Wednesday, August 3, 2011

Siapakah bangsa Melayu

Melayu (ملايو) merujuk kepada kumpulan etnik dari bangsa Austronesia yang sebahagian besarnya mendiami Semenanjung Tanah Melayu termasuk bahagian-bahagian paling selatan Thailand, pantai timur Sumatra, pesisir pantai Borneo, dan pulau-pulau yang lebih kecil yang terletak di antara lokasi-lokasi ini. Kumpulan etnik Melayu berlainan dari konsep Rumpun Bangsa Melayu, yang merangkumi kumpulan manusia yang lebih luas, termasuk kebanyakan etnik di Indonesia dan Filipina. Bahasa Melayu ialah anggota keluarga bahasa Austronesia.


[sunting] Etimologi

Lakaran peta dunia dalam karya Ptolemy (c. AM 90 – c. 168), Geographia ada menyatakan tentang sebuah tanjung di Aurea Chersonesus (Semenanjung Tanah Melayu) yang diberi nama Maleu-kolon, dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit Malayakolam atau Malaikurram[12]. Menurut G. E. Gerini, Maleu-Kolon merujuk kepada Tanjung Kuantan hari ini sementara Roland Bradell mendakwa ia berada di Tanjung Penyabung, kedua-duanya di Semenanjung.

[sunting] Bangsa Gunung

Dalam bab 48 dari teks agama Hindu Vayu Purana, ada dinyatakan satu perkataan Sanskrit Malayadvipa (secara harfiah: “benua bergunung-ganang”), yang merujuk kepada salah satu wilayah di kepulauan timur yang penuh dengan emas dan perak. Di situ letaknya sebuah bukit bernama Malaya dan juga gunung besar yang digelar Mahamalaya[13]. Walaupun sesetengah sarjana barat terutamanya Sir Roland Braddell mengaitkan Malayadvipa ini dengan Sumatra[14], ramai sarjana India mempercayai ia merujuk kepada semenanjung Tanah Melayu yang lebih bergunung-ganang[15][16][17][18][19], di mana beberapa kerajaan maritim Melayu purba telah wujud dan berinteraksi dengan benua India sejak permulaan kurun Masihi.

Orang Melayu juga pernah dirujuk sebagai orang Kun-lun dalam beberapa catatan China. Istilah Kunlun pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada banjaran gunung yang terbentang melangkaui sebahagian besar wilayah Tibet dan utara India. Ia kemudiannya digunakan oleh orang Cina zaman dahulu sebagai rujukan kepada semua bangsa berambut hitam kerinting yang tidak bertamadun dari gunung-gunung dan hutan-hutan terpencil. Orang Vietnam, orang Champa dan Khmer pernah digelar sebagai orang Kunlun oleh orang Cina sebelum istilah ini digunakan pada orang Melayu. Pada tahun 750, Jianzhen (688-765) menyatakan kehadiran ramai "orang Brahmin, Parsi dan Kunlun di Guangzhou". Buku Tang merekodkan "setiap tahun, para saudagar Kunlun datang dengan kapal-kapal mereka dengan barang-barang bernilai untuk berdagang dengan orang Cina"[20].


Semenanjung Tanah Melayu dalam peta dunia Ptolemy. Teluk Bengal di sebelah kiri, Semenanjung Tanah Melayu di Tengah, dan Laut Cina Selatan di sebelah kanan, dengan perkataan "Sinae".
Pemandangan Banjaran Titiwangsa. Ramai sarjana India mempercayai perkataan Sanskrit Malayadvipa dari kitab Vayu Purana, merujuk kepada semenanjung Tanah Melayu yang bergunung-ganang.
Candi Gumpung, sebuah Candi Buddha di Muaro Jambi dari kerajaan Jambi. Beberapa sarjana Sejarah mengaitkan kerajaan Jambi dengan Mo-Lo-Yu dalam catatan I Tsing.

[sunting] Kerajaan Mo-Lo-Yu

Dalam catatan I-Tsing (seorang sami Buddha Dinasti Tang), yang melawat Kepulauan Melayu di antara tahun 688 - 695, beliau ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama Mo-Lo-Yu yang terletak sejauh 15 hari pelayaran dari Bogha (Palembang), ibu negeri Sribhoga (Srivijaya). Beliau juga mengambil masa 15 hari pelayaran dari Mo-Lo-Yu ke Ka-Cha (Kedah), oleh itu Mo-Lo-Yu mungkin terletak di tengah-tengah antara kedua-dua tempat.[21] Menurut I Tsing, Mo-Lo-Yu pada mulanya adalah sebuah kerajaan bebas sebelum ia ditawan oleh SriBhoga.

Pada zaman Dinasti Yuan (1271–1368) dan Dinasti Ming (1368–1644), perkataan Ma-La-Yu sering disebut dalam sejarah China untuk merujuk kepada sebuah negara di Nanyang atau "Laut Selatan". Istilah ini sering dieja berlainan kerana perubahan Dinasti.

  • (Cina: 木剌由) - Bok-la-yu, Mok-la-yu
  • (Cina: 麻里予兒) - Ma-li-yu-er
  • (Cina: 巫来由) - Oo-lai-yu (dikesan dari sumber tulisan sami Xuan Zang)
  • (Cina: 無来由) - Wu-lai-yu

Ayat berikut dipetik dari catatan Babad Dinasti Yuan (dalam bahasa Cina): Babad Yuan Mongol

"以暹人与麻里予兒旧相仇杀,至是皆归顺,有旨谕暹人“勿伤麻里予兒,以践尔言"

(Bahasa Melayu: Permusuhan terjadi di antara Siam dan Ma-la-yu (Melayu) dengan kedua-duanya berbunuhan antara satu sama lain...)

Petikan di atas berkemungkinan besar merujuk kepada berkurun-kurun lamanya permusuhan di antara entiti Thai di utara dan negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu seperti kerajaan Pattani, kerajaan Kedah dan kesultanan Melayu Melaka.

Pengembara dari Venice yang masyhur Marco Polo (1254–1324) dalam bukunya Pengembaraan Marco Polo ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama "Malauir" yang menurutnya terletak di bahagian selatan semenanjung Tanah Melayu.[22][23]

Perkataan "Malayu" ada dipahatkan pada Batu Bersurat Padang Roco yang bertarikh 1286 di Dharmasraya kemudian Adityawarman pada tahun 1347 menyebut kerajaannya dengan nama Malayapura seperti yang dipahatkan pada bahagian belakang Patung Amoghapasa.

Pada masa kesultanan Melayu Melaka yang menjadi kuasa utama di kepulauan Melayu pada abad ke-15, perkataan "Melayu" dimasyhurkan bagi menerangkan perbezaan budaya di antara orang Melaka dengan orang-orang asing dari rantau yang sama, terutamanya Orang Jawa dan Orang Thai.[24] Melaka bukan sahaja menjadi pusat perdagangan utama serantau, tetapi juga sebuah pusat budaya Melayu yang terpenting, berpengaruh dalam membentuk institusi politik dan budaya tradisional Melayu dalam abad-abad yang seterusnya.[25]

Ketika zaman kolonialisme Eropah, perkataan "Malay" diadaptasi ke dalam bahasa Inggeris dari perkataan Belanda "Malayo", yang juga diadaptasi dari perkataan Portugis "Malaio", yang berasal dari perkataan bahasa Melayu "Melayu".

