Saturday, April 26, 2014

RAHSIA KENAPA KRISTIAN MAHU GUNA KALIMAH 'ALLAH' ?



Di Malaysia ketika ini masih terdapat kelompok umat Islam memandang remeh isu desakan orang bukan Islam untuk dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan ajaran agama mereka. Malah kelompok ‘liberalist’ dan ‘pluralist’ Islam ini menggesa pula umat Islam supaya tidak perlu khuatir jika bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah tersebut atas alasan kononnya gambaran ancaman kegelinciran akidah umat Islam adalah sebenarnya hanya datang dari orang Islam yang lemah iman semata-mata.

Sebenarnya kekhuatiran dan kewaspadaan itu sangat berasas serta munasabah. Penentangan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini bukan datang dari mereka yang lemah iman tetapi hadir dari mereka yang sangat arif tentang agama, dakwah dan permasalahan umat Islam termasuk dari kalangan para mufti dan ulama pelbagai parti politik.

Majlis-majlis agama Islam negeri sendiri juga telah bertindak memohon kebenaran untuk mencelah dalam semakan kehakiman terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Hakim Puan Lau Bee Lan pada 5 Mei 2009 yang telah memberikan kebenaran kepada Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam untuk memohon bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan “Herald - Catholic Weekly.

Pada 21 April 2008, Pakiam telah memohon semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Beliau kemudiannya mengemukakan semula permohonan baru pada 16 Februari 2009 selepas permohonan serupa sebelum itu telah dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.1


Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memohon semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Langkah pihak berkuasa melalui majlis-majlis agama Islam negeri ini sebenarnya adalah bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan di dalam beragama sebagai akibat daripada penggunaan kalimah ‘Allah’, yang boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam serta boleh menimbulkan sensitiviti agama.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.2

Memang kita mengetahui bahawa kalimah ‘Allah’ ini turut digunakan oleh bukan Islam di negara-negara Arab dan negara jiran kita, Indonesia untuk merujuk kepada Tuhan mereka, bahkan sebelum kehadiran risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. lagi.

Walaupun larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis, serta mana-mana kitab fiqh muktabar namun tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam di negara ini sebenarnya menepati kehendak 'Siyasah Asy-Syar’iyyah'3.

Pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah4 iaitu kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya, dan ia menepati tuntutan ‘Maqasid Syariah’5 (tujuan syarak) iaitu ‘Hifzu ad-Din’ (memelihara agama).

Kita juga amat menyedari bahawa di sana terdapat alasan yang amat munasabah dan kukuh untuk mewujudkan kewaspadaan dalam isu ini kerana dapat difahami penggunaan kalimah ‘Allah’ merupakan salah satu strategi terancang oleh pihak gereja untuk menyebar luaskan agama Kristian di Malaysia, dan di negara-negara bukan penutur jati Bahasa Arab dan memurtadkan umat Islam terutama bagi mereka yang masih lemah akidah dan pengamalan agama.

Ia dapat dibuktikan menerusi pendirian sebuah organisasi pendakyah Kristian, The People of the Book6 yang termuat dalam risalah strategi mereka. Walaupun mereka sendiri mengakui bahawa kalimah ‘Allah’ di dalam al-Quran tidak memiliki maksud yang sama dengan ‘God’ di dalam Bible, namun organisasi ini berpendapat penggunaannya amat berkesan untuk memurtadkan umat Islam sebagaimana telah dijelaskan oleh mereka seperti berikut:
“We believe that it can be very effective to use the Quran as a tool to share concepts that are familiar and acceptable to Muslims, and that support Biblical principles. There are many concepts that are very compatible with the Bible and there are other Quranic teachings that may actually be misunderstood by Christians and Muslims. Of course, the Holy Bible is the only and complete authority for everything pertaining to doctrine and lifestyle. We believe that it is perfectly acceptable to use the name Allah, both in the Bible that we use to minister to Muslims, as well as materials that we distribute. It is the translation of the word “God” in Arabic. Joshua Massey has written an excellent summary about this topic. This does not mean that Allah in the Qur’an is exactly the same as the God of the Bible.” 7
John Hultvall, seorang mubaligh Mission Covenant Church of Sweden yang terlibat dalam misi pengembangan agama Kristian di Turkestan timur (kini wilayah Xinjiang, China), sebuah kawasan berpenduduk majoriti Islam, juga berpendapat bahawa walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan dalam kalangan penganut-penganut Kristian sendiri, mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam.

