakan kubu pertahanan bagi
kota Cordova di sebelah timur (al-Hajji 1983: 517). Di pekan inilah, Muhammad b.
Yusuf b. Nasr al-Khazraji, atau lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar, berjaya menjadi
pemimpin di kampung halamannya sendiri. Dari sinilah, beliau berjaya meluaskan
kuasanya ke kawasan-kawasan selatan Andalus seperti kota-kota Jaén, Guádix
dan Baeza kerana ia berdekatan dengan Arjona dan berjauhan daripada serangan
pihak musuh Kristian (Latham 1993, 7: 1021).
Pada peringkat awal, Ibn al-Ahmar merasakan perlu untuk mendapatkan
perlindungan dan naungan daripada pemerintahan yang lebih kuat, tidak kira
kuasa Islam ataupun pihak musuh Kristian. Sesetengah riwayat melaporkan
bahawa Ibn al-Ahmar telah mencontohi tindakan Ibn Hud dengan mengaku
tunduk dan memohon pengiktirafan Khalifah CAbbasiyyah di Baghdad terhadap
pemerintahannya di Andalus. Kesan daripada tindakan tersebut, Ibn al-Ahmar
telah berjaya memperluaskan pemerintahannya dengan menduduki wilayahwilayah
Carmona, Cordova dan Seville pada tahun 629H/1231M dan ini
membolehkan beliau menerima kesetiaan dan ketaatan penduduk wilayah-wilayah
tersebut; itu pun hanya dalam tempoh yang singkat sahaja. Ini kerana Cordova
dan Seville telah beralih arah untuk menyokong dan memberi ketaatan kepada
Ibn Hud. Pada ketika inilah berlaku satu pemberontakan di Seville di bawah pimpinan al-Qadi Abu Marwan al-Bajji. Kesempatan ini telah digunakan oleh Ibn
al-Ahmar dengan sebaik mungkin dengan bergabung tenaga bersama-sama al-
Bajji menentang kuasa Ibn Hud. Mereka berdua telah berjaya menewaskan Ibn
Hud dalam beberapa pertempuran. Kelicikan Ibn al-Ahmar dalam berpolitik amat
jelas apabila beliau berjaya memperdayakan al-Bajji dengan helah politiknya
supaya al-Bajji dipinggirkan dan dirancang pembunuhannya secara rahsia. Tidak
lama kemudian, iaitu pada tahun 629H/1232M, Ibn al-Ahmar berjaya memperoleh
ketaatan daripada penduduk Jerez, Málaga dan kawasan berdekatan. Pada ketika
ini, kepimpinan dan urusan pentadbiran kota Seville dan kota-kota di bahagian
barat Andalus dipegang oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan terdapat di
kalangan mereka ini yang segera menunduk patuh dan mendapatkan perlindungan
Ibn al-Ahmar. Situasi ini membenarkan Ibn al-Ahmar membentuk kuasa
ketenteraan yang kuat lagi hebat yang terdiri daripada gerombolan tentera berkuda
dan tentera berjalan kaki (Ibn al-Khatib 1347H: 31).
Suatu perkara yang menarik ialah dalam sesetengah peristiwa, Ibn al-Ahmar
telah mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan Ibn Hud, malah beliau
telah menyatakan ketaatan dan kesetiaan kepadanya. Hal yang berlaku pada
tahun 631H/1234M ini disebabkan Ibn al-Ahmar beranggapan bahawa kuasa
Ibn Hud mula bertambah dan tampak hebat dengan kuasa pemerintahannya
yang melangkaui hingga ke bahagian barat dan selatan Andalus. Malangnya
pada tahun 1238M, Ibn Hud meninggal dunia dan kuasa pemerintahan kerajaan
yang diwarisinya mula lemah dan berkurangan. Kesempatan ini digunakan Ibn
al-Ahmar dengan sebaik mungkin untuk membina kekuasaannya sendiri di bumi
Andalus. Pada ketika inilah, penduduk Granada bangun memberontak di bawah
pimpinan Ibn Khalid menentang kepemimpinan Gabenor Ibn Hud yang bernama
cUtbah b. Yahya al-Mughili. Penentangan dilakukan kerana dasar pentadbiran
dan polisi pemerintahan cUtbah al-Mughili yang amat membebankan dan
peribadinya yang kurang disenangi dan bersifat amat zalim. Mereka berjaya
menawan istana cUtbah al-Mughili dan membunuhnya. Setelah pemberontakan
tersebut berjaya, mereka telah memberi ketaatan dan kesetiaan kepada Ibn al-
Ahmar dan menjemputnya datang ke Granada. Ibn al-Ahmar segera menyahut
jemputan tersebut dan tiba di Granada ketika gelincir matahari pada akhir Ramadan
635H/April 1238M. Pada tarikh ini juga, bermulalah penglibatan secara langsung
Ibn al-Ahmar dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan di Granada. Tidak
lama selepas kejayaan menguasai kota Granada, Ibn al-Ahmar berjaya pula
menawan kota Alméria dengan menewaskan serangan ketenteraan Gabenor Ibn
Hud, iaitu Ibn al-Ramimi melalui kepungan selama beberapa ketika. Ini
menyebabkan Ibn al-Ramimi lari ke Tunisia melalui jalan laut untuk mendapatkan
perlindungan pemerintah di sana (cInan 1966: 39-40; Ibn al-Khatib 1347H: 35).
