Dokumentari ini ada beberapa siri. Aku baru tengok dua siri. Siri yang pertama ialah siri pengenalan dan baru sekejap tadi aku tengok siri yang bertajuk 'The Visitors'.
Apakah asas yang membuatkan mereka percaya bahawa Tuhan adalah makhluk asing dari angkasa lepas atau mereka panggilnya sebagai 'ancient astronauts' (angkasawan purba)?? Dari beberapa siri yang aku sempat tengok, aku ringkaskan serba sedikit asas kepada persoalan diorang.
Kunjungan dari langit
Daripada bukti-bukti arkeologi yang lepas, mereka mendakwa terdapat kecenderungan manusia pra-sejarah di seluruh dunia untuk menggambarkan bahawa pernah pada suatu masa, mereka dikunjungi oleh satu kuasa dari langit.
Tak kiralah sama ada tamadun Maya, Aztec, Mesir, India atau China, semua mendakwa bahawa kuasa ini turun dari langit dengan kenderaan-kenderaan yang boleh terbang. Kerana kuasa yang hebat ini, mereka menganggap bahawa makhluk yang turun ini adalah 'Tuhan' atau 'dewa-dewa'.
Mereka mendakwa di benua Amerika (Peru), terdapat satu kawasan yang berkemungkinan adalah sebuah lapangan terbang kuno. Di samping itu, terdapat banyak imej-imej berbentuk binatang yang hanya boleh dilihat dari udara berkemungkinan sebagai penunjuk arah kepada-kepada 'angkasawan-angkasawan purba' ini. Klik gambar sebelah kat sebelah ni untuk lebih jelas. Ini adalah peta kedudukan imej-imej tu.
Kalau nak tengok gambar-gambar yang betul, korang search la kat Google. Taip jer 'nazca lines'. Tengok la puas-puas.
Kenderaan-kenderaan yang membawa 'Tuhan' ini digambarkan sebagai boleh terbang, boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan cepat. Ada juga yang menceritakan bahawa 'dewa-dewa' ini keluar dari binatang seperti naga yang mengeluarkan api dan asap.
Bagi mereka yang mempercayai teori 'angkasawan purba' ini, mereka mendakwa manusia pada zaman purba terlalu primitif untuk menggambarkan sesuatu yang tidak pernah mereka lihat. Oleh itu, mereka gambarkan apa yang dipanggil 'kapal angkasa' ini dengan benda-benda yang mereka kenal dan wujud pada ketika itu seperti api, asap, bunyi, roda, naga, burung dan sebagainya.
Selain daripada itu, mereka juga merekodkan kedatangan 'Tuhan' atau 'dewa-dewa' itu melalui lukisan-lukisan purba pada batu dan binaan-binaan sebagai tanda pemujaan kepada mereka. Beberapa gambar aku kepilkan di sini yang digunakan oleh golongan yang mempromosi teori ini untuk menyokong dakwaan mereka.
Dalam lukisan dan ukiran-ukiran ini, jelas kelihatan seseorang yang berpakaian seperti seorang angkasawan. Siap dengan helmet lagi.
Macamana diorang boleh melukis dan mengukir imej-imej seperti ini sedangkan di dunia yang kita tinggal, manusia hanya mula ke angkasa lepas kurang dari 100 tahun yang lepas. Sedangkan lukisan dan ukiran-ukiran ini telah berusia ribuan tahun. Misteri betul la.
Ukiran yang mirip seorang angkasawan
Lukisan pada gua juga mirip dua orang angkasawan
Ukiran emas yang berbentuk seperti kapal terbang berusia ribuan tahun.
Teknologi kita berasal dari angkasa lepas??
Golongan ini juga mendakwa bahawa ilmu yang kita ada pada masa kini adalah tinggalan dari 'angkasawan purba ini'. Kerana teknologi serta tamadun mereka yang jauh mendahului manusia, mereka telah mengajarkan sedikit sebanyak ilmu mereka pada manusia.
Contohnya mereka mendakwa piramid di Mesir dibina menggunakan teknologi makhluk asing. Ahli sejarah dan arkeologi mendakwa piramid dibina dalam masa 22 tahun. Tetapi, dengan menggunakan teknologi yang manusia ada pada masa itu, adalah mustahil untuk membentuk, membawa dan menyusun berjuta-juta batu dengan ketepatan yang jitu dalam masa 22 tahun! Jadi, hanya teknologi dari tamadun di luar planet bumi sahaja yang boleh melakukannya. Itu kata diorang la.
Adalah lagi beberapa dakwaan diorang yang menunjukkan beberapa binaan kuno telah menggunakan ilmu 'angkasawan purba' untuk disiapkan. Antaranya kuil kaum Maya di Mexico dan beberapa tempat lain. Itu belum lagi pendedahan terdapat ukiran di piramid Mesir menunjukkan mentol elektrik telah digunakan untuk menerangkan bahagian dalam piramid yang sangat gelap hingga api pun tidak boleh menyala kerana kurang oksigen. Jeng jeng jeng..
Manusia merupakan keturunan makhluk asing?
Paling mengejutkan, mereka juga mendakwa bahawa manusia ni berasal dari genetik makhluk asing. Ada juga kemungkinan DNA manusia mempunyai sedikit genetik makhluk asing kerana telah berasimilasi dengan manusia di bumi. Itu sebabnya ukiran-ukiran pada 'angkasawan purba' sangat mirip dengan rupa bentuk manusia.
Adakah 'angkasawan purba' ini betul-betul menyerupai manusia. Atau dengan kata lain kita sebenarnya yang menyerupai mereka! Jika betul mereka menyerupai manusia, ada kemungkinan makhluk asing telah berada di kalangan kita dan adalah mustahil untuk kita membezakan mereka.
Theology lawan Scientology??
Theology adalah konsep ketuhanan. Bagi ahli theology, mereka bersetuju bahawa Tuhan adalah kuasa yang paling hebat yang mengawal perjalanan hidup manusia, malah seluruh alam ini berada di dalam kekuasaan-Nya. Hingga kini, walaupun tidak dibuktikan melalui sains bahawa makhluk asing itu wujud, setiap agama malah Islam sendiri terbuka akan kebarangkalian bahawa wujudnya apa yang kita panggil makhluk asing. Kalau kita boleh percaya kewujudan syaitan, malaikat, jin dan lain-lain makhluk ghaib, kenapa pula kita tak boleh percaya bahawa makhluk asing itu mungkin wujud di luar sana?
Berbeza dengan mereka yang cenderung dengan teori 'angkasawan purba' ini, mereka cuba mencari dari sudut sains (Scientology), arkeologi dan pelbagai sumber untuk menjustifikasikan serta membuktikan bahawa Tuhan itu adalah 'angkasawan purba' yang telah datang untuk melawat kita di bumi ribuan tahun yang lalu. Teknologi mereka yang terlalu canggih bagi manusia pada masa itu telah membuatkan manusia tersalah anggap bahawa 'angkasawan purba' ini adalah Tuhan. Apatah lagi mereka turun dari langit!
Jika majoriti manusia menerima teori ini, bermaksud konsep ketuhanan akan menghadapi ancaman terbesar semenjak kewujudannya. Apa pendapat korang dalam isu ni?
No comments:
Post a Comment