Adalah sukar untuk dicari kesepakatan terhadap penentuan tarikh mula
munculnya gerakan Syiah. Ia berpunca daripada perbezaan pandangan
pelbagai pihak di dalam menentukan pengasas atau pencetus kepada gerakan
itu sendiri. Kontroversi yang membabitkan Syiah terus diperbaharui
zaman berzaman dan ia berlanjutan hingga kepada era pasca Revolusi Iran
yang menjadi suatu lagi batu tanda di sepanjang lebuh perjalanan sejarah
Syiah. Apakah sebenarnya status hubungan masyarakat dunia dengan Syiah?
Persoalan ini tidak hanya membabitkan keperluan semasa, malah penting
untuk menjadi asas kepada ramalan terhadap masa depan tamadun insan,
khususnya di persekitaran Timur Tengah sebagai ‘pusat dunia’.Justeru
itu, wajarlah persoalan ini digarap dengan bekalan sejarah kerana di
situlah akan terserlah skrip sebenar kepada realiti pertembungan di
antara Syiah dan Ahli Sunnah wa al-Jamaah.
ERA ABDULLAH BIN sabar’
Abdullah bin sabar’ atau juga dikenali sebagai Ibn Sawda’ adalah seorang
Yahudi dari San’a di Yaman yang telah menzahirkan keislamannya di zaman
Uthman bin Affan ra. Beliau adalah watak yang paling utama memainkan
peranan menimbulkan kehuru-haraan di Madinah, Iraq, Syam dan Mesir
secara khusus. Dakyah yang berlaku di dalam bentuk penyebaran pendapat
siasah bahkan aqidah yang menyimpang, telah mencetuskan fitnah yang
membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman ra pada 18 Dzulhijjah 35H.Ibn
Sawda’ telah menyebarkan pelbagai idea yang kontroversi di kalangan umat
Islam khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan-penyelewengan yang
dinisbahkan kepada Uthman bin Affan. Gerakannya telah mencetuskan
pemberontakan di empat penjuru tanah air umat Islam. Malah Abu Dzar
al-Ghifari ra juga telah dihasut supaya bangkit mempertikaikan siasah
Muawiyah bin Abi Sufian ra sebagai Gabenor di Syam di dalam soal
pentadbiran Baitulmal.Beliau juga telah mempopularkan idea kelayakan
Saidina Ali ra sebagai pengisi jawatan Khalifah selepas kewafatan
Rasulullah SAW dengan apa yang diistilahkan sebagai wasiat Rasulullah
SAW. Abdullah bin sabar’ juga menjadi orang pertama yang secara
terang-terangan mencela Abu Bakr, Umar, Uthman dan sekalian sahabat. Hal
ini diakui sendiri oleh ilmuan Syiah seperti Saad bin Abdullah al-Qummi
di dalam al-Maqalaat wa al-Firaq. Tidak terhenti setakat itu,
kepercayaan karut tentang kebangkitan semula Rasulullah SAW dan pelbagai
fahaman yang kemudiannya menjadi usul teras golongan Syiah, telah
dipelopori oleh Abdullah bin sabar’Inilah puncanya mengapa ramai pihak
yang sudah tidak lagi mampu untuk menyembunyikan kecelaan sejarah
Abdullah bin sabar’, cuba untuk menanamkan prasangka bahawa beliau tidak
wujud secara pasti di dalam sejarah. Idea yang tidak berasas ini
didokong oleh sekumpulan Orientalis dan pengkaji Arab serta ramai dari
kalangan Syiah semasa (dari. Muhammad Amahzun, Tahqiq Mawaqif as-Sahabah
fi al-Fitnah min Riwaayaat al-Imam at-Thabari wa al-Muhadditheen,
Maktabah al-Kauthar, Riyadh, 1994).Hal ini mustahil dapat diterima akal
kerana penyebutan kisah Abdullah bin sabar’ bukan hanya terdapat di
dalam satu atau dua karangan ilmuan Ahli Sunnah wa al-Jamaah seperti
Tarikh al-Imam at-Thabari malah ia turut disebut secara meluas di dalam
sejumlah besar tulisan ulama pelbagai zaman, sama ada oleh Ahli Sunnah
mahu pun Syiah sendiri. Tegasnya, Abdullah bin sabar’ adalah merupakan
pelopor dan pengasas kepada timbulnya krisis di antara pengikut ajaran
Islam sebenar dengan kumpulan Syiah yang berlarutan hingga ke hari
ini.Kerugian yang menimpa umat Islam di dalam peperangan Jamal dan
Siffin, pembunuhan Ali ra, anakandanya Husain ra dan pelbagai lagi siri
perang dalaman yang tercetus semenjak kematian Uthman bin Affan ra,
adalah hasil suntikan fitnah yang dipelopori oleh seorang penjenayah
bernama Abdullah bin sabar’.
