Sunday, March 11, 2012

Obama Bina Kembali Doktrin Bush dan Wilsonisme

Obama Makin Dibenci Oleh Rakyat Amerika Syarikat


Pembunuhan Osama Benladen oleh pasukan komando laut elit Amerika Syarikat pada 2 Mei 2011 telah dilihat sebagai kejayaan besar Washington untuk menghapuskan musuh yang paling dikehendaki sejak George Walker Bush melancarkan serangan menghapuskan terrorisme selepas tergoncangnya pentadbiran Rumah Putih ekoran kritikan bahawa negara itu sebenarnya mempunyai pemimpin yang paling buruk dalam sejarah.

George Walker Bush (Bush Jr) menjadi presiden Amerika Syarikat yang paling banyak mendapat kritikan disebabkan oleh sikapnya yang tidak serius dalam melakukan corak pentadbiran Rumah Putih malah dilihat semakin menggila dengan ideologi menyalahkan orang lain, dan sasaran utamanya ialah Islam.

Kemunculan Bush setelah Bill Clinton berhadapan dengan masalah “tidak jujur” kerana membuat akuan bersumpah palsu mempunyai hubungan seks dengan Monica Lewinsky, seorang petugas Rumah Putih menjadi parti Republikan yang menonjolkan seorang usahawan minyak dan bekas ketua perisikan itu boleh mendapat kemenangan yang mudah.

Bagaimanapun, kesan daripada perkembangan maklumat strategik yang dicipta oleh pakar sejarah politik Amerika Syarikat, Samuel P Huntington, yang merupakan murid kepada seorang pakar sejarah Timur Tengah, Bernard Lewis, telah wujud satu ikon baru dalam perkembangan geopolitik dunia pada masa depan.
Ideanya, walaupun pertama kali dikemukakan pada tahun 1995 menimbulkan reaksi negatif atas premis keilmuan yang dipertikaikan oleh banyak pihak, Bush tetap menjadikan ia sebagai penjelmaan semula kewajaran Washington untuk menguasai lebih banyak negara-negara Islam yang kaya dengan minyak dan sumber asli.

Apabila runtuhnya Persekutuan Soviet Sosialis Republik, negara-negara yang berada dalam naungan Rusia kesan dasar Glassnot dan Prestorika yang dimulakan oleh Mikhail Gorbachev pada awal tahun 1980-an, semakin banyak negara-negara kecil telah diberikan kuasa autonomi dan merdeka sehingga ramai yang mula melihat persimpangan pertembungan ideologi masa depan ialah antara Islam dan Barat.

Pertembungan itu adalah kesinambungan kejayaan Revolusi Islam pada tahun 1979 yang berjaya menyingkirkan pemerintahan boneka Amerika Syarikat dan seterusnya kegagalan pasukan elit tentera untuk menyelamatkan tahanan (pekerja kedutaan Amerika Syarikat di Teheran) dalam penyenderaan selama 444 hari lamanya.

Atas usahanya untuk menutup malu, dan pembaharuan semula pengembangan doktrin Woodrow Wilson yang dikenali sebagai wilsonisme menyebabkan Bush (Jr) bersedia meningkatkan kemarahan dan permusuhan dengan Islam.

Sebaik sahaja mengambil alih pucuk pimpinan Rumah Putih, Bush (Jr) yang juga merupakan perancang utama kempen pemilihan semula bapanya untuk penggal kedua sebagai presiden menyimpan dendam kerana usaha tersebut telah gagal di mana ayahnya, Goerge Herbert Bush (Bush Sr) tewas kepada calon presiden Parti Demokrat, Bill Clinton pada tahun 1993. Kesan daripada kekecewaan itulah si anak menyimpan dendam pada suatu hari, beliau akan lakukan perubahan besar dalam parti Republikan dan dasar luar Amerika Syarikat.

