Tuesday, July 2, 2013
Imam Mahdi dan sekutunya Pemuda Bani Tamim
1.Untuk mengenali peribadi Imam Mahdi dan sekutunya Pemuda Bani Tamim, Umat Islam nusantara harus berpegang kembali kepada iktiqad ahlussunnah wal jamaah yang diperjuangkan oleh para sahabat dan ahlulbait. Pegangan ini dipertahankankan sejak turun- temurun dirantau ini. Oleh itu carilah guru mursyid yang bersanad kepada Rasulullah SAW. Ulama ul’amilin. Belajarlah ilmu Islam secara sempurna (mengaji kitab secara berguru sampai habis, dari kulit ke kulit. Bukan cedok sana sikit… cedok sini sikit, ambil ilmu sekerat –sekerat, ikut silibus semata, terutama kepada golongan remaja dan pelajar universiti). Bila ada bab-bab ilmu dalam Islam yang dicebak-cebak, kemudiannya dicelahi pula oleh fahaman wahabi, syiah dan liberalisme maka Islam yang dianut sudah tidak tulen lagi. (Maaf. Ada yang belajar Islam tetapi bersanad pula kepada guru-guru Yahudi). Akibatnya Ilmu Islam itu bercampur aduk dan mengelirukan. Ajaran Islam yang dipelajari secara tidak seimbang (antara tauhid, feqah dan tasauf) akan menjadi sukar untuk difahami dan berat pula untuk diamalkan. Akhirnya penganut Islam rasa curiga dan menjauhi agamanya sendiri. Atau memahami ajaran Islam dalam ruang lingkup yang amat sempit dan jumud. ‘Label’ Islam dilihat keras dan ganas. Semua ini sudah lama dirancang oleh musuh-musuh Islam.
2. Allah SWT berjanji untuk memelihara kesahihan AlQuran. Rasulullah SAW pula bersabda bahawa pada setiap awal kurun akan datang mujaddid yang berperibadi AlQuran, mewakili Nabi akhir zaman, membimbing dan memimpin ummat kembali mengamalkan intipati ajaran AlQuran. Peranan para mujaddid membaharui, mensucikan, menghidupkan dan memperjuangkan kembali ajaran Islam yang telah tersasar dan dirosakkan oleh musuh dari masa ke masa. Kenalilah mereka, bacalah riwayat mereka dan hayatilah pengorbanan dan perjuangan mereka dalam menegakkan kebenaran. Sejarah mereka perlu digali dan dimasyhurkan kerana semakin lenyap ditelan zaman atau ‘sengaja di lupuskan’ oleh ‘musuh yang menang’. Pada mereka ada rahsia kekuatan umat Islam untuk bertahan dari satu kurun ke satu kurun, menggenggam bara api Islam sehinggalah kembali marak di akhir zaman. Perjuangan kebenaran mempunyai ciri-ciri khas, unik dan persamaan antara satu sama lain walau berlainan tempat dan zaman. Oleh itu ‘time frame’ pencarian anda harus dianjakkan lagi ke masa lampau (sejauh waktu ‘keghaiban’ Nabi Isa as) agar anda boleh menjejaki petunjok, ‘hint’, ‘clue’, petanda dan teka-teki yang mereka tinggalkan untuk menemukan Imam Mahdi yang akan muncul dipenghujung umur dunia. Perjuangan kebenaran adalah berkesinambungan, melangkaui jarak ruang, tempat dan masa. Matlamatnya adalah satu.
3. Peribadi Imam Mahdi adalah gambaran peribadi Rasululllah SAW bahkan beliau mirip baginda dalam banyak aspek, secara lahiriah dan batiniah. Beliau dari keturunan Rasulullah SAW yang mulia. Dari keluarga (ahlulbait) yang sangat kuat bersyariat dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Terpelihara (Mahfuz) dan jauh dari terlibat dengan maksiat dan dosa-dosa besar. Beliau seorang tokoh yang sangat berwibawa, mempunyai aura tersendiri, disegani kawan dan lawan, juga sultan dan rakyat jelata. Beliau adalah guru mursyid, ketua keluarga, ketua jemaah Islam, ketua ulama’, ayah-ibu, saudara dan sahabat. Beliau juga menjalani kehidupan seperti manusia biasa, diuji dengan berbagai-bagai kesusahan dan kesulitan dalam memperjuangkan Islam, mempunyai musuh dan juga simpati. Beliau menegakkan sunnah Rasululllah SAW , berdakwah dan membangunkan Islam secara berjemaah bersama pengikutnya. Tetapi ramai dikalangan pengikutnya sendiri tidak menyedari bahawa mursyid mereka itu adalah bakal Imam Mahdi.
