Monday, May 20, 2013

Nabi Adam sezaman dengan Dinasor?

Jika pembaca antara salah seorang yang percaya kewujudan Dinosaur, pembaca juga adalah salah seorang antara jutaan manusia yang percaya wujudnya hidupan sebelum Nabi Allah, Adam as. Kemungkinan ramai antara pembaca semua tidak sedar akan hakikat ini bukan?.




Persetujuan daripada ahli arkeologi menyatakan bahawa tamadun pertama yang wujud di muka bumi adalah tamadun Mesopotamia iaitu sekitar 4000BC. Jika sekarang kita berada di tahun 2010, ini bermakna tamadun Mesopotamia adalah berusia :

4000BC+2010AD=6010 tahun

Dan ia juga bermakna, Tamadun Mesopotamia telah mencapai usia 60 abad. Manakala, agama pertama di dunia yang di rekodkan iaitu agama Hindu telah dibentuk seawal 3000BC iaitu ketika permulaan tamadun Indus di India. Disebabkan agama Hindu terlampau awal dibentuk, sehingga kini tidak diketahui siapakah sebenarnya pengasas agama Hindu ini.

Agama Hindu
 yang terdapat pada hari ini tidaklah sama dengan agama Hindu yang pada mula-mula ia diasaskan. Sepertimana agama lain, kecuali Islam, setiap agama mengalami perubahan bahkan terdapat agama yang mengalami perubahan yang ketara sepertimana agama Yahudi dan Kristian. Disebabkan agama Hindu adalah agama tertua di dunia, ahli arkeologi yang ingin menyelidik tamadun-tamadun purba akan mengkaji terlebih dahulu kitab-kitab purba agama Hindu terutamanya Veda dan itulah yang berlaku sekarang. 

Dalam kitab Taurat dan Injil dalam Book of Genesis, umur Nabi Adam as ada dinyatakan. Nabi Adam as dikatakan hidup di bumi selama 930 tahun sebelum baginda wafat. Bergitu juga dengan Hawa yang wafat hampir dengan usia Nabi Adam. Namun, di dalam al-Quran tidak pula dinyatakan usia Adam namun Rasullulah SAW pernah menyatakan dalam sabdanya bahawa umur umat terdahulu adalah panjang dan sihat pula tubuh badan mereka.

Rabbi daripada agama Yahudi sepakat menyatakan bahawa umur Adam as diturun ke bumi adalah sekitar 4000BC selari dengan tamadun pertama di dunia di Mesopotamia iaitu juga sekitar 4000BC. 

‘ADAM’ SEBELUM ADAM


Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.

Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.

Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.

(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)

Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden, di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

ZAMAN DINOSAUR?

Jika dari awal tadi penulis berkata bahawa tamadun pertama di dunia adalah berusia 4000BC. Sekarang, pembaca akan terkejut apabila menyedari bahawa zaman Dinosaur adalah jauh lebih lama daripada itu. Penemuan rangka-rangka dinosour di serata dunia membuatkan saintis percaya bahawa haiwan ini pernah mendiami bumi ini 61 juta tahun sebelum manusia.

Arkeologi sepakat menyatakan bahawa kepupusan secara besar-besaran Dinosaur adalah pada 65 juta tahun yang lampau. Penulis ingin menekankan ayat ini iaitu Kepupusan. Kepupusan adalah suatu titik di mana sesuatu spesies lenyap tanpa meninggalkan keturunan. Inilah yang berlaku kepada Dinosaur. 



Eskavasi di tapak arkeologi yang menempatkan tulang-tulang Dinosaur kebanyakkannya mempunyai tarikh Karbon-12 yang berusia 65 juta tahun yang lalu. Ia seterusnya membuatkan ahli arkeologi sepakat mengeluarkan kenyataan bahawa Dinosaur mula pupus sekitar 65 juta tahun yang lampau.

Namun apa yang mengejutkan sebenarnya adalah tarikh kepupusan iaitu pada 65 juta tahun yang lampau itu. Berbanding dengan permulaan tamadun manusia yang hanya bermula 4000BC, ia bagaikan langit dan bumi berbanding tarikh kepupusan Dinosaur.

Seperti penulis tekankan di awal artikel tadi, barang siapa yang percaya Dinosaur wujud, maka beliau adalah salah seorang daripada ribuan malah jutaan manusia yang percaya terdapatnya hidupan sebelum wujudnya manusia. Dan tarikh kepupusan Dinosaur membuktikan segala-galanya. 



Perlu diketahui bahawa ia adalah tarikh (jangka masa) kepupusan Dinosaur. Bagaimana pula tarikh permulaan hidupan Dinosaur?. Bagaimana pula dengan usia Bumi?. Apabila difikirkan daripada logik akal dan logik nakli, sememangnya terdapat hidupan sebelum turunnya Adam as ke bumi Allah ini. Pernahkah pembaca mendengar perdebatan antara malaikat dan Allah SWT semasa Allah mencipta Adam as?

