Kami ingin berkongsi dengan pembaca mengenai 10 kisah rampasan pesawat yang paling diingati sejak tahun 1970-an hingga kini. Sebenarnya terdapat berpuluh-puluh kes rampasan pesawat yang berlaku di dunia sejak dari tahun 1932. Kes yang pertama terjadi pada 25 September pada tahun itu dimana sebuah pesawat Panair do Brasil Sikorsky S-38 dirampas oleh tiga lelaki yang dikaitkan dengan Peristiwa Revolusi Constitutionalist di São Paulo dan ia dianggap sebagai rampasan pertama yang berlaku di Brazil. Walau bagaimanapun, pesawat itu terhempas di São João de Meriti dan membunuh semua yang berada di dalam kapal terbang berkenaan.
Kebanyakan perampas pesawat ingin menggunakan penumpang sebagai tebusan, sama ada untuk tebusan dari segi kewangan atau untuk berunding mengenai konsesi politik/pentadbiran dengan pihak berkuasa.
1. 31 Oktober 1969
Pesawat Trans World Airlines TWA Flight 85 yang dalam perjalanan dari Los Angeles ke San Francisco telah dirampas oleh anggota tentera Marin AS berusia 19 tahun, Raffaele Minichiello. Semua penumpang, termasuk band Harper’s Bizarre, dan tiga pramugari telah dibebaskan di Denver. Perampas, juruterbang dan pramugari terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York, di mana dua juruterbang telah ditambah untuk penerbangan menuju ke luar negara.
Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy , New York, pihak FBI cuba menghalang Minichiello dengan menempatkan ejennya disekeliling kapal terbang dengan harapan untuk menakut-nakutkan Minichiello. Minichiello bertindak dengan menembak ke arah fiuslaj kapal terbang. Pesawat itu kemudiannya terpaksa dibenarkan berlepas ke Rom, melalui Bangor, Maine, dan Shannon, Ireland. Di Rom, Minichiello menjadikan ketua polis lapangan terbang sebagai tebusan dan cuba untuk melepaskan diri menaiki kereta, tetapi telah ditangkap tidak lama selepas itu. Minichiello merampas kapal terbang itu dengan bertujuan untuk melawat bapa yang tenat di Itali. Itali tidak mengekstradisi Minichiello dan beliau hanya dipenjara selama 18 bulan. Dengan jarak 6900 batu, ini adalah rampasan yang paling lama dalam sejarah.
2. 6 September 1970 ( Dawson’s Field Hijackings )
Anggota militan daripada Barisan Popular Pembebasan Palestin ( Popular Front for the Liberation of Palestine / PFLP ) merampas 4 pesawat yang menuju Amerika Syarikat dari Eropah. Penerbangan Trans World Airlines 741 dari Frankfurt ( Pesawat Boeing 707 dengan 149 penumpang dan anak kapal ) dan pesawat Swissair 100 dari Zurich (Douglas DC-8 dengan 155 orang ), kedua-dua menuju ke New York, telah dialihkan laluannya ke bekas pangkalan British Royal Air, di padang pasir Dawson Field. Penumpang dan anak kapal ditahan sebagai tebusan .
Pesawat Pan American 93, Boeing 747 dari Amsterdam ke New York dengan 173 penumpang dan anak kapal, dirampas dan laluannya kemudian dialihkan ke Kaherah, di mana militan PFLP telah meletupkan pesawat selepas menurunkan semua penumpang.
Rampasan seterusnya pula gagal. Penerbangan El Al Israel Airlines 219, juga dari Amsterdam ke New York, adalah merupakan kapal terbang jenis Boeing 707 dengan 142 orang di atas kapal. Apabila seorang doktor Nicaragua-Amerika Patrick Arguello dan seorang warga Palestin Leila Khaled cuba untuk merampas pesawat itu , seorang marshal udara Israel dan penumpang melawan dan membunuh Arguello. Pesawat itu mendarat di London, di mana Khaled ditangkap. Rakyat Palestin menuntut pertukaran pembebasan rakan militan yang ditahan di Switzerland , Jerman dan Inggeris, termasuk Leila Khaled. Tebusan terakhir dibebaskan dalam pertukaran tujuh tahanan Palestin.
3. 2 Julai 1971 ( Braniff Flight 14 )
Pesawat Braniff Flight 14, iaitu jenis Boeing 707 terbang dari Acapulco, Mexico ke New York , Amerika dengan 102 penumpang dan 8 anak kapal, telah dirampas semasa berhenti mengisi bahan api di San Antonio , Texas. Rampasan ini berlangsung selama 43 jam dan berlanjutan dari Texas , Mexico , Peru , Brazil dan berakhir di Argentina. Selepas berhenti mengisi minyak di Monterrey , perampas membebaskan atendan penerbangan Jeanette Eatman Crepps , Iris Kay Williams dan Anita Bankert Mayer dan semua penumpang. Baki anak kapal termasuk Kapten Dale Bessant , Bill Wallace, Phillip Wray dan atendan penerbangan Ernestina Garcia dan Margaret Susan Harris meneruskan penerbangan ke Lima.
Perampas yang merupakan seorang pembelot Tentera Laut Amerika Syarikat yang bernama Robert Jackson dan rakan wanita warganegara Guatemala menuntut wang tebusan sebanyak $ 100,000 dan mahu meneruskan penerbangan ke Algeria. Krew Bessant dikeluarkan, satu demi satu, dan digantikan dengan anak-anak kapal sukarelawan iaitu Kapten Al Schroeder, Bill Mizell , Bob Williams dan Navigater Ken McWhorter. Dua pekerja penerbangan di Lima iaitu Delia Arizola dan Clorinda Ontaneda menawarkan diri untuk menaiki penerbangan. Clorinda telah menghadiri kelas di kolej , sesuatu yang dilakukan secara tetap semasa hari dia bercuti daripada tugas di awan biru . Delia telah bersara selama 6 bulan tetapi masih menawarkan perkhidmatannya jika perlu. Pesawat itu berlepas ke Rio dan dirancang untuk mengisi minyak tetapi perampas memaksa untuk terus ke Buenos Aires. Penerbangan yang panjang dan meletihan itu telah menyebabkan perampas menyerah diri. Ia merupakan satu rekod bagi rampasan jarak jauh iaitu lebih 7,500 batu.
4. 28 Januari 1972 ( TWA Flight 2 )
Pesawat TWA Flight 2 dari Los Angeles ke New York, telah dirampas oleh penipu dan perompak bank Garrett Trapnell di Chicago. Trapnell, anak saudara kepada veteran Perang Dunia II, Thomas Trapnell, menaiki pesawat di Los Angeles dengan pistol automatik yang disembunyikan di dalam balutan simen palsu pada tangannya.Trapnell menuntut wang tebusan $306,800 secara tunai ( untuk mendapatkan semula wang selepas kalah kes mahkamah ), pembebasan Angela Davis (serta seorang kawan beliau yang juga telah dipenjarakan ), dan pengampunan daripada Presiden Richard Nixon. FBI berjaya mengambil kembali pesawat semasa pertukaran syif anak-anak kapal di Lapangan Terbang Kennedy dan Trapnell telah ditembak serta mengalami kecederaan.
Rampasan Trapnell terjadi selepas satu siri insiden domestik dan menyebabkan prosedur penerbangan dibaikpulih. Ini berlaku semasa pentadbiran Nixon dan prosedur ini kekal sehingga terjadinya kejadian rampasan pada 11 September 2001. Trapnell dan perampas yang tiada kaitan iaitu Martin J. McNally cuba untuk melarikan diri penjara persekutuan Marion pada 24 Mei 1978, selepas teman wanitanya , Barbara Ann Oswald merampas helikopter dan dan memerintahkan juruterbang pergi ke arah Marion. Rampasan itu berakhir selepas juruterbang mengambil pistol wanita itu dan membunuhnya. Pada 21 Disember 1978, anak perempuan Barbara yang ketika itu baru berusia 17 tahun merampas pesawat TWA Flight 541 dalam satu lagi cubaan untuk menyelamatkan Trapnell . Tetapi dia menyerah selepas 10 jam rundingan di lapangan terbang di Marion.
5. 13 Oktober 1977 ( Lufthansa Flight 181 )
Pesawat Lufthansa Flight 181 (juga dikenali sebagai Landshut – Boeing 737-230C ) yang sedang dalam perjalanan ke Palma de Mallorca dari Frankfurt telah dirampas oleh 4 militan kumpulan Commando Martyr Halime. Dua juruterbang dan tiga anak kapal mengendalikan penerbangan itu. Pengalaman pahit itu berakhir di Mogadishu, Somalia apabila komando GSG 9 menyerbu pesawat itu. Tiga perampas terbunuh dan 86 tebusan dibebaskan. Juruterbang telah dibunuh sebelum serbuan itu dilakukan dan Red Army Faction dari Jerman Barat telah disyaki terlibat di dalam rampasan kapal terbang ini. Objektif rampasan Lufthansa ini adalah untuk membebaskan pemimpin Red Army Faction yang dipenjarakan.
Lagu “122 Hours of Fear” oleh Screamers yang direkodkan pada tahun 1978 telah diilhamkan dari rampasan ini. Rampasan dan operasi menyelamat tebusan digambarkan dalam dua filem Jerman televisyen:. Todesspiel pada tahun 1997 dan Mogadischu, yang diarahkan oleh Roland Suso Richter, pada tahun 2008.
6. 4 Disember 1977 ( Malaysia Airlines Flight 653 )
Pesawat Penerbangan Malaysia Airlines Flight 653 yang dirampas pada tahun 1977 kekal sebagai misteri lebih daripada tiga dekad. Tidak lama selepas berlepas Pulau Pinang Kuala Lumpur, Kapten GK Ganjoor telah melaporkan terdapat “perampas yang tidak dikenali” di atas kapal terbang dan kemudian melaporkan mereka“meneruskan perjalanan ke Singapura”. Selepas semua komunikasi telah hilang, pesawat itu terhempas di Kampung Ladang, Tanjong Kupang, dan membunuh kesemua tujuh anak kapal dan 93 penumpang, termasuk Ketua Jabatan Kerja Raya Malaysia , Dato Mahfuz Khalid, Menteri Pertanian Malaysia Dato ‘Ali Haji Ahmad dan Duta Cuba ke Jepun Mario Garcia. Sesetengah orang berpendapat yang ahli Tentera Merah Jepun merupakan mereka yang bertanggungjawab terhadap rampasan ini walaupun tiada bukti kukuh. Ia kekal misteri.
7. 28 Mac 1981 ( Garuda Indonesia GA 206 )
Rampasan pesawat Penerbangan Garuda Indonesia GA 206 adalah rampasan penerbangan milik Indonesia yang pertama, sejak kes pertama seorang perampas Marin yang telah dibunuh oleh juruterbangnya sendiri. Perampas yang menyertai kumpulan yang dikenali sebagai Komando Jihad telah merampas pesawat DC 9 “Woyla”, yang berada di dalam perjalanan dari Palembang ke Medan, dan mengarahkan juruterbang untuk terbang ke Colombo, Sri Lanka. Tetapi oleh kerana kapal terbang itu tidak mempunyai bahan api yang mencukupi, ia mengisi minyak di Pulau Pinang, Malaysia dan kemudian ke Don Muang, Thailand.