ERA KHILAFAH BANI UMAYYAH
Muawiyah bin Abi Sufyan ra telah mengambil alih kepimpinan Islam selepas
pembunuhan Ali ra dan berundurnya Hasan ra dari memangku jawatan yang
ditinggalkan oleh ayahandanya. Kesatuan umat Islam telah dapat
dihasilkan, namun kewujudan kelompok yang mendukung idea Ibn sabar’
terus wujud dan sentiasa menjadi api di dalam sekam. Sikap keras lagi
tegas Muawiyah dan para Khalifah Bani Umayyah terhadap golongan Syiah
ini menjadikan mereka terpinggir dari arus perdana untuk beberapa
ketika.Analisa terhadap punca yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan
Bani Umayyah memperlihatkan sekurang-kurang empat kelompok musuh.
Mereka adalah penduduk Arab berketurunan Yaman yang tinggal di Khurasan,
golongan Mawali (bukan Arab) yang juga berpusat di sekitar Khurasan,
kelompok Syiah yang sentiasa berdendam dengan Bani Umayyah, dan golongan
keempat adalah terdiri daripada mereka yang menzahirkan diri sebagai
Muslim tetapi masih berdendam terhadap Islam serta terus berpegang
dengan fahaman pra Islam seperti Rawandiyyah dan sebagainya.Namun,
penglibatan Syiah di dalam propaganda Revolusi Abbasiyyah adalah faktor
terpenting ke arah tumbangnya Khilafah Bani Umayyah.Muhammad bin Ali
telah mewarisi gerakan Revolusi Abbasiyyah yang diasaskan oleh Ali bin
Abdullah bin Abbas bin Abd al-Muttalib. Muhammad bin Ali menyokong
perjuangan Abu Hasyim bin Muhammad bin Ali al-Hanafiah yang merupakan
seorang Imam Syiah. Ketika Abu Hasyim di ambang kematiannya, beliau
telah mewasiatkan supaya Muhammad bin Ali mengambil alih tempatnya
sebagai Imam dan semenjak itulah beliau mengepalai gerakan Hasyimiah
atau Abbasiyyah.Selepas kematian Imam Muhammad bin Ali pada tahun 125H,
berlaku peralihan kepimpinan Revolusi Abbasiyyah hinggalah ke tangan Abu
Muslim al-Khurasani yang melancarkan Revolusi Abbasiyyah secara
terbuka. Pada masa itu nama Imam Ibrahim yang menggantikan tempat
ayahandanya Imam Muhammad bin Ali masih dirahsiakan. Apabila rahsia ini
terdedah, Imam Ibrahim telah ditangkap dan dibunuh di Harran (132H) dan
beliau telah mewasiatkan supaya saudaranya Abu al-Abbas as-Saffah
menggantikan tempatnya sebagai Imam. Walaupun mendapat tentangan
daripada Abu Salamah al-Khallal, akhirnya calon yang disokong oleh
keluarga Abbas dan Syiah iaitu Abu al-Abbas as-Saffah telah terpilih.