Satu perkara yang mendukacitakan ialah orak-arik yang berlaku di Andalus
pada abad ke-13 dan ke-14M telah menyebabkan kuasa pemerintahan Islam mula
berkurangan dan penguasaan semula kuasa Kristian yang berleluasa. Ketenatan
perpaduan umat Islam menjadi faktor penting kepada kemunculan kuasa-kuasa kecil Islam dan suasana sebegini dipenuhi pula dengan semangat perpecahan
semata-mata untuk memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang tamakkan kuasa.
Hal ini berlaku terutamanya di Murcia dan bahagian timur Andalus. Pada tahun
640H/1243M, Murcia telah diserahkan kepada Ferdinand III of Castile. Beliau
telah mewakilkan anaknya, Alfonso X, untuk memeterai beberapa perjanjian
dengan Gabenor Murcia, Muhammad b. cAli b. Hud, serta wakil-wakil pemimpin
kota Alicante, Cartagena dan Oriuela agar memberi persetujuan untuk mengiktiraf
penguasaan kuasa Kristian Castile ke atas wilayah-wilayah tersebut, di samping
menjelaskan pembayaran ufti. Inilah realiti yang berlaku di Andalus; umat Islam
menghadapi pelbagai tekanan khususnya yang dilakukan oleh kuasa Kristian
dengan menggadaikan tanah air sendiri semata-mata menjamin kelangsungan
kuasa yang terbatas di bumi Eropah.
Dari pandangan pihak Kristian, terutamanya Ferdinand III of Castile, gerakan
Ibn al-Ahmar perlu diberi perhatian dan dihentikan dengan segera. Ini kerana
setelah kematian Ibn Hud, Ibn al-Ahmar ialah satu-satunya pemimpin Islam
Andalus yang masih berkuasa dan sentiasa menentang kuasa-kuasa Kristian
menyebabkan usaha serangan oleh pihak Castile telah diperhebatkan. Ferdinand
III telah bertindak dengan menyerang dan menghancurkan kubu-kubu
pertahanan kota Jaén. Tindakan Ferdinand ini menyebabkan Ibn al-Ahmar telah
ke Martos yang telah dikuasai oleh pihak Kristian Castile dengan bala tenteranya
yang besar dan melakukan kepungan ke atas bandar tersebut. Pihak Kristian
tidak mengaku kalah dan tetap mara memberi bantuan kepada pihak Martos lalu
menyebabkan Ibn al-Ahmar terpaksa meningkatkan kepungan di Martos.
Akhirnya, berlakulah satu pertempuran yang hebat dan kemenangan berada di
pihak Ibn al-Ahmar. Kekalahan pihak Kristian ini tidak mematahkan semangat
mereka. Ferdinand III telah menghantar anaknya, Alfonso X untuk menyerang
semula wilayah Jaén dan berjaya menawan kubu Arjona dan kawasan sekitarnya
serta mengepung kota Granada pada tahun 642H/1244M. Pada tahun berikutnya,
mereka menyerang Jaén dan berjaya menawannya. Kekuatan tentera Kristian
dalam menguasai kota Jaén dan daerah selatan Andalus ini amat merungsingkan
Ibn al-Ahmar, apatah lagi mereka berjaya mengepung kota Granada. Ini
menyebabkan beliau dengan segera mengambil langkah berbaik-baik dan
berdamai dengan Raja Ferdinand III. Ibn al-Ahmar bersetuju untuk memberi
ketaatan dan kesetiaan kepada pemerintahan Castile (cInan 1966: 41-42). Ibn al-
Ahmar telah menjadikan Granada sebagai an enduring political entity dan a
tributory kingdom (Latham 1993, 7: 1021).