Setelah era pentadbiran Bill Clinton berada di persimpangan, keyakinan masyarakat terhadap Parti Demokrat mula tergugat dan pada tahun 2000, Bush (Jr) mula melancarkan kempen untuk bertanding sebagai calon presiden menerusi Parti Republikan. Ketika itu, Bush (Jr) mempamerkan dirinya sebagai anggota konservatif yang tegar berbanding dengan lain-lain calon dalam Parti Republikan (John McCain, Alan Keyes, Steve Forbes, Gary Bauer, Dan Quayle, Pat Buchanan dan Elizabeth Dole).

Kempennya lebih berasaskan kepada keyakinan bahawa dengan meningkatkan jumlah bilangan tentera, mengurangkan cukai, mempertingkatkan peluang pendidikan dan membantu kumpulan minoriti, pada bulan Julai 2000, mempelawa Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan, Ketua Staf Rumah Putih dan Perwakilan Amerika Syarikat sebagai rakan sepasukan. Beliau kemudiannya meneruskan kempen mengkritik dasar Parti Demokrat, Naib Presiden Al-Gore mengenai kawalan senjata api dan perihal cukai.

Dalam pilihan raya 7 November 2000, Bush telah menang di 29 buah negeri, termasuk Florida. Pengiraan undi di Florida dibuat semula setelah keputusannya dan akhirnya memerlukan keputusan mahkamah apabila pada 9 Disember 2000, ia dirujuk kepada Mahkamah Florida sehingga dibuat keputusan untuk pengiraan kali ketiga.

Bagaimanapun, Bush diisytiharkan menang dengan margin 537 undi, menjadikan kemenangan Parti Republikan kesemuanya ialah 271 berbanding Al-Gore daripada Parti Demokrat dengan 266.

Setelah menduduki Rumah Putih pada 20 Januari 2001, Bush (Jr) mula membuat perancangan untuk memperbesarkan jumlah anggota tentera dan berusaha menempatkan mereka ke beberapa buah negara. April 2001, Bush (Jr) mula memikirkan semula hubungan Amerika Syarikat dengan Taiwan kerana pulau itu akan dikembalikan kepada China sebagaimana dipersetujui oleh Britain.

Menurut beberapa catatan, Bush (Jr) yang memerintah dengan kedudukan imej sekadar 50 peratus memerlukan satu perubahan besar untuk membolehkannya menjadi seorang Presiden yang berkuasa, di mana dengan hanya separuh rakyat lagi melihat imejnya sebagai “rakan koboi” dan “presiden yang dungu.”

Persoalan itulah telah mempengaruhi Bush (Jr) untuk menggunakan rakan-rakannya dalam indusri minyak untuk membentuk strategi selaras dengan keyakinan Huntington bahawa peradaban masa depan akan menjadi lebih baik sekiranya barat dapat memecahkan halangan, dan halangan itu sebenarnya ialah Islam.

Tragedi 11 September 2001 (911), iaitu belum pun sampai sembilan bulan mengambil pentadbiran Rumah Putih telah melangsungkan agenda perang terhadap Islam, di mana sebelum itu imej buruk terhadap Islam sudahpun bermula menerusi lakaran watak ektremisme dan fundamentalisme yang dibayangkan menerusi kebangkitan Islam di seluruh dunia kesan Revolusi Islam Iran.

Tragedi 911 itu dilihat sebagai kemuncak untuk membolehkan Amerika Syarikat melakarkan sejarah baru, sejarah untuk menjadikan Islam sebagai musuh dan sasaran penguasaan lebih banyak sumber minyak setelah Amerika Syarikat pernah merasakan peritnya apabila OPEC menggunakan minyak sebagai senjata mengajar Barat pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an.

Ketika OPEC mula ditubuhkan, Iran adalah pemain utama dalam menentukan dasar menjadikan “kartel minyak” dan ini amat membebankan negara-negara maju yang memerlukan penggunaan minyak lebih besar.

