Wednesday, July 3, 2013

Hamas Dan Fatah Masih Bertelingkah?

Bertelingkah?Sudut sejarahKonflik di antara dua kelompok utama aliran perjuangan pembebasan Palestin sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang. Kalau dilihat dalam perspektif semasa, mungkin hanya dalam tempoh 10 tahun ini baru nampak ketara kerana ia mendapat liputan meluas media antarabangsa. Setiap pergerakan di dalam sesuatu perjuangan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Begitu juga Fatah dan Hamas, keduanya sudah tentu mendakwa merekalah yang
mewarisi perjuangan pembebasan Palestin sejak dari awal. Kedua-dua pihak akan mengaitkan perjuangan mereka dengan perjuangan Izzuddin al Qassam, pejuang Palestin yang terbunuh ketika menentang Yahudi dan British pada tahun 1936. Mereka juga akan mengaitkan perjuangan kelompok masing-masing dengan ketegasan mufti Palestin al Haj Amin Husaini yang mempertahankan setiap bidang tanah rakyat Palestin dari tergadai atau terjual kepada pendatang Yahudi apabila fatwa mengharamkan penjualan tanah kepada penduduk Yahudi diwartakan pada tahun 1935.

Pergerakan Fatah lahir pada tahun 1957 dan ia ditubuhkan oleh aktivis-aktivis ikhwah muslimin, sebuah pertubuhan dakwah yang terkenal bermula di Mesir di bawah pimpinan Hassan al Banna As-syahid. Walaubagaimanapun gerakan Fatah mengambil haluan yang lebih ke arah nasionalis sekular di dalam mendukong agenda pembebasan Palestin. Bibit-bibit gerakan Hamas juga berasal dari pendukong gerakan ikhwan yang aktif terutama di Gaza pada tahun 1946. Mereka menumpukan kepada aspek kebajikan, sosial dan pendidikan dalam gerak kerja mereka. Mereka terus aktif dalam membina kader-kader melalui program-program liqa'' usari'' atau pengajian-pengajian yang menumpu kepada pembinaan iman dan syakhsiah. Di samping itu mereka aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Di khemah-khemah pelarian seperti di Gaza City, Khan Younis dan Rafah aktivis-aktivis ikhwan inilah yang mendirikan tadika, sekolah dan juga pusat-pusat kesihatan. Mereka juga merupakan tunggak kepada penubuhan Islamic University of Gaza yang melahirkan ratusan golongan profesional termasuk doktor perubatan, jurutera dan tenaga pakar yang sedia berkhidmat untuk rakyat Palestin. Khidmat dan santunan masyarakat inilah yang menjadikan gerakan ikhwan mendapat tempat di hati rakyat Palestin. Sementara perjuangan pembebasan Palestin dipelopori oleh pelbagai kelompok bersenjata dan radikal termasuk di bawah PLO yang menggabungkan pelbagai kelompok pejuang Palestin seperti Fatah, PFLP (Popular Front for the Liberation of Palestine), PLF (Palestine Liberation Front) termasuk kelompok Kristian pimpinan George Habash dan kumpulan komunis dan sosialis, aktivis-aktivis ikhwah muslimun memberikan tumpuan kepada aspek tarbiyah dan pendidikan.