Berhasillah kehendak Syiah di masa itu dan akhirnya kepimpinan ummah
beralih daripada Bani Umayyah kepada Abu al-Abbas as-Saffah yang
mengasaskan Kerajaan Abbasiyyah (132H).
ERA KERAJAAN ABBASIYYAH
Walaupun kerajaan Abbasiyyah itu tertegak atas kehendak dan maslahah
golongan Syiah, mereka masih mengekalkan sikap pragmatik dan hanya
berpihak kepada kuasa yang boleh memenuhi kemahuan mereka
semata-mata.Perpecahan yang serius di antara bangsa-bangsa Muslim
mengundang kelemahan yang membunuh kerajaan Abbasiyyah. Namun,
kemunculan Hulagu, cucu kepada Genghiz Khan ke Baghdad adalah peristiwa
yang paling bersejarah. Di zaman Bani Buwaih, mazhab Khilafah Abbasiyyah
adalah Syiah. Namun selepas berpindah kepada Seljuk, mazhab kerajaan
kembali kepada Sunni. Akan tetapi, para khalifah di era penghabisan
kerajaan Abbasiyyah masih terus percaya kepada tokoh-tokoh Syiah,
seperti Mu’ayyid ad-Deen bin al-Alqami. Atas perbalahan yang berlaku di
antara Sunni dan Syiah, Mu’ayyid telah menjemput Hulagu mengisi
cita-citanya menawan Baghdad. Beliau yang sepatutnya menjalankan tugas
mewakili Khalifah untuk berbincang dengan Hulagu, telah berpaling tadah
dan seterusnya membuka laluan kepada Hulagu menyerang Baghdad hingga ke
akar umbi pada tahun 656H. Ibn Kathir meriwayatkan bahawa, 1,800,000
penduduk Baghdad telah terbunuh di tangan Hulagu dan tenteranya. Suatu
insiden yang hitam di dalam sejarah kemanusiaan.
ERA PRA FATIMIYYAH DAN AYYUBIYYAH
Kerajaan Fatimiyyah yang bermazhab Syiah merupakan kerajaan kecil
pertama yang mengisytiharkan ketuanya sebagai Khalifah yang bebas
merdeka daripada pemerintahan Abbasiyyah. Walaupun kerajaan Fatimiyyah
mempunyai sumbangannya yang banyak terutamanya kepada aspek pembangunan
tamadun material Islam, namun era tersebutlah yang menyaksikan
berleluasanya penyebaran fahaman dan amalan syiah yang khurafat,
sehinggalah ia ditamatkan dengan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi memimpin
Mesir dan membawanya kembali kepada mazhab Sunni di bawah kepimpinan
Kerajaan Abbasiyyah (567H).
ERA OTHMANIYYAH
Selepas kejatuhan Baghdad pada tahun 656H / 1258M, kepimpinan umat Islam
telah diambil alih oleh Khilafah Turki Othmaniyyah yang diasaskan pada
tahun 1299M. Ketika pemerintahan Othmaniyyah berada di kemuncak
kegemilangan mereka, wilayah Parsi telah menyaksikan kemunculan kerajaan
Syiah Safavid yang diasaskan oleh Shah Ismail I pada tahun 1500. Buat
kali pertamanya, tanah air Parsi telah diisytiharkan secara rasmi
menganut fahaman Syiah sebagai mazhab rasmi.Sejarah telah memperlihatkan
sekali lagi sikap Syiah yang sentiasa memusuhi Ahli Sunnah. Kerajaan
Safavid telah melancarkan propaganda menghasut penduduk wilayah
Othmaniyyah di timur supaya bangkit memberontak. Malah mereka juga
bekerjasama dengan Hapsburgs dari Austria untuk menentang Kerajaan
Othmaniyyah. Dalam pada itu, Mesir yang ditadbir oleh kerajaan kecil
Mamluki yang mengambil alih pemerintahan dari Ayyubiyyin, turut
bekerjasama dengan Safavid menentang Othmaniyyah.Sesungguhnya krisis
ratusan tahun di antara Safavid Syiah di Iran terhadap Kerajaan
Othmaniyyah telah banyak memberikan implikasi negatif kepada
perkembangan kuasa Othmaniyyah yang mewakili Ahli Sunnah itu. Sultan
Abdul Hamid II (Khalifah Daulah Othmaniyyah 1876 – 1908 ) pernah
berkata, “Sesungguhnya permusuhan di antara Kerajaan Safavid (Syiah) dan
Othmaniyyah (Sunni) tidaklah untuk kepentingan umat Islam bahkan untuk
kemaslahatan kufur dan kaumnya...”ERA PASCA OTHMANIYYAHDi ambang
kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, perjuangan Imam Syamil di Daghistan
menentang Russia turut menghadapi konspirasi golongan Syiah yang
sentiasa menjadi gunting di dalam lipatan. Mereka akan sentiasa berpihak
kepada kuasa yang dirasakan boleh menang dan menjamin kepentingan
Syiah.Hal ini menjadi lebih kronik selepas perjanjian Sykes-Picot
ditandatangani pada 16 Mei 1916. Tanah air umat Islam yang dirampas dari
Khilafah Othmaniyyah telah di’faraidh’kan oleh Britain dan Perancis
mengikut kehendak mereka. Peta-peta sempadan negara baru dilukis dengan
mengambil kira strategi yang diyakini boleh mengekalkan kelemahan umat
Islam. Bangsa Kurdi sinonim dengan Salahuddin al-Ayyubi berserta rekod
bersih mereka terus setia bersama kerajaan Othmaniyyah, telah
ditempatkan sebagai kaum minoriti di semua negara. Sykes-Picot telah
melukis peta secara bengkang bengkok supaya bangsa Kurdi menjadi kaum
minoriti di Turki, Syria, Iraq, Iran dan Armenia. Ini akan melemahkan
mereka dan membolehkan pengaruh mereka dibunuh.Malah sejumlah besar
penganut Syiah menjadi penduduk Iraq yang Sunni dan begitu juga, Ahli
Sunnah menjadi warga Iran yang didominasi oleh Syiah. Semuanya bertujuan
untuk melemahkan umat Islam sedunia.Namun Syiah terus berkembang dengan
sikap pragmatik mereka, turut memainkan peranan yang penting sehingga
tercetusnya peperangan Pakistan Barat dan Pakistan Timur pada tahun
1971.
ERA REVOLUSI IRAN
Tahun 1978 / 1979 telah menyaksikan kebangkitan besar-besaran pengaruh
Syiah di bawah kepimpinan Ayatullah Khomeini menjatuhkan kepimpinan
diktator Shah Iran, Muhammad Reza Pahlavi. Pengisytiharan Khomeini
terhadap penubuhan Republik Islam Iran bagi menggantikan kerajaan Shah
Iran, dilihat oleh dunia sebagai pencetusan suatu momentum besar
terhadap kebangkitan semula kuasa Islam di dunia.Namun, penelitian yang
dibuat terhadap Republik Islam Iran telah memperlihatkan realiti yang
berbeza. Ia adalah sebuah kebangkitan yang amat khusus mewakili kelompok
Syiah Imamiah semata-mata tanpa sebarang perkongsian visi dan misi
dengan Sunni.Al-Marhum Said Hawwa yang memimpin gerakan Islam di Syria
telah berkunjung ke Iran untuk bertemu sendiri dengan Khomeini dan
meneliti sejauh mana Khomeini serius di dalam usahanya membebaskan bumi
Palestin yang terjajah. Akan tetapi, hakikatnya adalah sangat
mengejutkan. Bagi Said Hawwa, Khomeini dan Revolusinya itu, hanyalah
lanjutan kepada makar Syiah yang dusta. Sekembalinya beliau dari Iran,
Said Hawwa telah menulis sebuah makalah bertajuk al-Khomeiniyyah –
Syudzuz fi Al-‘Aqaid wa Al-Mawaqif (Khomeinisma: Keganjilan Pada Aqidah
dan Pendirian Politik). Khomeini telah melanjutkan celaan Syiah terhadap