Setelah tercetusnya tragedi 911, Bush (Jr) dengan begitu cepat membuat andaian bahawa serangan pesawat ke atas World Trade Center dan bangunan Pentagon itu adalah angkara al-Qaeda, iaitu sebuah pertubuhan yang dipimpin oleh Osama Benladin untuk menentang barat yang tidak berlaku adil terhadap masyarakat Islam dan amat mendokong tindakan Israel membunuh, merampas dan menyiksa rakyat Palestin.

Daripada perspektif itulah Bush (Jr) merasakan sebagai presiden Amerika Syarikat beliau bertanggungjawab untuk menjadikan Islam sebagai punca kegelisahan baru masyarakat antarabangsa kerana perkembangannya telah menyebabkan nilai-nilai Amerika semakin terancam, bahkan pada pertengahan tahun 1990-an turut diramalkan bahawa abad ke-21 ialah Abad Asia dan kemunculan negara-negara Islam sebagai paksi pertumbuhan ekonomi yang boleh menjejaskan barat.

Bush (Jr) pada 29 Januari 2002, iaitu empat bulan selepas 911 mengemukakan satu doktrin bahawa Iraq, Iran dan Korea Utara sebagai “paksi kejahatan— axis of evil — dan mengemukakan dasar preemptive war juga turut dikenali sebagai preventive war.Kemudiannya, dasar itu berkembang kepada “war on terror” apabila negara-negara Islam menyuarakan kebimbangannya setelah Bush (Jr) sedang bersiap sedia untuk menyerang Iraq dan mula menghantar tentera untuk memburu Osama Benladen di Afghanistan.

Pada 7 Oktober 2001, yakni kurang sebulan daripada tragedi 911, tentera Amerika Syarikat dan Britain memulakan kempen kepada anggota NATO untuk menyerang Afghanistan. Pada 13 November 2001, NATO telah memulakan tugasnya di Kabul untuk berperang dengan anggota Taliban yang dikatakan memberikan perlindungan kepada Osama Benladen dan kumpulan al-Qaeda.

Bulan Disember, Pentagon menjelaskan bahawa Taliban telah berjaya dilumpuhkan tetapi peperangan tetap diteruskan bagi melumpuhkan saki baki pemberontak dan seterus mejejaki tempat persembunyian Osama Benladen, dengan menubuhkan Pentadbiran Peralihan Afghanistan yang diketuai oleh Hamid Karzai.

Bagaimanapun, usaha tersebut gagal dan telah menyebabkan berlakunya pertempuran pada bulan Disember 2001 di kawasan pergunungan Tora Bora, dan mengakibatkan Bush (Jr) terpaksa mengakui bahawa tentera AS telah gagal dalam misi terbabit. Keadaan itu menyebabkan Bush (Jr) terasa dipersendakan oleh rakyat Amerika Syarikat dan menyebabkan beliau menegaskan, “saya sebenarnya tidak pedulikan beliau (Osama)”, “seorang yang sebenarnya telah diperkecilkan” tetapi dalam masa yang sama mengeluarkan arahan Osama adalah perlu diburu “sama ada hidup atau mati” dan “masih menjadi ancaman”.

Pada bulan November 2007, Obama disahkan menang sebagai presiden dan berjaya mengembalikan semula imej Parti Demokrat. Pada bulan Januari 2008, dalam majlis perlantikan yang gilang gemilang, Obama dilihat telah membuka wajah baru kepada Amerika Syarikat yang lebih demokratik dan aman dengan janjinya akan menutup pusat tahanan rahsia di Teluk Guantanamo, berundur dari Afghanistan dan menamatkan segera penglibatan tentara di Irak.

Harapan itu sebenarnya semakin kabur, kalaupun Obama telah membuat keputusan untuk meninggalkan Irak, hanya pada akhir 2011 barulah penarikan tentera berlaku, tetapi sebahagiannya ditugaskan untuk menentukan rakyat Irak tetap percayakan Amerika Syarikat sebagai penyelamat. Kabinet yang memerintah Irak bukanlah kabinet yang benar-benar dikehendaki oleh rakyat Irak, ia adalah boneka.