[sunting] Sejarah

[sunting] Melayu Proto

Melayu Proto yang juga digelar Melayu asli atau Melayu purba adalah penutur Austronesia dari tanah besar Asia yang berpindah ke tanah Melayu dan kepulauan Melayu, dalam siri penghijrahan yang panjang di antara 2500 S.M dan 1500 S.M[26]. The Encyclopedia of Malaysia: Early History, menunjukkan sejumlah tiga teori asal-usul Melayu:

Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Bukti lain yang menyokong teori ini termasuk:
  1. Alatan batu yang ditemui di Kepulauan Melayu adalah sama dengan alatan dari Asia Tengah.
  2. Kemiripan adat Melayu dan adat Assam.
  3. Bahasa Melayu & bahasa Kemboja ialah bahasa serupa oleh kerana tanah nenek moyang orang Kemboja berasal dari sumber Sungai Mekong.

Kajian saintifik terbaru oleh HUGO (Human Genome Organization) mengenai genetik bangsa-bangsa Asia menyatakan hipotesis penghijrahan tunggal Asia dari Asia Tenggara mengembara ke arah utara dan secara perlahan-lahan menduduki Asia Timur.[27] Hipotesis ini bagaimanapun hanya berdasarkan bukti variasi genetik yang lebih banyak di kalangan bangsa Asia tenggara berbanding bangsa Asia timur, tanpa mengambil kira sejarah sosio politik kedua-dua rantau tersebut.[28] Kekurangan variasi genetik di kalangan bangsa Asia timur berkemungkinan besar adalah kerana rantau tersebut telah lama bersatu di bawah satu kuasa politik tunggal contohnya di China, Korea dan Jepun yang menyebabkan interaksi manusia yang lebih kerap berbanding di Asia tenggara.

Melayu Proto dipercayai bangsa pelaut yang mahir dalam oseanografi dan pertanian. Mereka berpindah dari pulau ke pulau dalam jarak besar di antara New Zealand dan Madagascar, dan mereka berkhidmat sebagai penunjuk arah, kakitangan dan pekerja buruh kepada pedagang India, Arab, Parsi dan China untuk hampir 2000 tahun. Bertahun-tahun kemudian mereka menetap di pelbagai tempat dan menyerap pelbagai budaya dan agama.

[sunting] Melayu Deutero

Orang Melayu terawal kemudiannya secara perlahan-lahan diganti oleh peneroka-peneroka Melayu Deutero dalam gelombang kedua penghijrahan dari tanah besar Asia di sekitar 300 SM[29]. Secara antropologi, etnik Melayu yang kini mendiami semenanjung tanah Melayu dan kawasan pantai kepulauan Melayu adalah dari golongan Melayu Deutero[30] yang berkulit lebih cerah, berbadan lebih besar, dan berambut lebih lurus, berbeza dengan orang Melayu Proto.[31] Masyarakat ini juga memiliki taraf budaya yang lebih tinggi, teknik pertanian dan pengetahuan tentang besi yang lebih maju.[32] Mereka tidak hidup secara nomad tetapi dalam kampung-kampung yang merupakan unit utama masyarakat. Penempatan utama Melayu Deutero biasanya terletak di lembah-lembah subur, tebing sungai atau pesisir pantai, dan kegiatan utama adalah ekonomi sara hidup yang ringkas berasaskan penanaman padi dan perikanan. Menjelang kurun terakhir sebelum Masihi, penempatan-penempatan di kawasan pantai ini mula terlibat dalam perdagangan dengan dunia luar.[33]

Kemunculan kelompok Melayu Deutero ini secara tidak langsung menyebabkan kumpulan Melayu Proto dan penduduk asli berundur ke pedalaman dan hulu sungai. Kumpulan Melayu Proto yang terkenal hari ini adalah dari suku Moken, Jakun, Orang Kuala, Temuan dan Orang Kanaq[34].

[sunting] Pengaruh India

Tinggalan Candi di Lembah Bujang, Kedah. Para pengkaji sejarah menemui bukti kewujudan kerajaan Hindu-Buddha di kawasan ini sekurang-sekurangnya sejak tahun 110 Masihi.[35], menunjukkan pengaruh India yang kuat dalam masyarakat Melayu ketika itu.

Tiada bukti yang tepat tentang tarikh pelayaran orang India yang terawal merentasi teluk Bengal, tetapi bukti arkeologi yang ditemui di lembah Bujang menunjukkan orang Melayu di semenanjung telah berdagang dengan India sejak abad pertama masihi.[36] Perkembangan perdagangan dengan India telah membawa kepada penyebaran agama-agama besar India, agama Hindu dan agama Buddha, ke seluruh pelusuk alam Melayu. Tempat-tempat ibadat mula dibina berdasarkan seni bina India, dan ketua-ketua tempatan mula menggelar diri mereka Raja dan menyerap banyak aspek utama dari sistem pemerintahan feudal India.[37] Kemudiannya, muncul negeri-negeri maritim Melayu kecil di kawasan pesisir pantai semenanjung tanah Melayu seperti Chi Tu (abad pertama), Gangga Negara (abad ke-2), Langkasuka (abad ke-2), dan Kedah (abad ke-4). Di antara abad ke-7 dan ke-13, sebahagian besar dari negeri-negeri maritim yang makmur ini berada di bawah kawalan longgar empayar Srivijaya, sebuah kerajaan Melayu agung yang berpusat di Palembang, Sumatera.[38]

Empayar buddha Srivijaya, antara empayar Melayu raya awal di rantau kepulauan Melayu.

Pengaruh Srivijaya tersebar di semua kawasan pesisir Sumatera dan semenanjung tanah Melayu, Jawa barat, Borneo barat dan beberapa kawasan lain di kepulauan Melayu. Dengan naungan India dan China, kekayaannya sebahagian besar diperolehi melalui perdagangan. Pada zaman kegemilangannya, bahasa Melayu Kuno digunakan sebagai bahasa rasmi dan menjadi lingua franca serantau, menggantikan Sanskrit, bahasa utama Hindu dan Buddha[37]. Zaman Srivijaya dianggap zaman kegemilangan budaya Melayu.

Kemegahan Srivijaya bagaimanapun mula merosot selepas serangan besar-besaran Empayar Chola pada abad ke-11 yang langsung melumpuhkan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Sisa terakhir empayar Melayu itu di Dharmasraya akhirnya dihancurkan oleh penyerang-penyerang Jawa dari Singhasari yang melancarkan ekspedisi Pamalayu (Pamalayu secara harfiah bermakna: perang terhadap Melayu) pada penghujung abad ke-13.

