Thursday, February 23, 2012

SEJARAH PENUBUHAN SENOI PERAAQ

The Malay Mail Dated 17th November 1959

“Aborigines Set A Record Youngest Regiment But 2nd Higest Number Of Kills”


It's all been proven by statistics the Federations youngest military output, the second year old Senoi Peraaq has the record best bandit hunting record in the whole of the Emergency Campaign.
Worked out on an annual basis, their average bandit elimination stands at 16 a year only by the Second Malay Regiment with 19. Most SF units had to rely on Speacial Branch for their info. The Senoi Peraaq went out and got all the info they needed themselves.


The Malay Mail Dated 4th March 1959

"Aborigines Take Over From S.A.S"


Four Squadrons of Senoi Peraaq aborigines comprising about 200 mens take over this month the duties which has been carried out since the emergency began by the SAS Regiment. Thier role has been to penetrate teh jungle, to protect the aborigines and prevent them from dominition bye the terrorists.

Semenjak zaman darurat, kawasan pedalaman dan hutan-hutan tebal di Negara ini telah dijadikan markas dan tempat perlindungan oleh Pengganas Komunis untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka dengan tujuan untuk melancarkan propaganda anti Kerajaan serta bertujuan untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan yang memerintah dengan kekerasan. Kawasan ini mereka jadikan sebagai tempat persembunyian dan perlindungan daripada Pasukan Keselamatan.

Pengganas Komunis telah menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan tersebut bagi mendapatkan sokongan dan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan logistik. Selain daripada itu hasil hubungan ini Pengganas Komunis mendapat sumber risikan pergerakan Pasukan Keselamatan dan untuk memperolehi keanggotaan bari di kalangan masyarakat Orang Asli sendiri.


Hasil daripada dakyah dan propaganda yang mereka sebarkan menyebabkan masyarakat Orang Asli terpaksa member kerjasama bagi menyokong pergerakan mereka. Kejayaan mendapatkan sokongan daripada masyarakat Orang Asli adalah disebabkan faktor Orang Asli mudah dipengeruhi, hanya dengan sedikit ganjaran selain Pengganas Komunis selalu mendampingi mereka menyebabkan mereka cepat terpengaruh. Oleh sebab itu pihak British ketika itu telah mengambil tindak balas yang drastik dan ini pada pendapat mereka hanya akan berhasil sekiranya dilakukan oleh Orang Asli sendiri. Pihak British telah melantik Leftenan Colonal R.O.D. Noone pada ketika itu adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) untuk menubuhkan satu unit percubaan Pasukan Khas Orang Asli bagi tujuan tersebut.

PENUBUHAN

Pada Mei 1956 di Kuala Lumpur Lt Col R.O.D. Noone telah menubuhkan satu unit yang dianggotai oleh 10 Orang Asli bekas Pengganas Komunis samada yang telah ditangkap atau menyerah diri kepada pihak berkuasa. Unit ini kemudiannya diberi gelaran ‘ Senoi Peraak’ yang bermaksud ‘Orang Perang’. Tugas utama mereka pada ketika itu menjalankan peninjauan jauh ke dalam hutan serta menjalankan operasi di kawasan perkampungan Orang Asli. Unit ini kemudiannya berjaya menarik minat 30 Orang Asli untuk menganggotai unit tersebut. Unit ini telah dilatih cara menggunakan senjatapi dan teknik peperangan di hutan oleh Pasukan ke-22 SAS (Speacial Air Service) British.


Antara tugas-tugas yang dijalankan seperti megumpul risikan daripada Orang Asli, menawan hati mereka supaya menyokong Kerajaan, menghapuskan musuh yang mempengaruhi pemikiran mereka, melindungi Orang Asli dan membantu JHEO menjalankan pentadbiran di perkampungan Orang Asli yang jauh dipendalaman.
Setelah tamat latihan Unit Senoi Peraaq ini telah berganding bahu dengan Pasukan Keselamatan yang terdiri daripada Pasukan SAS, 1 New Zealand Regiment dan lain-lain unit untuk menjalankan operasi membanteras Pengganas Komunis.