4. Imam Mahdi adalah wali besar, bertaraf mujaddid, mempunyai kedudukan yang tinggi dikalangan para wali bahkan menjadi ketua mereka. Pernah berguru dengan Nabi Allah Khidir as. Menurut ahli sufi ‘la ya’rifal-wali illa al-wali’. Tidak akan mengetahui seorang wali, selain wali Tuhan yang lainnya (atau dalam kata lain hanya wali mengenal wali, tetapi wali itu tidak tahu dirinya wali). Justeru itu sosok Imam Mahdi sangat dikenali dan dicintai oleh para wali lainnya. Beliau juga diyakini dan diijtihadkan sebagai bakal Imam Mahdi al Muntazar jauh sebelum tempoh kezahirannya lagi . Imam Mahdi adalah pemimpin lahiriah dan rohaniah. Sebab itu beliau boleh berhubung secara rohani dengan orang-orang yang mempunyai peranan dalam proses kebangkitan Islam kali kedua walau dimana mereka berada. (Telerohani lebih canggih dari telefon).
5. Dalam sejarah kesufian, memang terdapat individu yang pernah terjebak dengan maksiat, diangkat oleh Allah menjadi wali kecil setelah taubat mereka diterima. Itulah rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Namun kedudukan mereka bukanlah sebagai pemimpin kepada ummat Islam. Mereka hanya beribadah kepada Allah dan berdoa untuk kemaslahatan ummat. Pada diri mereka lebih menonjol ciri-ciri atau watak nabi dan bukan watak rasul (sebagai pemimpin). Mereka berperanan secara bersendirian ditengah kehidupan masyarakat Islam dan kadangkala orang tidak perasan kehadiran mereka. Doa mereka sangat makbul.
6. Musuh juga sangat mengenali ciri-ciri Imam Mahdi dan tidak pernah berhenti mengesannya di mana-mana. Mereka berdatangan ke Nusantara melalui perdagangan dan penjajahan, menjejaki ahlulbait yang merantau ke daerah sini dan membunuh mereka sekiranya berpeluang. Selaku Imam Mahdi, pastinya beliau dibekalkan dengan karamah yang paling ampuh kerana beliau akan berhadapan dengan musuh no 1 iaitu Dajjal dan konco-konconya (yang memiliki teknologi sihir dan sains yang tidak kurang hebatnya). Jadi adalah wajar pada suatu ketika pihak musuh berjaya mengesannya. Maka beliau mengambil langkah segera ‘menghilangkan diri’ secara membuat tipu helah atas tujuan keselamatan dan sebab-sebab strategi. Semuanya mengandungi hikmah yang tidak mampu difahami oleh orang awam biasa.Tugas dan kepimpinan beliau diserahkan kepada orang-orang kepercayaannya dan ahli jemaahnya terpaksa bertebaran selepas itu. Sehingga musuh pun tertipu dan yakin bahawa mereka sudah ‘tersalah orang’. (Beliau juga perlu ‘pergi’ untuk ‘seketika’ mempersiapkan diri selayaknya bagi memikul amanah dan tanggungjawab yang lebih berat sebagai Khalifah Allah diakhir zaman dan akan berdepan pula secara langsung dengan Dajjal serta menyambut kedatangan Nabi Allah Isa as). Apabila gerakan musuh yang datang mencarinya mulai reda atau beralih ke tempat lain, maka usaha-usaha beliau dibangunkan semula oleh Pemuda Bani Tamim. Orang kanannya itu dapat membina semula jemaahnya yang dihancurkan oleh musuh dan mempersiapkan tapak untuk kebangkitan ummah Islam kali kedua dengan tunjuk ajar dan bimbingan beliau dari ‘balik tabir’ secara rohaniah (karamah). Musuh pada mulanya terlepas pandang kepada Pemuda Bani Tamim ini (yang dijaga, dikepung dan dikawal rapi oleh orang-orang kepercayaan Imam Mahdi). Tambahan pula musuh hanya memberi tumpuan kepada usaha mengesan Imam Mahdi. Ini memberi ruang kepada Islam untuk membina kekuatan semula hingga ke suatu tahap yang tidak boleh digugat lagi. Yang di sangkakan ular lidi, akhirnya bertukar menjadi naga.