Keruntuhan empayar Srivijaya telah menyebabkan kerabat dirajanya menjadi pelarian di wilayah-wilayah yang masih setia, dan terdapat beberapa percubaan oleh putera-putera Melayu untuk menghidupkan kembali empayar tersebut. Pada tahun 1324, dengan sokongan abdi-abdi empayar yang setia iaitu Orang laut, seorang putera Melayu Srivijaya, Sang Nila Utama telah menubuhkan kerajaan Singapura di Temasek[39]. Dinastinya memerintah pulau tersebut sehingga penghujung abad ke-14 apabila kerajaan Melayu itu sekali lagi menghadapi serangan dari tanah Jawa yang dilancarkan Majapahit. Pada 1401, cicit Sang Nila Utama, Paduka Sri Maharaja Parameswara berundur ke pesisir pantai barat semenanjung tanah Melayu dan menubuhkan Kesultanan Melaka[40]. Kesultanan Melaka menggantikan tempat Srivijaya sebagai kuasa politik Melayu serantau dan mewarisi banyak dari tradisi diraja dan budaya Melayu, termasuk sebahagian besar wilayah-wilayah yang pernah dikuasai pendahulunya[41][42][43].

[sunting] Pengislaman

Luasnya Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Dua perkembangan utama yang mengubah sejarah Melayu muncul pada permulaan abad ke-12 dan ke-15. Yang pertama adalah ketibaan Islam: dan yang kedua adalah kebangkitan Kesultanan Melaka di pesisir pantai barat daya semenanjung tanah Melayu.[44]

Agama Islam tersebar di kawasan pesisir pantai yang kininya negeri Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu, dari sekurang-kurangnya abad ke-12.[45] Bukti arkeologi terawal tentang kedatangan Islam di semenanjung ialah sebuah batu bersurat bertarikh abad ke-14 yang ditemui di negeri Terengganu, Malaysia[44].

Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka, yang hegemoninya melangkaui bahagian barat kepulauan Melayu, menjadi pusat utama penyebaran agama Islam di timur. Tradisi Melaka kemudiannya diwariskan ke generasi seterusnya dan membentuk nilai-nilai utama identiti Melayu.[46][47] Ketika era inilah, agama Islam menjadi sebati dengan masyarakat dan budaya Melayu dan menjadi aspek terpenting dalam pentakrifan identiti "Melayu".[48][49][50].

Pada tahun 1511, bandar Melaka jatuh ke tangan konkuistador Portugis. Meskipun begitu, Melaka tetap menjadi suatu prototaip institusi: satu paradigma tata urus negara dan satu titik rujukan budaya untuk negeri-negeri pengganti seperti Kesultanan Johor (1528–kini), Kesultanan Perak (1528–kini) dan Kesultanan Pahang (1470–kini)[46].

Di seberang Laut China Selatan, satu lagi kerajaan Melayu, Kesultanan Brunei (1363–kini) telah bangkit menjadi pesaing pelabuhan maritim yang utama kepada Melaka. Brunei mencapai puncak kegemilangannya pada pertengahan abad ke-16 apabila ia mengawal tanah jauh ke selatan ke kawasan yang kininya Kuching di Sarawak dan ke utara sehingga ke kepulauan Filipina[51].

Kesultanan-kesultanan Melayu utama yang lain ialah Kesultanan Kedah (1136–kini) dan Kesultanan Patani (1516–1771) yang menguasai bahagian utara semenanjung tanah Melayu.

[sunting] Budaya

[sunting] Bahasa

Batu Bersurat Kedukan Bukit yang ditulis dalam Tulisan Pallava, ditemui pada tahun 1920 di Kedukan Bukit, Sumatra Selatan. Bertarikh 683 AM, ia adalah artifak tulisan Melayu yang tertua masih wujud.
Rencana utama: Bahasa Melayu

Bahasa Melayu ialah satu bahasa dari keluarga Austronesia yang merupakan antara bahasa utama di dunia.[52] Variasi dan dialek-dialek Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Ia juga ditutur di Thailand, Filipina, Kepulauan Cocos (Keeling), Pulau Krismas, Sri Lanka, Suriname. Penutur aslinya berjumlah sekitar 33 juta orang di kepulauan Melayu dan ia digunakan sebagai bahasa kedua oleh anggaran 220 juta orang.[52]

Batu Bersurat Terengganu, artifak tulisan tertua dengan tulisan Jawi di atasnya. Kandungannya ialah hukum tempatan yang dipengaruhi Syariat Islam dan oleh itu adalah salah satu bukti terawal pengaruh Islam di Malaysia.

Bahasa Melayu Kuno mula tersebar dengan meluas di kepulauan Melayu ketika zaman kekuasaan empayar Srivijaya. Ia kemudiannya digantikan dengan bahasa Melayu Klasik yang muncul bersama dengan kedatangan Islam dan mencapai puncak kegemilangannya ketika zaman kesultanan Melaka. Pada kurun ke-15, ia tersebar ke kawasan-kawasan yang di luar kekuasaan Melaka seperti Ternate dan Tidore di Maluku utara. Ketika era ini, bahasa Melayu juga menjadi bahasa istana dan sastera di kerajaan-kerajaan di luar kawasan penutur tradisional bahasa Melayu.[53]

Pada zaman dahulu, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa ilmu utama di kalangan para ilmuwan Islam. Para pengarang Eropah abad ke-18, seperti Tavernier, Thomassin dan Werndly menggambarkan bahasa Melayu sebagai "bahasa ilmu di seluruh Hindia Timur, sepertimana bahasa Latin di Eropah"[54] Ia juga adalah bahasa yang paling meluas digunakan ketika zaman penjajahan British dan Belanda di Kepulauan Melayu[55].

Loghat Kesultanan Johor atau Johor-Riau adalah tuturan piawai di kalangan orang Melayu di Singapura dan Malaysia, dan ia menjadi dasar asal untuk bahasa Indonesia piawai[56][57][58][59]. Di semenanjung tanah Melayu, loghat Kelantan dalam bentuk tulennya adalah yang paling sukar untuk difahami. Loghat semenanjung lain termasuk loghat Kedah, loghat Melaka, loghat Negeri Sembilan, loghat Perak, loghat Pahang dan loghat Terengganu. Di Thailand, Melayu Satun bertutur seperti loghat Kedah sementara yang di wilayah-wilayah Patani bertutur seperti loghat Kelantan. Di Brunei, ada pelbagai loghat Melayu yang digunakan; Bahasa Melayu Diraja, Kedayan, Kampong Ayer, Bahasa Melayu Pasar dan Bahasa Melayu Brunei[60].

Bahasa Melayu mengikut sejarah ditulis dalam Pallava, Kawi dan Rencong. Selepas ketibaan Islam, tulisan Jawi yang berasaskan abjad Arab mula digunakan dan masih wujud hari ini sebagai tulisan rasmi di Malaysia dan Brunei [61], dan juga tulisan rasmi untuk bahasa Yawi di selatan Thailand. Bermula dari abad ke-17, akibat dari penjajahan British dan Belanda, tulisan Jawi secara beransur-ansur digantikan dengan tulisan Rumi[62] yang akhirnya menjadi tulisan moden rasmi untuk bahasa Melayu di Malaysia, Singapura, dan Indonesia ( tulisan rasmi lain di Brunei).