Perburuan ke atas Osama Benladen diteruskan sehinggalah pentadbiran Obama berjaya membunuhnya pada 2 Mei 2011 di sebuah rumah agam di Abbotabad, satu kawasan yang menempatkan perumahan tentera Pakistan. Serangan pada waktu tengah malam itu bagaimanapun telah mencetuskan kemarahan Pakistan kerana Washington mendakwa bahawa kegagalan pihak perisikan ataupun sengaja menyembunyikan kehadiran Osama Benladen. Akibatnya, Pakistan mula mencurigai niat sebenar Amerika Syarikat.

Apa yang lebih menaikkan kemarahan masyarakat Islam kepada Obama ketika beliau sedang berusaha melancarkan kempen menduduki semula Rumah Putih untuk penggal kedua ialah tersebarnya e-mail mengenai bagaimana mayat Osama Benladen diuruskan. Ketika pembunuhan itu berjaya dilaksanakan, Obama dikatakan turut menyaksikan operasi komando marin elit yang berjaya menceroboh masuk ke kediaman Osama.

Bagi mengelakkan sebarang bentuk kebangkitan semula semangat Osama, Obama membuat keputusan agar mayat itu dihapuskan dengan cara menenggelamkan ke dasar laut selepas dicampakkan dari dek kapal USS Carl Vinson di Laut Arab dalam perjalanan pulang setelah misinya berakhir.

Pada Khamis lalu (8 Mac 2012), yakni sepuluh bulan selepas Osama dilaporkan terbunuh, sekumpulan penggodam telah berjaya memecahmasuk simpanan data sebuah syarikat perisikan keselamatan yang ditubuhkan khusus untuk tujuan tersebut, Stratfor dan mendapati bahawa mayat pemimpin al-Qaeda itu telah dibawa ke Amerika Syarikat untuk dibakar.

Setakat ini, pihak pentadbiran Rumah Putih belum membuat apa-apa penjelasan mengenai cara pelupusan mayat Osama itu dan ini tentunya akan memberikan tamparan hebat kepada Obama untuk kembali mendapat sokongan pengundi Islam serta rakyat Amerika Syarikat pada bulan November nanti.

Obama dijangka akan menerima kritikan antarabangsa yang lebih hebat seandainya butiran lengkap tidak diberikan kerana semasa menonton video pembunuhan Osama, masyarakat terus membuat penafian bahawa pembunuhan itu adalah suatu pembohongan kerana watak pemimpin al-Qaeda itu sebenarnya adalah rekaan untuk memperburuk-burukkan Islam.

Antara Obama dan Bush (Jr) dalam perspektif umum masih tidak berubah, kedua mereka adalah satu bayangan terdesak atas tuntutan golongan pelampau Yahudi yang tetap menganggap bahawa Islam adalah musuh kepada peradaban baru yang terpaksa dibina semula setelah peradaban barat semakin menampakkan bayangan kehancurannya.

Kemunculan kapitalisme dan pasaran bebas yang dipelopori oleh gerakan mencari keuntungan melampau itulah yang menjadikan Amerika Syarikat terpaksa tunduk kepada tekanan berselindung pelampau Yahudi. Mereka inilah yang menguasai sektor kewangan, perbankan dan perdagangan telah merasakan kedudukannya semakin perit kesan pasaran tanpa kawalan sehingga menyebabkan runtuhnya sistem perbankan dan kewangan yang pernah dibanggakan.

Kemunculan ekonomi baru yang bergerak daripada Asia telah memberikan tekanan politik yang paling besar kepada Obama untuk memperbetulkan senario kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat yang diwarisi daripada kepimpinan Bush (Jr). Di akhir pemerintahan selama dua penggal, pada tahun 2007 Amerika Syarikat telah mencetuskan kemarahan dunia ketiga apabila meluluskan peraturan baru dengan mewajibkan 30 peratus keluaran bijirin dijadikan bahan bakar, iaitu methanol menyebabkan harga bijirin melambung tinggi.