MALAIKAT BERTANYA KEPADA ALLAH SWT 



adamkhalifah.JPG

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”(Al-Baqarah 2: 30)

Baris ayat “orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah”daripada hujah para Malaikat telah menimbulkan seribu satu persoalan. Bagaimana Malaikat boleh mengetahui tentang rahsia masa depan manusia sedangkan hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui?.

Meskipun malaikat memiliki keistimewaan berada di Syurga dan Arasy Allah namun pembaca jangan lupa bahawa malaikat tidak boleh mengetahui rahsia masa hadapan tanpa izin Allah. Hijab Allah sentiasa tertutup untuk makhluk-Nya kerana ia adalah perancangan Allah swt untuk perjalanan setiap makhluk-Nya.

Jadi, bagaimana malaikat boleh mengetahuinya?

HARI-HARI TERAKHIR BUMI SEBELUM TURUNNYA ADAM - MUHAMMAD ISA DAWUD



Cendiakiawan agama terutama Muhammad Isa Dawud (MID) percaya bahawa terdapatnya hidupan sebelum penciptaan Adam. Dalam buku bertajuk "Siapa penghuni Bumi Sebelum Manusia" karya MID, ada persoalan yang dibangkitkan iaitu bagaimana malaikat tahu bahawa hamba Allah yang bakal dicipta nanti (Adam & keturunannya) akan membuat ‘kerosakan’ dan ‘menumpah darah’ (berperang). Ini membuktikan sudah ada kehidupan makhluk lain sebelum manusia yang telah diturunkan syariat Islam. Cuma bezanya makhluk sebelum Adam berbeza dari segi jasad dan kemampuan intelektual. Namun mereka derhaka kepada Allah SWT selepas Allah melimpahkan kemewahan dunia kepada mereka. Akibat kebiadapan mereka menyekutukan, Allah SWT telah mengazab mereka dengan ‘kiamat’ untuk keseluruhan mereka sehingga tidak tertinggal walau sedikitpun.



Gambar (di atas) Saintis menunjuk uranium-uranium yang terurai (lihat batuan kuning) yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang lampau di Oklo, Afrika.

Menurutnya ijtihad MID, perpecahan dan peperangan atom sudah terjadi dan menyaksikan kerosakan bumi yang teruk dan hanya beberapa tempat yang selamat.Ledakan itu jugalah yang menghancurkan sebahagian besar peninggalan peradaban sebelum Adam. Beberapa manuskrip dari Sweeden turut dilampirkan sebagai bukti walaupun ia masih dalam perdebatan para cendekiawan.

Adakah selepas tamatnya zaman dinosaur, kemudian muncul pula zaman jin?.

JIN PENGHUNI BUMI SEBELUM MANUSIA 


Masih lagi berpandukan pada hujah MID dalam bukunya, disini kita boleh merenung serta membahaskan beberapa fakta dan hujah yang dikemukakan oleh beliau. MID menegaskan bahawa, Iblis adalah bangsa Jin yang dididik oleh malaikat sehingga ‘alim seperti malaikat, namun sifat takabburnya telah membuatkan Allah murka dan melaknatnya sehingga akhirat. Dengan itu, Iblis berikrar akan berusaha menyesatkan anak-anak Adam. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam At-Tabari.

Taurat Kuno
 menyebut sebuah lagenda yang mengatakan semasa penghijrahan Nabi Musa a.s. bersama 70 orang Bani Israel, sebahagian pengikut Musa telah melihat gambar-gambar yang aneh di dasar Sungai Nil. Dari gambaran penglihatan mereka gambar-gambar itu mengisahkan kehidupan peradaban sebelum kedatangan Adam. Namun, Nabi Musa melarang mereka untuk melengah-lengahkan perjalanan kerana bimbang tentera Firaun akan sempat mengejar mereka. Pengikut-pengikut Musa yang telah melihat gambar-gambar itu telah menulisnya di dalam manuskrip-manuskrip dan diwarisi oleh anak cucu mereka.

Fakta serta hujah berkenaan dengan kemampuan jin dalam menghasilkan teknologiatomdan fusion turut dikemukakan oleh MID. Persoalannya disini ialah, adakah kesan radioaktif yang ditemui di beberapa buah lokasi di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan suatu 'peninggalan' dari tamadun spesis makhluk yang disebut sebagai 'jin'?.