Halatuju perjuangan berubah pada tahun 1980''an di mana regim zionis menjadi semakin menekan dan menindas rakyat Palestin. Pelbagai peraturan dikenakan ke atas rakyat Palestin yang menambahkan keperitan hidup. Kemuncak dari penindasan ini telah mencetuskan intifadah (kebangkitan) besar-besaran oleh rakyat Palestin pada tahun 1987. Bermula pada tahun tersebut, perjuangan pembebasan Palestin tidak lagi dipelopori oleh kelompok-kelompok bersenjata yang bergabung di bawah PLO pimpinan Yaseer Arafat tetapi juga oleh rakyat yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kelompok ikhwan. Keadaan ini menyebabkan ikhwan muslimun di Palestin membuat perubahan yang besar dalam gerak kerjanya. Sebahagian dari kelompok ini merasakan telah sampai masanya mereka menerajui perjuangan bersenjata untuk membebaskan al Aqsa dan bumi Palestin yang terjajah. Desakan yang kuat ini akhirnya telah mendorong pimpinan ikhwan di Gaza untuk mengeluarkan arahan bertulis yang pertama kepada rakyat Palestin di bawah nama al Harakat al Muqawammah al Islamiah (kependekkannya dalam bahasa Arab ialah HAMAS). Pada masa yang sama Yaseer Arafat juga mengambil kesempatan dari kebangkitan rakyat ini untuk menerajui fasa perjuangan pembebasan Palestin seterusnya. Perebutan pengaruh di antara dua kelompok terbesar dari perjuangan Palestin iaitu Hamas dan Fatah kemudiannya menjadi percaturan untuk mendapatkan sokongan antarabangsa. Yasser Arafat tanpa pengetahuan rakyat Palestin telah menemui pimpinan Israel dan Amerika Syarikat secara rahsia. Pertemuan-pertemuan ini kemudiannya telah diwartakan dalam bentuk satu inisiatif yang dinamakan Oslo Accord atau perjanjian Oslo pada tahun 1993. Di dalam perjanjian ini Yasser Arafat dan pergerakan Fatah serta seluruh gabungan PLO mengiktiraf Resolusi `181 PBB yang diluluskan pada tahun 1947 di mana 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi. Resolusi 181 menjadi asas kepada penubuhan negara haram Israel. Sebaik sahaja PLO mengiktiraf resolusi 181, yang bererti membawa kepada pengiktirafan Israel, lebih dari 50 negara mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin yang sah. Bermula dari saat itu PLO di naik taraf menjadi pihak berkuasa Palestin (PNA - Palestine National Authority) yang akan bertanggungjawab untuk mentadbir Tebing Barat dan Jalur Gaza sehingga status muktamad di capai menegani sempadan negara Palestin yang berdaulat dan meredeka.

Di masa yang sama HAMAS tidak mengiktiraf perjanjian ini kerana mengiktiraf Israel adalah seusatu yang bertentangan dengan hak rakyat Palestin yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa. Hamas telah meneruskan agenda kebangkitan rakyat dengan menggunakan pendekatan ''amaliah ishtihadiyah'' atau apa yang di label sebagai serangan berani mati atau ''bunuh diri'' oleh Amerika, Israel dan sekutu-sekutunya. Bagi Hamas, ''amalaih ishtihadiyah'' inilah amalan jihad yang paling tinggi untuk membebaskan masjid al Aqsa dan Baitul Maqdis yang merupakan tanah suci umat Islam dari cengkaman musuh. Tindakan Hamas ini telah mendapat sokongan ulama-ulama tersohor seperti Dr Yusuf al Qardhawi yang mengakui bahawa ''amaliah ishtihadiyah'' ini sebagai jihad jiwa raga yang paling tinggi darjatnya. Kewajaran ini dilihat dalam konteks di mana rakyat Palestin terpaksa berjuang di dalam keadaan tanpa senjata dan terkepung serta tidak pula mendapat bantuan dari saudara-saudara umat Islam dari negara lain. Oleh kerana mereka terpaksa berhadapan dengan jentera perang Israel yang canggih yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin, meroboh rumah-rumah mereka dan merampas tanah mereka maka jalan yang wajar dan diperakui oleh syarak untuk menolak kezaliman musuh ialah dengan melaksanakan serangan berani mati. Ternyata operasi serangan berani mati ini dapat mengimbangi kekejaman Israel dan mengurankan tindakan tentera Israel yang selama ini bertindak sewenang-wenangnya membunuh rakyat Palesatin tanpa sebarang pembelaan antarabangsa. Israel pula telah menggunakan insiden serangan berani mati oleh kelompok-kelompok yang mereka label sebagai pengganas yang dilakukan oleh sayap bersenjata HAMAS (briged Izzuddin al Qassan), sayap bersenjata Fatah (briged al Aqsa) dan kumpulan Jihad Islami untuk memberi tekanan kepada PNA yang diterajui oleh Fatah dan PLO. PNA di minta untuk menangani kelompok Hamas sebelum Israel dapat melaksanakan syarat-syarat perjanjian damai yang dimeterai di Oslo dan semua perjanjian damai susulan Oslo. PNA terpaksa tunduk kepada tekanan Tel Aviv dan mula melakukan siri-siri tangkapan ke atas pejuang dan pemimpin Hamas. Namun Israel sebanarnya hanya menjadikan ini sebagai alasan untuk tidak menghormati perjanjian dengan PLO. Buktinya selepas perjanjian Oslo, Israel terus membina penempatan Yahudi di Baitul Maqdis timur, di sekeliling masjid al Aqsa dan di Tebing Barat. Inilah hujah yang dipegang oleh Hamas bahawa perjanjian damai hanyalah permainan Israel untuk meneruskan agenda pendudukan berterusan ke atas bumi Palestin.