Secara bijaknya, Bush (Jr) menggunakan perspektif perubahan iklim sebagai faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan bijirin apabila Lembah Irrawady, salah sebuah kawasan pengeluar padi utama dilanda banjir besar, taufan yang menyebabkan Filipina tidak dapat mengeluarkan beras, banjir di Pakistan yang menenggelamkan hampir dua puluh peratus keluasan negara, banjir di Teluk Benggala menyebabkan tanaman padi musnah di Bangladesh, kemarau yang berpanjangan di Benua Afrika dan sebagainya sedangkan Amerika Syarikat telah membuat persiapan awal dengan menempah lebih banyak beras daripada Thailand.

Begitu juga dengan penempahan minyak yang sengaja dilakukan oleh Bush (Jr) bagi menggambarkan bahawa imej akhir pemerintahannya adalah positif dengan menggelisahkan masyarakat dunia dengan dakwaan, Rusia, China dan India membelinya dengan banyak atas sebab kepesatan sektor perkilangannya. Pada ketika itu, beberapa syarikat minyak di Amerika Syarikat berusaha meningkatkan simpanan minyak dan bagi menggambarkan suasana kekurangan, ada laporan mengatakan sengaja media memaparkan lori-lori tangki disusun tanpa minyak kerana bekalan tidak mencukupi.

Percubaan itu sebenarnya merupakan strategi pelobi Yahudi untuk membolot keuntungan yang lebih berdasarkan fenomena spekulasi, sebagaimana berlaku ke atas pemberian hutang pinjaman perumahan sehingga menyebabkan institusi kewangan berhadapan dengan masalah yang besar. Bush (Jr) akhirnya telah berjaya menjadikan minyak sebagai senjata politik kerana di akhir pentadbirannya pada tahun 2007, harga minyak dunia hampir stabil.

Obama terpaksa berhempas pulas untuk membaiki keadaan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dan hingga tempoh empat tahun pentabdirannya, tanda-tanda pemulihan masih belum dapat memberikan jaminan bahawa negara itu kembali kepada kedudukannya sebagai hegemoni. Dalam tempoh sepuluh tahun lagi, ekonomi China yang kian berkembang menyebabkan Amerika Syarikat terpaksa menggunakan pendekatan perang, sebagaimana Bush (Jr) laksanakan ke atas Irak dan Afghanistan. Kali ini, Obama menyasarkan serangan ke atas Iran, dengan mereka-rekakan alasan bahawa pembangunan teknologi nuklear akan melampaui kepada pengeluaran senjata.

Kalau di Iraq, Bush (Jr) menggunakan pendekatan “senjata pemusnah besar-besaran” bagi melumpuhkan kekuatan Saddam Hussein dan ketenteraannya yang dinilai terkuat di rantau Timur Tengah, kali ini, pembangunan teknologi nuklear Iran dijadikan alasan. Kesemuanya penyebab ini sebenarnya menggambarkan bahawa Amerika Syarikat sebenarnya sebuah kuasa yang bergerak atas ugutan dan tekanan, dan kemunculannya adalah untuk menindas negara-negara lain.

Konsep bernegara dan kedaulatan sesebuah negara adalah terbatas. Ianya akan menjadi sesuatu yang diberikan dokongan sekiranya dapat memenuhi keperluan pelobi Yahudi manakala negara yang tidak memberikan sokongan kepada Israel akan tetap dilihat sebagai musuh. Inilah sebenarnya yang membuktikan bahawa selagi sistem pemilihan politik Amerika Syarikat terus mengharapkan sumbangan dana golongan peniaga dan kapitalis, selagi itulah masyarakat dunia tidak akan bebas.