Perampas menuntut pembebasan ahli Komando Jihad yang dipenjarakan di Indonesia, dan wang tebusan sebanyak AS $ 1.5 juta, dan juga kapal terbang digunakan untuk mengambil banduan ke destinasi yang dirahsiakan. Komando Kopassus yang mengambil bahagian dalam misi ini hanya dilatih selama tiga hari dengan senjata yang sama sekali tidak dikenali mereka, dan melaksanakan operasi ini dengan cepat. Salah seorang komando Kopassus, Pegawai Waran Achmad Kirang, ditembak oleh pemimpin perampas, yang kemudian menembak dirinya sendiri. Juruterbang, Kapten Herman Rante, yang juga ditembak meninggal dunia beberapa hari kemudian di sebuah hospital di Bangkok. Semua perampas lain telah terbunuh manakala semua tebusan yang tinggal telah diselamatkan.
Pemimpin pengganas, Imran bin Muhammad Zein, telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Wilayah Tengah Jakarta beberapa minggu kemudian.
8. 23 November 1985 ( EgyptAir Flight 648 )
Pesawat EgyptAir Flight 648 ( Boeing 737-200 ) adalah sebagai salah satu rampasan kapal terbang paling berdarah dan paling menakutkan di dunia , dan akan selama-lamanya menjadi peringatan pada semua bagaimana untuk menangani pengganas.Tiga warga Palestin daripada Pertubuhan Abu Nidal yang diketuai oleh Omar Rezaq telah merampas pesawat yang berlepas dari Athens, Greece ke Kaherah, Mesir. Anggota keselamatan Mesir iaitu Mustafa Kamal telah melepaskan tembakan dan membunuh salah seorang daripada perampas. Sebagai balasan, beliau telah ditembak berpuluh-puluh kali dan terkorban.
Hasil daripada kejadian tembak menembak itu, fiuslaj pesawat itu rosak, dan juruterbang, Hani Galal, terpaksa membawa pesawat ke altitud yang lebih rendah ( 14,000 kaki ) supaya semua orang di atas kapal terbang dapat bernafas. Dengan bahan api yang minimum, kapal terbang mendarat di Malta dengan kelulusan pihak berkuasa Malta. Libya merupakan destinasi asal untuk perampas, tetapi kerana publisiti negatif terhadap rampasan itu sekiranya ia diterbangkan ke Libya dan hakikat bahawa kapal terbang itu tidak mempunyai bahan api yang mencukupi, Malta telah dipilih sebagai pilihan yang lebih sesuai.
11 orang penumpang dan dua atendan penerbangan yang cedera telah dibebaskan, tetapi pendekatan keras Perdana Menteri Malta, Karmenu Mifsud Bonnici itu telah menyebabkan dua penumpang Amerika terkorban. Perampas mula menembak tebusan, bermula dengan Tamar Artzi, seorang wanita Israel. Dia cedera di telinga, tetapi berpura-pura mati. Ketua perampas itu, mengancam untuk membunuh penumpang setiap 15 minit sehingga tuntutannya dipenuhi. Mangsa seterusnya adalah Nitzan Mendelson, seorang lagi wanita Israel. Dia dibunuh serta-merta. Dia kemudian menembak tiga penumpang warga Amerika – Patrick Scott Baker, Scarlett Marie Rogenkamp dan Jackie Nink Pflug. Daripada lima penumpang yang ditembak, Artzi, Pflug dan Baker terselamat.
Komando Mesir kemudian menyerbu pesawat dan menyebabkan huru-hara serta bermulalah insiden pertumpahan darah di situ sekali lagi di antara komando dan pengganas – di mana 56 daripada 88 penumpang yang tinggal telah terbunuh. Secara keseluruhan, 60 daripada 92 penumpang di atas kapal terbunuh termasuk dua perampas.