Dari sudut semasaHamas terus mendapat sokongan rakyat meskipun pelbagai tekanan di terima baik dari Israel mahupun dari pihak berkuasa Palestin. Pada tahun 2006, Amerika Syarikat bersetuju supaya diadakan pilihanraya legislatif yang pertama untuk memilih wakil-wakil rakyat dan membentuk parlimen. Hasrat Amerika ialah untuk menggunakan proses demokrasi bagi menutup peluang HAMAS mewakili rakyat secara sah. Malangnya pergerakan Fatah yang menerajui PNA sejak 1993 telah terlibat dengan pelbagai penyelewengan dana awam dan penyelahgunaan kuasa sehingga apabila rakyat diberi peluang untuk memilih kerajaan, mereka telah memberikan undi kepada pergerakan HAMAS yang berjuang di bawah parti politik ''Change and Reform Party''. Mereka mengenali calun-calun Hamas sejak sebelum intifadhah lagi. Mereka dikenali oleh rakyat sebagai aktivis-aktivis sosial dan profesional seperti doktor, pendidik dan juriutera yang banyak berkhidmat secara sukarela untuk rakyat Palestin. Mereka juga tidak pernah diketahui atau dituduh dengan pecah amanah atau menggelapkan dana awam. Kerana itu pelbagai agensi bantuan antarabangsa seperti UNWRA dan Red Cross selesa menggunakan badan-badan yang diterajui oleh Hamas untuk sistem penyampaian (perkhidmatan dan kewangan) yang berkesan. Apabila keputusan Pilihanraya di ketahui Hamas memenangi 72 kerusi berbanding Fatah 45 kerusi. Dengan ini Hamas mendapat mandat untuk membentuk kerajaan. Apabila Hamas memasuki fasa politik dalam perjuangannya, mereka telah meninggalkan modus operandi ''serangan berani mati'' dan sebaliknay menawarkan kepada dunia program politik Hamas. Hamas menawarkan kepada Israel supaya akur kepada resolusi PBB 242 dan 338 di mana Israel wajib keluar dari Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur termasuk Jalur Gaza. Jika Israel bersetju dengan tuntutan ini maka ''hudnah'' atau gencatan senjata jangak panjang boleh dipersetujui. Ini akan melorongkan usaha kepada keamanan yang berpanjangan di Palestin di mana tidak ada lagi serang menyerang di antara kedua belah pihak. Malangnya Amerika tidak menghormati keputusan rakyat Palestin dan mengenakan tekanan kepada Hamas supaya mengiktiraf Israel, meneruskan pelan damai yang telah diterokai bersama Fatah dan menghentikan penentangan (intifadah). Kesemua ugutan ini tidak munasabah kerana mengiktiraf Israel berdasarkan Resolusi 181 adalah satu dosa besar yang tidak boleh diperakui oleh sesiapapun. Meneruskan perundingan damai dengan Israel adalah sesuatu yang terbukti tidak membawa apa-apa kemajuan kerana Israel tidak akan mengosongkan penempatan-penempatan Yahudi di Tebing Barat di samping terus mengakui Baitul Maqdis sebagai ibu negara abadi Isreal. Menghentikan penentangan bererti membiarkan Israel terus merampas tanah dan merobohkan rumah rakyat Palestin tanpa berbuat sesuatupun. Aapbila Hamas enggan tunduk kepada ugutan ini maka sekatan ekonomi menyeluruh di kenakan pula terhadap rakyat Palestin.