Hultvall, dalam kata pengantar bukunya, Mission and Revolution in Central Asia menulis:
“It is questionable whether a description of mission work among Muslims should use the name of “Allah” and not “God”. Some Muslims mean that “Allah” should be translated by “God” in western languages. The missionaries always use the word “Allah” and this usage has been observed here too.” 8



Selain itu, Kevin Greeson, yang juga seorang mubaligh Kristian juga telah menulis sebuah buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ!. Buku ini telah dijadikan panduan oleh mubaligh-mubaligh International Mission Board (IMB) khusus untuk memurtadkan umat Islam.



Buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! karya mubaligh Kristian, Kevin Greeson yang menjadi panduan kaedah bagi memurtadkan umat Islam termasuk melalui penggunaan kalimah ‘Allah’.


Kaedah ‘The Camel’ dalam penyebaran agama Kristian kepada orang Islam, antaranya ialah penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ ini dikritik dan kurang disenangi oleh kalangan pemimpin dan penganut agama tersebut sendiri namun disebabkan oleh muslihat terselindung yang mampu memberi manfaat kepada dakyah mereka, maka ia tidak dianggap sebagai sesuatu isu besar. Mereka menjadikan penggunaan kalimah ‘Allah’ ini sebagai suatu ‘jambatan’ untuk mendekati serta memurtadkan umat Islam di seluruh dunia.

Pengarah Misi untuk The Corpus Christi Baptist Association di Texas, Edd Jump mengakui keberkesanan kaedah ‘The Camel’ ini sekalipun dia secara peribadi tidak selesa dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan.


Seorang baptis Georgia seperti dilaporkan oleh portal The Christian Index, mendakwa kaedah ‘The Camel’ telah menjadi pendekatan yang sangat berkesan sepertimana dapat disaksikan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat. Baptis itu berkata: “Sebahagian orang menggunakan pendekatan ini dalam komuniti kita dalam perkara asas harian dan mereka melihat tindak balas yang hebat.”

Sementara itu, Presiden The Christian Index IMB, Jerry Rankin dipetik sebagai berkata:
“What our missionaries are doing with ‘The Camel’ is much like what Paul did when he went to Athens. He saw an altar ‘To The Unknown God’ and stated, ‘him declare I unto you.’ In seeking to reach the Muslims, you start with where they are and with their worldview and bring them to the bridge, to the passage in the Qur’an that speaks of Isa (Jesus) and then take them to the gospels. Of course, the Bible is the inspired Word of God and you pray and trust the Holy Spirit to reveal the truth about Christ to them.” 9
Kita juga didedahkan dengan laporan cover story majalah Christianity Today dalam keluaran Februari 2011 yang bertajuk Muslims and the “Son of God”.10 Di mana laporan ini secara tidak langsung telah membongkar rahsia sebenar niat jahat pihak Kristian untuk “use religious vocabulary familiar to Muslims” (mengguna istilah-istilah agama yang biasa untuk umat Islam) supaya memudahkan kerja-kerja dakyah mereka.


Majalah berkala Kristian Evangelika, Christianity Today keluaran Februari 2011 telah memuatkan laporan cover story bertajuk Muslims and the “Son of God” turut menyentuh strategi penggunaan kalimah 'Allah' dalam penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam.

Walaupun sebahagian besar dari pihak paderi sendiri menentang usaha untuk mengguna istilah-istilah yang “familiar to Muslims”, dan mereka ini “…charge their colleagues with compromise that undermines belief in Jesus Christ”, namun kerana niat jahat mereka untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam, maka penggunaan istilah itu tetap diteruskan.

