.
Bumi Iraq sebagai tempat lahirnya ajaran Syiah telah menjadi saksi pertumbuhan dan perkembangan ajaran tersebut dari gerakan politik kepada gerakan aqidah berasaskan benih-benih kesesatan yang telah ditaburkan oleh pengasas ajaran mereka, Abdullah bin Saba’ anak Yahudi dari Yaman. Ibn Saba’ merupakan orang pertama mengasaskan teori kepimpinan menerusi keturunan Ali yang kemudiannya teori ini telah dimajukan lagi oleh orang-orang Syiah dengan pemikiran bahawa imamah hanya terhad kepada keturunan Husein sahaja. Selepas Husein terbunuh kelompok Syiah Sabaiyyah telah mula berpecah belah dan berkembang menjadi kumpulan yang begitu komitmen terhadap aqidah yang disebarkan oleh Ibn Saba’. Ini kerana kematian Husein telah menyebabkan golongan mereka ketandusan tokoh untuk disandarkan sebagai ketua menyebabkan mereka mencari-cari keturunan Ali yang masih hidup.
Mengisi kekosongan ini, muncul Mukhtar bin Abi Ubayd al-Thaqafi semasa dengan pemberontakan Ibn al-Zubayr pada masa pemerintahan Abdul Malik bin Marwan, memimpin kaum Syiah dengan meminda teori kepimpinan mulanya dari Ali kepada Hasan dan Husein dipindahkan kepada Muhammad bin Ali (al-Hanafiyyah, anak Ali bukan menerusi Fatimah). Kumpulan yang dipimpin oleh Mukhtar ini disebut sebagai Syiah Kaisaniyyah. Pemberontakan Mukhtar untuk membela kematian Husein telah diumumkan di atas nama Muhammad bin Ali al-Hanafiyyah yang sebenarnya diragui menyokong gerakan ini. Mukhtar menubuhkan tenteranya terdiri daripada kurang 12,000 orang yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut Ali di Kufah selain kelompok tawwabun dan kelompok Syiah yang dipimpin oleh Ibrahim bin al-Ashtar (M.A Shaban : 1984 : 122-123).
Selepas kematian Muhammad bin Ali jawatan Imam telah dipindahkan kepada Abi Hasyim Abdullah. Selepas kematiannya, menyaksikan berlaku pergolakan dalaman di kalangan pengikut-pengikut Syiah dengan muncul pelbagai kumpulan seperti Alawiyah, Abbasiyyah, Talibiyyah, Fatimiyyah, Hasaniyyah, Husainiyyah, Zaydiyyah dan Ja’fariyyah yang mendakwa masing-masing menerima wasiat daripada Abi Hasyim. Mengapa perpecahan ini berlaku? Bukankah syiah Imamiyyah mendakwa imamah sebagai rukun pertama ajaran mereka adalah berpegang kepada imamah 12 imam yang telah diisyaratkan oleh nas agama mereka menerusi lisan-lisan imam mereka yang maksum? Sebenarnya inilah bukti bahawa aqidah imam 12 ini adalah palsu dan rekaan hawa nafsu orang-orang Syiah untuk memperkudakan para keturunan nabi yang mulia.
Pada permulaan kurun ke-2 Hijrah, berlaku perubahan dalam pemikiran Syiah mengenai jawatan Imam iaitu menghadkan jawatan Imam kepada keturunan Husein dengan memilih anak yang tertua dari Imam yang sebelumnya dan menetapkan sifat maksum pada individu tersebut. Husein menjadi subjek kerana sejarah tragisnya di lembah Kufah dan beliau telah mengahwini keturunan Parsi, sebab yang menjadikan Husein lebih popular di wilayah Iraq yang sebahagiannya terdiri dari wilayah dan orang-orang Parsi. Aqidah ini dikembangkan lagi dengan ijtihad menetapkan keutamaan pada Imam dengan sifat-sifat seperti ketinggian ilmunya dan tidak harus memilih imam yang bukan maksum atau jahil dan telah didahului oleh abangnya yang lebih tua. Doktrin ini terus berkembang, di mana keturunan Husein mendominasi pemilihan jawatan Imam dengan alasan perlantikan tersebut daripada Allah berdasarkan nas-nas bagi menolak konsep penentuan secara pilihan dan pemilihan berbentuk syura. Orang-orang Syiah telah menggunakan hadis ghadir khum dan hadis al-thaqalayn bagi menetapkan jawatan Imam mereka.