7. Imam Mahdi dilantik oleh Allah dan Rasul , (bukan oleh orang yag membaiahnya secara paksa depan Kaabah ). Beliau menerima perlantikan dari Rasulullah SAW dalam perhimpunan para wali atau kerajaan ‘ghaib’. Beliau sudah lama berperanan malah turut serta mempertahankan orang mukmin yang berjihad fisabilillah dan yang menderita teraniaya oleh serangan musuh yang zalim . Orang awam tidak dapat mengenali beliau, walaupun sudah diwar-warkan mereka tidak percaya bahkan menentangnya (Mereka memusuhi beliau kerana jahil dan terpedaya dengan fitnah Dajjal). Sosok peribadi Imam Mahdi masih menjadi misteri kepada umat Islam, tetapi sebenarnya bukan lagi rahsia dikalangan para wali dan pejuang-pejuang kebenaran. Imam Mahdi tidak bersendirian. Mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain tanpa dapat dikesan oleh musuh . Apatah lagi saat kemunculannya sudah amat dekat. Mungkin anda pernah terserempak, mendapat berita atau bertemu dengan orang-orang beliau tetapi anda tidak menyedarinya . Mereka sedang membuat persiapan dibidang masing-masing dan berada di tempat yang tidak disangkakan. (Rahsia kalau habaq jadi habuk.) Di malam hari mereka menangisi dosa-dosa, ‘menghalusi’ lagi hubungan mereka dengan Allah SWT. Berselawat untuk Rasulullah SAW yang amat dirindui lagi dicintai. Merintih dan berdoa agar Islam mendapat kemenangan.
8. Kod–kod rahsia di dalam hadis-hadis akhir zaman terutama yang berkaitan dengan perjuangan Imam Mahdi hanya mampu diungkai dan ditafsirkan oleh Pemuda Bani Tamim kerana beliau dipimpin secara rohani oleh Nur Muhammad. Sebab itu Rasulullah SAW memerintahkan kita mencari Pemuda Bani Tamim untuk mendapatkan Imam Mahdi. Perjuangan beliau adalah meniti turutan hadis kerana beliau dapat memahami kod-kod rahsia tersebut. Orang Islam yang bersandar dengan kajian akal semata-mata tidak akan mampu mentafsirkan atau ‘melihat disebalik peristiwa’ yang sedang berlaku dihadapan mata. Banyak sumber maklumat dan bahan rujukan tidak lengkap, (termasuk sumber hadis) sama ada sudah dimusnahkan, disembunyikan atau dilemahkan. Hadis yang tersirat mempunyai maksud yang berlapis-lapis. Sebab itu musuh sering tertipu. Kekuatan IQ semata-mata tak mampu menghuraikan maksudnya yang sebenar melainkan dengan pimpinan Allah SWT dan oleh pengungkap hadis itu sendiri iaitu Nur Muhammad SAW serta mereka yang terpilih. Hati yang celik dan cerdik hanya dimiliki oleh orang-orang yang sanggup mujahadah melawan nafsu dan mengusahakan taqwa, dan semestinya mendapat pimpinan mursyid.
9. Pemuda Bani Tamim bukan tokoh sembarangan. Beliau bertaraf wali besar bahkan mujaddid dikurun ini. Beliau berani mengisytiharkan dirinya sebagai mujaddid (itu adalah sunnah, mujaddid lain sebelumnya juga melakukan hal yang sama). Supaya umat Islam dan bukan Islam boleh menerima seruan Islam dan mengikutinya. Pemuda Bani Tamim berdepan dengan penentangan kaumnya dan juga serangan musuh yang tidak berkesudahan. Jemaah kebenaran pimpinan beliau tidak dapat dimusnahkan, malah kali ini terus membesar dan berkembang seantero dunia. Dakwah beliau terangan-terangan kerana seruan Islam mesti disampaikan menggunakan seluruh jentera teknologi dan saluran komunikasi yang ada , melalui ekonomi, penerbitan, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya dalam berbagai-bagai bahasa. Pendekatan beliau adalah kasih-sayang, sangat dinamik dan relevan dengan perubahan zaman. Peranannya lebih terserlah, lebih mudah dikenalpasti dan menjangkau hampir ke seluruh lapisan masyarakat. Beliau tidak hanya bercakap Islam tetapi membuktikannya dengan membina model cara hidup masyarakat Islam yang indah dan syumul melalui jemaah pimpinannya.
10. Pemuda Bani Tamim sangat mencintai Imam Mahdi dan berjuang menyediakan tapak untuk pemerintahannya. Beliau juga berusaha mempromosikan Imam Mahdi versi ahlussunnah wal jamaah, sewaktu umat Islam sudah hampir putus harapan dengan kedatangannya atau terpengaruh dengan Imam Mahdi versi syiah dan seumpamanya. Sesiapa yang ingin bersama Imam Mahdi mestilah mendapatkan restu dari beliau terlebih dahulu (yakni membai’ahnya) termasuk sekutu-sekutu Imam Mahdi yang lain. Hanya Pemuda Bani Tamim sekutu Imam Mahdi yang bergerak atau berjuang secara terang-terangan, manakala sekutu yang lain tidak nampak ketara atau bergerak secara rahsia. Beliau akan berusaha memperkenalkan Imam Mahdi sebelum pengisytiharan di Kaabah supaya ummat Islam tidak terkeliru dengan Dajjal dan Imam Mahdi palsu yang lainnya. Dalam hal ini mereka yang direzekikan Allah sahaja yang mampu melihat, memahami, meyakini, menyahut seruan beliau dan kekal mengikuti beliau kerana sihir dan tipudaya musuh sangat mengelirukan . Tugasan beliau yang paling besar ialah tertegaknya sebuah Daulah Islamiyah, Madinah ‘kedua’ diakhir zaman. Akan sampai suatu ketika nanti, semua orang akan mengakui dan menerima kepimpinan beliau sebelum diserahkan kepada Khalifah Al Mahdi. Manakala yang masih degil, sombong dan menolak kepimpinannya adalah menjadi musuh kepada Imam Mahdi.
11. Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim berjuang bergandingan, menggunakan kaedah dan strategi baru, yang belum pernah ada dalam lipatan sejarah perjuangan Islam, sepanjang zaman. Sehinggakan musuh yang paling pakar pun tak dapat menebaknya. Mereka mendapat bantuan dari Allah SWT dan boleh mematahkan semua serangan, tipudaya dan strategi Yahudi- Jesuit dengan cara tersendiri yang kita pun tak terfikirkan. Natijahnya Islam semakin kuat dan bertambah gagah dari hari ke hari menuju kemenangan. Islam berkembang pesat menongkah arus jahiliyah moden ciptaan Yahudi-Jesuit. Musuh akan beransur menjadi lemah dan semakin lemah disebabkan usaha taqwa mereka yang berterusan.
12. Sudah terang lagi bersuluh. Hanya orang yang mempunyai kesedaran dan azam yang kuat untuk berjuang bersama Imam Mahdi akan terus mengkaji, menambah ilmu dan mencari pemimpin yang dijanjikan Allah SWT itu dengan hati ikhlas, berlapang dada dan fikiran terbuka. Jiwa mesti kuat untuk keluar dari momokan-momokan tajaan Yahudi seperti takut hantu, takut sesat, takut rugi, takut sial, takut bos, takut periuk nasi terancam, takut untuk keluar dari zon selesa, takut yang bermacam-macam hingga diri terhalang dan hilang keberanian untuk mencari dan mengakui kebenaran. Dan yang paling utama ,yakinlah bahawa kebenaran itu datang dari Tuhan, maka akan jatuh ke hati. Ia bukan setakat berlegar-legar di akal fikiran tanpa sebarang tindakan susulan. Kita hamba yang sangat lemah. Nasib kita belum tahu. Berdoalah bersungguh-sungguh agar diberi petunjuk dan kekuatan oleh Allah SWT. Ikutilah saranan baginda Rasul 1400 tahun yang silam “hendaklah kamu bersama Pemuda Bani Tamim itu kerana padanya ada alMahdi”.
No comments:
Post a Comment