Dalam perbincangan di kalangan mereka yang melakukan kerja-kerja dakyah Kristian di negara-negara majoriti umat Islam tahun sebelumnya, telah diperakui bahawa usaha mengelirukan umat Islam dengan istilah-istilah ini telah berjaya dengan “many thousands of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus” (ribuan telah berjaya dimurtadkan).

“This nation” ini merujuk kepada sebuah negara Islam yang dirahsiakan namanya dari disiarkan dalam majalah tersebut. Mungkinkah negara tersebut ialah Malaysia?

Artikel tersebut juga memetik seorang missiologist (pakar dakyah mereka yang telah melakukan kerja-kerja ini di Asia dan Afrika sejak 1977 lagi) yang berkata “Missionaries can live in a Muslim culture for decades, blaming Muslims for being “resistant” to the gospel, when the problem actually lies with linguistic and cultural stumbling blocks”. Maka secara tidak langsungnya, kini mereka percaya bahawa mereka telah dapat melepasi satu “halangan” linguistik untuk kerja dakyah kepada umat Islam (di Malaysia).

Dan dia merumuskan “Once these are removed, many Muslims are quite open and interested in knowing more about Jesus”.

Kisah penggunaan istilah Allah juga disabitkan sebagai suatu kejayaan mereka untuk membuka minda umat Islam untuk menerima dan membaca Bible – “Muslims reading Scripture for the first time won’t immediately reject the Bible as foreign to their culture”.

Dengan itu, apa yang kita lihat berlaku di negara kita dengan usaha mereka mengguna istilah-istilah seperti kiblat, Kaabah, solat, dan beberapa lagi adalah di antara usaha mereka untuk “strategically changed particularly challenging phrases”.

Menurut tulisan itu lagi, mereka juga ada missionari khas untuk “discipling Muslims” dengan program latihan “teaches missionaries what Muslims believe so they can minister to them effectively”.

Oleh kerana itu, sedarlah mereka yang “memperjuangkan” kebebasan untuk mengguna istilah-istilah yang lazimnya digunakan oleh umat Islam di negara ini, bahawa bukannya kebebasan yang mereka cari tetapi usaha untuk memurtadkan umat Islam yang menjadi matlamat mereka.11

Mengapakah pihak Gereja Katolik tidak mahu menggunakan istilah Tuhan, ‘God’ atau ‘Lord’ dalam penerbitan mereka, sebaliknya mahu bertegas menggunakan kalimah Allah. Puak-puak ini sanggup untuk turun naik mahkamah hanya sekadar inginkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.12

Semoga dengan pendedahan ini dapat sedikit sebanyak menyedarkan umat Islam terutama kepada mereka yang masih keliru dengan agenda tersembunyi musuh Islam dalam penggunaan kalimah ‘Allah’ ini.

Ambillah peringatan Allah Taala dalam al-Quran seperti berikut:


“Orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau". [Surah al-Baqarah: 120]

Rujukan:

[1] Akhbar Herald - The Catholic Weekly, pada tahun 2009 berdepan masalah berikutan larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penerbitan edisi Bahasa Malaysianya yang menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian.

Pada 16 Februari 2009, Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagai penerbit akhbar berkenaan telah mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan semakan semula penghakiman selepas permohonan serupa pada 21 April 2008 dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) telah memohon sebagai pencelah dalam semakan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 telah memutuskan bahawa larangan menyeluruh KDN berhubung penggunaan kalimah 'Allah' adalah salah di sisi undang-undang.

Penghakiman tersebut mencetuskan siri serangan membakar beberapa gereja di seluruh negara pada bulan berikutnya, kemudian digantung sementara menunggu rayuan kerajaan yang berhujah bahawa kalimah 'Allah' adalah eksklusif kepada umat Islam.