Masalahnya golongan Syiah lain tidak boleh menerima pemilihan berdasarkan nas-nas tersebut, umpamanya segolongan dari mereka memilih keturunan Hasan bin Ali sebagai imam mahdi mereka. Kelompok al-Hasaniyyah menyatakan jawatan imam selepas Hasan bin Ali berada di tangan Hasan al-Muthanna secara wasiat dari bapanya. kemudian berpindah kepada Abdullah bin Hasan al-Muthanna dan anaknya, Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan saudara Muhammad, Ibrahim bin Abdullah. Kumpulan ini muncul pada tahun 195H. Dari penyokong Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah lahir pula pecahan al-Nafsiyyah yang mendakwa Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah tidak mati, sedang ghaib dan akan muncul semula.
Sementara doktrin penetapan jawatan imam dari keturunan Husein telah berkembang di kalangan orang-orang Syiah dengan larangan memilih pengganti imam dari kalangan saudaranya atau anak saudara atau bapa saudara atau sepupu kepada imam sebelumnya kerana akan bertentangan dengan nas-nas tersebut. Aqidah ini telah meminggirkan keturunan Hasan sama sekali sebagai imam Syiah. Kerana dosa Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah menyebabkan beliau tidak lagi popular di kalangan orang-orang Syiah. Dosa Hasan tersebut sangat besar kepada aliran Syiah kerana tindakannya menyerahkan jawatan imam atau khalifah kepada Muawiyah itu telah pun membatalkan aqidah Syiah itu sendiri ! Sekali gus menolak konsep imamah secara Ilahi yang dusta dan batil tersebut. Dosa khalifah Hasan itu juga telah menyingkirkan sifat maksum yang diletakkan kepada dirinya sebagai ciri khusus sebagai imam untuk orang-orang Syiah. Bagi menutup peluang anak keturunan Hasan, maka ulama’-ulama’ mujtahid Syiah lampau terpaksa menggunakan nas-nas agama serta melakukan tafsiran dan takwilan mengikut kehendak hawa nafsu golongan mereka dengan menggunakan sokongan hadis-hadis palsu yang sengaja direkacipta. Keturunan Hasan nyata teraniaya dalam konsep imamah secara nas atau penetapan secara Ilahi (kehendak Tuhan) yang palsu tersebut. Syiah bukan sahaja sebuah aqidah rekaan dan rapuh bahkan menzalimi Imam (Hasan) mereka sendiri.
Persoalan imamah tidak selesai dengan menghadkan kepada keturunan Husein sahaja. Ali bin al-Husein memiliki dua orang anak yang menonjol, Muhammad al-Baqir dan Zayd bin Ali bin al-Huseyn. Kedudukan Al-Baqir telah dipergunakan oleh pendamping-pendampingnya yang buruk perangainya bagi meneruskan pemikiran yang telah diasaskan oleh Ibn Saba’ yang menjadi tunjang aqidah Syiah sehingga hari ini. Zayd pula terselamat dari golongan tersebut kerana enggan terlibat sama mencaci tokoh sahabat nabi yang utama dan mengetuai kumpulan Syiah yang lain yang dikenali sebagai Zaydiyyah. Satu-satunya cara kelompok Imamiyyah bagi mempertahankan kedudukan Imam al-Baqir sebagai ketua bagi kelompok penerus aqidah neo-Sabaiyyah ialah dengan membatalkan keimaman Zayd kerana bertentangan aqidah berteraskan nas dan takwilan palsu dan rukun kelompok Syiah imamiyyah. Persoalannya apakah Zayd anak kepada Imam al-Sajad mengingkari akidah bapanya sebagai Imam kelompok Imam Dua Belas? Atau sebenarnya Imam al-Sajjad sendiri tidak mengetahui siapa di kalangan anaknya yang bakal menjadi Imam dan aqidah imamah secara nas ini adalah rekaan hawa nafsu semata-mata bagi memperkudakan para keturunan ahli keluarga nabi yang mulia. Kumpulan al-Baqiriyyah yang menyokong Imam al-Baqir menyandang jawatan Imam meyakini al-Baqir tidak mati dan menjadi imam mahdi yang ditunggu-tunggu.
