Thursday, November 11, 2010

ANGKATAN TIMBALAN SETIA JOHOR

Di Malaysia ini, ada banyak perkara yang dirahsiakan dari umum terutamnya hal ehwal ketenteraan, kekuatannya dan sehingga kini walaupun banyak aset dan inventori Angkatan Tentera Malaysia telah diketahui jumlahnya oleh umum akan tetapi masyarakat masih lagi tidak mengetahui kekuatan “angkatan tentera yang satu ini”. Seperti kampung Konoha di negara api, begitu juga Angkatan tentera ini. Ianya hanya dioperasikan oleh satu-satunya negeri di Malaysia, malah tertubuhnya ketumbukan militer ini adalah terlebih dahulu dari Angkatan Tentera Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia masih tercari-cari sumber sahih akan kekuatan ketumbukan tentera ini, tidak kira dari kelengkapan perangnya, askar operasi khusus (Special Operations Forces) dan lain-lain.

Itulah Angkatan Timbalan Setia Johor .

Aku dari dahulu lagi masih terfikir-fikir kenapa hanya Johor sahaja memiliki tentera sendiri dan kenapa ianya masih kekal sehingga kini. Apa signifikannya dan apa logiknya? Ada logiknya, oleh kerana Johor adalah negeri yang paling hampir dengan Singapura yang sering bermain api dengan Malaysia, kemungkinan kewujudan angakatan tentera ini sungguh releven. Jika tercetus perkara-perkara yang tidak diingini dengan negara jiran itu (yang selama ini begitu rapat dengan negara Israel) angkatan tentera ini boleh digerakkan sebagai pasukan pertama yang akan membela selatan tanah air dari diserang sementara menanti ketumbukan utama Angkatan Tentera Malaysia menyerang balas. Dengan doktrin negara jiran yang meniru teknik peperangan negara haram Israel iaitu “Pre-emptive strike” mereka menyasarkan dan menjangkakan dapat menawan Bandar Batu Pahat kurang dari 24 jam.Untuk mengekalkan tahap kerahsiaan operasi dan pengurusan tentera yang begitu tinggi, sehingga kini kekuatan ketumbukan Askar Timbalan Setia Johor masih dirahsiakan dan tidak pernah ada liputan yang menyeluruh mengenai sistem persenjataan mereka.

- – - – - – - PPPPfffttttt – - – - – - – -

Gambar hiasan; Buku JMF 100 tahun

Askar Timbalan Setia Johor atau JMF ( Johore Military Forces ) telah ditubuhkan pada 1885. Angkatan ini merupakan angkatan bersenjata milik Sultan Johor. Umumnya bagi penduduk di Johor, angkatan ini juga dikenali sebagai “Askar Tuanku”. Penubuhan angkatan ini terlaksana semasa Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar menjadi Sultan Johor. Baginda menerima saranan pihak British agar memiliki sebuah kekuatan tentera sendiri bagi melindungi Institusi Diraja dan juga bumi Johor. Oleh itu pada peringkat awal penubuhan, angkatan JMF terdiri daripada 60 orang askar Melayu dan 20 orang askar Punjabi. Askar Melayu JMF dilatih sebagai infantri manakala askar Punjabi dilatih dalam unit artileri.

Ketika di dalam Perbarisan

Sultan Sir Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Great Britain Queen Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor. Johor adalah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini.

Pada peringkat awalnya Komandan pertama yang dilantik adalah dari kalangan pegawai British iaitu Kapten Newland dan kemudiannya diserahkan kepada Kapten Daud Sulaiman sebaik ditauliahkan. Setelah itu, ketumbukan askar ini telah dipimpin oleh Syed Mohamed bin Nong Yahya dan Mejar Daud bin Sulaiman sebagai orang melayu yang pertama menjadi pegawai pemerintah. Pada tahun 1895, Sultan Ibrahim telah menjadi kolonel pemerintah Timbalan Setia Negeri. Baginda memperkukuh Askar Timbalan Setia Negeri dengan menubuhkan Johor Volunteer Forces (JVF). Pada tahun 1915, kekuatannya bertambah kepada 576 orang, yang terdiri daripada 394 orang Unit Infantari, 98 orang Unit Meriah dan 84 orang Unit Pancaragam. Leftenan Kolonel Tompkins dan Sarjan Mejar Claymore telah dilantik untuk melatih pasukan ini.

Ketika Perang Dunia Pertama tercetus, Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Light Infantry di Singapura dalam tahun 1915. . Askar Timbalan Setia menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

Tanpa kita sedari, banyak jasa Askar Timbalan Setia Johor yang terpahat dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanah air khususnya dalam negeri Johor. Misalnya pada tahun 1915, iaitu semasa perang dunia pertama, ketumbukan tentera ini telah menyekat dan menghentikan pemberontakan pasukan tentera India dari Fifth Light Infantry di Singapura. Askar Timbalan Setia Johor berjaya menahan tentera pemberontak yang berjaya membolosi sempadan ke Johor dalam usaha mereka melepaskan diri dari terus menjadi Tentera British. Pasukan ini juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama.

Gambar hiasan

Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia)

Ketika di Perang Dunia Kedua tercetus, Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.

Antara nama-name besar yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah :

  1. Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail – Sultan Johor. Baginda merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
  2. Tun Hussein Onn – Bekas Perdana Menteri Malaysia. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Debra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.
  3. Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail – Bekas Panglima ATM. Beliau pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.
  4. Dato Onn Jaafar.
  5. Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid. Beliau merupakan bapa kepada Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid yang pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926

1 comment:

  1. Tahniah! satu artikel yang baik. Saya telah menyalin artikel ini kedalam http://malaysiaria.com.my
    Harap maaf jika tiada keizinan.

    ReplyDelete