[2] Fatwa rasmi oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ ini boleh dibaca di http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah

[3] Perkataan ‘siyasah’ (سياسة) dari sudut bahasa bermaksud “mentadbir sesuatu perkara dengan baik” atau “pemerintah mentadbir urusan rakyat”. Perkataan ‘syar‘iyyah’ (شرعية) pula berasal dari perkataan ‘syari`at’ (شريعة) dalam Bahasa Arab, yang dalam penggunaan biasanya diertikan sebagai “sumber air minum atau pembawaan yang jelas”.

Menurut sudut istilah, para fuqaha’ (ahli-ahli fiqh) pula mentakrifkan ‘Siyasah Asy-Syar‘iyyah’ (السياسة الشرعية) sebagai “tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzu’nya.” Dalam penakrifan lain mereka berkata “menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak.”

Siyasah Asy-Syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum negara Islam dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin. [Abdul Wahab Khallaf: Siyasah Syar`iyyah Aw Nizam al-Daulah Islamiyah Fu Syu Un al-Dusturiyah wa al-Kharijiyah wa al-Maliyah; Kaherah, Dar al-Ansar. hlm.18]

[4] ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) dari segi bahasa bermaksud “suatu keadaan yang sesuai untuk diadakan hukum syarak kerana boleh mendatangkan kebaikan atau menjauhkan daripada keburukan.” Menurut istilah, ia bermaksud “membuat sesuatu hukum dan undang-undang yang baik dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak ada sebarang nas untuk dijadikan bukti dan dasar sama ada ia boleh dilaksanakan, harus atau tidak boleh dilaksanakan.” [Abdul Karim Zaidan. 1994. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. Beirut: Muassasah al-Risalah. Cet 4. hlm. 237]

[5]Maqasid’ merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melaksanakan sesuatu. Maqasid asy-Syariah’ (مقاصد الشريعة) merupakan matlamat atau objektif utama yang diletakkan dalam mensyariatkan hukum. Terdapat 5 perkara asas dalam ‘Maqasid Asy-Syariah’ dalam konteks perjuangan menegakkan agama hari ini iaitu:

(1) Memelihara agama, Hifzu ad-Din (حفظ الدين), (2) Memelihara nyawa, Hifzu an-Nafs (حفظ النفس), (3) Memelihara akal, Hifzu al-Aqli (حفظ العقل), (4) Memelihara keturunan, Hifzu an-Nasl (حفظ النسل), dan (5) Memelihara harta, Hifzu al-Maal (حفظ المال).

[6] The People of the Book ialah sebuah organisasi yang giat menjalankan pengembangan kepercayaan agama Kristian kepada umat Islam yang boleh bertutur dalam Bahasa Sepanyol. Sila rujuk http://www.thepeopleofthebook.org/about.html

[7] The People Of The Book - Following Isa along the straight path, Strategy Brochure. Risalah dakyah Kristian ini boleh dimuat turun di http://www.thepeopleofthebook.org/PofB-PDF/PofBbrStrat.pdf

[8] John Hultvall, Mission and Revolution in Central Asia, Preface by the Author 1981, hlm. 7. Tulisan ini boleh dimuat turundi http://www.missionskyrkan.se/Svenska-Missionskyrkan/Aktuellt/Material/Mission-and-Revolution-in-Central-Asia-by-John-Hultvall/

[9] Untuk pengetahuan lebih lanjut mengenai perkara ini, sila baca di http://www.christianindex.org/3313.article.print

[10] Untuk membaca keseluruhan artikel tersebut, sila akses kepada edisi online di http://www.christianitytoday.com/ct/2011/february/soncrescent.html

[11] Untuk kupasan asal artikel majalah Christianity Today, Februari 2011 bertajuk Muslims and the “Son of God”, sila baca di http://membelaislam.wordpress.com/2011/04/21/kenapa-tidak-boleh-dibenarkan-pihak-gereja-mengguna-istilah-"allah"-untuk-tuhan-jesus-mereka/

No comments:

Post a Comment