Oleh AZMY MOHAMED
Di Barat, Saint Valentine’s Day diraikan secara besar-besaran pada setiap 14 Februari. Begitu juga di Jepun dan kebanyakan negara bukan Islam yang lain. Bagaimanapun di Malaysia, sedikit berbeza. Ia diraikan sebagai Valentine’s Day atau dalam bahasa Melayu, Hari Memperingati Kekasih. Kemudian dipendekkan kepada Hari Kekasih sahaja.
Nama lain tetapi motif tetap sama. Mengenang jasa seorang paderi Kristian bernama Valentine pada abad ketiga di Rom. Menurut satu riwayat, beliau menentang Maharaja Claudius II yang mengharamkan perkahwinan. Bagi Claudius, askar bujang lebih baik berbanding mereka yang telah berumah tangga. Namun, Valentine meneruskan tanggungjawabnya mengahwinkan pasangan kekasih secara rahsia. Bila hal ini terbongkar, Valentine telah dihukum bunuh.
Riwayat yang lain pula mengatakan Valentine dihukum bunuh kerana membantu penganut Kristian yang dipenjara dan diseksa oleh Kerajaan Rom melarikan diri. Mengikut legenda, semasa dipenjarakan sementara menanti hukuman, beliau menghantar ucapan ’valentine’ kepada kekasihnya – dara pingitan anak kepada orang yang memenjarakannya. Sebelum mati, beliau dikatakan mengutus surat yang bertanda tangan ’Daripada Valentine Mu’ (From Your Valentine). Ungkapan yang masih digunakan sehingga hari ini.
Walaupun terdapat percanggahan dalam susur galur Hari Valentine ini, namun ia tetap berpaksi kepada keperibadian paderi yang tersohor itu. Pengasih, pejuang kebenaran dan paling penting, romantik.
Sebahagian lagi berpendapat, Hari Valentine diraikan pada pertengahan Februari untuk memperingati ulang tahun kematian atau pengebumian tokoh agama Kristian ini pada 270 selepas Masihi.
Manakala yang lain mendakwa, gereja Kristian menetapkan pertengahan Februari sebagai usaha ’mengkristiankan’ sambutan Festival Tuhan Lupercalia.
’… that the Christian church may have decided to celebrate Valentine’s feast day in the middle of February in an effort to ‘christianize’ celebrations of the pagan Lupercalia festival.
(Dipetik dari http://www.history.com/content/valentine/history-of-valentine-s-day)
Hal ini kerana pada zaman Rom kuno, Februari adalah permulaan musim bunga dan masa untuk penyucian. Rumah dibersihkan secara ritual. Seluruh bahagian dalam rumah disapu. Kemudian ditabur garam dan sejenis bijirin seperti gandum dikenali spelt. Lupercalia, yang bermula pada pertengahan Februari, merupakan Pesta Kesuburan yang didedikasikan kepada Faunus. Tuhan tanaman orang Rom. Pesta ini juga untuk pengasas Rom, Romulus dan Remus.
Tuntasnya, Hari Valentine adalah satu perayaan bersifat keagamaan. Beragenda menyebarluaskan dakwah Kristian secara halus. Meracuni fikiran dan memesong akidah anak-anak muda Islam. Agar terus leka dengan keseronokan sambil menanam benih kemaksiatan.
Kesannya bukan kepalang. Muda-mudi belasan tahun yang masih mentah dan hijau menjadikan Hari Kasih permulaan kisah cinta mereka. Bermula dengan peminat rahsia kemudian menjadi merpati dua sejoli. Bak belangkas ke sana ke mari. Hingga ada yang terlanjur. Melahirkan anak luar nikah.
Oleh sebab itu, Allah melarang umatnya menghampiri zina. Dalam Islam, konsep pencegahan lebih baik daripada mengubati menjadi pedoman. Jika tidak, maka terjadilah kes buang bayi dan nikah selepas perut ’berisi’.
Dari perspektif sosial, sebilangan besar remaja Islam masa kini terlalu ambil mudah semua perkara. Bagi mereka, Hari Kekasih ini sekadar satu lagi hari istimewa yang boleh dirai tanpa menjejaskan akidah. Sama seperti Hari Ibu, Hari Setiausaha dan Hari Bumi. Tidak lebih daripada itu. Malah berasa bangga jika menerima kad ucapan atau hadiah pada hari tersebut. Baru cool!
Untuk itu, perkataan ’Saint’ perlu dibuang supaya sambutan itu tidak dikaitkan langsung dengan agama Kristian. Penggunaannya ’menakutkan’ orang Islam. Sebagai satu strategi ia perlu dikorbankan. Ternyata berjaya.
Kini, perkataan Valentine pun sudah tiada. Diganti dengan Kekasih. Langsung kita alpa dan secara tidak sedar turut sama mengingatinya. Walaupun mungkin tidak meraikannya. Walhal kita sepatutnya berzikir dan mengingati Kekasih Allah – junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Tetapi kita tidak ’mengkomersialkan’ sambutan hari lahir atau hari wafat Baginda sebagai satu kaedah mengembangkan syiar Islam. Hal ini kerana Islam itu syumul dan suci. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara.
Itulah yang tersurat.
Umat Islam amat mudah terpedaya dan diperdaya. Pendekatan lunak mubaligh Kristian berjaya mencalarkan iman mereka. Usaha ini mendapat pula sokongan padu golongan opportunis dan kapitalis. Secara terus dan secara tidak langsung.
Golongan ini hanya ada satu matlamat – keuntungan maksima. Apa yang boleh dijual akan dijual. Termasuk memperdagangkan agama. Dan Hari Valentine adalah salah satu contoh terbaik kombinasi agama dan perniagaan. Menjual agama secara berselindung di sebalik kad ucapan, epal, coklat dan bunga.
Halus, licik dan berkesan. Ramai yang terperangkap. Termasuk umat Islam khasnya generasi muda.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi kesedaran kepada anak-anak kita tentang agenda tersirat Hari Valentine.
Gunakan Internet sepenuhnya. Sebarkan maklumat melalui e-mel, blog dan laman sosial. Hantarkan juga mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada sahabat handai.
Apapun caranya, niat kita jelas dan ikhlas. Kita mahu umat Islam khususnya para remaja untuk menghindari sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day ini. Mungkin ramai yang akan membantah. Memberi pelbagai hujah. Namun, hakikatnya Saint Valentine ialah seorang paderi Kristian. Perlukan kita, umat Islam, merai dan mengingatinya?
No comments:
Post a Comment