Hubungan Fatah-Hamas pasca PR 2006.
Sebaik HAMAS memenangi pilihanraya 2006, langkah pertama ialah mengajak Fatah membentuk kerajaan perpaduan Palestin. Pelawaan ini telah ditolak mentah-mentah oleh Mahmud Abbas selaku Presiden Palestin. Sebaliknya Mahmud Abbas telah menagmbil tindakan yang tidak menghormati lunas demokrasi dengan meletakkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Keselamatan di bawah pejabat Presiden. Mahmud Abbas yang menerajui pergerakan Fatah telah membina pasukan keselamatannya sendiri di bawah seorang pegawai penasihat tentera Amerika, Gen Keith Dayton. Mahmoud Abbas telah melengkapkan pasukan keselamatan yang dinamakan ''Presidential Guards'' yang mendapat biaya dan dilengkapi oleh Amerika. Di samping itu orang kanannya Muhammad dahlan pula membentuk pasukan keselamatannya di Gaza yang dinamakan ''preventive security force'' Kedua pasukan keselamatan ini sering mengganggu pasukan keselamatan yang dibentuk oleh kerajaan Hamas iaitu ''Executice Force''. Tujuan pasukan keselamatn Fatah ini ialah untuk menimbulkan huru hara dan keadaan tidak stabil sehingga rakyat menggulingkan kerajaan Hamas. namun rakyat tetap berdiri teguh di belakang Hamas kerana mereka sedar Fatah mendapat dokongan Amerika dan Israel. bagaimana mungkin rakyat memberi kepercayaan kepada golongan yang bersekongkol dengan Israel. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah Perdana Menteri Ismail Haniyeh membuat keputusan untuk membersihkan jalan-jalan di Gaza dari gangguan gerombolan-gerombolan Fatah yang mengganggu ketenteraman awam. Pejabat keselamatn Fatah di serbu dan Muhammad Dahlan diusir dari Gaza. Tindakan Ismail Haniyeh ini telah mengundang kemarahan Mahmud Abbas yang kemudian membentuk kerajaan baru di Tebing Barat si bawah pimpinan Salam Fayyed sebagai Perdana Menteri. Tindakan Abbas ini telah mengagalkan kerajaan perpaduan Palestin yang sebelum ini terbentuk di antara Fatah dan Hamas natijah dari Perjanjian Mekah pada bulan Mei 2007. Bermula dari saat itu wujudlah dua kerajaan, satu Hamas di Gaza dan Fatah di tebing Barat. Walaupun demikian kerajaan Salam Fayyed sebenarnya tidak sah di sudut perlembagaan kerana tidak dibentuk melalui persidangan Parlimen dan ini hanya boleh diputuskan oleh wakil-wakil legislatif Hamas yang menguasai Parlimen. Di masa yang sama Israel telah menyokong tindakan Mahmud Abbas dan mengiktiraf kerajaan Salam Fayed. Sekatan ekonomi di angakt di Tebing Barat tetapi di masa yang sama Gaza diistiharkan sebagai wilayah perang dan sekatan di perekatat. Serangan dipertingkat atas alasan untuk menghalang serangan roket pejuang Palestin di Sderot dan Ashkalon dalam wilayah Israel. Hakikatnya serangan roket itu adalah tindakan yang sah dari penduduk yang terkepung oleh musuh. Israel bertindak lebih kejam dengan menghentikan bekalan minyak, memotong bekalan elektrik, menutup sempadan dan menghalang barangan impot dan ekspot. Kini rakyat Gaza hidup dalam sebuah penjara terbesar di dunia. Namun mereka terus memberi sokongan kepada Hamas. Sehingga manakah mereka dapat bertahan? Inilah persoalan moral yang harus ditangani oleh seluruh dunia. Tindakan kejam Israel bukan ditujukan kepada Hamas tetapi kepada seluruh rakyat Palestin yang menentang pendudukan Israel. Di manakah pendirian masyarakat antarabangsa dan umat Islam khususnya OIC yang mewakili seluruh kepentingan dunia Islam

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE

No comments:

Post a Comment