[sunting] Sastera

Rencana utama: Sastera Melayu

Kesusasteraan Melayu kaya dengan khazanah sastera lisan dan sastera klasik yang sebilangan besarnya mengandungi kisah dari pelbagai lapisan masyarakat, dari pekerja rumah tangga ke menteri, dari hakim ke Raja, dan merentasi pelbagai zaman, dari zaman silam hingga ke zaman kontemporari, yang bersama-sama membentuk identiti kemelayuan yang pelbagai[63].

Hikayat Merong Mahawangsa dalam tulisan Jawi. Ia juga digelar Sejarah Kedah dan merupakan sebuah karya sastera Melayu silam yang membabadkan keturunan Merong Mahawangsa dan pengasasan negeri Kedah.

Bahasa Melayu ialah bahasa yang lembut dan halus. Keaslian dan keindahan sastera Melayu dapat dilihat dalam elemen puisinya, yang menekankan penggunaan rima dan irama. Antara bentuk puisi Melayu yang terkenal ialah - Pantun, Syair dan Gurindam.

Bentuk terawal sastera Melayu adalah sastera lisan dan tema utamanya ialah cerita dongeng tentang alam semula jadi, haiwan dan manusia. Cerita dongeng dihafal dan diwarisi dari satu keturunan penglipur lara ke keturunan yang seterusnya. Banyak dari cerita-cerita ini dikarang oleh penglipur lara contohnya; Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Budiman, Hikayat Raja Donan, Hikayat Anggun Cik Tunggal, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Apabila pengaruh budaya India mula menyebar ke seluruh kepulauan Melayu kira-kira 2000 tahun yang lalu, sastera Melayu mula menggabungkan elemen-elemen dari India. Pada zaman Hindu-Buddha ini, karya-karya dari sastera Sanskrit dan mitologi Hindu diterjemah, dan diadaptasi ke dalam sastera Melayu. Antara karya-karya yang bersusur galur dari zaman ini ialah Hikayat Seri Rama (suatu terjemahan bebas Ramayana) dan Hikayat Panca Tanderan (suatu adaptasi Hitopadesha) [64].

Zaman sastera Melayu klasik bermula selepas ketibaan Islam dan penciptaan tulisan Jawi (tulisan yang berasaskan abjad Arab). Sejak itu, elemen-elemen Islam mula membawa pengaruh yang besar dalam sastera Melayu. Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303, adalah penulisan naratif Melayu terawal yang diketahu wujud. Batu ini dipahat dengan catatan sejarah, undang-undang, dan kisah cinta dalam tulisan Jawi[65]. Karya yang dianggap terpenting dalam sastera Melayu pula ialah Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang sangat masyhur itu. Ia pernah digelar karya sastera Melayu yang "paling masyhur, mempunyai ciri tersendiri, dan yang terbaik", oleh sarjana terkenal dalam pengajian Melayu, Sir Richard O. Winstedt.[66] Tarikh sebenar bila Sejarah Melayu ditulis dan siapa penulis asalnya adalah tidak diketahui[65], namun atas titah perintah Sultan Alauddin Riayat Shah III dari Johor pada 1612, Tun Sri Lanang menyelia proses penyuntingan dan penyusunannya.[67].

Pada abad ke-19, sastera Melayu telah mengalami revolusi penting melalui karya-karya Abdullah Abdul Kadir Munshi, seorang munshi Singapura kelahiran Melaka yang terkenal[64]. Pada zamannya, Abdullah dianggap sebagai orang Melayu yang paling terpelajar pernah menulis[64], salah seorang pembaharu terhebat dalam persuratan Melayu[68] dan juga dianggap bapa sastera Melayu moden[65]. Karya-karya beliau yang terpenting ialah Hikayat Abdullah (sebuah autobiografi), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan ( catatan tentang perjalanannya untuk kerajaan Singapura ke Kelantan), dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Mekah (catatan tentang perjalanannya untuk menunaikan Haji di Mekah). Karya-karya beliau merupakan inspirasi bagi generasi pengarang yang seterusnya dan menandakan tahap awal peralihan dari zaman sastera Melayu klasik ke zaman sastera Melayu moden.[68].

[sunting] Agama

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Brunei. Kerajaan ini menggasuh Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara sejak kemerdekaannya pada 1984.

Pada awalnya, orang Melayu adalah umat animisme yang mempercayai kewujudan semangat dalam semua benda.[37]. Pada permulaan Zaman Kristian, agama Hindu dan agama Buddha Mahayana diperkenalkan oleh para pedagang India ke Kepulauan Melayu, di mana ia berkembang dengan pesat sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh pedagang Arab, India dan Cina.

Seorang lelaki Melayu yang berpakaian Melayu menunaikan solat di sebuah masjid. Dianggarkan 99.99% orang Melayu kini adalah pengikut Islam Sunah Waljamaah. Gejala murtad di kalangan orang Melayu Islam adalah sangat jarang, tetapi bukan tidak pernah didengari.

Pada abad ke-15, aliran mazhab Sunah Waljamaah ortodoks tersebar dengan meluas di kepulauan Melayu di bawah peranan kesultanan Melaka. Berbeza dengan agama Hindu yang mengubah masyarakat Melayu awal secara lahiriah, Islam dapat dikatakan berakar kuat dalam hati dan minda orang Melayu[69] Selepas zaman ini, secara tradisinya, identiti orang Melayu adalah sangat berkait rapat dengan Islam[70] dan ia berkekalan sehingga hari ini[69] Kaitan ini sangat kuat sehinggakan apabila seseorang dari suku lain memeluk agama Islam di alam Melayu, beliau dikatakan akan "masuk Melayu"[48].

Dari pemerhatian orientalis Inggeris dan pentadbir kolonial Malaya British, Richard Olaf Winstedt yang pernah berada di Tanah Melayu dari tahun 1902 hingga 1939, kepercayaan-kepercayaan lama yang berasal dari zaman sebelum Islam masih berakar dalam budaya Melayu pada zaman tersebut. Aliran sufisme atau unsur mistik dari mazhab Syiah, yang sepatutnya tiada tempat dalam mazhab Sunah Waljamaah ortodoks juga diamalkan oleh orang Melayu, disamping unsur-unsur lama dari fahaman animisme dan agama Hindu-Buddha[71].

Keadaan ini bagaimanapun berubah pada era pembaharuan Islam (juga digelar Islamisasi semula[72]) yang berlaku di seluruh dunia pada tahun 1970an. Banyak amalan dan tradisi yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengandungi unsur-unsur kepercayaan lama yang syirik mula ditinggalkan oleh orang Melayu. Antaranya ialah temasya Mandi Safar yang sangat terkenal diamalkan suatu ketika dahulu. Pesta mandi untuk kesucian rohani ini dikatakan mengandungi unsur-unsur dari amalan Durga Puja agama Hindu.[73].

Lebih kurang 99.9% orang Melayu moden adalah penganut Islam dari mazhab Sunah Waljamaah[9][10][11] dan semua perayaan-perayaan terpenting Melayu adalah perayaan Islam; Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Awal Muharram (Tahun Baru Islam) dan Maulidur Rasul (Hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W).

