Sunday, July 7, 2013

Siapa Dr Mohamed Morsi ?

Tentera Mesir, awal hari ini menggulingkan Presiden Mohammed Mursi dan menahan beliau, selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh di negara ini.
Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang juga Menteri Pertahanan berkata, Mursi kini di tahan di kementerian itu dan nasibnya masih tidak diketahui.
Fattah mengumumkan rampasan kuasa tentera itu melalui televisyen kerajaan, ketika polis mula menahan pegawai-pegawai kanan Presiden dan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimin.
Waran tangkap turut dikeluarkan ke atas sebanyak 300 pegawai Ikhwan Muslimin, lapor media milik kerajaan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di jalan-jalan raya di sekitar bandar raya Kaherah sejak beberapa hari lalu menyambut berita itu dengan kegembiraan dengan sesetengah daripada mereka meraikannya dengan membakar mercun.
Sekurang-kurangnya tujuh penyokong Mursi terbunuh dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di Iskandariah dan di bandar Marsa Matrouh, menurut pegawai keselamatan.
Sebanyak 50 orang dilaporkan maut dalam pertempuran antara penyokong dan penentang kerajaan sejak minggu lalu menjelang ulang tahun pertama Mursi dipilih menjadi Presiden Mesir pertama selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak dalam kebangkitan rakyat pada 2011.
Menurut Jurucakap Ikhwan Muslimin, Gehad El-Haddad, Mursi dan penolong-penolong kanannya ditahan di kemudahan tentera.
Katanya, Mursi, bagaimanapun dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dengan ayahnya, Essam El-Haddad adalah antara penolong kanan Mursi yang ditahan.
Dalam ucapannya, Jeneral Fattah turut menjelaskan dengan teperinci pelan tindakan bagi peralihan kuasa politik.
Katanya, draf Perlembagaan yang dirangka oleh kerajaan Mursi akan dibekukan dan pilihan raya Presiden akan diadakan tidak lama lagi, tetapi tidak menyatakan tarikhnya.
Beliau turut mengumumkan Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung Mesir, Adli Mansour dilantik memimpin kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya awal diadakan. - AFP
Siapa Dr Mohamed Morsi?
MOHAMED Morsi Isa’ al-Ayyat  lahir pada 20 Ogos 1951 di  al-Udwah, Wilayah As-Syarqiyah. Hidup dalam keluarga sederhana dan beragama. Bapanya petani dan ibunya suri rumah.
Berkahwin pada 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu. Kesemua anaknya adalah hafiz dan hafizah, begitu juga beliau dan isteri.
Morsi melanjutkan pendidikan di Universiti Kaherah dalam bidang Kejuruteraan pada 1970 hingga 1975. Kemudian menyambung pengajian hingga memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di universiti sama pada 1978. Pada tahun itu juga, beliau ke Amerika Syarikat (AS) menyambung pengajian Doktor Falsafah di Universiti Southern California dan berjaya memperolehnya pada 1982.
Selepas itu, Morsi dilantik sebagai pensyarah di universiti sama, kemudian menjadi pembantu profesor di Universiti California-North Ridge. Kembali dari AS, beliau dilantik profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq pada 1985 hingga 2000.
Dakwah dan Politik
Morsi konsisten memperjuangkan keadilan, kebebasan, menentang kezaliman dan kekejaman sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin dan menjadi Ahli Parlimen (2000-2005).
Pada Pilihan Raya Parlimen 2005, beliau menewaskan pesaing dari parti Hosni Mubarak, Nasional Democratic Party (NDP) namun keputusan tidak berpihak kepadanya hingga pemilihan semula terpaksa dilakukan. Beliau beri perhatian serius terhadap isu Palestin dan Al-Quds. Beliau terpilih ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah dan pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.
Penjara dan Penangkapan
Morsi antara pendakwah aktif dalam jemaah Ikhwanul Muslim. Sikapnya menentang perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau berkali-kali ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan Parlimen pada pemilihan 2005, Mursi menjadi tulang belakang dalam demonstrasi menyokong kehakiman bebas. Akibatnya, pada 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 anggota Ikhwanul Muslimin dan dipenjara tujuh bulan.
Beliau  pernah ditangkap bersama sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin pada 28 Januari 2011 bagi menggelakkan beliau terlibat dengan demonstrasi. Keluarganya turut menjadi sasaran. Anaknya, Ahmad ditangkap ketika Morsi mencalonkan diri pada pemilihan 2000.
Menilai prestasinya, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir, majlis itu memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.
Sementara itu Seramai 9,101 pelajar Malaysia yang berada di Mesir selamat dan mereka tidak terlibat dengan pergolakan yang sedang berlaku di negara berkenaan.
Menurut jurucakap Kedutaan Malaysia di Kaherah, kesemua pelajar berkenaan pada masa ini sedang menghadapi peperiksaan semester dan tinggal berdekatan dengan universiti masing-masing.
"Buat masa ini, keadaan di Mesir masih terkawal dan tiada sebarang laporan memaklumkan kejadian tidak diingini berlaku kepada pelajar Malaysia di Mesir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya pihak kedutaan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan akan mengambil langkah keselamatan jika pergolakan di negara itu berterusan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik terbaharu di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohammed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.
Rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk maklumat lanjut dengan menghubungi (202) 37610013/19/68/73 atau Bilik Operasi
Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau 02-37610013/02-37610068 sambungan 141 atau menerusi e-mel di alcairo@kln.gov.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment