Tuesday, October 2, 2012

Air Kehidupan Nabi Khidir dan Jack Sparrow


Filem ke-4 dari Jerry Bruckheimer ini menampilkan satu kelainan dalam corak misi jalan cerita. Skrip asal filem ini berasal dari novel bertanjuk On Stranger Tides tulisan Tim Powers. Kemudian olahan novel ke bentuk skrip dilakukan oleh Ted Elliott dan Terry Rossio.
Filem yang menelan belanja USD250 juta dollar ini mencapai anugerah Box Office yang mencatat keuntungan sebanyak $1 billion bagi kutipan seluruh dunia.
Kesepakatan Ulama Bahawa Khidir Tidak Mati dan Berumur Panjang
Nabi Khidir a.s. Sememangnya berumur panjang dan masih hidup sehingga sekarang. Walaupun ada sebahagian ulama’ masih mempertikaikannya tetapi majoriti ulama-ulama muktabar seluruh dunia semenjak zaman tabiin bersepakat bahawa Nabi Khidir masih hidup.
Imam Nawawi dalam kitab syarahnya menyebut;
”Sesungguhnya telah berlaku perselisihan di kalangan ulama’ mengenai hidupnya Khidir a.s. Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Khidir itu masih hidup lagi wujud di persekitaran.
Tambah Imam Nawawi lagi, ”Pendapat ini telah disepakati dikalangan ulama’-ulama Tasawuf, para soleh dan ahli-ahli ma’rifat (wali Allah). Cerita-cerita daripada mereka bahawa mereka pernah melihatnya, bertemu dengannya, mengambil ilmu daripadanya, bersoal-jawab dengannya dan cerita-cerita tentang kewujudannya di tempat-tempat yang mulia dan di persekitaran yang baik, terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu masyhur.” (Tahzib Asma’ Wa al-Lughaat, jilid 1/176, Syarah Sahih Muslim jilid 10/135-136).
Manakala seorang ulama Tafsir, Abu Ishak al-Tha’labi berkata, ”Ada sesetengah ulama berpendapat sesungguhnya Khidir tidak akan mati melainkan hanya pada akhir zaman aiaitu ketika diangkatkan al-Quran. (Fathul al-Baari, Jilid 6, ms 310)
Imam al-Yafie menegaskan dalam kitabnya, ”Apa yang aku telah sebut bahawa Khidir masih hidup merupakan pendapat yang juga telah diputuskan kebenarannya oleh para wali Allah dan telah dikuatkan kesahihannya oleh ulama’ Feqah, Ulama’ Usuluddin dan kebanyakan Ulama’ Hadith dan pendapat ini juga telah tersebar dikalangan orang ramai.” (Nasyru al-Mahasin al-Ghaaliah, ms 395-396)
Dua Pendapat Bagaimana Khidir Berumur Panjang
Di dalam kitab terdapat pelbagai versi cerita bagaimana Nabi Khidir boleh berumur panjang. Secara ringkasnya, ulama berpendapat bahawa Khidir berumur panjang berdasarkan dua sebab:
Pendapat Pertama;- Sebahagian ulama’ berpandangan umur Khidir panjang kerana kesan dari doa Nabi Adam a.s. yang mana sebelum baginda mangkat, baginda berdoa kepada Allah SWT agar memanjangkan umur orang yang telah mengambil tugas mengkebumikan jenazahnya. Dalam hal ini, Nabi Khidir dikatakan orang yang bertanggungjawab mengkebumikan Nabi Adam.
Pendapat Kedua;- Ada sebahagian ulama’ lain mengatakan Khidir telah panjang umurnya kerana minum air dari mata air kehidupan. Dari itu, baginda kekal hidup sehingga sekarang.
Pendapat Pertama: Doa Nabi Adam a.s.
Dalam riwayat Ibnu Ishak telah menyebutkan bahawa apabila sampai saat kewafatan Nabi Adam a.s., baginda telah mengkhabarkan kepada semua anak-anaknya bahawa taufan akan melanda. Baginda berpesan, sekiranya taufan berlaku hendaklah dibawa jasadnya itu menaiki kapal Nabi Nuh a.s. bersama-sama mereka dan kemudian dikebumikan di suatu tempat yang telah ditentukan.
Tidak berapa lama kemudian taufan pun melanda, maka Nabi Nuh .a.s. memerintahkan anak-anak Nabi Adam a.s. Membawa jasad bapa mereka ke atas kapal untuk dikebumikan di tempat yang telah diwasiatkan. Namun begitu mereka semua berasa takut kerana tiada tempat yang selamat untuk dikebumikan. Sehinggalah muncul Nabi Khidir maka barulah jasad Nabi Adam selamat dikebumikan.

Namun begitu, riwayat ini agak musykil kerana tedapat khilaf umur di antara Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Khidir dan anak-anak Nabi Adam sendiri yang boleh dipertikaikan.
Imam al-Aalusi menyebut, ”Inilah sebabnya mengapa dipanjang umur Khidir dan kalau sebab ini tidak dapat dipastikan kebenaran riwayatnya maka sebab lainnya yang masyur ialah umurnya menjadi panjang kerana terminum mata air hidup. (Imam al-Alusi, Ruuhu al-Maani, jilid 15, ms 322)
Ibnu Kathir pula dalam kitabnya Al-Bidaayah wa Nihayah menyebutkan bahawa pengkebumian jasad Nabi Adam oleh Khidir selepas taufan yang menyebabkan panjang umur adalah riwaayt yang jauh dari kebenaran. (Ibnu Kathir, Bidayah wa Nihayah, Jilid 1, ms 326)

Pendapat Kedua : Telaga Mata Air Hidup
Kisah air dari telaga ini adalah berdasarkan dari Tafsir Nasafi yang mengandungi sebuah hadith yang menyebut,
”Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menceritakn tentang sebab musafirnya Zulqarnain dengan sabdanya; ”Pada mulanya Zulqarnain teah terbaca di dalam beberapa kitab kenyataan bahawa salah seorang daripada anak-anak Sam bin Nuh akan meminum air mata kehidupan. Lantaran itu, dia pun dipanjangkan umurnya dan berterusan hidup. Dengan sebab itu, maka Zulqarnain pun bermusafir kerana mencari air mata hidup itu.”
”Ketika itu uga, Nabi Khidir adalah menteri dan anak saudara (kepada Zulqarnain). Suatu ketika Khidir terlebih dahulu menemui mata air hidup dan berpeluang meminumnya. Lalu Khidir pun meminum air mata hidup itu sebelum sempat Zulqarnain berpeluang minum.”



Dalam versi lain pula menceritakan Zulqarnain telah terbaca di dalam beberapa kitab bahawa salah seorang anak Sam bin Nuh akan meminum air dari mata air laut yang datang dari syurga. Selepas itu, dia akan dipanjangkan umur sehingga kiamat.
Disebabkan itu, Zulqarnain melakukan pengembaraan untuk mencari air mata hidup tersebut. Namun Khidir lebih dahulu menemui air tersebut dan meminumnya serta berwudhu dengannya. Riwayat ini disebutkan oleh al-Maqdisi.
Manakala dalam kitab Fathul Baari pula menyebut bahawa Zulqarnain mengetahui tentang telaga air mata hidup tersebut melalui salah seorang malaikat selepas beliau bertanya cara untuk memanjangkan umur. Selepas keluar mengembara akhirnya Khidir yang sampai dahulu dan berjaya meminumnya. Selepas itu, Zulqarnain tidak berhasil lagi menemui telaga air mata tersebut. (Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani, Fathul al-Baari, Jilid 6, ms 310)
Namun begitu, harus diingat semua riwayat-riwayat ini berkemungkinan besar dari cerita-cerita Israeliyyat dan kemungkinan terdapat tokok-tambah yang keterlaluan. Ia bukanlah bermaksud para ulama-ulama besar dahulu tidak menapis cerita dalam kitab-kitab mereka tetapi ia adalah untuk pengetahuan ilmu bagi umat yang akan datang. Maka adalah menjadi tanggungjawab umat sekarang mendalaminya.
Maka jelaslah di sini, bahawa filem tersebut meniru cerita Nabi Khidir yang telah diriwayatkan begitu lama sekali sama ada dari pihak ulama-ulama Israeliyyat atau ulama Islam.

No comments:

Post a Comment