[sunting] Seni bina

Replika istana Kesultanan Melaka yang dibina berdasarkan maklumat dan data yang diperolehi dari Sejarah Melayu. Teks bersejarah ini mengandungi rujukan tentang pembinaan dan seni bina istana-istana pada era pemerintahan Sultan Mansur Shah dari tahun 1458 hingga 1477.

Seni bina kediaman asli di kepulauan Melayu boleh dibahagikan kepada dua bentuk utama. Yang pertama ialah bentuk kediaman puak yang terbahagi pula kepada dua iaitu bentuk vernakular orang asli dan bentuk imej bot yang dimiliki suku kaum Flores, Nias, Batak, Melanesia, Toraja dan Papua. Bentuk kedua ialah seni bina masyarakat maritim pesisir yang lebih maju seperti Melayu, Bugis, Acheh, Minangkabau dan lain-lain, yang mendirikan pelabuhan, kerajaan, malah empayar-empayar.[74] Seperti juga dalam seni bina suku-suku lain di kepulauan Melayu, kayu merupakan bahan utama dalam pembinaan rumah tradisional Melayu[44]. Bagaimanapun, penemuan struktur batu lama terutamanya binaan rumah ibadat dari zaman kerajaan-kerajaan Melayu purba di tanah Melayu dan empayar Srivijaya, membuktikan yang orang Melayu juga menggunakan batu dalam pembinaan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, lapangan terbang ini menggabungkan beberapa ciri seni bina Melayu tradisional.

Terdapat bukti arkeologi binaan candi campuran batu dan kayu di lembah bujang, Kedah yang dipengaruhi oleh seni bina India bertarikh seawal kurun pertama sebelum Masihi. Dalam kawasan yang berkeluasan lebih 350 kilometer persegi, 87 tapak bersejarah telah dilaporkan yang terdiri dari relau besi, dewan dan jeti di sepanjang sungai purba Lembah Bujang.[75][76] Terdapat juga candi-candi yang ditemui di puncak-puncak gunung, satu ciri yang mungkin berasal dari kepercayaan orang Melayu purba mengenai kesucian tempat-tempat tinggi[77].

Candi Muara Takus dan Candi Muaro Jambi di Sumatra merupakan antara peninggalan arkeologi yang berkaitan dengan elemen-elemen seni bina empayar Srivijaya. Sebahagian besar peninggalan seni bina Srivijaya dapat juga ditemui di Chaiya (kini sebuah wilayah di Thailand) di Semenanjung Melayu, yang pernah menjadi pusat terpenting pada zaman Srivijaya[78][79][80]. Bentuk unik struktur rumah ibadat di Chaiya terdiri daripada ruang sel yang menempatkan imej Buddha dan puncak struktur yang dinaikkan dalam bentuk stupa dengan teres yang bertingkat-tingkat, yang dapat dilihat pada Wat Pra Borom That.[79]

Gambaran orang asing yang terawal tentang seni bina Melayu di tanah Melayu dapat ditemui dalam beberapa catatan China. Satu catatan dari abad ke-7 menceritakan tentang penziarah-penziarah Buddha yang singgah di Langkasuka ada menerangkan yang bandarnya dikelilingi tembok dengan menara-menara peninjau, dan memiliki pintu berkembar yang besar[81] Satu lagi catatan abad ke-7 oleh utusan khas China ke Kerajaan Bumi Merah merekodkan yang ibu kotanya mempunyai 3 pintu utama yang jarak antaranya adalah 100 langkah dan dihiasi dengan lukisan bertemakan Buddha dan semangat-semangat wanita.[74]

Rumah adat Melayu Sarawak dari Borneo Malaysia.

Keadaan fizikal binaan kayu yang mudah rosak dan kurangnya catatan tentang hasil seni bina sebelum abad ke-15, menyebabkan pengetahuan terperinci tentang seni bina Melayu terhad kepada 500 tahun dahulu sahaja. Keterangan terperinci tentang seni bina Melayu yang terawal adalah mengenai Istana besar Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari tahun 1458 hingga 1477.[44][74]. Menurut Sejarah Melayu, bangunan ini mempunyai tujuh struktur ruang di atas tiang-tiang kayu, dengan tujuh bumbung dari genting tembaga yang berlapis-lapis dan menara-menara bersadur emas, dihiasi dengan cermin kaca Cina[74] Sumber Portugis juga ada menerangkan tentang Istana Sultan Mansur Shah serta binaan masjid batu di Melaka.

Anjung Seni Idrus Tintin di Pekanbaru, Riau. Sebuah pusat pertunjukan seni utama di Indonesia bercirikan seni bina Melayu.

Rumah adat Melayu tradisional dibina menggunakan struktur rangka kayu yang sederhana. Ia biasanya mempunyai bumbung yang cerun, serambi di bahagian depan, siling tinggi, banyak bukaan di dinding untuk pengalihan udara[82], dan sering dihiasi dengan ukiran kayu yang indah. Kecantikan dan kualiti ukiran kayu Melayu melambangkan taraf sosial dan pangkat pemilik-pemiliknya.[83] Hasil seni bina Melayu yang paling indah biasanya dapat dilihat pada istana raja-raja dan rumah golongan bangsawan serta rumah-rumah ibadat tradisional.

Banyak elemen reka bentuk seni bina Melayu kini diadaptasi pada struktur moden untuk mencerminkan identiti Melayu. Struktur bumbung beralun yang disokong oleh kaki bajang di bangunan KLIA adalah diilhamkan dari rumah kampung gaya Melayu tradisional. Kayu yang merupakan elemen penting dalam pembinaan bangunan Melayu tradisional, juga diterjemahkan dan digunakan semula dalam landskap moden di KLIA dan Putrajaya. Di Putrajaya, pejabat Perdana Menteri dibariskan dengan panel kayu untuk mencapai matlamat reka bentuk ini. Bahagian bawah struktur atap berkubah KLIA kelihatan seakan-akan "melitupi jalur nipis kayu" yang menurut arkiteknya, "mencerminkan struktur kayu vernakular Malaysia, menginterpretasi semula kaedah pembinaan tradisional dan menguatkan identiti tempatan". Selain itu, elemen-elemen bukan seni bina warisan Melayu juga digunakan pada bangunan moden. Pintu masuk ke dalam Menara Kembar Petronas dihiasi dengan motif-motif Melayu kontemporari yang diadaptasi dari seni kraftangan tradisional, termasuk Songket dan ukiran kayu yang diilhamkan dari imej-imej hutan hujan tropika[84].

[sunting] Seni tampak

Ukiran kayu adalah bahagian utama seni tampak Melayu klasik. Orang Melayu secara tradisinya menghiasi tugu, bot, senjata, kubur, alat muzik, dan perkakas dengan motif bunga, seni khat, geometri dan ciri kosmos. Seni ini dihasilkan dengan membuang sebahagian permukaan kayu dengan alat-alat tajam, mengikut corak-corak, gubahan dan susunan khusus. Ia dilihat sebagai satu bentuk pengabdian si tukang kayu kepada Sang Pencipta dan anugerah kepada masyarakat.[85]

Seni ukiran kayu berkembang maju dalam budaya Melayu hasil dari banyaknya sumber kayu di kepulauan Melayu dan juga kemahiran tukang kayu. Kayu yang biasa digunakan ialah spesis kayu keras tropika yang tahan lama dan mampu menahan serangan kulat, kumbang dan anai-anai. Selain itu, iklim tropika semula jadi yang memiliki kepelbagaian flora dan fauna serta daya kosmik, telah memberi inspirasi kepada motif-motif samada dalam bentuk abstrak atau stail di atas papan kayu. Dengan kedatangan Islam, bentuk geometri dan seni khat Islam telah diperkenalkan dalam seni ukiran kayu.[86]

Rumah-rumah atau masjid Melayu tradisional biasanya akan dihiasi dengan lebih daripada 20 komponen ukiran. Ukiran pada dinding dan panel membenarkan aliran udara yang berkesan di dalam dan luar bangunan dan dapat membiarkan sinaran matahari menerangi bahagian dalam struktur. Pada masa yang sama, bayang-bayang berasaskan motif-motif yang terhasil dari panel akan menambah seri pada bahagian lantai. Oleh itu, setiap ukiran kayu tidak hanya untuk nilai estetika semata-mata, tapi juga untuk fungsi-fungsi khusus.

[sunting] Masakan

Rencana utama: Masakan Melayu
Nasi Lemak, nasi yang dikukus dengan santan.

Setiap wilayah tradisional Melayu mempunyai makanan khasnya yang tersendiri - Terengganu dan Kelantan terkenal dengan Nasi dagang, Nasi kerabu and Keropok lekor, Negeri sembilan dengan masakan berlemak, Pahang dengan gulai tempoyak, Kedah dengan Asam laksa, Melaka dengan Asam pedas dan Brunei dengan hidangan Ambuyat.

Ciri utama masakan tradisional Melayu ialah penggunaan rempah ratus yang banyak, serta santan yang penting untuk menghasilkan makanan berlemak dan pekat. Perasa seperti belacan dan budu adalah penting untuk menambah kesedapan makanan. Belacan juga digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal, satu lagi perasa utama dalam hidangan. Masakan Melayu juga banyak menggunakan lengkuas dan serai makan.[41]

Hampir setiap masakan Melayu dihidang bersama dengan nasi, makanan ruji kepada orang Melayu dan juga kebanyakan etnik lain di Asia. Walaupun terdapat banyak jenis makanan dalam masakan Melayu, biasanya semua dihidangkan sekaligus, tanpa turutan sajian seperti dalam budaya Barat. Makanan akan dijamah dengan tertib menggunakan tangan kanan (tangan kiri dikhususkan untuk penyucian diri) dan orang Melayu jarang menggunakan perkakas.[44]. Oleh kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam, masakan Melayu mengikut hukum diet halal Islam secara ketat. Pengambilan proten kebanyakannya diambil dari daging lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik dan ikan. Daging babi, daging tidak halal yang lain serta alkohol adalah dilarang dan tidak terdapat dalam diet makanan seharian Melayu.

Nasi lemak, sejenis nasi yang dimasak dalam santan pekat mungkin merupakan hidangan Melayu paling terkenal yang mudah didapati di setiap pekan dan kampung Melayu serta dianggap hidangan kebangsaan Malaysia[87]. Satu lagi contoh ialah Ketupat atau nasi himpit, nasi lekit termampat yang dimasak di dalam daun kelapa, terkenal dihidang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai jenis daging dan sayur-sayuran diguna untuk menghasilkan Gulai atau Kari, sejenis hidangan kari dengan pelbagai campuran rempah yang memaparkan pengaruh India yang jelas yang diterima oleh orang Melayu sejak zaman silam. Laksa, satu kacukan masakan Melayu dan Cina Peranakan juga adalah satu hidangan yang masyhur. Masakan Melayu juga mengadaptasi sesetengah tradisi masakan jiran-jirannya, seperti rendang dari Minangkabau di Sumatra, dan satay dari Jawa, bagaimanapun orang Melayu telah membangunkan cita rasa dan resipi khas mereka yang tersendiri.

[sunting] Seni pertunjukan

Kumpulan penari Melayu Pattani mempersembahkan Mak Yong pada era pemerintahan Raja Rama V dari Siam (1853-1910).

Seni pertunjukan orang Melayu adalah kaya dengan pelbagai jenis muzik, tarian dan teater yang merupakan gabungan dari pelbagai pengaruh budaya. Jenis genre adalah pelbagai, dari drama tari Melayu asli seperti Mak Yong sehingga ke tarian-tarian dari pengaruh Arab seperti Zapin. Koreografi gerakan juga adalah berbeza-beza, dari langkah dan talaan yang mudah seperti dalam Dikir barat sehinggalah ke gerakan yang lebih sukar seperti dalam Joget Gamelan.

Muzik Melayu tradisional pada asasnya menggunakan genderang. Pelbagai jenis gong memberikan rentak untuk tarian-tarian. Terdapat juga gendang dari pelbagai saiz, dari rebana ubi besar yang digunakan untuk acara penting hingga ke kompang kecil yang digunakan untuk mengiringi persembahan dalam upacara keagamaan dan perkahwinan.[88]

Kesenian Nobat merupakan alat kebesaran diraja dan menurut catatan sejarah ia digunakan sejak zaman Kesultanan Kedah dan Kesultanan Melayu Melaka. Ia adalah lambang kebesaran Raja-Raja Melayu sehingga hari ini dan hanya dipersembahkan dalam upacara-upacara keagamaan dan diraja yang penting, contohnya dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Orkestra tradisional Nobat terdiri dari alat muzik nehara, gendang, nafiri, serunai dan kadang kadang termasuk gong bertombol dan sepasang simbal.[44]

Pengaruh India adalah kuat dalam wayang kulit di mana kisah-kisah dari epik Hindu; Ramayana & Mahabharata menjadi repertoir utama. Terdapat empat jenis teater wayang kulit yang dapat ditemui di semenanjung Tanah Melayu; Wayang Gedek, Wayang Purwa, Wayang Melayu dan Wayang Siam[89][90][91].

Antara seni pertunjukan Melayu lain yang terkenal ialah; teater Bangsawan, balada cinta Dondang sayang dan tarian Mak Inang dari Kesultanan Melaka, teater Jikey dan Mek Mulung dari Kedah, tarian Asyik dan drama tari Menora dari Patani dan Kelantan, drama tari Ulek mayang dan tarian Rodat dari Terengganu, dan teater Boria dari Pulau Pinang.

[sunting] Pakaian tradisional

Kanak-kanak Melayu berpakaian tradisional ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri

Dalam budaya Melayu, pakaian dan tekstil adalah sangat tinggi kedudukannya dan melambangkan kecantikan, kuasa dan pangkat. Beberapa keterangan dalam Hikayat-Hikayat Melayu ada menekankan peri pentingnya kedudukan tekstil.[92] Sejarah industri tenunan Melayu dapat ditelusuri sejak abad ke-13 apabila laluan perdagangan di Timur berkembang pesat di bawah peranan kerajaan dinasti Song. Keterangan tentang tekstil buatan tempatan dan kemajuan industri penyulaman di semenanjung Tanah Melayu ada dinyatakan dalam beberapa catatan China dan India.[92] Antara jenis tekstil Melayu yang terkenal dan masih wujud sehingga hari ini ialah Songket dan Batik.