MID mengakhiri hujah dalam bukunya dengan satu kesimpulan yang kukuh : 

“Nabi Adam telah turun ke bumi sejak berjuta-juta tahun yang dahulu dan sebelum turunnya Adam, bumi telah dihuni oleh makhluk mukallaf yang juga diturunkan syariat agama iatu Jin. Bangsa Jin telah membangunkan peradaban-peradaban yang moden sehingga menuntut mereka engkar terhadap seruan Allah. Mereka (Jin) bertelagah sesama sendiri sehingga terjadinya ledakan atom yang menghancurkan sebahagian besar peninggalan peradaban mereka.
Kemudian Adam diturunkan dan dalam masa yang sama Allah memperkenankan doa para Jin yang mahukan diri mereka tidak dapat dilihat oleh manusia. Maka Muhammad Isa Dawud ingin memahamkan kita peradaban yang maju yang tersisa hingga sekarang itu ialah peninggalan bangsa Jin kerana hanya golongan jin yang dapat terbang ke langit, hidup di lautan dan berlari sepantas kilat.”
PENEMUAN YANG MENGEJUTKAN



Rangka berusia 10,000 tahun- Young Hol Chan

Pada 2006, dua orang penyelam Jerman telah tidak sengaja menemui rangka manusia yang mempunyai saiz kanak-kanak. Dua penyelam daripada Jerman ini sebenarnya ingin menjelajah satu Cenote di Mexico. Cenote adalah lubang besar yang ditenggalami air disebabkan oleh luluhawa dan perubahan rupabumi. Rangka kanak-kanak itu ditemui dalam satu gua di dalam Cenote tersebut.





Rangka kanak-kanak ini ditemui di gua bawah tanah dekat Tulum, Mexico. Rangka kanak-kanak yang digelar Young Hol Chan telah diakui oleh pakar-pakar arkeologi sebagai rangka kanak-kanak tertua yang pernah ditemui di benua Amerika. Rangka itu berusia 10,000 ribu tahun.!

Berbanding dengan usia tamadun pertama iaitu sekitar 6010 tahun, rangka ini sebenarnya telah membuka kunci rahsia tentang ‘manusia’ sebelum kedatangan Nabi Adam as. 



Goat’s Hole Cave, Pavillon, Gower

Pada 1823, seorang professor Geologi di Universiti Oxford, William Buckland telah menemui rangka manusia yang dianggar berusia kira-kira 18,000 di sebuah gua di Goat’s Hole Cave di Pavillon, Gower. Di gua inilah rangka yang berusia 26,000 tahun itu dijumpai.

Namun, baru-baru ini para pakar telah sekali lagi membuat kajian mengenai usianya dengan menggunakan alatan yang terkini. Apa yang mengejutkan adalah usianya sebenarnya adalah 4000 tahun lebih tua daripada yang diketahui dahulu iaitu 26,000 tahun!. 



Gambar (di atas) adalah rangka Red Lady dianggarkan berusia 26,000 tahun. Satu yang menarik mengenai rangka purba ini adalah rangka Red Lady sebenarnya adalah rangka seorang pemuda dan bukan rangka seorang wanita sebagaimana namanya. 



Gambar (di atas) 600 lukisan purba di Lascaux Cave di Dordogne River Valley, Perancis telah direkodkan mempunyai usia 17,000 tahun. Ia ditemui tidak sengaja oleh dua orang remaja pada 1940.

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DI MUKA BUMI


Manusia telah awal-awal lagi, Allah SWT nyatakan bahawa sebagai wakil Allah SWT di muka bumi. Sememangnya penulis sangat bersetuju tentang kewujudan makhluk sebelum Adam as namun tidaklah pula penulis bersetuju tentang teori evolusi yang Charles Darwin asaskan. Bagi penulis, makhluk yang dicipta sebelum Nabi Adam adalah makhluk misteri. Ada kemungkinan menyerupai manusia, ada pula kemungkinan menyerupai haiwan akan tetapi yang pasti adalah mereka telah melakukan kerosakkan di muka bumi. Antara kerosakan yang pernah mereka lakukan adalah peperangan dan perebutan kuasa. 



Baru-baru ini, saintis bergitu terkejut dengan penemuaan rangka-rangka manusia yang bergelimpangan di Mohenja-Daro di Lembah Indus. Apabila diselidik, rangka tersebut telah dicemari dengan radioaktif akibat letusan nuklear. Apakah makhluk purba pernah menggunakan senjata canggih sehingga menghuru-harakan bumi Allah swt ini? 



Bagaimana dengan Dinosaur?. Apa yang penulis boleh simpulkan mengenai haiwan besar yang digelar Dinosour ini adalah haiwan ini kemungkinan wujud sebelum wujudnya ‘makhluk’ yang melakukan kerosakan tersebut. Ini bermakna, sebelum wujudnya Adam as sebagai khalifah di muka bumi, telah wujud berpuluh-puluh makhluk yang Allah SWT wakilkan di muka bumi ini. Namun, sayangnya, mereka semua leka dengan nikmat Allah swt dan akhirnya musnahlah tamadun mereka diazab Allah swt.

Akhirnya, manusia adalah wakil terakhir Allah SWT di muka Bumi ini. Dan kita sebagai umat Muhammad pula adalah khalifah terakhir daripada wakil terakhir Allah swt di muka bumi sebelum Allah swt ‘sediakan’ kiamat untuk kita semua. Sesungguhnya, Adam as bukanlah makhluk pertama tetapi ia adalah manusia pertama di muka bumi. Waallahualam..

No comments:

Post a Comment