para Sahabat malah peminggiran secara berpelembagaan terhadap ajaran
Ahli Sunnah dan identiti selain Syiah telah dilakukan secara
terang-terangan.Said Hawwa telah menghuraikan dengan terpeinci segala
perkembangan semasa golongan Syiah pasca Revolusi Iran di tanah air umat
Islam. Hakikat Hizbullah dan Harakah Al-Amal, perkembangan di Lubnan,
Syria, Turki, Pakistan dan India, pemisahan Pakistan Timur (Bangladesh),
bahkan mengunjur hingga ke Afrika, semuanya menggambarkan siapakah
sebenarnya pendukung Khomeinisma dan apakah hakikat mereka. Catatan
paling hitam peperangan Iran – Iraq telah meninggalkan kesan yang amat
mendalam kepada kekuatan umat di rantau berkenaan.Beliau juga
menjelaskan tentang kerjasama-kerjasama sulit Iran dengan negara-negara
seperti Libya, Lubnan, bahkan dengan Israel dan Soviet Union. Said Hawwa
menekankan tentang lawatan berterusan wakil-wakil kerajaan Soviet Union
ke Iran yang mana semua itu bercanggah sama sekali dengan
laungan-laungan Khomeini di era Revolusi Iran yang
diperjuangkannya.Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk
menghadapi gejala ini, bahkan kebangkitan Umat Islam juga mengalami
kerugian akibat penglibatan Syiah di dalam gelanggang kebangkitan umat.
Anasir-anasir kekuatan umat Islam banyak dipengaruhi Syiah lantas
kelebihan itu tersalur ke arah yang bukan membawa kepada matlamat
sebenar perjuangan umat, bahkan ke arah kepentingan Syiah semata-mata.
Penampilan proses perlaksanaan Islam yang salah berlaku di Iran, apabila
perlembagaan Iran mengaktakan mazhab sebagai dasar negara.Jika
sebahagian Syiah bersikap melampau di dalam prinsip taqiyyah
(berpura-pura) mereka, kini di era Khomeini dan Revolusi Iran, taqiyyah
itu menjangkau kepada penglibatan senjata api. Di suatu masa, Khomeini
melaungkan penentangannya terhadap penguasaan Yahudi di Palestin tetapi
di dalam masa yang sama, mengadakan kerjasama sulit dengan pihak musuh
itu dan memberikan kemaslahatan kepada mereka.
PERTEMBUNGAN DI MASA HADAPAN
Sikap luar biasa Syiah yang memperlihatkan kecurigaan di sepanjang zaman
tidak memungkinkan kita untuk meletakkan sebarang harapan dan simpati.
Malah perkembangan di Iraq pasca serangan Bush, mendedahkan kepada kita
betapa lunaknya Syiah dengan sebarang peluang yang membolehkan mereka
berkuasa, walaupun di atas kebinasaan orang lain.Hal ini bakal
menyulitkan lagi usaha untuk tidak mengaitkan Iran dengan fitnah umat
Islam di akhir zaman kerana hadith ke 2944 di dalam Sahih Muslim
menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Dajjal itu akan
keluar dengan diikuti bersamanya Yahudi dari Esfahan (sebuah wilayah di
Iran) seramai 70 ribu, mereka itu memakai Tayalisah (jubah-jubah yang
besar)”.Apakah kesudahan pengkhianatan Syiah terhadap Ahli Sunnah?
Semuanya di dalam pengetahuan Allah. Namun, untuk melihat mereka sebagai
sandaran harap, tiada catatan sejarah yang menyokong, malah apa yang
berlaku adalah sentiasa sebaliknya.Semoga Allah menyelamatkan kita semua
daripada kekeliruan di zaman yang serba mencabar ini.
No comments:
Post a Comment