Pakaian tradisional Melayu terawal adalah ringkas, wanitanya mengenakan sarung yang menutup bahagian bawah tubuh hingga ke dada sementara lelakinya mengenakan baju ringkas, samada berlengan atau tidak, dengan seluar pendek hingga ke paras lutut. Bagaimanapun, apabila perdagangan dengan dunia luar berkembang maju, cara berpakaian orang Melayu mula mendapat pengaruh luar dan berubah menjadi lebih sofistikated. Abad ke-15 adalah kemuncak zaman kesultanan Melayu Melaka yang Islam adalah agama rasminya. Seperti diceritakan dalam Sejarah Melayu, ketika inilah pakaian tradisional Baju Melayu dicipta. Pengaruh Islam yang kuat telah mengubah cara berpakaian orang Melayu kemudiannya kepada ciri-ciri yang bersesuaian dengan agama Islam. Pakaian umum Melayu klasik untuk lelaki terdiri dari baju, seluar kaki kecil, sarung yang dipakai di pinggang, dan tanjak atau tengkolok yang dipakai di kepala. Adalah perkara biasa bagi seorang pahlawan Melayu menyisipkan keris di lipatan hadapan sarung. Pakaian Melayu versi wanita yang terawal pula adalah lebih longgar dan panjang. Bagaimanapuan ia kemudiannya diperbaharui dan dipopularkan Sultan Abu Bakar dari kesultanan Johor pada lewat kurun ke-19, menjadi bentuk baju kurung yang dipakai sehingga hari ini.

Terdapat pelbagai bentuk dan variasi pakaian tradisional Melayu yang wujud mengikut rantau-rantau yang berbeza, namun jenis yang paling masyhur sehingga hari ini ialah baju kurung (untuk wanita) dan baju Melayu (untuk lelaki), yang kedua-duanya diakui sebagai pakaian kebangsaan untuk Malaysia dan Brunei[93][94] dan masih dipakai oleh komuniti Melayu di Singapura, Thailand dan Indonesia. Berbeza dengan baju Melayu yang masih dipakai hanya dalam upacara-upacara tertentu, baju kurung adalah lebih popular dan dipakai setiap hari oleh ramai wanita Melayu. Kelibat kakitangan awam, pekerja profesional dan pelajar wanita yang memakai baju kurung adalah pemandangan biasa di Malaysia dan Brunei.

[sunting] Seni mempertahankan diri

Rencana utama: Silat
Seorang pesilat wanita dari Singapura.

Seni Silat Melayu telah diamalkan orang Melayu sejak ratusan tahun dahulu dan kini dapat ditemui di seluruh kepulauan Melayu terutamanya di wilayah tradisi Melayu iaitu semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau, Sumatra dan pesisir pantai Borneo. Seni Silat dikatakan berkembang hasil dari pemerhatian dan peniruan gerakan haiwan seperti monyet, helang dan harimau. Ia menggabungkan gerakan menendang, menumbuk dan menjatuhkan serta penggunaan senjata. Walaupun senjata utama orang Melayu adalah Keris, terdapat juga senjata-senjata lain yang digunakan dalam silat seperti; Lading, Badik, Tekpi, Tumbuk Lada, Kerambit, Parang, Sundang, Sabit, Lembing dan batang buluh.

Sejarah asal-usul silat adalah sangat sukar dipastikan kerana kurangnya rekod bertulis yang wujud, selain dari sejarah lisan dan legenda yang diperturunkan oleh mahaguru-mahaguru silat. Dipercayai pada abad ke-6 masihi, seni perang Melayu terawal telah mula diamalkan di semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Bentuk-bentuk terawal Silat dikatakan telah berkembang dan digunakan dalam angkatan bersenjata kerajaan-kerajaan Melayu purba di semenanjung seperti Langkasuka dan Kedah serta empayar Srivijaya.[95][41][96][97]

Pengaruh empayar Melayu Srivijaya dan Kesultanan Melaka telah menyumbang kepada penyebaran seni mempertahankan diri ini ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Melalui rangkaian muara-muara dan sungai-sungai yang menjadi pusat utama perdagangan, Silat tersebar jauh ke masyarakat pedalaman. Pahlawan legenda Melayu dari Melaka, Laksamana Hang Tuah merupakan seorang pesilat yang paling terkenal dalam sejarah[98] bahkan dianggap sesetengah pihak sebagai bapa silat Melayu.[99] Sejak zaman klasik Melaka, Silat mengalami diversifikasi yang besar sehingga muncul pelbagai aliran dan variasi yang kemudiannya membentuk apa yang kini diakui secara tradisional sebagai sumber kepada Pencak Silat, istilah generik untuk semua seni mempertahankan diri Indonesia.[100][101] Di Malaysia sahaja, terdapat lebih dari 150 perguruan Silat dari aliran yang berbeza-beza, antara aliran utama perguruan silat yang terkenal ialah Silat Gayong, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Lian dan Silat Terlak.[102]

Selain dari seni Silat, Tomoi juga diamalkan oleh orang Melayu terutamanya di negeri-negeri utara semenanjung Tanah Melayu. Sama seperti Pradal serey dan Muay Thai, Tomoi merupakan salah satu varian kickboxing versi Indo-China yang dipercayai telah disebarkan di tanah besar Asia Tenggara sejak zaman empayar Funan.

[sunting] Permainan tradisional

Sebuah bengkel pembuat wau di Kelantan, Malaysia.

Permainan Melayu tradisional biasanya memerlukan kemahiran kraf dan kecekapan tangan, dan asal-usulnya dapat ditelusuri sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sepak raga dan layang-layang adalah antara permainan tradisional yang ada dinyatakan dalam teks Sejarah Melayu, dimainkan oleh golongan bangsawan dan keluarga diraja Kesultanan Melayu Melaka.[103][104][105]

Sepak Raga yang kini dikenali sebagai Sepak takraw adalah salah satu permainan Melayu yang termasyhur dan telah dimainkan sejak ratusan tahun dahulu. Secara tradisi, Sepak raga dimainkan dalam bulatan dengan menendang dan menimbang bola rotan menggunakan mana-mana bahagian badan kecuali lengan dan tangan. Ia kini diakui sebagai sukan kebangsaan Malaysia[106][107] dan dimasukkan dalam temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Asia Tenggara.