9. 23 November 1996 ( Ethiopian Airlines Flight 961 )
Pesawat Ethiopian Airlines Flight 961 ( Boeing 767 ) adalah penerbangan dari Addis Ababa ( Ethopia ) ke Nairobi ( Kenya ) yang terhempas ke dalam Lautan Hindi berhampiran pantai di Kepulauan Comoros selepas perampas enggan membenarkan juruterbang mendarat dan mengisi bahan api untuk meneruskan perjalanan. 125 penumpang meninggal dunia ( termasuk perampas ) dan baki 50 penumpang terselamat dengan kecederaan kecil. Ini merupakan kejadian ketiga di mana terdapat mangsa yang telah ditolak dengan sengaja ke dalam laut.
Tiga perampas warga Ethiopia menuntut juruterbang untuk terbang ke Australia, di mana mereka mahu mendapatkan suaka politik. Saksi kemudian menceritakan bahawa perampas telah membaca dari majalah dalam penerbangan bahawa pesawat itu boleh terbang sehingga ke Australia , tetapi mereka tidak percaya kata-kata anak kapal yang pesawat yang mereka naiki tidak mampu untuk sampai ke Australia kerana bekalan bahan api tidak mencukupi.
Juruterbang cuba untuk memperbodohkan mereka dengan terbang rendah ke pantai Afrika dan seterusnya ke Kepulauan Comoros, di Lautan Hindi , di mana beliau berharap untuk melakukan pendaratan kecemasan. Berikutan ketiadaan bahan api, juruterbang cuba untuk mendapat di atas laut. Perampas menyerang juruterbang secara fizikal kerana mereka cuba untuk mendarat di dalam air, menyebabkan bencana yang mengorbankan 125 daripada 175 orang di atas kapal. Pelancong di pantai berdekatan mengambil video kemalangan itu dan berlari untuk membantu mangsa .
Ketiga-tiga perampas terbunuh di tempat kejadian manakala kedua-dua juruterbang terselamat dan meneruskan kerjaya mereka di Ethiopia.
10. 11 September 2001 ( American Airlines Flight 11, United Airlines Flight 175, American Airlines Flight 77, United Airlines Flight 93 )
Pesawat American Airlines Flight 11, United Airlines Flight 175, American Airlines Flight 77, United Airlines Flight 93, telah dirampas pada pagi 11 September oleh kumpulan pelampau Al-Qaeda. Pesawat 11 dan Pesawat 175 sengaja merempuh menara berkembar Pusat Dagangan Dunia yang terletak di New York, Pesawat 77 terhempas di Pentagon dan Pesawat 93 terhempas ke kawasan lapang di Pennsylvania selepas penumpang melawan perampas di atas kapal terbang. Kedua-dua menara Pusat Dagangan Dunia runtuh; dengan jumlah kematian mencapai 2,996 orang, termasuk 19 perampas, dan lebih 6000 orang mengalami kecederaan. Serangan itu membawa kepada War on Terror .
Rampasan Terkini
17 Feb 2014 : Pesawat Ethiopian Airlines Flight 702 yang dijadualkan berlepas dari Addis Ababa ( Ethopia ) jam 12.30 pagi dan dijadual tiba di Rom, Itali pada jam 4.40pagi telah dipaksa untuk meneruskan perjalanan ke lapangan terbang Geneva. Pesawat jenis Boeing 767-300 (ET-AMF) terbang di utara, dan frekuensi radio diubah kepada squawk 7500 yang hanya digunakan jika berlaku kes rampasan pesawat. Apabila menghampiri Geneva, juruterbang menyampaikan maklumat kepada pusat kawalan trafik udara untuk menyiasat mengenai kemungkinan perampas ( pembantu juruterbang ) menerima suaka di Switzerland. Pesawat itu mengelilingi lapangan terbang beberapa kali, sebelum mendarat sekitar jam 6.00 pagi dengan satu enjin dan kurang daripada 10 minit bahan api yang tinggal. Perampas yang merupakan pembantu juruterbang ( untuk mendapatkan suaka politik ) kemudiannya ditangkap.
No comments:
Post a Comment