Oleh kerana kebanyakan dari keajaiban dunia telah musnah, ramai yang mencadangkan agar mencari yang baru dan menamakan keajaiban yang sedia ada sebagai Tujuh Keajaiban Dunia Purba. Maka, kini terdapat banyak senarai keajaiban yang dibuat yang terdiri dari hasil kejuruteraan manusia hinggalah ke keajaiban alam semula jadi. Walau bagaimanapun, tiada kesepakatan yang dibuat oleh umum tentang senarai itu. Namun lebih banyak keajaiban dunia yang masih tidak diketahui.
Terowong Selat (Bahasa Inggeris: Channel Tunnel, bahasa Perancis: le tunnel sous la Manche) merupakan satu terowong kereta api sepanjang 51.5 km (31 batu) di bawah Selat Inggeris di Selat Dover. Ia menyambungkan Folkestone, Kent di England dengan Coquelles dekat Calais di utara Perancis.
Terowong ini merupakan satu projek mega lama dan mahal yang terhenti beberapa kali, sebelum akhirnya siap pada 1994. Ia merupakan terowong kereta api kedua terpanjang di dunia, cuma Terowong Seikan di Jepun lebih panjang, namun bahagian bawah lautnya sepanjang 39 km (24 batu) adalah terowong bawah laut terpanjang di dunia. Terowong ini dijalankan oleh Eurotunnel.
Bangunan Empire State
Bangunan Empire State adalah bangunan pencakar langit Art Deco 102 tingkat di bandar raya New York. Nama bangunan ini diambil dari nama gelaran New York. Sejak runtuhnya World Trade Center pada serangan 11 September 2001, bangunan ini kembali menjadi bangunan tertinggi di New York. Sekarang, bangunan ini adalah bangunan kedua tertinggi di Amerika Syarikat, di belakang Menara Sears di Chicago.
Jambatan Golden Gate
Jambatan Golden Gate merupakan sebuah jambatan gantung yang merentangi Golden Gate, satu bukaan di Teluk San Francisco ke arah Lautan Pasifik. Sebagai sebahagian U.S. Route 101 dan State Route 1, ia menghubungkan kota San Francisco di hujung utara Semenanjung San Francisco kepada Marin County. Jambatan Golden Gate jambatan gantung terpanjang di dunia sepanjang ia siap dibina pada tahun 1937, dan menjadi simbol yang dihargai di San Francisco dan California. Sejak siap dibina, panjang rentangnya telah dipintas oleh lapan lagi jambatan gantung. Ia masih lagi menjadi jambatan gantung kedua terpanjang di Amerika Syarikat, selepas Jambatan Verrazano-Narrows di Kota New York. Pada tahun 2007, ia berada pada kedudukan kelima di dalam Senarai senibina pilihan Amerika yang diterbitkan oleh Institut Senibina Amerika.
Terusan Panama
Terusan Panama
Terusan Panama (bahasa Sepanyol: Canal de Panamá) ialah terusan kapal utama yang merentasi Segenting Panama di Amerika Tengah dan mengaitkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik. Pembinaan terusan ini merupakan salah satu projek kejuruteraan terbesar dan paling susah yang pernah dilakukan. Ia mempunyai kesan yang hebat pada perkapalan antara kedua-dua lautan tersebut, dan menyebabkan laluan yang panjang dan berbahaya melalui Laluan Drake dan Cape Horn di hujung paling selatan Amerika Syarikat tidak diperlukan lagi. Jarak pelayaran dari New York ke San Francisco melalui terusan ini ialah 9,500 kilometer (6,000 batu), manakala jarak dahulu mengelilingi Cape Horn ialah 22,500 kilometer (14,000 batu).
Walaupun konsep untuk sebatang terusan di Panama telah wujud sejak dari awal abad ke-16, percubaan pertama untuk membina sebuah terusan bermula pada tahun 1880 di bawah pimpinan Perancis. Selepas percubaan itu gagal, kerja itu akhirnya disiapkan oleh Amerika Syarikat, dengan terusan tersebut dibuka pada tahun 1914. Pembinaan terusan sepanjang 77 kilometer (48 batu) dilanda oleh berbagai-bagai masalah, termasuk penyakit (khususnya demam malaria serta demam kuning) dan tanah runtuh. Sebanyak 27,500 orang pekerja dianggarkan maut dalam pembinaan terusan ini.
Sejak pembukaannya, Terusan Panama adalah amat berjaya dan terus merupakan laluan utama untuk perkapalan antarabangsa. Ia membekalkan laluan kepada melebihi 14,000 buah kapal yang membawa muatan melebihi 203 juta tan setiap tahun. 14,011 buah kapal melalui terusan ini pada tahun 2005, dengan jumlah muatan sebanyak 278.8 juta tan, iaitu hampir 40 buah kapal setiap hari.
Terusan Panama boleh menampung kapal-kapal dari kapal pesiaran peribadi yang kecil sehingga kapal komersil yang agak besar. Saiz kapal yang paling besar yang boleh menggunakan terusan ini dikenali sebagai Panamax; semakin banyak kapal moden melebihi had ini, dan dikenali sebagai kapal pasca-Panamax. Jangka masa pelayaran tipikal untuk sebuah kapal kargo merentasi terusan ini ialah sekitar sembilan jam.
No comments:
Post a Comment