Pada tahun 1957, kumpulan ‘Tracker Combat’ ini telah mengeledah kawasan dari Jeli hingga ke Grik telah berjaya menjumpai dan membongkar sarang-sarang baru Komunis. Kejayaan ini adalah dengan kerjasama yang erat antara anggota-anggota Senoi Peraaq dengan anggota SAS. Pasukan ke-22 Regiment SAS telah mentauliahkan anggota-anggota Senoi Peraaq dengan ‘beret merah’ rejimen tersebut. Beret merah ini adalah lambing ‘kemegahan’ dan keunggulan anggota-anggota Senoi Peraaq hingga ke hari ini.


Anggota-anggota percubaan senoi Peraaq telah membuktikan keberanian dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi mereka kepada Kerajaan di samping kejayaan-kejayaan yang mereka telah perolehi, oleh itu bagi meluaskan lagi penugasan yang hendak dijalankan, pada bulan Januari 1958 kekuatan 4 Seksyen yang terdiri daripada 40 anggota telah diperbesarkan menjadi 4 Skuadron yang berjumlah 256 orang. Jumlah ini tidak termasuk ceraian satu pasukan kecil yang diserapkan ke Cawangan Perisikan Negeri Perak dan Kakitangan Awam yang berjumlah 113 orang. Nama Skuadron ini masih menggunakan Senoi Peraaq.


Pada 15 Mac 1959, Pasukan ke-22 SAS telah bertolak balik ke Britain, bermula dari tarikh itu Pasukan senoi Peraaq telah ditugaskan mengambil alih sepenuhnya kawasan operasi di pedalaman Negeri Perak. Pasukan ini tidak diklasifikasikan sebagai Pasukan tentera tetapi sebagai Pasukan Polis Bantuan. Pada tahunn 1960, Pasukan Senoi Peraaq telah dipisahkan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) dan ditempatkan terus di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Pengasingan ini tidak mengubah corak dan cara pentadbiran dan juga anggota yang masih berkhidmat dalam pasukan ini.



Penempatan yang asal di Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Orang Asli, Batu 12, Kuala Lumpur dipindahkan ke bekas perkhemahan Pasukan ke-22 Rejimen SAS di tapak perkhemahan Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur. Dari tempat itu berpindah ke Kem Lam Jung, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur.Pentadbiran Senoi Peraaq adalah do bawah JHEO dan tugas operasi pula adalah di bawah perintah dan kawalan pihak Tentera.


Pada Mac 1968, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan supaya pasukan ini di letakkan di bawah perintah dan kawalan PDRM. Penempatan yang asalnya di Kuala Lumpur telah dipindahkan ke Kroh, Perak dan diletakkan di bawah perintah dan kawalan Briged Utara, Pasukan Polis Hutan (PPH), Ulu Kinta, Perak.

PENUGASAN YANG PERNAH DILAKSANAKAN

1. Pada bulan Mac 1963, beberapa orang pegawai senoi Peraaq yang diketuai oleh Lt Col R.O.D. Noone telah berlepas ke Vietnam untuk member nasihat tentang penubuhan pasukan yang sealiran dengan senoi Peraaq di Negara tersebut.


2. Pada tahun 1963, beberapa seksyen telah dihantar ke sekolah Latihan Peperangan Commonwelth, Ulu Tiram, Johor dengan tujuan untuk melatih pegawai-pegawai sekolah tersebut cara-cara membuat perangkap dan cara hidup di hutan (survival)


3. Konfrontasi pada tahun 1963, Pasukan senoi Peraaq juga telah memainkan peranan yang penting dengan bertugas bersendirian dan bekerjasama dengan 1 Singapore Infantry Regiment di selatan Johor.


4. Pada bulan Mei 1964, kumpulan yang sama telah berlepas ke Sabah untuk menyusun semula Sabah Border Scout dan seterusnya unit tersebut diletakkan di bawah Senooi Peraaq.