Hal ini dimeteraikan dalam Perjanjian Jaén pada tahun 1246M antara keduadua
belah pihak yang melibatkan persetujuan Ibn al-Ahmar untuk memberi
bantuan ketenteraan apabila pihak Castile memerlukannya, dan pembayaran ufti
sebanyak 150,000 maravedis setiap tahun kepada Ferdinand III. Malah Ibn al-
Ahmar juga telah memberikan ‘taatsetia’nya kepada Ferdinand III (Chejne 1974:
90-91; CInan 1966: 42-43). Ibn al-Ahmar telah bersetuju menyerahkan Jaén, Arjona,
Porcuna, Priego, Higuera dan La Frontera sebagai cagaran kepada pihak Castile. Dengan penyerahan kawasan-kawasan ini sebagai cagaran pada tahun 643H/
1245M, Ferdinand III telah bersetuju untuk berdamai dengan Ibn al-Ahmar selama
20 tahun. Meskipun tempoh ini dipertikaikan, Harvey (1990: 25) menegaskan
bahawa pemerintah Nasriyyah sememangnya memerlukan tempoh tersebut untuk
memulihkan keadaan. Dalam tempoh ini, era pemerintahan Ibn al-Ahmar berada
dalam keadaan aman damai dan tenteram (cInan 1966: 42-43). Burns (1973: 288)
bertanggapan bahawa keseluruhan tindak-tanduk Ibn al-Ahmar dalam
menyelamatkan kedudukannya sebagai pemerintah tunggal daerah Granada ialah
suatu perkara yang wajar diimplimentasikan oleh seorang ahli politik yang licik
lagi pintar. Ini dilakukan semata-mata untuk menjamin survival pemerintahan
kerajaan Nasriyyah berkekalan di Andalus.
KEMEROSOTAN DAN KEJATUHAN
Kegemilangan kerajaan Nasriyyah tidak kekal lama apabila kerajaan ini mula
merosot setelah kematian Sultan Muhammad V pada 16 Januari 1391M (Harvey
1990: 219). Pengganti-penggantinya terdiri daripada sultan-sultan yang lemah
dan gagal menyamai tahap kepimpinannya yang berjaya menggabungkan
diplomasi politik dan penggunaan kuasa ketenteraan pada masa yang diperlukan.
Meskipun demikian, Makki (1992: 81-82) menjelaskan bahawa secara umumnya,
suasana politik di Granada pada ketika ini masih stabil dan tidak banyak berubah
hingga membolehkannya bertahan hampir setengah abad selepas itu (793-820H/
1391-1417M). Dalam tempoh tersebut, kerajaan Nasriyyah berada di bawah
pemerintahan tiga orang sultan, iaitu Yusuf II (1391-1392M), Muhammad VII
(1392-1408M) dan Yusuf III (1408-1417M). Pada masa yang sama juga kedudukan
pemerintahan kerajaan Kristian Castile berada dalam keadaan lemah dan berbalah
sesama mereka sendiri dalam perebutan takhta, sama ada di kalangan para
pengganti raja atau pihak pemberontak golongan aristokrat.