Obama ataupun Bush (Jr) tetap tertakluk kepada penyumbang dana kempen politik, kerana tanpa dana tersebut usahanya untuk menduduki Rumah Putih tidak akan menjadi kenyataan. Sepanjang kempen pemilihan presiden yang lalu, Obama berjaya mengumpul dana yang besar melebihi USD 750 juta dan kerana itulah, bentuk kempennya dilihat sebagai yang terbesar dalam sejarah dan berupaya membangunkan imejnya sebagai bakal presiden yang “energetic” dan “boleh mengubah imej Amerika Syarikat.”

Kali ini, Obama dijangka memerlukan lebih USD 1 bilion untuk membiayai kempennya untuk penggal kedua, dan ini tentunya bakal disumbangkan oleh para kapitalis yang kaya raya. Kapitalis ini tentunya akan mengharapkan imbuhan selepas Obama berjaya menduduki semula Rumah Putih dan tentunya beliau perlu mencari peluang di negara-negara tertentu, termasuk Iran sebagaimana dilakukan oleh Bush (Jr) di Irak dan memberikan kontrak keselamatan kepada rakan-rakannya di Afghanistan.

Dengan menyerang Iran, Amerika Syarikat akan berupaya menentukan bentuk pembangunan dan menyusun semula pemilikan atau operasi minyak kerana sebelum itu, Obama telah memberikan amaran untuk mengenakan tindakan sekatan ekonomi kepada negara-negara yang ada hubungan dengan Iran. Rusia dan China mula memikirkan semula pelaburannya di Iran, kerana Amerika Syarikat terus membuat ancaman, bagaimanapun hingga kini, kedua negara terbabit masih belum membuat keputusan tegas.

Rusia dan China amat memerlukan bekalan minyak Iran, kerana perdagangannya dengan lain-lain pengeluar minyak yang dimonopoli oleh syarikat Amerika Syarikat dan Eropah tidak bersedia berlaku adil, hanya mengutamakan keperluan masing-masing dan menjamin Israel tidak kehabisan bahan bakar.

Kalau Bush (Jr) yang mencetuskan peperangan dan keganasan, Obama sebenarnya melebarkan kemarah umat Islam dengan menghina dan mempersendakan masyarakat Islam. Kalau Bush (Jr) menjadikan Islam sebagai “kambing hitam”, Obama menjadikan Islam sebagai serangan tanpa mempedulikan kemarahan masyarakat Islam. Sebenarnya, cara Obama mengkhianati Islam adalah lebih berbahaya berbanding Bush (Jr).

Bush (Jr) melancarkan serangan terbuka kepada masyarakat Islam, tetapi Obama melancarkan serangan secara terancang dan terselindung di sebalik upayanya untuk memperbaiki hubungan Islam dan Barat, dan dalam masa yang sama membina emosi marah seolah-olah Islam itu adalah satu kesilapan, pembohongan dan malapetaka. Kini, Obama terpaksa berhempas pulas untuk meyakinkan pentadbirannya, badai taufan yang melanda sebahagian besar negaranya dapat diatasi dengan baik dan bukannya seburuk cara Bush (Jr) menguruskan Ribut Katrina pada tahun 2005.

Obama akan tetap dilihat sebagai penyambung wilsonisme yang digerakkan menerusi doktrin Monroe dan manifest destiny, kerana itulah sebenarnya ideologi politik pelampau Yahudi yang terus ingin menguasai geopolitik dunia. Sampai bila pun Amerika Syarikat tidak akan menjadi kuasa besar yang bersikap adil kepada semua negara, kerana keadilan itu hanyalah berpihak kepada Israel dan pelampau Yahudi.

Sebagaimana retorik demokrasi dan kebebasan asasi, dalam masa yang sama Amerika Syarikat masih tidak memberikan ruang kepada tahanan Abu Gharib dan Guantanamo membela diri, aturannya tetap menyalahkan Islam walaupun hakikatnya semakin ramai rakyatnya sendiri marahkan Obama, Obama hanya berjaya membina harapan palsu.

No comments:

Post a Comment