Tuesday, December 2, 2014

SIAPAKAH ORANG MELAYU PERTAMA DI DUNIA YANG MEMELUK AGAMA ISLAM?

Peta di atas menunjukkan kedudukan negara kota
Malayu dan empayar Srivijaya di Kepulauan Sumatera.
Tersebutlah kisah tentang sebuah kerajaan lama di Pulau Sumatera yang dikenali sebagai Malayu. Menurut catatan sejarah, lokasi negara kota tersebut dipercayai terletak di sekitar wilayah Jambi hari ini. Kerajaan Malayu dikatakan sangat terkenal dengan hasil pengeluaran lada hitamnya.

Kisah kemasyhuran kerajaan Malayu telah sampai ke pengetahuan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufian atau Khalifah Mu’awiyah I (661-680 Masihi) - pengasas dan pemerintah pertama empayar Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik (atau Damascus).
Empayar Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik pada zaman kegemilangannya.
Setelah terdengar akan kemasyhuran kerajaan Malayu di sebelah Timur, maka timbullah niat di hati baginda untuk mengIslamkan kerajaan Malayu serta memonopoli perdagangan lada hitamnya. Kebetulan pula, baginda sedang berusaha untuk memperluaskan empayar Islam serta ajaran Islam ke seluruh dunia.

Pada ketika itu, kerajaan Malayu berada di bawah pemerintahan seorang maharaja yang bernama Sri Maharaja Lokitawarman. Baginda berbangsa Melayu dan beragama Buddha. Lantas, Khalifah Mu’awiyah I telah mengajak maharaja Malayu tersebut untuk memeluk Islam. Walau bagaimanapun, Sri Maharaja Lokitawarman telah menolak pelawaan khalifah tersebut secara baik.

Keengganan maharaja Malayu tersebut untuk memeluk agama Islam telah membantutkan niat Khalifah Mu’awiyah I untuk mengIslamkan kerajaan Malayu serta memonopoli perdagangan lada hitamnya. Tidak berapa lama kemudian, Sri Maharaja Lokitawarman telah mangkat dan tempatnya diambil alih oleh Sri Maharaja Srindrawarman.
Kerajaan Malayu yang berpusat di Jambi, Sumatera
sangat terkenal dengan hasil pengeluaran lada hitamnya.
Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720 Masihi), baginda telah mengutus surat kepada Sri Maharaja Srindrawarman dan mengajak maharaja Malayu tersebut untuk memeluk agama Islam. Hubungan yang terjalin di antara kedua-dua pemerintah tersebut (khalifah Bani Umayyah dan maharaja Malayu) dikatakan sangat baik.
Usaha Khalifah Umar akhirnya membuahkan hasil apabila maharaja Malayu tersebut telah terbuka hati untuk menerima Islam. Peristiwa tersebut berlaku kira-kira pada tahun 718 Masihi. Menurut catatan sejarah, Sri Maharaja Srindrawarman dipercayai merupakan orang Melayu pertama di dunia yang memeluk agama Islam. 
Setelah peristiwa tersebut, maka bermulalah zaman di mana Malayu mula dikenali sebagai sebuah kerajaan Islam. Inilah kerajaan Islam yang PERTAMA sekali di Kepulauan Melayu atau Nusantara. PengIslaman Sri Maharaja Srindrawarman sekaligus telah menarik minat ramai pedagang Arab dan Islam untuk datang berdagang di negara kota Malayu.

Malah, para pedagang Arab juga telah menggelar Malayu sebagai ‘Sribuza Islam' (Srivijaya Islam) atau ‘Zabaq’ (yang berasal dari nama Muara Sabak di Jambi).

Walau bagaimanapun, berita tentang pengIslaman kerajaan Malayu di Pulau Sumatera tidak begitu disenangi oleh golongan pemerintah Dinasti Tang di tanah besar China. Pada pandangan mereka, pengIslaman kerajaan Malayu hanya akan menyebabkan aktiviti perdagangan lada hitam mereka tergugat dan terancam.
I-Tsing - seorang sami Buddha dari tanah besar China
pernah melawat kerajaan Malayu dan empayar Srivijaya.
Menurut catatan yang ditulis oleh seorang sami Buddha berketurunan Cina bernama I-Tsing, kerajaan Malayu pada ketika itu berada di bawah pengaruh kekuasaan empayar Srivijaya yang berpusat di Palembang. Agama rasmi empayar Srivijaya ialah Buddha bermazhab Vajrayana, yakni berbeza dengan Malayu yang sudah pun menjadi sebuah kerajaan Islam.
Pada tahun 680 Masihi, pemerintah Dinasti Tang di tanah besar China telah bertindak menghantar dua orang pendeta Buddha iaitu Vajrabodhi dan Amoghavajra ke Srivijaya. Tujuannya ialah untuk mengembangkan agama Buddha bermazhab Mahayana di Srivijaya serta menyekat pengaruh perkembangan Islam di Malayu.
Hasil campur tangan Dinasti Tang telah memaksa empayar Srivijaya untuk menyerang kerajaan Malayu pada sekitar tahun 730 Masihi. Pada ketika itu, Malayu berada di bawah pemerintahan Sri Maharaja Indrawarman - putera kepada Sri Maharaja Srindrawarman yang sudah mangkat.
Amoghavajra - salah seorang dari dua Sami Buddha yang dihantar oleh
Dinasti Tang ke Srivijaya untuk menyekat perkembangan Islam di Malayu.
Serangan tersebut telah mengakibatkan Sri Maharaja Indrawarman mangkat dibunuh. Akhirnya, negara kota Malayu (Sribuza Islam atau Zabaq) telah berjaya ditawan oleh empayar Srivijaya.

Penaklukan tersebut menandakan berakhirnya kekuasaan sebuah kerajaan Islam yang terawal di Kepulauan Melayu atau Nusantara di bawah pemerintahan dua orang maharajanya yang beragama Islam iaitu Sri Maharaja Srindrawarman dan puteranya, Sri Maharaja Indrawarman.
Kronologi Maharaja-maharaja Malayu
(Sila klik gambar di atas untuk melihat dengan lebih jelas).
MAKLUMAT TAMBAHAN

Kebanyakan sumber pensejarahan di Malaysia dan Indonesia hari ini mengatakan kononnya, kerajaan Islam yang pertama di Kepulauan Melayu atau Nusantara adalah Kesultanan Perlak ataupun Kesultanan Samudera-Pasai. Walau bagaimanapun, cerita di atas telah membuktikan bahawa kerajaan Islam yang pertama di Kepulauan Melayu atau Nusantara adalah kerajaan Malayu.

SUMBER RUJUKAN
  • 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.
  • Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu.
  • Pensejarahan Patani.
  • Laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.

No comments:

Post a Comment