Permainan masyhur yang lain adalah permainan Gasing yang biasanya dimainkan selepas musim menuai. Kemahiran hebat dalam pertukangan adalah diperlukan untuk menghasilkan gasing yang paling kompetitif, ada di antaranya yang dapat berputar sehingga dua jam lamanya.[41]

Kemungkinan permainan Melayu yang paling masyhur adalah layang-layang atau lebih dikenali sebagai Wau di semenanjung Tanah Melayu. Pertandingan menerbangkan Wau mengambil tempat dengan hakim-hakim menganugerahkan markah untuk kemahiran pertukangan (Wau adalah objek cantik yang berwarna-warni yang dibina dengan bingkai buluh), bunyi (semua layang-layang Melayu direka bentuk agar dapat menghasilkan bunyi khas apabila berada di udara) dan ketinggian.[41]

Orang Melayu juga mempunyai satu varian mainan berpapan Mancala yang dikenali sebagai Congkak. Permainan ini dimainkan dengan mengalih buah congkak yang diperbuat dari batu, guli, manik atau kerang, pada papan kayu yang berlubang dua belas atau lebih. Mancala diakui sebagai permainan tertua di dunia dan telah dimainkan sejak zaman Mesir Kuno. Apabila permainan ini tersebar luas di seluruh dunia, setiap budaya telah mencipta variannya yang tersendiri termasuklah orang Melayu.[41]

[sunting] Nama dan Pangkat

Nama peribadi Melayu adalah kompleks, mencerminkan struktur masyarakatnya yang berhierarki, dan pangkat dianggap sangat penting. Ia telah mengalami perubahan yang besar mengikut peredaran zaman, dan mencermikan pelbagai pengaruh luar ke atas masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya. Walaupun sesetengah nama Melayu moden masih mengekalkan pengaruh dari nama Melayu asli dan Sanskrit, sebagai umat Islam, orang Melayu telah lama menggunakan nama Arab sebagai tanda agama mereka.

Nama Melayu adalah mengikut sistem patronimi dan boleh terdiri dari sehingga empat bahagian; pangkat, nama diberikan, nama keluarga, dan nama bapa. Sesetengah nama diberikan dan nama bapa boleh terdiri dari dua atau tiga nama, yang menghasilkan nama penuh yang sangat panjang. Contohnya, salah seorang pemain bola sepak kebangsaan Malaysia adalah Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, di mana 'Mohd Aidil Zafuan' adalah tiga nama diberikan dan 'Abdul Radzak' adalah dua nama bapanya.

Selain itu, bahasa Melayu juga mempunyai sistem pangkat dan kehormatan yang sangat kompleks, yang sehingga kini masih digunakan dengan meluas di Malaysia dan Brunei. Dengan meletakkan pangkat Melayu pada nama Melayu biasa, satu nama yang lebih kompleks akan dihasilkan. Perdana Menteri Malaysia kini mempunyai nama penuh Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, di mana 'Dato' Seri' adalah pangkat kehormatan Melayu, 'Mohd Najib' adalah nama peribadinya, 'bin' memperkenalkan pangkat dan nama bapanya, 'Tun' adalah darjah kemuliaan yang lebih tinggi, 'Haji' menandakan bapanya pernah menunaikan Haji di Mekah, dan 'Abdul Razak' adalah nama peribadi bapanya.

Bagaimanapun, nama-nama Melayu yang lebih kompleks dimiliki oleh kerabat diraja Melayu terutamanya Raja-Raja Melayu yang sedang memerintah. Yang di-Pertuan Agong Malaysia mempunyai nama penuh Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, manakala Sultan Brunei dikenali dengan nama rasmi baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

[sunting] Kumpulan sub-etnik

Kumpulan etnik Kerajaan bersejarah Rantau utama
Melayu Bangka-Belitung
Bangka belitung coa.png
Kepulauan Bangka Belitung
Melayu Bangkok[108][109]
Seal Bangkok.png Bangkok
Melayu Bengkulu
Bengkulu coa.png
Bengkulu
Melayu Brunei[110][111][112][113] Bendera Brunei Brunei
Bendera Sarawak Sarawak, Bendera Sabah Sabah
Melayu Bugis[114][115]
Keturunan Bugis yang berasimilasi dengan masyarakat Melayu
Bendera Selangor Selangor, Bendera Johor Johor, Bendera Pahang Pahang
Riau logo.gif Riau, Lambang Riau Kepulauan.jpeg Kepulauan Riau, Bendera Singapura Singapore
Melayu Deli
North Sumatra coa.png
Sumatera Utara
Melayu Jambi
Prov.Jambi.svg
Jambi
Melayu Jawa[114][115]
Keturunan Jawa yang berasimilasi dengan masyarakat Melayu

Bendera Johor Johor, Bendera Selangor Selangor
Melayu Johor[111][112][113] Bendera Johor Johor
Melayu Kedah[111][112][113][116] Bendera Kedah Kedah, Bendera Perlis Perlis, Bendera Pulau Pinang Penang, Bendera Negeri Perak Perak
Seal Phuket.png Phuket, Seal Ranong.png Ranong, Seal Satun.png Satun
Flag of Tanintharyi Division.svg
Bahagian Tanintharyi
Melayu Kelantan[111][112][113] Bendera Kelantan Kelantan
Melayu Melaka[111][112][113] Bendera Melaka Malacca
Melayu Minangkabau[114][119][120][121][122][123][124]/Melayu Negeri Sembilan
Keturunan Minangkabau yang berasimilasi dengan masyarakat Melayu.[125][126][127][128]
Bendera Negeri Sembilan Negeri Sembilan, Bendera Selangor Selangor, Bendera Melaka Malacca
Melayu Pahang[111][112][113] Bendera Pahang Pahang
Melayu Palembang
South Sumatra COA.svg
Sumatera Selatan
Melayu Pattani[111][112][113]

Seal Pattani.png Pattani, Seal Yala.png Yala, Seal Narathiwat.png Narathiwat, Seal Songkhla.png Songkhla, Seal Krabi.png Krabi
Bendera Kelantan Kelantan

Melayu Perak[111][112][113] Bendera Negeri Perak Perak
Melayu Pontianak
West Kalimantan coa.png
Kalimantan Barat
Melayu Riau
Riau logo.gif
Riau, Lambang Riau Kepulauan.jpeg Kepulauan Riau
Melayu Sarawak Bendera Sarawak Sarawak
Melayu Singapura
Bendera Singapura Singapore
Melayu Tamiang
  • Kerajaan Bukit Karang (1023-1330)[134]
  • Kesultanan Benua Tamiang (1330–1528)
Aceh coa flag.gif
Kabupaten Aceh Tamiang
Melayu Terengganu[111][112][113] Bendera Terengganu Terengganu

[sunting] Konsep Rumpun Bangsa Melayu

Rencana utama: Rumpun Bangsa Melayu

Istilah Melayu juga pernah digunakan dalam konsep Rumpun Bangsa Melayu, yang merangkumi semua kumpulan suku dan etnik yang mendiami Kepulauan Melayu seperti Aceh, Banjar, Betawi, Minang dan Jawa. Istilah ini pertama kali dicanangkan oleh saintis Jerman Johann Friedrich Blumenbach (1752–1840) dalam klasifikasi bangsa-bangsa manusia, dan popular digunakan pada zaman kolonial Eropah di kepulauan Melayu. Menurut Blumenbach, “bangsa Melayu” adalah subkategori untuk bangsa Ethiopid dan Mongoloid, dan diklasifikasikan di bawah bangsa perang[135]

No comments:

Post a Comment