5. Mengadakan demonstrasi ‘survival’ kepada pelawat negara asing terutama ketika menyertai sesuatu program Negara.


6. Membuat operasi mencari dan menyelamat samada tragedy kapal terbang terhempas atau orang hilang.




KEDUDUKAN SEMASA DI BAWAH PERINTAH DAN KAWALAN PDRM

Pada 1 Mac 1968, apabila Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengarahkan supaya pasukan ini di bawah perintah dan kawalan PDRM.


i. Organisasi Regiment SAS adalah berbeza dengan Organisasi Pasukan Polis Hutan (PPH). Oleh itu tindakan penyesuaian terpaksa dilakukan dengan membubarkan sistem skuadron dan disusun semula kepada sistem ‘Kompeni’ dan dijadikan dua ‘Kompeni’. Walaubagaimanapun pasukan ini tidak ditarafkan sebagai Batalion, bahkan sebagai ‘Kompeni’ bebas tetapi mempunyai ibu pejabat dan ‘kompliment’ pegawai-pegawai staff.


ii. Jumlah kekuatan anggota yang dipindahkan adalah sama iaitu seramai 369 orang. Kekuatan ini tidak berubah sehingga ke tahun 1973.


iii. Selain daripada susunan organisasi yang berbeza, kedudukan pangkat juga berbeza dan ini tidak sesuai untuk menubuhkan ‘Kompeni’. Bagi tujuan penyelarasan mereka telah diberikan pangkat kehormat Polis mengikut taraf kedudukan seperti berikut:-


iv. Mengikut syarat-syarat lama tangga gaji yang ada pada keseluruhannya mereka mendapat gaji dan keistimewaan yang lebih rendah daripada anggota Pasukan Polis Hutan biasa.


v. Dari segi peranan dan penugasan mereka juga terdapat sedikit perbezaan dengan anggota PPH biasa. Mereka masih menjalankan penugasan sediakala dan dihadkan kepada menduduki pos-pos hutan di tempat-tempat tumpuan dan kediaman Orang Asli sambil menjalankan rondaan di sekeliling pos-pos itu sahaja, ini berbeza dengan anggota PPH biasa yang menjalankan operasi dengan bebas di mana jua di dalam Malaysia.

PERKEMBANGAN

Dalam tahun 1973, setelah mengambil kira faktor keselamatan yang semakin berubah terutamanya di kawasan komuniti masyarakat Orang Asli konsep penugasan sebelum ini mula berubah.


Penugasan Anggota Senoi Peraaq telah diubah dari tugas pasif kepada operasi yang aktif dengan berganding bahu bersama anggota Pasukan Polis Hutan.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa persidangan yang ke-11 pada tahun 1973 telah bersetuju supaya pasukan tersebut diperbesarkan keanggotaannya kepada 1 batalion dan ditugaskan untuk operasi jauh ke dalam hutan terutamanya di kawasan penempatan Orang Asli serta bertanggungjawab membantu elemen Pasukan Keselamatan di kawasan yang berhampiran. Tambahan dua lagi ‘Kompeni’ telah diluluskan oleh Kerajaan.


Sungguhpun begitu keadaan pasukan ini masih tidak berubah. Walaupun keanggotaan pasukan ini telah bertambah kepada kekuatan 4 ‘Kompeni’ dan peranannya yang semakin meluas namun belum ditarafkan lagi sebagai satu battalion. Ianya masih lagi wujud sebagai satu pasukan yang unik dan masih berbeza dari segi organisasi dan penugasan jika dibandingkan dengan lain-lain Batalion Pasukan Polis Hutan. Walaupun direkodkan dengan 4 Kompeni yang ada, Cuma kekuatan dua kompeni manakala dua kompeni lagi masih pada peringkat pengambilan pada ketika itu. Anggota-anggota pasukan ini masih lagi menerima gaji dan keistimewaan yang lama dan ini ternyata berbeza dengan lain-lain anggota Pasukan Polis Hutan (PPH).


Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu telah menyuarakan beberapa rancangan antaranya bagi mengintegrasikan Orang asli ke dalam masyarakat Malaysia. Dengan itu Pasukan senoi Peraaq hendaklah dikekalkan sebagai satu unit di dalam Pasukan Polis Hutan dan ditawarkan dengan syarat-syarat perkhidmatan termasuk gaji, elaun dan sebagainya sama seperti yang diperolehi oleh anggota Pasukan Polis Hutan yang lain.


PENYERAPAN KE DALAM PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Pada 1 September 1974 dengan rasminya Pasukan senoi Peraaq telah diserapkan ke dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia dan dikenali sebagai Batalion 19 PPH. Dengan ini juga kesemua pegawai dan anggota yang berada dalam unit ini telah diberikan segala kemudahan termasuk gaji, elaun dan pangkat yang sejajar apa yang diperolehi oleh lain-lain anggota pasukan mereka. Mereka kemudiannya telah dihantar menjalani latihan di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak (SLPPH) bagi menyelaraskan pengetahuan serta kehendak dan peraturan di dalam Pasukan Polis Hutan.



PENUBUHAN BATALION 20 PPH SENOI PERAAQ

Konsep penugasan seperti mendiami kawasan penempatan Orang Asli bertujuan meyakinkan mereka kepada Kerajaan yang memerintah boleh melindungi mereka dan menjadikan kawasan mereka sebagai tempat yang selamat didiami. Konsep penugasan memenangi hati dan pemikiran, mengumpul risikan dan maklumat serta memutuskan dan menghapuskan penyusupan dakyah Komunis hendaklah diteruskan. Penugasan mereka tidak terbatas dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu atau hanya menduduki pos-pos di hutan sahaja.


Faktor semulajadi telah dieksploitasi oleh Komunis untuk memepengaruhi pemikiran Orang Asli untuk membenci Kerajaan terutamanya faktor kemiskinan. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku mereka haruslah dibimbing dan didampingi, oleh itu tambahan tenaga penggerak adalah diperlukan.


Keberkesanan propaganda Komunis adalah bergantung kepada sokongan dan bantuan masyarakat Orang Asli yang tinggal secara bertaburan segenap tanahair, tidak hairanlah jika kawasan ini merupakan kawasan pergerakan Komunis. Bimbingan dan pengawasan yang wajar adalah amat penting bagi menghindar ideology dan propaganda Komunis.


Sokongan daripada Orang Asli membolehkan Komunis menambah kekuatan mereka serta kebolehan tinggi yang dimiliki oleh Orang Asli selok belok di hutan dikhuatiri akan dimanipulasikan oleh Komunis. Simpati masyarakat Orang Asli seperti membekalkan makanan dan ubat-ubatan, member perlindungan dan pengkalan yang selamat membolehkan Komunis menjalankan aktiviti tanpa halangan. Selain daripada itu, ada juga anggota Komunis yang berkahwin dengan masyarakat Orang Asli dan ini secara tidaklangsung mewujudkan keyakinan dan sokongan terhadap Komunis.


Masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan pinggir hutan merupakan sumber maklumat terpenting kepada Komunis untuk mendapatkan maklumat pergerakan Pasukan Keselamatan, keperluan makanan, ubat-ubatan dan pembawa utusan bagi membolehkan Komunis berhubung antara mereka.


Terdapat sebilangan Orang Asli yang telah menganggotai Komunis dan ini merupakan satu komposisi yang baik untuk menyokong pergerakan mereka dalam masa yang sama menjadi satu kebimbangan kepada Kerajaan kerana ianya merupakan satu propaganda yang paling penting dalam dakyah mereka.


Penyusupan dakyah Komunis semakin berkembang pesat. Maklumat mengenai kekuatan musuh semakin meningkat tahun demi tahun. Kawasan yang aktif tidak hanya terhad kepada Negeri Perak dan Kelantan sahaja malah telah menular hingga ke Negeri Pahang dan lain-lain negeri yang mempunyai masyarakat Orang Asli. Faktor penduduk Orang Asli ini juga membolehkan Komunis memilih lokasi aktiviti mereka tertumpu di kalangan Orang Asli. Bukti-bukti juga menunjukkan Orang Asli yang sentiasa berpindah randah telah dipujuk dan dihasut oleh Komunis untuk menyokong dan menganggotai pergerakan mereka. Teknik Komunis ini telah dikesan member peningkatan dari segi kekuatan tempur, sokongan moral dan logistik.


FAKTOR-FAKTOR YANG MENGIMBANGI PENUBUHAN

Perkembangan dan pemesatan aktiviti penyusupan musuh semakin aktif dan mengancam keselamatan negara, oleh itu tegas dan proaktif haruslah diambil untuk menangani situasi ini kerana dakyah dan propaganda musuh semakin bertambah dan meliputi kawasan yang semakin luas yang menggambarkan keluasan pengaruh ideologi mereka.


Terdapat Orang Asli yang telah terpengaruh oleh Komunis bukan disebabkan oleh jasa dan dorongan Komunis semata-mata tetapi disebabkan Komunis lebih rapat dan kerap berhubung dengan mereka, ini adalah disebabkan faktor penempatan Orang Asli yang terletak jauh di pedalaman yang sukar dilawati oleh Agensi Kerajaan dan Pasukan Keselamatan. Pasukan Senoi Peraaq adalah lebih sesuai untuk membuat lawatan dan menjalinkan hubungan mesra dengan masyarakat Orang Asli selain daripada menjalankan tugas rondaan, lengkap bersenjata, terlatih serta mahir di hutan.


PENEMPATAN BATALION KE-20 PASUKAN POLIS HUTAN SENOI PERAAQ.

Setelah mendapat kelulusan daripada Kerajaan pada 4 September 1977 elemen Kompeni ‘A’ dan Kompeni ‘B’ Batalion 20 PPH telah ditubuhkan dan ditempatkan di kem Batalion 19 PPH, Kroh, Perak di bawah pentadbiran Pegawai Pemerintah Batalion 19 PPH. Penempatan di kem Kroh ini adalah disebabkan ketiadaan bangunan yang sesuai di tempat lain.


Bagi memudahkan pentadbiran dan perancangan operasi, elemen ibu pejabat (HQ) telah ditubuhkan dan ditempatkan di Briged Utara, Ulu Kinta, Perak. Pada 11 Disember 1978 dua Kompeni lagi ditubuhkan menjadikan battalion ini satu battalion penuh menjelang 1 Januari 1979 berdasarkan kelulusan waran perjawatan 31/78. Oleh itu kerana tiada bangunan disediakan, Ibu Pejabat Batalion 20 dan dua kompeni ‘C’ dan ‘D’ telah ditempatkan di Kem Perlop II, Lasah, Sungai Siput Utara, Perak. Bangunan di kem ini adalah kem-kem lama belia-belia yang meneroka lading kelapa sawit yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, Perak. Bangunan ini telah diubahsuai untuk menempatkan anggota-aggota bujang, Pegawai-pegawai dan untuk dijadikan pejabat pentadbiran Batalion dan Kompeni.


ORGANISASI DAN KEANGGOTAAN

Kedua-dua battalion ini mempunyai kekuatan anggota yang sama. Disebabkan majority anggota battalion ini terdiri dari kaum Orang Asli yang kurang berpelajaran dan tidak mempunyai kelayakan, maka untuk melicinkan perjalanan pentadbiran battalion, anggota Polis biasa (Regular) telah dipinjamkan untuk berkhidmat di battalion ini. Kebanyakan daripada mereka bertugas di Cawangan Semboyan, elemen HQ dan Kompeni juga di cawangan ‘speacialist’ termasuk Cawangan Pengangkutan. Bagi mengatasi kekurangan pengetahuan di bahagian kepimpinan peringkat tinggi, pegawai-pegawai kanan ‘regular’ juga diambil bertugas di batalion ini.

Pegawai-pegawai yang telah menjadi Pegawai Pemerintah:-

1. Lt Col R.O.D. Noone - 1956 hingga 1960


2. N.A.W Herboldt - 1960 hingga 1962


3. Roslan Iskandar Abdullah - 1968


4. DSP Charles Lim - 1968 hingga 1970


5. DSP Pritam Singh Gill - 1970 hingga 1971


6. A/DSP Othman bin Hj Dahwan - 1971 hingga 1973


7. DSP Chiam Ah Poi - 1973 hingga 1975


8. DSP Syed Zainal Alsagoff - 1975 hingga 1976


9. SUPT Ahmad Tajuddin - 1976 hingga 1980


10.SUPT Syed Zainal Abideen Alsagoff - 1980



KEJAYAAN

Semenjak tertubuhnya Pasukan senoi Peraaq, pada peringkat awalnya mereka berganding bahu dengan Unit Tentera yang lain sehinggalah ke peringkat yang membolehkan mereka berdikari serta dapat melaksanakan tugas-tugas operasi secara bersendirian. Mereka telah menghadapi dan mengharungi pelbagai halangan dan rintangan, walaubagaimanapun mereka telah berjaya mencapai beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan.

1. Julai 1958 sub-unit Senoi Peraaq di kawasan Sungai Plus, Sungai Siput Utara, Perak telah berjaya menagkap seorang Komunis.


2. November 1958 dengan daya dan usaha Senoi Peraaq seramai 15 orang Komunis telah menyerah diri di kawasan Sungai Plus, Sungai Siput Utara, Perak.


3. 12 Mac 1959 di Mentakab dan Jerantut, Pahang Senoi Peraaq dapat menagngkap seorang Komunis.


4. 4 April 1959, 2 orang Komunis telah menyerah diri di tempat yang sama dengan daya usaha Senoi Peraaq.


5. 11 April 1959 sub-unit yang sama telah menagkap seorang Komunis dengan 38 Orang Asli yang ‘Hostile’


6. 27 Mei di kawasan Mentakab dan Jerantut menangkap seorang Komunis.


7. 4 Jun 1959 di kawasan yang sama telah menangkap 1 orang Komunis.


8. 9 Ogos di tempat yang sama dapat membunuh 1 orang Komunis.


9. 7 September 1959 di kawasan yang sama 1 orang Komunis menyerah diri.


10. 4 Oktober 1959 di kawasan yang sama telah membunuh 1 orang Komunis.


11. 6 Oktober 1959 di kawasan yang sama telah membunuh 1 orang Komunis.


12. 8 Oktober 1959 di kawasan yang sama telah membunuh 1 orang Komunis.


13. 8 Februari 1960 di kawasan yang sama telah membunuh 1 orang Komunis.


14. 9 Februari 1960 di kawasan yang sama telah membunuh 1 orang Komunis.


15. 4 April 1960 di kawasan yang sama telah menemui sebuah buku maklumat Komunis.


16. 15 Mac 1975 sub-unit Senoi Peraaq telah bertempur dengan 20 Komunis di QT 843263 Utara Kuala Mangga dan berjaya merampas 1 buah magazine Carbine berisi peluru dan 1 buah magazine T/gun.


17. 29 Mac 1975 sub-unit senoi Peraaq berjaya merampas sepucuk pistol jenis Browning dari ladang Orang Asli di QT 993147 Kuala Mangga.


18. 21 Ogos 1975 semasa sub-unit Senoi Peraaq melakukan rondaan telah bertempur dengan kumpulan anatara 20 hingga 25 orang Komunis di QY 986605 Sungai Taming dan dipercayai 3 orang Komunis terbunuh.


19. 2 Oktober 1977 sub-unit Batalion 19 PPH telah bertempur dengan Komunis anggaran 10 hingga 15 orang di QT 886104 Selatan Banun dan 2 orang Komunis terbunuh.


20. 31 Oktober 1977, 2 orang Komunis Orang Asli iaitu Alang dan isterinya bernama Tengah telah menyerah diri kepada sub-unit Batalion 19 PPH di Pos Gob.


21. 14 Disember 1977 campuran sub-unit Batalion 19 PPH dan Batalion 20 PPH telah menggempur khemah musuh di QY 864996 Selatan Terhong dan berjaya membunuh 3 orang Komunis (3 lelaki dan 1 wanita) serta merampas 5 laras Carbine dan 35 butir peluru, 4 butir bom tangan dan 7 buah beg galas.


22. 7 Mac 1978 satu rangka manusia telah ditemui di MR QY 959937 dan disahkan sebagai rangka anggota Komunis yang terbunuh semasa pertempuran pada 14 Disember 1977, turut dijumpai bersama rangka mayat itu 1 Carbine, 3 Magazin peluru serta 121 butir peluru .22


23. 20 Januari 1978 sub-unit Batalion 19 PPH telah bertempur dengan Komunis dianggarkan 10 hingga 15 orang di 976693 kawasan Simpur dipercayai 2 orang Komunis terbunuh.


24. 9 Jun 1960 sub-unit Batalion 20 PPH semasa menjalankan penjejakan telah bertempur dengan sekumpulan 30 hingga 40 orang Komunis di QZ 018741 Barat Daya Gob dipercayai 2 atau 3 orang Komunis terbunuh dan menjumpai 1 magazin M-16, 1 magazin AR 18, 1 bom tangan dan 2 buah jerangkap samar malangnya ketua sub-unit tersebut terbunuh.


25. 20 Jun 1980 sub-unit Batalion 20 PPH telah bertempur dengan Komunis dianggarkan seramai 20 hingga 30 orang Komunis di QZ 026844 Barat Laut Gob telah berjaya membunuh 1 orang Komunis dan merampas 1 pucuk ppistol .32, 4 butir peluru M 79, 1 magazin peluru 5.56 mm, 306 butir peluru .32, 4 buah jerangkap samar, 1 buah ‘home made grenade’, 25 detonator, 2 power pack AC/DC couverter dan sejumlah besar barang kepunyaan Komunis.



KEGAGALAN DAN KEMALANGAN

1. 23 Mei 1974 semasa sub-unit Senoi Peraaq membuat rondaan di kawasan Bandang Konst 62149 telah terpijak jerangkap samar dan mendapat cedera ringan.


2. 16 Mac 1975 semasa sub-unit sedang membuat rondaan di QT 943274 Utara Kuala mangga Konst 62315 telah terpijak jerangkap samar kemudiannya terbunuh dan melibatkan Konst EPC 1256 yang terputus kaki kanannya.


3. 21 April 1975 sub-unit Senoi Peraaq telah menyerang hendap 10 orang Komunis di QT 991119 Kuala mangga malangnya senjata MK yang digunakan gagal berfungsi.


4. 20 Ogos 1975 semasa sub-unit sedang membuat rondaan Konst 62565 telah terpijak jerangkap samar di QT 91821 Utara Kuala Mangga dan putus kaki manakala konst 62105 mendapat cedera.


5. 24 Mac 1976 semasa sub-unit sedang membuat rondaan dengan bot telah diserang hendap oleh Komunis di QZ 371614 Kawasan Wias mengakibatkan Konst 62412 terbunuh.


6. 22 Disember 1976 semasa sub-unit Batalion 19 PPH, konvoi yang dalam perjalanan balik dari Klian Intan ke Kroh telah diserang hendap oleh Komunis di QT 380302 dan mencederakan beberapa orang anggota antaranya ialah SM Deraman Kaman, Konst 51971 dan Konst 62323.


7. 25 Januari 1978 semasa Batalion 19 PPH sedang membuat rondaan telah terpijak jerangkap samar di QY 942626 Kawasan Taming mengakibatkan Konst 62188 dan Konst 68808 cedera.


8. 29 Januari 1978 semasa sub-unit Batalion 19 PPH membuat penjejakan telah terpijak jerangkap samar di QY 953648 Kawasan Cawong mengakibatkan Konst 66962 dan Konst 68900 cedera.


9. 30 januari 1978 semasa sub-unit Batalion 19 PPH meneruskan penjejakan Konst 62518 terpijak jerangkap samar di WY 957693 dan cedera.


10. 9 Jun 1980 sub-unit Batalion 20 PPH menjejak musuh telah bertempur dengan 30 hingga 40 orang komunis di QZ 018741 Barat Daya Gob mengakibatkan ketua sub-unit tersebut iaitu Insp Gunasegaran terbunuh.


11. 5 Februari 1983 sub-unit Batalion 20 PPH dalam tugas menjejak musuh Konst 76042 telah terpijak jerangkap samar di 968992 Timur Terhong cedera di kaki kanan manakala Konst 62538 terbunuh terkena serpihan. Semasa pertempuran pula Konst 62534 telah terkena tembakan di siku tangan kiri.



PENUTUP

Semenjak ditubuhkan, Pasukan Senoi Peraaq telah membuktikan yang mereka boleh bersama-sama berganding bahu dengan lain-lain Pasukan Keselamatan dalam menentang Pengganas Komunis dan menjaga keselamatan Negara. Ini membuktikan bahawa Orang Asli amat setia kepada negaranya dan sanggup bergadai nyawa untuk memastikan keselamatan Negara tidak tergugat serta bebas daripada ancaman pengganas Komunis.


Kedua-dua batalion ini sedang berkembang pesat dan sedikit demi sedikit berubah mengikut arus perubahan semasa berbanding dengan awal penubuhannya. Kem Batalion 20 PPH yang ketika itu dalam pembinaan di kawasan seluas 389 hektar siap pada akhir tahun 1983. Kem ini terletak di pertengahan antara Pekan Bidor dan Pekan Tapah, Perak. Setelah melalui arus modenisasi serta beberapa kehendak dasar Pasukan akhirnya Batalion 19 PPH kini dikenali sebagai Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala Batalion 20 PPH dikenali sebagai Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA).


Walaupun setelah bertahun lamanya era Komunis berlalu semua anggota yang dahulunya dikenali sebagai Senoi Peraaq akan memepertahankan semangat yang tinggiserta kesetiaan mereka kepada Negara yang tercinta ini dan akan tetap menjaga imej PDRM khususnya. Kini mereka tidak lagi berada di situasi lama dan mereka harus berdepan dengan dunia moden dan menggalas cabaranya. Menjumudkan pemikiran adalah satu kesilapan yang besar, mereka haruslah membuka minda selari dengan keperluan semasa.


Pengalaman bertugas di Batalion 3 PGA, Bidor, Perak dari tahun 2001 hingga 2004 membolehkan saya mendalami cara kehidupan mereka, bertugas bersama dan menjaga sempadan negara bersama (Sempadan Kedah-Perlis-Thailand dan sempadan Kelantan-Thailand-Sungai Golok) Platun 9, Kompeni ‘C’ yang diterajui membuatkan saya dapat berkongsi pengalaman dan cerita masa silam semasa menentang Pengganas Komunis. Platun 9 ini juga adalah serpihan platun khas yang ditubuhkan untuk tugas-tugas khas membuat penjejakan Komunis yang dulunya dikenali sebagai ‘Tiger Platun’.


Ketika ini kem Bn 3 PGA dibina semula untuk memberi keselesaan kepada pegawai, anggota dan ahli keluarga mereka untuk menjalani kehidupan yang sama taraf dengan orang lain. Semoga roh mereka yang terkorban semasa menentang pengganas komunis dahulu mendapat rahmat dari Illahi bagi mereka yang beragama Islam dan bagi mereka yang bukan beragama Islam mengikut kepercayaan agama masing-masing. Mereka termasuk Pasukan Tentera dan unit-unit bantuan yang lain telah berkorban untuk Negara yang kita cintai ini…

No comments:

Post a Comment