Persoalan apakah Imam al-Sadiq layak menggantikan al-Baqir sebagai imam teruji dengan kemunculan kumpulan al-Hadiriyyah yang meyakini anak al-Baqir dan saudara al-Sadiq yang bernama Zakariyya sebagai Imam dan bersembunyi di Bukit Hadir. beliau dikatakan tidak akan muncul sehinggalah diizinkan kepadanya. Kumpulan menerima pegangan ini diberi nama al-Hadiriyyah.
Sementara golongan Syiah yang mengakui imam dipegang oleh Baqir sehingga Ja’far al-Sadiq ialah kumpulan al-Hakamiyyah atau al-Hishamiyyah pengikut Hisham bin al-Hakam yang muncul pada 109H iaitu kumpulan pertama mendakwa jawatan imam berada di tangan anak-anak Husein sehingga Imam Ja’far al-Sadiq. Dari pecahan ini muncul kumpulan al-Salimiyyah yang turut dikenali sebagai al-Jawaliqiyyah, iaitu pengikut Hisham bin Salim al-Jawaliqi yang hanya berbeza dalam persoalan mentajsimkan Allah pada tahun 113H. Semasa dengan kemunculan ini ialah kelompok Syiah Shaytaniyyah yang merupakan pengikut Shaytan al-Taq yang mendakwa jawatan Imam berpindah sehingga kepada anak al-Sadiq, iaitu Musa al-Kazim.
Kumpulan al-Zurariyyah yang muncul pada tahun 145 H, pengikut Zurarah bin A’yun memilik pandangan yang sama dengan al-Hakamiyyah mengambil sikap yang serupa dengan Salimiyyah atau Jawaliqiyyah dalam masalah ketuhanan Allah. Serentak dengan kemunculan al-Zurariyyah pada tahun 145 H ialah tiga kumpulan pengikut Yunus bin Abdul Rahman al-Qummi iaitu al-Badaiyyah, al-Mufawwadhah dan al-Yunusiyyah yang sepakat dengan kumpulan al-Hakamiyyah, al-Salimiyyah dan al-Zurariyyah cuma turut mengalami masalah pemikiran dalam persoalan ketuhanan. Kumpulan al-Nawusiyyah, iaitu pengikut Abdullah bin Nawus al-Basari lebih radikal telah menghadkan Imam mereka kepada al-Sadiq sahaja yang mereka yakin tetap hidup secara ghaib dan menjadi Imam Mahdi untuk golongan mereka.
Imam Ja'far al-Sadiq turut mengalami nasib yang sama. Anak-anaknya menjadi punca perpecahan kelompok Ismailiyyah dan kumpulan-kumpulan yang lain yang mendukung evolusi doktrin Imamiyyah. Kelompok Shaytaniyyah, iaitu pengikut Shaytan al-Taq merupakan golongan terawal mendukung teori perpindahan jawatan Imam sehingga Musa al-Kazim secara wasiat. Kumpulan al-Ammariyyah memilih untuk menjadikan Muhammad bin Ja'far al-Sadiq sebagai imam mereka selepas kematian al-Sadiq dan doktrin tersebut muncul pada tahun 145 H.
Sementara penyokong Ismail bin Ja'far al-Sadiq telah berpecah menjadi beberapa kumpulan iaitu al-Mubarakiyyah, al-Batiniyyah dan al-Qaramitah dan beberapa kumpulan lain. Kumpulan al-Mubarakiyyah ialah pengikut Ismail bin al-Sadiq, anak tertua kepada al-Sadiq myakini Ismail sebagai Imam mereka dan merupakan calon paling layak menjadi Imam seperti syarat perlantikan imam yang diwujudkan pada peringkat awal pertumbuhan doktrin imamah bagi kelompok Syiah. Kumpulan ini meletakkan Muhammad bin Ismail sebagai pengganti Imam setelah kematian Ismail dan beliau dianggap sebagai Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Sementara golongan al-Batiniyyah mendukung pemikiran yang sama cuma menetapkan kewajipan beramal dengan tafsiran secara batin kepada ayat-ayat al-Quran.
Manakala kumpulan al-Qaramitah merupakan pengikut Hamdan bin Qirmit muncul pada 270 H menyakini Ismail bin Ja’far tidak mati dan menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. Kumpulan al-Maimuniyyah, pengikut Abdullah bin Maymun al-Qadah al-Ahwazi turut menyakini Ismail sebagai Imam mereka di samping mengharamkan beramal dengan zahir ayat al-Quran dan Sunah dan menolak hari akhirat, sama seperti kumpulan al-Khalfiyyah. Perbezaan kedua-dua kumpulan ini dengan pengikut Muhammad bin Ali al-Burqu'ie (kumpulan al-Burqu'ie) ialah kumpulan terakhir ini menolak kenabian beberapa nabi yang telah diutuskan oleh Allah s.w.t. Paling menakjubkan kumpulan al-Syamitiyyah, iaitu pengikut Yahya bin Abi al-Syamit berpegang kepada imamah berada di tangan lima anak Imam al-Sadiq iaitu Ismail, Muhammad, Musa al-Kazim, Abdullah al-Aftah dan Ishaq.
Kelompok Ismailiyyah terpaksa menjadi sesat kerana imam mereka meninggal dunia sehingga terpaksa mencari Imam Mahdi di kalangan mereka sendiri. Nas-nas palsu dan takwilan batil tentang teori "perlantikan secara Ilahi" terpaksa diwujudkan bagi menonjolkan Musa al-Kazim sebagai ketua kelompok Imamiyyah dan menyambung warisan Ibn Saba’ untuk menjelmakan Imam Mahdi versi mereka di penghujungnya. Di sini muncul beberapa persoalan ; jika imamiyyah menyandarkan mazhab mereka kepada Ja’far al-Sadiq yang menetapkan Musa sebagai imam selepasnya, mengapakah Ismail tidak mengetahui sehingga membiarkan dirinya menjadi Imam untuk kelompoknya sehingga beliau wafat? Apakah Ismail tidak mengetahui ajaran ayahnya atau ayahnya bertaqiyyah menyembunyikan ajarannya dari Ismail takut berkecil hati jika mengetahui beliau tidak terpilih menjadi imam? Kelompok Ismailiyyah merupakan salah satu kelompok Syiah terbesar dalam sejarah Islam dan sekutu paling rapat kepada Imamiyyah dalam upacara ritual dan pegangan aqidah mereka. Mereka gagal mencari imam mahdi sehingga terpaksa menuhankan raja-raja dan pemerintah mereka.
Perpecahan yang sangat besar selepas kematian al-Sadiq telah menerjunkan semua kumpulan Ismailiyyah, Aftahiyyah, Ishaqiyyah, Sabiyyah dan Janabiyyah ke dalam kesesatan mencari pengganti al-Sadiq kerana kelompok Syiah Ja’fariyyah tidak mengiktiraf keimanan mereka yang menolak aqidah imamiyyah secara nas. Dalam menetapkan Musa al-Kazim sebagai pengganti yang sah seperti anutan Syiah Imamiyyah Ja’fariyyah muncul beberapa kumpulan yang lain dalam proses evolusi doktrin tersebut. Kumpulan al-Mufaddhaliyyah (al-Qat’iyyah) pengikut Mufadhdahl bin Umar telah menghadkan jawatan imam hanya pada Musa al-Kazim sahaja. Kumpulan al-Mamturiyyah menganggap Musa tidak mati dan sebagai mahdi yang ditunggu-tunggu. Demikian juga kumpulan al-Musawiyyah yang tidak menyakini kematian Musa al-Kazim dan kerana itu mereka tidak memindahkan jawatan imam kepada anak-anaknya. Pegangan yang sama berlaku dalam kumpulan al-Raj’iyyah. Berlainan dengan kumpulan yang lain satu kelompok pengikut al-Ahmadiyyah meyakini Ahmad bin Musa al-Kazim sebagai imam mereka.
Pada tahun 250 H, satu kelompok manusia menemui Musa al-Kazim dan menjerit dengan suara yang tinggi ke arahnya : Kamulah yang Allah terlupa dalam urusan penentuan jawatan imam itu. Iaitu mereka memaksudkan mereka tidak mengiktiraf imamah Ismail bin Ja’far sebagai Imam dan memilih Musa sebagai imam mereka. Kumpulan ini kemudiannya memilih Ali al-Ridha sebagai imam selepas ayanya, al-Kazim dan seterusnya memindahkan jawatan tersebut kepada anaknya Muhammad al-Taqiy al-Jawwad dan anaknya Ali al-Naqi al-Hadi dan anaknya, Hasan al-Askari. Mereka meyakini Muhammad bin al-Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu yang ghaib dan akan kembali semula ke dunia setelah dunia dipenuhi dengan kekejaman. kelompok inilah yang dikenali sebagai Ithna Ashariyyah atau Syiah Imam Dua Belas.
Sebenarnya kematian al-Askari menimbulkan perpecahan yang besar di kalangan kelompok ini. Muncul satu kumpulan lain mengangkat Ja’far saudara Hasan al-Askari menjadi Imam kerana perselisihan mereka sama ada al-Askari meninggalkan anak atau tidak. Sebahagian mereka berkata imam tidak meninggalkan zuriat lalu memilih saudara hasan al-Askari, Ja’far bin Ali al-Naqi sebagai imam. Kumpulan ini dikenali sebagai al-Ja’fariyyah. Tindakan melantik Ja'far saudara Imam ke sebelas ini membuktikan ahli keluarga Imam al-Askari sendiri tidak pernah mengenal keturunannya bakal menjadi Imam Mahdi bagi kelompok mereka. Sebahagian yang lain menyatakan bahawa Imam terakhir itu dilahirkan tetapi mati semasa kecil atau telah dibunuh secara senyap-senyap oleh perisik kerajaan Abbasiyyah.
Usaha pencarian yang berlaku selepas kematian Imam al-Askari membuktikan pengganti Imam sebenarnya tidak ditentukan dan terpaksa ditentukan selepas kematian Imam sebelumnya. Imam terakhir itu lahir menerusi peha ibunya, kerana bapanya tidak mampu menghamilkan hambanya secara normal kerana mandul dan imam tersebut terpaksa menyembunyikan diri di dalam sebuah gua sebanyak dua kali kerana tidak berani untuk muncul bagi memberikan peluang kepada wakil-wakil kepada Imam Ghaib untuk menipu kaumnya dan orang-orang yang jahil seluruh dunia sehingga kiamat.
Ringkasnya, Islam menganjurkan kita memuliakan para keturunan nabi dan tidak menyandarkan kepada mereka perbuatan yang mereka tidak pernah lakukan. Penggunaan nama imam-imam yang mulia di atas pembohongan dan takwilan dusta aqidah imamah ini merupakan dosa besar dan kekufuran yang nyata kerana tidak mungkin perkara yang sudah jelas dan nyata sebagai aqidah Islam boleh diijtihad sesuka hati bagi mencapai matlamat yang telah digariskan oleh anak Yahudi Ibn Saba’. Aqidah imamah ini telah memperlekehkan kedudukan Sayyidina Hasan dan imam Ahli Bayt yang lain dengan meletakkan mereka pada tahap yang sangat hina dan menjadi kuda tunggangan semata-mata.
Selain itu, berlaku pencarian demi pencarian untuk pengganti Imam membuktikan aqidah imamah sebenarnya bukanlah satu doktrin atau teori wasiat berdasarkan nas Ilahi. Setiap imam tidak menentukan penggantinya sehingga menimbulkan perpecahan yang besar di setiap peringkat susur galur imam. Nyatanya aqidah imamah adalah palsu dan rekaan kelompok yang menyambung perjuangan Abdullah bin Saba’ pada zaman pemerintahan Sayyidina Ali sebagai khalifah umat Islam. Benarlah kenyataan ulama’ besar Syiah kurun ke-3H, iaitu al-Nawbakhti dalam kitabnya Firaq al-Shiah, bahawa Syiah adalah berasal dari pemikiran dan ajaran agama Yahudi.
No comments:
Post a Comment