Bagaimanapun, setelah kekuatan kerajaan Kristian Castile mula pulih, mereka
mula bertindak untuk menyerang dan menawan kubu kuat kerajaan Nasriyyah,
iaitu Antequera pada tahun 813H/1410M. Ini diikuti pula dengan kemenangan
tentera Kristian Castile dalam peperangan La Higueruela. Perjalanan sejarah
kerajaan Nasriyyah dalam period berikutnya, iaitu bermula pada 820H/1417M
hingga 897H/1492M, dipenuhi dengan ‘kekusutan’ dan bersifat kompleks lagi
rumit. Kebanyakan sejarawan kontemporari seperti Latham (1993), Harvey (1990),
Makki (1992), cInan (1966) dan Watt (1967) telah mengklasifikasikan tempoh ini
sebagai saat perpecahan dalaman kerajaan Nasriyyah yang menyebabkan sistem
pemerintahannya merosot, malah jatuh ke tangan Kristian Katholik pada tahun
1492M. Menjelang pertengahan abad ke-15M, kerajaan Castile yang dipimpin
oleh Henry IV (1454-1474M), anak John II, mula mengatur serangan hebat ke
atas kerajaan Nasriyyah antara tahun 1455 hingga 1457M. Sedangkan pada waktu
tersebut, kerajaan Nasriyyah menghadapi masalah dalaman yang serius kerana
perebutan takhta pemerintahan di kalangan kerabat Banu Nasr sendiri, iaitu
antara Abu Nasr Sacd (1454-1464M) dan Muhammad XI el Chiquito (1451-1452,
1453-1454M). Pada ketika ini (1450-an), kerajaan Nasriyyah mempunyai dua
orang pemerintah. Muhammad XI mengusai kawasan Granada, Málaga dan
Alméria termasuk kota Alhambra. Manakala SaCd menguasai kawasan Archidona
hingga ke Ronda di samping memperoleh sokongan kuat daripada Banu Sarraj
dan pihak kerajaan Castile. Pada tahun 1455M, konflik ini berakhir apabila
Muhammad XI tidak disukai oleh para bangsawan dan penduduk Granada hingga
menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri dari kota tersebut. Akan tetapi beliau
telah terperangkap dalam satu serangan mengejut oleh anak Sacd, Abu al-Hasan
cAli (1464-1482M), lalu dihukum bunuh. Peluang ini digunakan dengan sebaiknya
oleh Sacd dengan menguasai Granada seluruhnya (Harvey 1990: 261-265). Akibat
daripada pertelingkahan ini, Gibraltar yang merupakan pengkalan terakhir
perhubungan Granada dengan kerajaan Islam di Afrika Utara telah ditakluki
kerajaan Kristian Castile pada tahun 866H/1462M (Hills 1974: 95).
Kekuatan Banu Marin di Maghrib, Banu cAbd al-Wad di Tilimsan dan
kerajaan Banu Hafs di Tunisia mula lemah bersama-sama kejatuhan Granada,
menyebabkan kerajaan Nasriyyah terpaksa bersendirian dalam menghadapi
kemaraan tentera Kristian yang lebih besar (Makki 1992: 82). Pada ketika ini juga,
kerajaan Kristian Castile yang baru kematian raja mereka, iaitu Henry IV (1454-
1474M) telah digantikan oleh saudara perempuannya, Isabella (1474-1504M). Di
Aragon pula, dengan kematian John II (1458-1479M), takhta dimiliki oleh anaknya,
Ferdinand V (1479-1516) yang juga suami kepada Isabella of Castile. Dengan
demikian, kedua-dua kerajaan ini telah berjaya disatukan dan menamatkan
permusuhan selama beberapa abad antara kedua-dua kerajaan tersebut. Di bawah
pemerintahan Isabella dan Ferdinand yang mendapat gelaran Catholic Monarchs,
serangan ke atas kerajaan Nasriyyah di Granada semakin diperhebatkan
(Latham 1993, 7: 1026). Setelah melalui peperangan demi peperangan, akhirnya
pada 29 Safar 897H bersamaan 1 Januari 1492M, Granada telah diserahkan kepada
pihak Kristian Castile oleh sultan terakhir kerajaan Nasriyyah, Sultan Abu cAbd
Allah Muhammad XII (1482, 1486-1492M) yang lebih dikenali di Barat sebagai
Boabdil. Kejatuhan Granada membawa makna berakhirnya kerajaan Islam di
Sepanyol buat selama-lamanya setelah bertapak hampir lapan kurun di Eropah.
Bagi kerajaan Kristian, khususnya Castile, kejatuhan ini merupakan kejayaan
mutlak mereka yang diidam-idamkan, demi melengkapkan kempen Reconquista
yang dilancarkan beberapa abad sebelum ini.
Monday, January 10, 2011
KERAJAAN NASRIYYAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment